Bangun malam, antara Euro dan tahajud
Tuesday, June 22 @ 19:32:01 MYT
Oleh Abu Nur
KEHANGATAN pertandingan bola sepak Euro 2004 membuatkan ramai orang tidak cukup tidur malam.
Pemain-pemain dipuja, menjadi kegilaan tidak kira tua atau muda oleh kerana persembahan permainan dengan 'individual skill' yang tinggi.
Di kedai-kedai kopi tidak kira si tua atau muda membincangkan perkara yang sama.
"Kau bangun tak malam ni?" pertanyaan ini sering menjadi pembuka selera perbualan di mana-mana sahaja.
"Isshhh, mana boleh tak bangun. Malam ni nak tengok England lawan Croatia, France lawan Switzerland, tak bangun tak syoklah. Bak kata orang makan bola, tidur bola," kata-kata ini sering menjadi penyedap perbualan selanjutnya.
Ada yang sanggup meneguk air kopi hingga berjar-jar untuk menghilangkan rasa mengantuk bagi membolehkan mereka menonton siaran langsung yang ke udara di TV3 dan Channel 8.
Lebih dahsyat lagi ada yang sanggup tunggu dekat kedai mamak yang menyediakan peti televisyen besar dan puluhan kerusi menghadap televisyen semata-mata untuk menghambakan diri kepada Euro 2004.
'Order air satu lagi' - Nak hilang mengantuk punya hal terpaksalah berbelanja lebih beli air. Kadang-kadang ada yang sampai buang air kecil tiga empat kali. Perut pula buncit berangin dengan air, lebih-lebih lagi jika ditogok air bergas.
Ada pula yang sanggup duduk di kelab-kelab bola sepak yang menyediakan skrin besar TV bersorak sambil minum-minum. Ada juga yang sanggup cat muka dengan abstrak bendera negara yang bertanding, jika sekali lihat saling tak tumpah macam badut sarkas.
Ada juga yang meniru gaya rambut pemain, seperti Beckam, Totti, tak kurang juga yang sanggup berbelanja membeli jersi negara yang menyertai Euro 2004 bagi membuktikan rasa bangga mengenakan pakaian tersebut kepada umum.
Beginilah nasib yang menimpa umat Islam di negara ini khasnya dunia umumnya. Mereka sanggup berbuat apa sahaja bagi melahirkan rasa cinta dan kegilaan terhadap bola sepak.
Apa yang mereka lakukan untuk melahirkan rasa cinta mereka kepada Allah? Sanggupkah mereka bangun malam untuk bertahajud, berzikir dan membaca al-Quran. Mampukah mereka melakukanya setiap malam?
Berapa pula bilangan mereka yang sanggup bangun malam dan mandi bagi mensucikan tubuh badan untuk beribadah kepada Allah? Cuba tanya mereka yang sedang hebat bercerita mengenai Euro 2004, sanggupkah mereka bangun malam untuk bertahajud.
Tetapi untuk Euro 2004 mereka sanggup teguk air kopi yang kalau dikumpul isi padunya boleh dijadikan air untuk mandi.
Jauh sekali mereka nak melakukan perkara demikian. Malah ada yang menganggap bangun malam untuk bertahajud akan membuatkan mereka mengantuk sewaktu bekerja. Tetapi aneh pula, bangun malam untuk Euro boleh?
Selain itu mampukah mereka mengenakan pakaian menutup aurat? Kalau ditanya kepada muda-mudi sekarang ini mungkin sekali berkata “alah tak up to date’ nak tutup aurat.”
Malah jika kita berjalan ke bandar atau pasar raya dengan mengenakan pakaian jubah, ramai mata memandang dan ada juga yang berani menyindir 'macam Taliban'.
Nah...inilah yang berlaku di dunia Islam...dan inilah kelakuan atau perbuatan yang menjadikan umat Islam lemah, sudahlah ditindas oleh pemimpin yang sekular, mereka juga mengamalkan cara hidup sekular…jauh sekali nak berjihad di jalan Allah...
Di sini sukacita saya syorkan: Euro, Euro juga. Tetapi alangkah baik, jika sebelum tengok Euro kita solat tahajud dulu, baca al-Quran sikit-sikit, dan selepas tengok Euro, jangan terlelap sehingga 'miss' SOLAT SUBUH tau! – lanh
sumber: harakahdaily
@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@
macam mana? tepuk dada tanya iman...
menjadi peminat kepada sesuatu suka tak salah...cumanya jgn sbb Euro bersusah2 nak berjaga..tapi nak berqiamulail sebulan sekali pun agak payah..Ini adalah sekadar peringatan ..
Tapi nanti mesti ada yg kata...alaaaaaa kak yong org yang tak tengok Euro pun belum tentu solat malam..Betulla tu..Tak dinafikan...Cumanya ini adalah sekadar untuk renungan dan ikhtibar kita..
Jgn sbb Euro,yg sunat mmg susah nak buat,tapi malang sekali kalau terlepas yg wajib...Wallahu'alam