Latah - Bukan kecelaruan mental Oleh NAJIBAH HASSAN
MENCUITKAN hati. Mungkin, itulah perkataan paling tepat untuk menggambarkan gelagat mereka yang mudah latah. Baik kepada kanak-kanak mahupun orang dewasa, persepsi yang dilabelkan terhadap individu yang mudah latah ini sebagai sesuatu yang menghiburkan.
Boleh dikatakan, tiada siapa yang akan `menjauhkan' diri daripada mereka yang latah. Malah, ia diterima oleh rata-rata di kalangan kita sebagai sesuatu yang normal.
Anehnya, jika dibandingkan dengan penyakit mental seperti skizofrenia, ia juga tidak menjadi stigma kepada mereka yang mempunyai ahli keluarga yang latah.
Latah, biasanya dikaitkan dengan wanita yang berusia. Hinggakan, sesuatu majlis keraian atau kenduri kahwin bagaikan kurang serinya tanpa individu yang latah.
Mungkin, kerana kuatnya daya tarikan latah ini, ia dijadikan salah satu watak yang dilakonkan dalam drama atau filem.
Tujuannya tidak lain, untuk `menghidupkan' suasana dan menghiburkan. Tanpa disedari, fenomena ini berjaya menarik perhatian ahli antropologi dan perubatan psikiatri Barat.
Mereka berminat untuk mengkaji lebih dalam berhubung tingkah laku yang dianggap pelik ini, sekalipun ia agak sukar untuk didefinisikan secara tepat.
Ini kerana, sindrom sebegini tidak terdapat di kalangan bangsa Eropah. Hasil kajian yang dilakukan, mereka bersependapat untuk mengkelaskan latah sebagai satu sindrom budaya masyarakat setempat (CBS).
Pakar Perunding Psikiatri, Jabatan Psikiatri, Pusat Pengajian Sains Perubatan, Kampus Kesihatan, Universiti Sains Malaysia (USM), Kubang Kerian, Kelantan, Profesor Dr. Mohd. Razali Salleh memberitahu, pakar perubatan juga bersetuju bahawa latah bukanlah tergolong sebagai kecelaruan mental.
Ini kerana ia tidak memudaratkan individu itu sendiri atau orang lain jika dibandingkan dengan lain-lain masalah kesihatan. Menurut beliau, latah sudah sebati dengan jiwa dan budaya masyarakat negara ini hinggakan tiada siapa pun yang menyisihkan golongan ini.
``Apabila persepsi kita pada latah sebagai sesuatu yang cukup menghiburkan, sudah tentu kita merasakan ia bukanlah sejenis penyakit.
``Sehingga kini, belum ada lagi kes orang yang latah dibawa berjumpa doktor semata-mata untuk merawat tingkah laku mereka,'' katanya.
Malah, beliau berpendapat, latah seolah-olah menjadi kebanggaan dan sering mendapat perhatian.
Secara umum, latah yang berlaku di kalangan masyarakat Melayu di Asia Tenggara merupakan satu tindak balas secara spontan akibat terkejut dalam bentuk pertuturan atau tingkah laku. Ia menyebabkan individu terbabit menyebut perkataan atau meniru tingkah laku orang di sekelilingnya secara berulang-ulang.
Akibat hilang kawalan pada tingkah laku, individu terbabit akan mematuhi apa saja arahan yang diberi.
CBS yang menyerupai latah ini juga terdapat di kalangan masyarakat Asia, tetapi dikenali dengan nama lain.
Di satu kawasan pedalaman di wilayah Guangdong, China, misalnya ia cukup terkenal dengan sindrom koro.
Sindrom ini merupakan sejenis gangguan psikologi yang berkait dengan budaya setempat dicirikan dengan rasa panik ekoran buah zakar mengecil dan tertarik ke dalam perut.
``Biasanya, apabila insiden ini berlaku individu terbabit akan panik dan percaya ia boleh mengakibatkan kematian.
``Selain di China, kepercayaan seperti ini berleluasa di kalangan masyarakat Singapura dan Hong Kong,'' jelasnya.
Begitu juga dengan orang Eskimo. Mereka juga tidak terkecuali dengan CBS yang dikenali sebagai piblokto.
Menurut Mohd. Razali, selain latah, istilah amuk juga diterima pakai di peringkat antarabangsa sebagai sejenis CBS yang berlaku di kalangan masyarakat Melayu.
Berdasarkan pengalaman beliau, insiden orang latah semakin berkurangan kebelakangan ini jika dibandingkan dalam tempoh dua atau tiga dekad lampau.
``Di kampung saya sendiri, dulu memang ramai orang latah, tetapi sekarang agak sukar menjejaki mereka yang tergolong dalam kelompok ini,'' katanya.
Mohd. Razali ketika ditemui menegaskan, latah tidak hanya berlaku di kalangan masyarakat Melayu.
Sebaliknya, interaksi antara tiga bangsa utama di negara ini, menyebabkan latah juga berlaku pada masyarakat India.
Laporan sebuah akhbar Indonesia, Minggu Pikiran Rakyat, juga menyatakan latah merupakan satu kebiasaan yang tiada kaitan dengan penyakit.
Tetapi, ia dipercayai berkait rapat antara fungsi sistem saraf pusat, psikologi dan sosial. Ia dipercayai terikat dengan sistem budaya sesuatu masyarakat.
Di Indonesia, gangguan latah berkembang pada suku-suku di Pulau Jawa, Sumatera dan pedalaman Kalimantan.
Latah juga ditemui di beberapa wilayah Asia lain seperti pada masyarakat suku Ainu di Jepun dan masyarakat gurun di Gobi iaitu sempadan antara China dan Mongolia.
Di Eropah, latah juga ditemui pada suku masyarakat Perancis. Profesor Emeritus, Jabatan Psikiatri dan Antropologi, Michigan State University di Michigan, Dr. Simons mendedahkan di kalangan suku Ainu, di Jepun, sindrom seumpamanya dikenali sebagai imu.
Manakala kepada penduduk Perancis-Kanada, di Maine ia digelar jumping. Sindrom ini menyerupai latah, tetapi ia tidak sama.
Beliau yang juga Profesor Klinikal, Jabatan Psikiatri dan Sains Tingkahlaku, University of Washington di Seattle, Amerika Syarikat (AS) memberitahu, di sesetengah tempat di Filipina, apabila seseorang jatuh sakit seperti demam, sakit perut, dijangkiti penyakit kulit dan sebagainya, golongan ini dipercayai menghidap sejenis sindrom yang dikenali sebagai lanti.
Ia dipercayai menjadi alasan pada punca penyakit yang dihidapi yang menyebabkan individu terbabit terkejut atau latah sebelum itu.
Menurut Mohd. Razali, latah berlaku apabila seseorang `diusik' atau terkejut akibat perbuatannya sendiri seperti tersepak batu dan sebagainya.
``Apabila kita merangsang orang-orang seperti ini seperti mencucuk pada mana-mana bahagian anggota tubuhnya hingga dia terkejut, maka dia akan melatah.
``Apa pun, latah bukanlah sesuatu yang membimbangkan kerana ia hanyalah sejenis gejala tingkah laku,'' jelas beliau.
Latah, boleh berlaku pada mana-mana peringkat usia dan latar belakang sosial. Ia tidak dikategorikan sebagai sejenis penyakit kerana tidak memenuhi beberapa kriteria antaranya:
l Tindak balas permulaan yang ekstrem dan berlebihan
l Sejenis variasi histeria - seperti tidak sedar, menerima apa juga arahan orang lain
l Boleh ingat tetapi tidak boleh kawal. Fenomena ini dikenali sebagai post hypnotic suggestion.
Sekalipun tingkah laku orang yang latah secara spontan menjadi hiburan kepada orang lain, tetapi ia menyebabkan individu terbabit rasa terlalu letih, termengah-mengah dan terganggu.
Sumber: Utusan Online (28/06/04)
-----------------
Hai org-org yang beriman, jika datang kpdmu org fasik membawa suatu berita maka periksalah dengan teliti agar kamu tidak menimpakan suatu musibah kepada suatu kaum tanpa mengetahui kdaannya yang menyebabkan kamu menyesal atas perbuatanmu itu. (Al-Hujurat