Isteri pemimpin perlu pastikan suami tidak menyeleweng
Wednesday, May 26 @ 12:32:02 MYT
Oleh Roy Rasul
KUALA LUMPUR, 26 Mei (Hrkh) - Para isteri khasnya yang beragama Islam bukan sekadar wajib memeriksa sumber kewangan suaminya bahkan semua sudut termasuk ibadah khususnya dengan Allah SWT.
Ini bermakna seluruh tatacara kehidupan hendak difokuskan kepada mendapat keredaan Allah, sekali gus dapat melahirkan rumah tangga, masyarakat dan negara aman dan bahagia yang mendapat kerahmatan Allah.
Menurut Ahli Dewan Negara, Senator Zailah Mohd Yusuf tugas tersebut bukan menjadi kewajipan di peringkat anggota keluarga tetapi juga pemimpin negara.
"Sebagai orang Islam, kita mesti faham tanggungjawab ketua keluarga bukan hanya dari segi memastikan gaji yang diterima bersih tetapi semua ruang lingkup hidup hendak mengikut kehendak Islam, barulah boleh melahirkan sebuah keluarga bahagia," katanya.
Ini katanya, bagi menjaminkan seseorang itu benar-benar mematuhi hukum syarak.
Oleh sebab itu katanya, tugas isteri bukan saja untuk memeriksa sumber kewangan suaminya tetapi lebih daripada itu.
Begitu juga dengan suami, katanya mereka wajib menegur isterinya supaya mematuhi suruhan agama seperti menutup aurat sebagaimana dikehendaki syariat Islam.
"Janganlah cakap pasal duit gaji suami saja sedangkan banyak lagi yang perlu dilaksanakan oleh mereka yang begelar isteri serta ibu," katanya.
Kelmarin, isteri Perdana Menteri, Endon Mahmood dilaporkan sebagai mengingatkan isteri-isteri kakitangan kerajaan supaya mengambil tahu kedudukan kewangan suami bagi memastikan tidak diperolehi sumber salah.
Munurut Zailah biarpun peringatan tersebut baik tetapi katanya, Endon juga harus sedar bahawa banyak orang ternama yang memperolehi pendapatan secara tidak halal seperti rasuah dan penyelewengan saham.
"Ingatan sebegini perlu ditekankan kepada golongan atasan dan bukannya golongan bawahan yang hidup mereka kais pagi makan pagi, kais petang makan petang," katanya.
Malah katanya, dalam kehidupan keluarga sendiri pun tidak kira perdana menteri, menteri dan sebagainya wajar direnungi juga sama ada pendapatan mereka suci atau sebaliknya.
Katanya, ini bersesuaian dengan firman Allah SWT yang bermaksud: “Wahai orang-orang beriman, peliharalah diri kamu dan ahli keluarga kamu daripada api negara yang mana bahan-bahannya terdiri daripada manusia dan batu-bata.” (Ayat 6 Surah at-Tahrim).