Sudah seminggu dia berada di rumah kakaknya Siti Mariam sejak kembali dari menunaikan umrah, kebetulan kakaknya baru sahaja melahirkan anak kedua, Luqman Hakim. Sudah semestinya ibunya turut berada di situ untuk menjaga kakaknya yang sedang berpantang.
"Hmmm... bila Angah nak mula bertugas semula?" tanya Siti Mariam yang baru sahaja menidurkan anaknya.
"Lagi dua hari Kak Long, rasanya Angah nak berehat puas-puas, sebab... bila dah mula bekerja nanti... tak ada pula masa nak rileks! Banyak kerja. Ialah, dah tiga
minggu saya bercuti' jawab Sulaiman sambil menyuapkan roti bakar bersapu kaya ke
mulutnya.
"Hmmm kamu tu Sulaiman, dalam otak lain tak ada ke? Asyik ingat kerja... je, sesekali tu fikir-fikirkanlah tentang hidup dan masa depan," sampuk Puan Asiah yang dari tadi membisu.
"Maksud mak?" Tanya Sulaiman pura-pura tak faham.
"Cuba Angah tengok Kak Long, dah 2 orang anak, kamu tu bila lagi? Nak tunggu puteri kayangan pinang kamu ye?" Leter ibunya lagi.
"Belum ada calon yang sesuai mak... lagipun perempuan-perempuan yang saya jumpa tu, semuanya tak memenuhi citarasa saya mak!"
"Kamu nak yang macam mana lagi? Yang mak berkenan kamu pula tak berkenan.."
"Alaa yang biasa - biasa cukuplah, sama seperti semua lelaki impikan... gadis yang lemah lembut, berbudi bahasa, beragama dan sedap mata memandang. Tapi, yang paling penting... namanya Balqis!"
"Susahlah kalau macam tu" ujar Puan Asiah. Dia menggelengkan kepalanya memikirkan kerenah anak bujangnya yang sorang ni.
"Mak, saya harap-harap Luqman dan Aidil bila besar nanti tak la ikut perangai buruk Pak Ciknya!"
"Isshh... itu tak apa juga Yam, dia nakkan orang yang bernama Balqis, kalau dibuatnya nakkan omputih... err.. apa ke namanya? Alaa.. yang bebudak muda suka sekarang ni...apa...orang panggil? Britney Spears ke Christina Aguilera ke..kan ke naya kamu Yam!" Suasana hening pagi itu dipecahkan dengan ketawa tiga beranak itu apabila berbelit lidah Puan Asiah yang ingin menyebut nama penyanyi barat yang terkenal itu. Terpegun juga Sulaiman apabila mendengarkan kedua-dua nama itu disebut oleh ibunya, tapi...biasalah, ibu millenium!
"Emmm... mak nak tahu tak, Yam dengar di tadika Aidil ada guru baru. Orang cakap cantik orangnya, berbudi bahasa... kalau nak dikira , sesuailah untuk dijadikan calon..." Sengaja Siti Mariam menguatkan suaranya.
"Iya ke Yam? Anak siapa tu?"
"Anak ustaz Haji Syukri, yang selalu mengajar di surau tu. Baru je tamat universiti, kursus psikologi. Saja dia mengajar di tadika tu, katanya nak cari pengalaman," terang Siti Mariam panjang lebar.
"Amboi, elok benarlah tu Yam, kalau sesuai..bolehlah kita kenalkan pada Sulaiman... tapi apa namanya?"
"Namanya? Nurain mak.." jawab Siti Mariam pendek.
"Nurain? Hmm tak payahlah kau nak kenalkan pada adik kau Yam, kalau Balqis tu bolehlah dipertimbangkan...."
"Apa nak buat mak, melepaslah lagi nampaknya kita," ucap Siti Mariam dengan nada yang agak kesal.
Sulaiman dari tadi hanya mendengar perbualan ibu dan kakaknya. Sesekali dia menghirup milo panas kegemarannya. Geli hati Sulaiman melihat gelagat mereka berdua, pantang ada anak dara yang berkenan di hati mereka, pasti kepada Sulaiman diberitahu. Cis, ada konspirasilah pula! Komplot mencari jodoh! Memang Sulaiman sedar, kebimbangan kakak dan ibunya itu berasas, kerana usianya bukan di tahap remaja yang baru akil baligh lagi, tapi dah layak jadi bapak orang lagi! Ialah dalam usia 31 tahun dia belum menemui jodoh yang sesuai lagi. Tetapi, bagi Sulaiman itu bukan menjadi masalah kerana menurut pepatah Inggeris 'life begins at 40'! Dia tersenyum sendirian. Ramai orang bertanya, mengapa gadis bernama Balqis jua pilihan di hati? Kenapa ye?
Kerana Sulaiman hanya untuk Balqis! Itulah jawapannya. Memang ringkas, namun tetap timbul kekeliruan. Sukar untuk Sulaiman terangkan dengan lebih lanjut apa yang tersirat di hati, kerana dia tahu pasti tiada yang memahami.
Dia masih ingat, ketika dia masih kanak-kanak lagi, arwah Tok Wan suka bercerita kepadanya tiap kali ada waktu terluang. Suatu hari Sulaiman pernah bertanya kepada Tok Wan satu soalan yang sehingga kini terpahat di dalam dirinya.
"Tok Wan, kenapa saya dinamakan Sulaiman?"
"Sebab mengambil sempena nama nabi Sulaiman" jawab Tok Wan ringkas, sambil menyedut asap rokok daunnya dalam-dalam.
"Siapa tu Tok?" tanya Sulaiman lagi.
"Baginda merupakan salah seorang nabi yang hebat. Banyak keistimewaan yang tuhan kurniakan kepadanya. Contohnya, baginda boleh bercakap dengan haiwan, memerintah jin dan manusia selain daripada menggunakan angin sebagai kenderaannya."
"Wah, hebat betul nabi Sulaiman tu ye Tok?"
"Ya, tetapi kisahnya yang paling hebat ialah dakwahnya kepada ratu Balqis seperti yang tercatat dalam kitab Al-Quran, mengikut pendapat para ulama, akhirnya nabi Sulaiman berkahwin dengan ratu Balqis. Oleh itu, Tok harap bila Sulaiman dah besar nanti Sulaiman akan contohi sifat terpuji nabi tu ya! Jadilah seorang yang hebat dan bertakwa sama sepertinya."
"Ooo begitu kisahnya ye Tok? Nanti Sulaiman pun kena cari calon isteri yang bernama Balqislah ye Tok?"
"Iya" jawab datuknya sambil ketawa kecil melihat telatah cucunya itu. Sejak dari itulah telah tertanam dalam dirinya, Sulaiman hanya untuk Balqis!
Jam telah menunjukkan pukul 10.55 pagi. Sulaiman masih lagi tersengih sendirian apabila mengingatkan memori-memori indahnya bersama Tok Wan. Tiba-tiba dia tersentak apabila namanya dipanggil.
"Sulaiman.. ooo Sulaiman ... eh, tengok tu, kita panggil dia buat tak reti je...hmmm, beranganlah tu!" panggil Siti Mariam. Dia terus menggoncangkan bahu adiknya itu.
"Err..kak Long panggil saya ke?" tanya Sulaiman sambil tersengih.
"Iyalah, takkan Kak Long nak panggil Luqman pulak?!"
" Ada apa Kak Long?"
"Dah dekat pukul 11 ni. Boleh tolong jemput Aidil di tadika? Hari ni Cik Bakar yang selalu jemput Aidil tu tak dapat jemput, katanya dia ke rumah saudaranya yang sakit"
"Boleh, apa salahnya." jawabnya pendek.
"Ha Man, sambil-sambil kau dah ke situ, jeling-jelinglah Cikgu Nurain tu. Manalah tahu... kalau - kalau berkenan. Terlanjur mak ada di sini, bolehlah berkira apa yang patut." pesan Puan Asiah.
"Eh, emak ni ke situ pulak! Kan saya dah cakap kalaulah bukan bernama Balqis, biar secantik manapun, biar seribu yang datang, huh..sebelah matapun takkan dipandang!"
"Amboi, tak sayang mulut.. jangan cakap besar Angah, kalau sekejap lagi hati dah mula suka, baru kelu lidah nak berkata, maka berputiklah cinta... baru kau tahu langit tinggi ke rendah! Ha masa tu baru tahu betapa azab menanggung panahan asmara! Pesan orang tua, terlajak perahu boleh diundur Angah.." sindir Siti Mariam sambil membetulkan duduknya.
"Panas.. panas... okeylah mak, saya pergi dulu ye? Karang kalau lama lagi...hmmm mahunya rentung saya mak... kena fire!." Cepat - cepat Sulaiman meninggalkan meja makan dan terus berlalu meninggalkan ibu dan kakaknya.
Dengan berhati-hati Sulaiman meletakkan keretanya di hadapan tadika An-Nur. Dia bergegas ke tadika tersebut agar tidak lambat menjemput Aidil. Lega hatinya kerana kanak-kanak tadika itu belum keluar lagi. Sulaiman menanti dengan sabar walaupun bahang mentari kian terasa. Sambil membetulkan kaca mata hitamnya dia mendengar dan menghayati kanak-kanak menasyidkan Asma-ul - Husna. Sayup-sayup kedengaran suara seorang wanita yang begitu merdu sekali. Dia terpesona seketika apabila terdengar suara itu mengalunkan nasyid tersebut. Terdetik di hatinya mencari siapakah gerangan empunya suara yang begitu mempersonakan. Melalui celahan cermin tingkap, samar-samar kelihatan seorang wanita yang bertudung biru lembut. Setelah selesai bernasyid, seorang demi seorang kanak-kanak bersalaman dengan guru itu. Tersentuh hati Sulaiman apabila melihat guru tersebut mengucup dahi setiap muridnya.
"Ah, dia benar - benar seorang wanita yang penyayang" bisik hati kecil Sulaiman dan dia benar-benar terpana.
"Cik Man, Cik Man.." Sayup-sayup suara itu mengejutkan lamunannya.
"Eh, Aidil, bila Aidil keluar? Puas Cik Man tunggu... tapi tak perasan pula Aidil dah keluar" ujar Sulaiman sambil melemparkan senyuman kepada anak saudaranya itu.
"Dah lama Aidil berdiri tepi Cik Man, tapi Cik Man buat tak tahu je... haa...Cik Man tengok Cikgu Ain ye?"
"Eh, tak adalah... yang mana satu cikgu Ainpun Cik Man tak kenal. Betul, Cik Man betul- betul tak perasan Aidil tadi sebab semuanya nampak sama je bila pakai uniform. Hmm, pandai-pandai ajelah Aidil nak usik Cik Man ye?" ujar Sulaiman tersipu malu. Dalam hatinya terdetik 'kantoilah pulak!'
"Aidil, itu ke cikgu Ain?" tanya Sulaiman sambil menunjuk ke arah seorang wanita muda yang berpakaian serba biru yang sedang tersenyum sambil melambaikan tangan ke arah murid-muridnya.
"Ye, itulah cikgu Ain. Cik Man nak tahu...cikgu Ain tu baik sangat. Bukan itu je, Cikgu Ain tu cantikkk.... macam Aiswarya Rai, heroin yang Aidil suka!"
"Iya?"
"Ha aaa... cikgu Ain pandai bernasyid juga tau Cik Man? Suara dia sedap..macam Siti Nurhaliza. Dia selalu ajar Aidil nasyid!.
'Perrgghh.. baik dia punya promote Si Aidil ni! Ingatkan ummi dengan neneknya saja yang promote cikgu tu lebih - lebih...Aidilpun sama? Ni mesti ada pakatan anak beranak ni?' Fikir Sulaiman sendirian.
"Jom kita balik, dah panas terik ni. Karang kalau Aidil demam, tak boleh pula nak ke sekolah," ajak Sulaiman. Berat juga dia ingin melangkah, kerana dia belum puas menatap wajah ayu Cikgu Nurain itu. Dalam diam dia mengakui bahawa Cikgu Nurain memang cantik. Kulitnya putih melepak, alis matanya hitam dan lentik, bibirnya mungil kemerahan, bersopan, ayu, dan penyayang. Tapi sayang, namanya Nurain, bukannya Balqis... ah, lupakan saja!
Kesejukan bilik yang berhawa dingin itu tetap tidak menyejukkan keadaan pegawai muda itu. Suasana bilik itu tetap hangat dengan kesibukannya. Banyak betul kerja yang perlu diselesaikannya. Masih bertimbun fail - fail yang tidak diusiknya lagi. Maklumlah, hampir sebulan dia bercuti. Dia agak tertekan. Keserabutan fikirannya ditambah pula dengan kehadiran Rina, sekretari Tuan Ramli yang 'gelenyarnya' tidak terkawal. Apa tidaknya, dari pagi dia mengganggu Sulaiman. Baru sahaja Sulaiman melabuhkan punggungnya di kerusi, Rina sudah terpacul di muka pintu menanyakan khabar. Katanya dah dekat seminggu dia demam sebab teringatkan Sulaiman. Lepas itu dia datang lagi meminta ole-ole dari Mekah. Lepas itu dia dating lagi..dan lagi dan lagi. Ada - ada sahaja perkara yang membuatkan dia ke bilik Sulaiman.
"Man... nanti kita lunch sama?" ucap Rina sebaik sahaja sebaik sahaja dia melabuhkan punggungnya di kerusi empuk bilik pegawai muda itu.
"Hmm, I sibuk la Rina. Banyak betul kerja yang perlu I siapkan. You cuba tengok fail-fail ni, petang ni Tuan Ramli nak tengok laporannya. Sorry ye.." elak Sulaiman.
"Kalau macam tu, I bungkuskan untuk you ok? You nak makan apa? I belikan untuk you."
" No, thanks. I dah makan heavy breakfast tadi. Kenyang lagi.."
"Alaa you ni! Ada- ada je alasan kalau I ajak. Hmm jangan menyesal Man, kalau silap-silap nanti you terlepas I... kalau masa tu you merayu, I dah tak layan...mmm baru you tahu!." Rina terus berlalu pergi.
Lega hati Sulaiman bila dia tidak lagi diganggu. Harapannya selepas waktu rehat nanti Rina takkan mengganggunya lagi. Memang Sulaiman tidak nafikan, Rina cantik, gaya persis model. Make-upnya entah berapa kilo, pakaiannya up to date habis. Tapi perangainya? Tuhan saja yang tahu. Satu ofis tahu, dulu dia cuba memikat Tuan Ramli sewaktu pegawai itu mula-mula bertukar ke pejabat itu. Tapi, Tuan Ramli tak layan... maka dia beralih pula kepada bos kecik, siapa lagi kalau bukan Sulaiman Hadi!
Malam semakin larut, di luar rumah kedengaran cengkerik galak menyanyi. Tetapi Sulaiman masih tidak dapat melelapkan matanya. Entah apa masalahnya, matanya masih tidak mahu dilelapkan. Sudah puas dia berkalih tempat tidur, sekejap miring ke kanan,sekejap ke kiri. Sejak pertama kali terpandang wajah itu, di matanya sentiasa terbayang- baying keayuan Cikgu Nurain. Sudah puas dia menidakkan perasaan hatinya bahawa Cikgu Nurain memang hebat! 'Ah, mengapalah namanya Nurain? Mengapa tidak Balqis?" Bentak hati kecilnya. Tanpa menunggu dengan lebih lama dia terus berwuduk dan melakukan solat istikarah agar dia diberi petunjuk...
Suasana itu memang indah dan mendamaikan. Pohon-pohon hijau merendang dan dihiasi dengan bunga-bunga yang berwarna-warni serta harum baunya. Dari jauh, Sulaiman terpandang seseorang yang berkerudung hijau muda di pinggir tasik. Dengan perlahan dia menghampiri lembaga itu. 'Ah, wanita rupanya' bisik hati kecil Sulaiman. Dia memberanikan diri untuk menyapa wanita itu.
"
."
"
, Sulaiman," jawabnya.
"Eh, saudari tahu nama saya?"
"Ya," jawabnya pendek.
"Bagaimana pula saudari tahu nama saya? Siapa saudari ni?" tanya Sulaiman keliru.
"Saya Balqis."
"Balqis?." Tersentak dengan itu, Sulaiman terjaga. Cepat-cepat dia beristighfar. Sayup- sayup kedengaran suara azan berkumandang memecah kesunyian pagi. Sulaiman kaget, sudah tiga malam berturut-turut dia mengalami mimpi yang sama. Pagi itu dia segera mengisi borang cuti kecemasan. Dia terus memandu ke rumah
Kak Longnya.
"Sebenarnya Angah, mak dan kak Long kau adalah merisik serba sikit tentang cikgu Nurain tu, Daripada pandangan mata mak , dia baik, sesuai kalau kau nak jadikan isteri. Tapi, sayangnya namanya Nurain, bukannya Balqis seperti yang kau idamkan."
"Itulah sebabnya saya balik ke mari hari ni juga sebab nak bincangkan perkara inilah mak," ucap Sulaiman sambil membetulkan silanya.
"Tapi masalahnya, bila saya buat istikarah, saya tetap dapat petanda yang nama gadis tu Balqis... ini yang merunsingkan saya mak, sebab saya rasa saya dah jatuh hati pada cikgu Nurain."
"Angah, petunjuk dari Allah tu macam-macam. Kata orang, tak semestinya kita nampak wajah orang tu... kadang-kadang ia bergantung kepada kekuatan perasaan kita juga," sampuk Siti Mariam yang baru saja meletakkan Luqman ke dalam buaian.
"Betul tu Sulaiman, cuba kamu fikirkan mengapa selepas kamu terjumpa Nurain, perasaan kamu dah lain? Sebelum ni kamu tak pernah berperasaan beginikan? Walaupun dah ramai orang kamu jumpa ?" Tanya ibunya. Sulaiman hanya mengangguk lemah.
"Macam nilah Angah, kak Long cadangkan supaya Angah berjumpa dengan Cikgu Nurain tu. Terangkan hal yang sebenar."
"Biar betul Kak Long ni? Nak suruh saya pergi buta macam tu je... cakap saya sukakan dia? Terkejut beruk cikgu tu karang! Mahunya dia pengsan seminggu!"
"Ishh.... gentleman la sikit Angah, lagipun kita berhajat baik. Cikgu Nurain tupun berpelajaran juga, takkanlah dia nak cepat melatah. Kalau dah suka tu... cepat- cepatlah sikit, nanti terlepas susah pulak! Lagipun apa yang kak Long tahu, dia belum berpunya tau."
"Eh, macam mana Kak Long tahu ni?"
"Alahh, kami ni kan perempuan?" Ujar Siti Mariam tersenyum lebar.
"Macam ni Sulaiman. Hari tu terlanjur Kak long kamu menghantar Aidil ke tadika mak ikut sekali, dapatlah bersembang dengan cikgu tu" terang Puan Asiah.
"Hmm.. mak promote le serba sikit tentang Angah.. tapi tak la lebih-lebih" sampuk Siti Mariam.
"Eh, iya ke mak? Terima kasihlah sebab bersusah payah pasal saya. Kalau dah macam tu, rasanya eloklah saya bertemu dengan Nurain sendiri," ujar Sulaiman bersemangat.
Dalam pejalan ke Tadika An-nur fikiran Sulaiman semakin berkecamuk. Degupan jantungnya semakin kuat. Pelbagai persoalan bermain di fikirannya. Adakah tindakan yang bakal diambilnya itu tepat? Mengapa egonya selama ini musnah kerana seorang wanita bernama Nurain? Di manakah ikrarnya? Sulaiman hanya untuk Balqis? Dia semakin keliru. Namun dia sudah nekad. Setibanya dia di perkarangan tadika itu, jam telah menunjukkan pukul 11.40 pagi. Suasana sekeliling tadika lengang kerana kanak-kanak telahpun pulang dari tadika. Dari jauh Sulaiman ternampak kelibat dua manusia, Cikgu Nurain menemani Aidil di taman permainan kecil di sebelah tadika.
"
," sapa Sulaiman.
"
," jawab Cikgu Nurain lembut.
"Saya Sulaiman, pakcik kepada Aidil. Maaflah buat cikgu terpaksa menunggu Aidil. Emaknya tak dapat jemputnya. Dia minta saya jemput," terang Sulaiman membuka bicara. Hatinya semakin berdebar-debar. Aidil yang tadi leka bermain terus berlari menghampirinya apabila ternampak kelibat Sulaiman.
"Cik Man... nak jemput Aidil ke? Boleh tak Cik Man tunggu sekejap? Aidil tak puaslah main buaian..." rengek anak kecil itu.
"Pergilah main, lagipun Cik Man ada hal sikit dengan cikgu Nurain. Nanti Cik Man panggil Aidil ok?" Beritahu Sulaiman sambil melemparkan senyuman.
"Cikgu Nurain, boleh saya bercakap sekejap?" Tanya Sulaiman agak gugup.
"Boleh, apa salahnya, cakaplah saya sudi mendengarnya" jawabnya lembut. Bibirnya terukir segaris senyuman manis, lantas dia menundukkan wajahnya. Sulaiman terpesona melihat cahaya mata Nurain buat kali pertama. Hatinya semakin berdebar. Lidahnya bagaikan kelu untuk berkata, namun digagahi juga.
"Sebenarnya apa yang saya ingin katakana ini agak berat sedikit. Saya harap Nurain tak tekejut mendengar apa yang ingin saya katakan nanti." Sulaiman tarik nafas dalam-dalam, lalu dihembuskannya perlahan-lahan. Dia mencari sedikit kekuatan dan ketenangan untuk meneruskan bicara. Nurain yang dari tadi duduk, tenang menunggu bicara apa yang bakal diluahkan.
"Sebenarnya, sejak pertama kali saya bertemu Nurain, hati saya terpaut. Namun, saya telah cuba menafikan perasaan itu tetapi saya telah gagal. Masa tu saya agak gementar dan takut untuk menuruti kata hati saya kerana.."
"Kerana nama saya Nurain dan bukannya Balqis?" pintas Nurain.
"Err... mana Nurain tahu?" Tanya Sulaiman kaget.
"Adalah, rahsia.." ujar Nurain sambil menekup mulutnya menahan tawa.
Dalam fikiran Sulaiman terbayang wajah Kak Long dan emaknya. Ini mesti kerja pakatan komplot dua beranak tu, entah-entah Aidilpun terlibat tak? Detik hati kecilnya. " Betul, tapi itu dulu. Saya terlalu mengikut perasaan, tenggelam dalam ilusi saya sendiri. Mungkin saya tidak berpijak di dunia yang nyata waktu tu. Tapi setelah
saya fikirkan masak-masak, apa ada pada nama?"
"Boleh saya tahu..itupun kalau Sulaiman tak keberatanlah, boleh ceritakan sikit tak... kenapa nak sangat dengan orang yang bernama Balqis ni? Girlfriend lama ke?"
"Eh, tak adalah... saya ni belum pernah ada teman istimewa, sebab sebelum ni saya terlalu komited terhadap studi dan kerjaya... sampaikan terlupa hal-hal lain. Tapi kalau saya ceritakan kenapa saya sukakan orang yang bernama Balqis, Nurain jangan ketawakan saya tau. Janji?" tanya Sulaiman besungguh.
"Ok, saya janji."
"Ceritanya begini. Masa saya kecil-kecil dulu, arwah datuk saya suka bercerita tentang nabi-nabi. Salah satu daripadanya, tentang nabi Sulaiman dengan ratu Balqis. Sejak dari situlah saya terpengaruh untuk mencari pasangan hidup bernama Balqis juga! Sebab kebetulan nama sayapun Sulaiman." ujar Sulaiman jujur. Nurain tertawa kecil.
"Pelik betul awak ye? Kalaulah semua orang lelaki di dunia ni macam awak... " Nurain tidak meneruskan kata. Geli hatinya mendengar cerita Sulaiman itu.
"Hmm kalau saya tanyakan sesuatu boleh?"Tanya Sulaiman. Nurain hanya menganggukkan kepalanya.
"Nurain sudah berpunya?." Nurain menggelengkan kepala.
"Sudi tak Nurain terima saya?" tanya Sulaiman berani. Nurain terdiam seketika. Pandangannya dilemparkan jauh-jauh. Beberapa ketika kemudian dia bersuara.
"Saya ni belum berpunya. Tentang pilihan jodoh, saya serahkan kepada bapa saya. Kalau dia setuju, setujulah saya. Bagi pihak diri saya tiada halangan."
Hati Sulaiman sedikit berbunga, halangan pertama rasanya sudah dilepasi. Namun dia perlu berjumpa dengan keluarga Nurain sendiri.
"Kalau begitu, bila agaknya masa yang sesuai saya bertemu dengan keluarga Nurain?"
"Hmm.. datanglah ke rumah Ahad ni. Ada sedikit kenduri kesyukuran. Majlis doa selamat untuk adik saya yang nak ke oversea. Bolehlah Sulaiman berjumpa dengan saudara-mara sekali."ujarnya sopan.
" Insya-Allah" jawab Sulaiman pendek.
"Hmm, saya rasa dah lewat ni. Lagipun tak manis dipandang orang. Kalau tak ada hal lain lagi, saya minta diri dulu ye.
." Pinta Nurain dan berlalu pergi.
"
" balas Sulaiman pendek sambil matanya menghantar Nurain jauh hingga keluar pintu pagar tadika. Malam itu selepas menikmati makan malam, Sulaiman sekeluarga duduk di anjung depan rumah. Aidil dan Luqman sudah lama dibuai mimpi. Dari tadi emak dan abang ipar Sulaiman membisu seribu bahasa. Sulaiman pula entah melayang ke mana.
"Ha Angah, apa keputusannya? Jadi ke rumah Nurain?"
"Kalau diikutkan hati, memanglah jadi, tapi risau pula saya kalau-kalau keluarga Haji Syukri tu tak dapat terima kehadiran saya nanti. Silap-silap Haji Syukri tembak saya dengan senapang gajah, naya saya!"
"Janganlah risau dan fikirkan yang bukan-bukan. Haji Syukri tu baik orangnya. Untuk pengetahuan kamu, mak ada berjumpa dengannya merisikkan Nurain. Setakat ni mak belum dapat kata putus darinya. Rasanya dia tiada halangan cuma dia ingin berjumpa dengan kamu" ujar Puan Asiah bersahaja.
"Eh, mak risikkan Nurain tanpa pengetahuan saya?"
"Hmm.. mak kenal benar dengan citarasa anak mak ni. Tak payah nak berselindung, sekilas ikan di air, mak dah tahu jantan betinanya! Lagipun mak berkenan benar dengan Nurain. Sekarang ni cuma bergantung kepada kamu, kamu yang nak berkahwin... terpulanglah. Emak tak mahu memaksa" ujar Puan Asiah panjang lebar. Dengan perlahan Sulaiman menarik nafasnya dalam-dalam, lalu dihembusnya lama-lama... dia benar-benar lega!
Suasana rumah Haji Syukri agak lengang. Kelihatan hanya saudara mara rapatnya sahaja yang masih tinggal. Dari tadi Nurain tak menang tangan melayani tetamu- tetamu wanita di bahagian dapur. Kini dia sibuk menghidangkan sedikit jamuan untuk ibu dan kakak Sulaiman yang datang agak lewat. Di anjung rumah, kelihatan Haji Syukri sedang rancak berbual dengan Haris, abang ipar Sulaiman. Di sebelahnya kelihatan Sulaiman yang sedang 'control macho' . Kalaulah ditoreh mukanya... entah-entah tak berdarah kot?
Sesekali terdengar mereka tertawa kecil,entah apa yang melucukan. Sulaiman dapat merasakan kemesraan antara dia dan Haji Syukri kian terjalin. Tanggapannya tentang Haji Syukri sebelum ini ternyata meleset. Haji Syukri peramah dan pandai menyusun kata. Maka tak hairanlah jika dia mengajar di surau pasti penuh sesak dengan jemaah.
" Ha Syukri, mana bakal menantu kamu?" tanya seorang lelaki yang umurnya hampir seabad. Namun lelaki itu kelihatan masih sihat dan wajahnya tenang mendamaikan. Perbualan Haji Syukri, Haris dan Sulaiman terhenti seketika.
"Hmm, ini dia ayah" ucap Haji Syukri sopan sambil menunjukkan ke arah Sulaiman yang berada di sebelah Haris. Dia tersenyum tenang. Sulaiman tiba-tiba gugup! 'Eh, biar betul Haji Syukri ni.... kalau nak berguraupun janganlah buat aku aku terkejut macam ni' detik hati Sulaiman.
"Sulaiman, inilah datuk Nurain, baru semalam sampai dari kampung" perkenal Haji Syukri.
"Apa khabar Tok? Saya Sulaiman" ujar Sulaiman sambil bersalam.
" Oh, inilah bakal suami Balqis ye? Hmm secocok benarlah!" ucapnya sambil tersengih menampakkan beberapa batang gigi yang masih tinggal.
"Balqis?" Sulaiman tersentak apabila nama itu disebut. Dia keliru. Dikumpulnya keku-atan, lalu dia bertanya dengan sopan.
"Maafkan saya, tadi Tok menyebut nama Balqis, siapa tu Tok?" Tanya Sulaiman dengan wajahnya penuh persoalan. Datuk hanya tersengih, lalu memandang tepat ke muka Haji Syukri. Haji Syukri turut tersenyum. Seketika kemudian Haji Syukri bersuara tenang
"Balqis tu, Nurainlah. Nama sebenarnya Nurain Balqis. Datuk yang memberikan nama tu padanya. Hanya datuk yang memanggil namanya Balqis, sedangkan ahli keluarga yang lain memanggilnya Nurain. Dah panggil Nurain dari kecil, jadi melekatlah hingga ke besar", terang Haji Syukri memecahkan kebuntuan. Penerangan Haji Syukri itu membuatkan semua orang faham, lebih-lebih lagi Sulaiman. Dia tersenyum sendirian. Dalam hatinya mengucap kesyukuran. Doanya di depan Kaabah telah diperkenankan. Ikrarnya Sulaiman hanya untuk Balqis bakal terlaksana... dan senyumannya semakin lebar.
Petikan daripada Majalah Remaja 15 September 200
-----------------
Harta yang paling menguntungkan ialah SABAR,
Teman yang paling akrab ialah AMAL,
Pengawal peribadi yang paling waspada ialah DIAM,
Bahasa yang paling manis ialah SENYUM,
Ibadah yang paling indah ialah KHUSYUK....