Array
Welcome To Portal Komuniti :: Ukhwah.com

  Create An Account Home  ·  Topik  ·  Statistik  ·  Your Account  ·  Hantar Artikel  ·  Top 10 12-12-2024  

  Login
Nickname

Password

>> Mendaftar <<

  Mutiara Kata
Jika anda taknak bekerja, carilah duit sebanyak-banyaknya; nanti anda tak perlu bekerja
-- Kang

  Menu Utama

  Keahlian Ukhwah.com
Terkini: navratan
Hari Ini: 0
Semalam: 0
Jumlah Ahli: 43152

  Sedang Online
Sedang Online:
Tetamu: 82
Ahli: 0
Jumlah: 82




  Yang Masuk Ke Sini
kasih_kekasih: 24 hari yang lalu
nur_takwa88: 30 hari yang lalu
kismis: 30 hari yang lalu
qaulah_atrah: 42 hari yang lalu
muaz9768: 45 hari yang lalu
Rashdin: 51 hari yang lalu


Cerpen
Topik: Panah Sidi Arab


Carian Forum

Moderator: Administrator, NaZa_FirmaN
Portal Komuniti :: Ukhwah.com Indeks Forum
  »» Cerpen
    »» Panah Sidi Arab

Please Mendaftar To Post


Oleh Panah Sidi Arab

abuzulfiqar
Warga 3 Bintang
Menyertai: 31.01.2007
Ahli No: 28489
Posting: 97
Dari: Malaysia

Perak   avatar


posticon Posting pada: 07-12-11 01:08


BAB SATU – Cerita Aneh Dari Melaka


Khairi Fatwa memberhentikan basikal lumbanya di sebelah Encik Don yang sedang termengah-mengah berdiri di tengah jalan.

“Kenapa Encik Don?” tanya Khairi sambil memandang ke arah pintu utama Surau Asy-Syakirin. Kaki kirinya menjejak tanah manakala kaki kanannya masih di pedal kanan basikal. Kong basikal ‘racing’ kesayangannya kelihatan berkilau dalam malam yang tidak berapa pekat itu.

“Tak budak apa-apa!” balas Encik Don walaupun bahu dan dadanya masih berombak kencang, wajahnya menggambarkan ketakutan dan matanya menyorot tepat ke susuk Pak Said yang berdiri gagah di pintu masuk surau. Dalam genggaman Pak Said ternyata sebilah parang pemotong daging. Orang-orang surau semakin ramai yang keluar tetapi tidak berani menghampiri.

“Pandai cakap sangat, mai lah kalau berani! Nak tengok apa jadi, mai lah!” jerit Pak Said.

Dari jauh Khairi dapat melihat tangan dan badan Pak Said menggeletar dengan warna, bau dan aura kegeraman yang sangat tinggi. Kalau didapatnya Encik Don, boleh jadi ditetaknya. Pak Said yang baru berhijrah dari alam jahiliyyahnya dan berjinak-jinak dengan jemaah Tabligh dulunya memang terkenal dengan pergaduhan demi pergaduhan. Masuk keluar lokap perkara biasa. Masuk keluar penjara pun sudah beberapa kali.

“Sudah lah tu Iddd...benda sikit-sikit saja! Sudah, sudah!” pujuk Pak Mud dari pekarangan surau. Beberapa orang jemaah lagi turut bersuara tetapi tidak dihiraukan Pak Said. Pak Said terus memekik-mekik mengancam Encik Don. Khairi yang berada di sebelah Encik Don berasa seolah-olah dia turut dimarahi oleh Pak Said kerana Pak Said melihat dan menunjuk-nunjuk ke arah mereka berdua. Namun begitu Khairi tidaklah gentar kerana dia memang baik dengan Pak Said. Takkanlah Pak Said akan mengapa-apakannya.

Sebuah motosikal melewati kami dan terus berhenti dalam jarak lebih kurang sepuluh kaki dari Pak Said. Penuh tempat duduk motosikal itu kerana yang menunggangnya ialah Pak Ba. Badannya gempal dan besar. Berkulit gelap dan kepalanya hampir botak semua. Memang otai jugalah dalam dunia persamsengan. Haris yakin, tentu ada orang yang pergi memanggil Pak Ba setelah timbulnya kecoh-kecoh di surau.

Pak Ba turun dari motosikalnya dan cuba memujuk Pak Said.

“Woi Id, udah lah tu! Sabor Id sabor! Dah dah dah!” kata Pak Ba yang tetap dalam jarak lebih kurang sepuluh kaki. Jarak yang selamat jika terjadi sesuatu yang tidak diingini. Khairi yakin Pak Ba sanggup bertembung dengan Pak Said sekiranya keadaan memaksa, tapi tentunya jalan penyelesaian secara aman jadi matlamat utama.

“Aku nampak hang sekali lagi siap!” ancam Pak Said kepada Encik Don. Dia memalingkan tubuhnya dan bergerak ke arah belakang surau. Anginnya mereda dan orang ramai menghembuskan nafas kelegaan. Beberapa orang kelihatan menggeleng-gelengkan kepala.

Khairi pun tidak berminat untuk menunggu lebih lama lagi kerana tidak nampak tanda-tanda Encik Don mahu bercerita. Mata Encik Don masih memancarkan cahaya kewaspadaan. Kemudian Encik Don bergerak perlahan-lahan ke arah rakan-rakannya yang sudah keluar dari surau ke jalan.

Malam itu surau Kampung Potong Pinang ‘panas’ sekejap. Surau baharu yang selalunya aman dan hening itu menjadi saksi kepada satu drama sebabak. Dewan orang ramai, kedai runcit Haji Mahmud dan rumah Ustazah Nab yang menjadi penunggu sejati simpang empat surau kampung bertuah ini mahu tidak mahu terpaksa menjadi saksi juga kerana peristiwa tadi berlaku betul-betul di hadapan halaman mereka.

Khairi mengayuh basikalnya ke arah tembok kedai mamak yang setiap malam menjadi tumpuan para pemuda untuk melepak. Ada lima tembok tepi jalan di simpang empat kedai mamak, dicampur dengan pangkin dan kaki lima kedai runcit itu, sesuai untuk mengumpulkan puluhan pemuda pada setiap malam. Satu suasana biasa pada malam-malam tahun 80-an di Kampung Potong Pinang.

Cukup lapan kali kayuh sampailah ia ke sekumpulan pemuda di tembok. Persekitaran yang gelap tidak menghalang matanya daripada mengecam Seman. Seman sedang berdiri bercekak pinggang. Bukan apa-apa, memang gayanya begitu, suka bercekak pinggang.

“Pasai apa tadi tu ha?” tanya Khairi kepada Seman. Dia tahu, Leman pasti ada maklumat kerana Seman pun baru pulang dari surau.

“Tak tau lah,” kata Seman pada awalnya, tapi kemudiannya dia mula menyusun ayat demi ayat dengan nada berhati-hati mengisahkan ehwal yang berlaku.

Menurut Seman, selepas solat tadi ada sedikit persediaan untuk kenduri kecil di surau itu selepas Isya’ nanti. Pak Said tidak berpuas hati dengan Encik Don yang pandai bercakap dan mengarah itu ini tetapi tidak buat apa-apa kerja pun. Padahal Encik Don salah seorang ‘elder’ karkun di daerah Taiping ini. Sepatutnya dia menunjukkan contoh yang baik dengan menggunakan kaki dan tangan, tidak sekadar mulut dan lidah. Kena pula dengan Pak Said yang panas baran. Apa lagi... meletuplah!

“Woih, tughun lah! Tak laghi ke mana basikal hang tu. Aku ada hai sikit nak sembang dengan hang ni!” kata Seman. Khairi pun mengangkat kaki kanannya tinggi melampaui tempat duduk basikal, mendaratkan kaki berbalut seluar hitam ala jeans itu ke jalan tar lalu menyorong basikalnya ke tepi tiang elektrik bersebelahan tembok.

“Jom kita pergi dok kat tepi rumah Hakim. Sedap sikit nak bersembang,” kata Seman sambil mula melangkah menyeberangi jalan tar selebar lebih kurang dua belas kaki itu. Khairi menurut dari belakang. Mereka melabuhkan punggung bersauhkan kaki di tembok kecil kaki lima rumah Hakim.

“Hah, apa hai?” tanya Khairi.

“Cerita dia macam ni.......,” Leman membuka tudung saji bicara untuk menjamu hidangan maklumat yang sangat penting buat Khairi Fatwa.

@@@@@@@@@@

Kitab Sejarah Melayu susunan Tun Sri Lanang menyatakan sebuah kisah...

Maka kedengaranlah ke Melaka (akan) Cau Pandan anak Bubunya akan dititahkan menyerang Melaka.Maka ada seorang hamba Allah diam di Melaka, bangsanya Arab, Sidi Arab namanya disebut orang. Maka tuan itu senantiasa bermain panah lasykar, seperti dewal orang berzikir. Barang ke mana tuan itu pergi, panah itu dibawanya.

Maka tatkala itu tuan Sidi Arab itu pun menghadap Sulatan Muzaffir Syah. Telah tuan itu mendengar khabar Cau Pandan akan datang ke Melaka itu, maka tuan itu pun berdiri di hadapan baginda. Maka dihalakannya panahnya itu ke benua Siam. Maka kata Tuan Sidi Arab sambil menarik panahnya itu, “Mati engkau Cau Pandan!”

Maka Sultan Muzaffir Syah pun tersenyum, maka titah baginda pada Tuan Sidi Arab, “Jikalau sungguh mati Cau Pandan, sungguhlah tuan keramat.”

Adapun Cau Pandan itu lagi di benua Siam, maka berasa kepada dadanya seperti kena panah, maka Cau Pandan pun sakit muntahkan darah lalu mati. Maka tidaklah jadi Siam menyerang Melaka, sebab mati Cau Pandan itu. Maka itulah diperbuat orang nyanyi :

Cau Pandan anak Bubunya,

Hendak menyerang negeri Melaka;

Ada cincin berisi bunga,

Bunga berladung si air mata.

Syahadan maka kedengaranlah ke Melaka bahawa Cau Pandan sudah mati, sakitnya muntahkan darah, dadanya seperti kena panah. Telah Sulatan Muzaffir Syah mendengar khabar itu, maka titah baginda, “Sungguhlah Tuan Sidi Arab ini hamba Allah keramat.”

@@@@@@@@@@

“Aku tahu cerita ni, Piyan ada cerita kat aku dulu. Dia kan suka kaji sejarah-sejarah ni?” kata Khairi. Rakan mereka si Piyan tu memang ulat buku, bahkan hantu buku.

Sambungnya lagi, “Awat hang buka cerita sebelum zaman Tok Nadong ni Seman?”

“Macam ni..........” Seman memantau ke serata arah dengan matanya. “Bismillahirrahmanirrahim,” Seman bermuqaddimah.

@@@@@@@@@@

Khabarnya, tiga minggu selepas kematian Cau Pandan di Siam, cerita kekeramatan Sidi Arab pun sampai ke pendengaran Raja Bubunya. Raja Bubunya sangat murka lalu meminta agar didatangkan beberapa orang sami yang mahir dengan ilmu-ilmu luar biasa. Dia memerintahkan mereka membalas perbuatan Sidi Arab dengan menghantar pukulan jarak jauh juga agar nyawa Sidi Arab terpisah daripada tubuhnya. Namun begitu para sami pilihan itu menyatakan keengganan mereka kerana khuatir seandainya Sidi Arab mengetahui lebih awal ataupun terselamat, pasti dia ‘memanah’ Raja Bubunya pula. Raja Bubunya terpaksa membatalkan rancangannya.

Atas nasihat para pembesar, dia menghantar panglimanya yang bernama Cau Santan ke Melaka untuk membunuh Sidi Arab. Cau Santan singgah di Kedah, sebuah negeri naungan Raja Bubunya lalu mengambil tiga orang pendekar Melayu Kedah sebagai ahli pasukannya. Cau Santan terpaksa mengambil orang Melayu Kedah kerana ketidakfasihannya berbahasa Melayu. Mereka berempat pun menyamar sebagai pedagang lalu belayar ke Melaka.

Tiba di Melaka, mereka terus mencari maklumat tentang keberadaan Sidi Arab. Mereka mendapat tahu yang Sidi Arab biasanya akan duduk berzikir dan membaca Al-Quran selepas solat fardhu Asar di masjid. Sebaik-baik sahaja jemaah bersurai, mereka berempat menyerbu masuk menyerang Sidi Arab.

Sidi Arab tidak terlawan keempat-empat orang sekaligus dan hampir-hampir berjaya dibunuh. Sungguhpun begitu, dia berjaya mencederakan salah seorang Melayu Kedah. Dengan kuasa Allah, Tun Umar lewat datang berjemaah pada hari itu. Tun Umar terdengar ribut-ribut dalam masjid. Dia pun melompat masuk. Terpandang sahaja ‘hidangan’ di depan matanya, Tun Umar pun menggila dengan ilmu perangnya. Siapa tidak kenal Tun Umar, orang yang pergi berseorangan pada waktu malam menterbalikkan perahu-perahu angkatan Siam yang mahu menyerang Melaka.

Tun Umar berjaya membunuh seorang Melayu Kedah menggunakan pedang yang dibuat tongkat oleh khatib ketika berkhutbah pada hari Jumaat. Melihat keadaan yang semakin berpihak kepada Sidi Arab dan Tun Umar, Cau Santan dan seorang lagi melarikan diri.

Sidi Arab turut mendapat kecederaan tetapi tidaklah parah.Dia cuba mendapatkan maklumat daripada seorang penyerang yang cedera tetapi Tun Umar yang sudah hilang pertimbangan terus sahaja menebaskan pedang khatib ke arah leher penyerang. Sidi Arab agak kecewa kerana gagal mengenali penyerang-penyerangnya namun sangat bersyukur kepada Tuhan dan berterima kasih kepada Tun Umar yang memperjudikan nyawanya membantu.

Selepas bersoal-jawab dengan orang ramai yang datang mengerumuni masjid, barulah Sidi Arab tersedar bahawa busurnya sudah hilang. Tidak lain tentunya kerja dua penyerang yang melarikan diri tadi. Oleh kerana tidak tahu identiti para penyerangnya, Sidi Arab menganggap busur itu tidak akan dapat dimilikinya lagi.

Dua pekan kemudian, Sidi Arab sudah bersiap untuk meninggalkan bumi Melaka. Sebelum itu dia menghadap sultan buat kali terakhir. Ketika itulah dia membuka cerita tentang keajaiban busur dan anak panahnya.

@@@@@@@@@@

“Subhanallah... berpeluh aku dengaq cerita hang! Memang sempoi malakendoi. Aku terbayang betul-betul macam berlaku kat depan mata aku ni semua benda yang hang ceghita tadi,” cetus Khairi Fatwa apabila Seman berhenti agak lama.

Nun di tembok seberang sana jalan, semakin ramai pemuda berkumpul. Begitulah suasananya, lagi menjelang lewat malam, lagi ramai yang datang melepak. Kedengaran bunyi gitar tong petikan Nan Che Arah memperdengarkan irama lagu “Alam Barzakh” bawaan kumpulan Wings. Penyumbang suaranya pula ialah Usin Pak Hassan. Penduduk kampung ini sudah lali dengan sorak bising budak-budak muda di tembok, jadi mereka buat ‘bo layan’ sahaja. Pernah Khairi bangun hendak bersahur pada bulan Ramadhan, dia masih terdengar suara Mat Sani ‘tarik’ lagu “Bujang Senang”. Bayangkanlah, pada dua pertiga malam bulan Ramadhan dihiasi dengan lagu ‘power’ sebegitu!

“Woih, awat hang dok diam pulak? Sambung lah lagi,” cetus Khairi.

“Daak... aku ingat... elok kalau kita kongsi ceghita yang aku nak bagitau ni dengan Piyan sekali. Banyak benda dia boleh tolong nanti,” balas Seman. Tangan kanannya menampar belakang leher, mensasarkan nyamuk berdengung yang sejak tadi sesekali turut melagukan “Alam Barzakh” ke telinganya.

“Aku pun ghasa macam tu jugak. Boleh pakai jugak oghang tua tu, banyak ilmu dia.”

“Eh, jom kita pergi minum kat kedia Che Pa! Kita sambung ‘story’ kat sana?” ajak Leman.

“Jom. Aku pun ada hai nak jumpak Nondi ni. Dia tiap-tiap malam lepak sana. Dia ada tanya aku haghi tu pasai maklekat. Aku dah dapat jawapan dia. Nak bagitau kat dia lah ni.”

“Hah, elok aa! Jom!”

@@@@@@@@@@

http://myalexanderwathern.blogspot.com/2011/11/1-cerita-aneh-dari-melaka.html


-----------------
http://alexanderwathern.blogspot.com/
http://myalexanderwathern.blogspot.com/


Bookmark and Share

    


  Member Information For abuzulfiqarProfil   Hantar PM kepada abuzulfiqar   Pergi ke abuzulfiqar's Website   Quote dan BalasQuote

abuzulfiqar
Warga 3 Bintang
Menyertai: 31.01.2007
Ahli No: 28489
Posting: 97
Dari: Malaysia

Perak   avatar


posticon Posting pada: 07-12-11 01:10


BAB DUA – Asal-usul Panah Sakti

Kedai Che Pa terletak di pasar pekan Pokok Asam. Letaknya lebih kurang satu kilometer dari Kampung Potong Pinang. Walaupun hanya sebuah kedai kopi kecil, tapi punya pengunjung setia sejak pagi sampailah ke tengah malam. Dindingnya hanyalah batang-batang besi berjarak lebih kurang sejengkal antara satu sama lain. Dari paras pinggang ke bawah, berdinding batu.

Seman menaiki basikal yang diubahsuainya seakan-akan basikal Chopper yang popular di akhir tahun-tahun 70-an. Mereka mengayuh perlahan-lahan sambil berbual-bual ringan. Sesekali terasa angin berhembus agak keras walaupun hari tidak menunjukkan tanda-tanda hendak hujan. Ketika mereka melintasi rumah Seman, Seman memberhentikan basikalnya secara tiba-tiba.

“Woih. Aku ghasa nak tebeghak lah pulak! Hang tunggu sat no?”

“Cheh, kurang sopan betul! pergi lah cepat!”

Sementara menunggu Seman menyelesaikan ‘projek’nya, Khairi mundar-mandir di tepi jalan. Sesekali dia berjalan sampai ke bawah pokok mempelam di rusuk kiri rumah Seman. Sudah agak lama juga dia tidak menjejakkan kaki di halaman rumah Seman. Ketika masih kecil dulu, tepi rumah Seman merupakan salah satu jalan yang selalu digunakannya pada setiap awal pagi menuju ke sekolah.

Dilemparkan pula pandangannya ke arah rumah di seberang jalan. Rumah yang agak meriah lampu-lampunya. Itulah rumah Pak Ghani, tukang masak terkenal di daerah ini. Khairi cukup suka masakan Pak Ghani dan kru-krunya. Kalau dapat tahu hidangan sesebuah kenduri kahwin itu dibuat oleh Pak Ghani, ‘gerenti’ Khairi tidak melepaskan peluang menghadirinya. Kari dagingnya, masak hitamnya, ayam masak merahnya ... Allah... lazat sehingga menjilat pangkal ketiak kata orang Papua New Guinea! Tapi Khairi tetap mematuhi nasihat Ustaz Abu agar jangan makan sampai terasa kenyang. Ketika masih terasa hendak makan lagi, berhenti. Jangan sampai berasa puas apabila makan.

“Fuhhh... lega aih!” Seman bersuara agak kuat dari arah tangga rumahnya.

Mereka bergerak kembali.

@@@@@@@@@@

Menurut Sidi Arab, kantong anak panahnya berisi dua puluh satu bilah anak panah pada satu-satu masa. Dalam dua puluh satu anak panah itu, hanya sebatang sahaja anak panah sebenar kepada busur saktinya. Maksudnya pasangan busur itu hanyalah sebatang anak panah. Jika anak panah yang sebatang itu dikenakan pada busurnya dan dimaksudkan kepada sesiapa sahaja di dunia ini, panahan itu akan kena, tidak kira di mana orang itu berada. Masalahnya, apabila anak panah yang sebatang itu dilepaskan, ia akan ghaib dan muncul di tempat asalnya.

Di manakah tempat asal busur dan anak panah itu?

Busur dan anak panah itu sebenarnya pernah digunakan oleh Arjuna. Kedua-duanya dikatakan milik seorang utusan Tuhan yang diutuskan ke benua India, jauh lebih lama daripada zaman Arjuna. Busur dan anak panah sebatang itu diberikan kepada Arjuna oleh Dewa Varuna, dewa lautan. Pada penghujung umur Arjuna, senjata itu dikembalikan ke laut agar ia tidak disalahgunakan oleh orang yang tidak bertanggungjawab.

Ketika kerajaan Islam memerintah India, seorang ulama sufi bernama Syeikh Abdul Rahman mendapat mimpi yang meminta dia pergi mendapatkan busur dan anak panah itu di tepi sebuah lautan yang hampir kering. Senjata itu hendaklah disembunyikannya di lokasi yang sesuai agar tidak ditemui oleh orang-orang jahat. Akhirnya dia mengambil keputusan meletakkannya di sebuah lembah di utara India.

Cerita tentang senjata misteri itu diturunkan secara rahsia dari satu generasi ke satu generasi Syeikh Abdul Rahman, sampailah ke telinga salah seorang keturunannya iaitu datuk kepada Sidi Arab. Datuknya berusaha keras dan berjaya menemui senjata rahsia itu. Apabila datuknya sudah tua, senjata itu dihadiahkan kepada cucunya yang terpilih lagi soleh iaitu Sidi Arab. Sidi Arab membawa senjata itu ke mana-mana. Oleh kerana rupa senjata itu tidak menarik dan cerita tentangnya pun tidak diketahui orang, Sidi Arab bebas membawanya dengan selamat.

Sudah beberapa kali Sidi Arab menggunakan panah itu pada jalan yang benar, menyebabkan sudah banyak kali juga dia terpaksa pergi ke India bagi mendapatkan kembali anak panahnya. Sekali dilepaskan anak panah sebatang itu, sekali terpaksa pergi ke lembah di India. Sekarang anak panah itu berada di India, kerana sudah dilepaskan oleh Sidi Arab ketika menyerang Cau Pandan tempoh hari.

Sidi Arab pun belayar meninggalkan Melaka, membuang dirinya. Sehinggalah ke akhir hayatnya Sidi Arab tidak tahu yang kehilangannya busurnya adalah angkara Siam.

@@@@@@@@@@

“Dah sembang dengan Bandi dah?” tanya Seman.

“Beres,” sahut Khairi, pendek.

Bandi duduk berseorangan selang dua meja dari mereka. Katanya sedang menunggu Haq Blues, seorang lagi pemuda Kampung Potong Pinang. Bandi memang ‘simple’ habis dari segi pemakaiannya. Dengan baju Pagoda putih, seluar sukan dan kasut selipar. Di Kampung Potong Pinang, dialah otai dalam goreng-menggoreng gitar. Tahap hangit, tahap hangus, tahap rentung... semua dia sapu. Atas sikit daripadanya ialah Sin Scrambler. Dia punya goreng dan lain-lain skil memang mantap. Bawah sikit daripadanya ialah Piyan Tok Uban.

“OK, sambung cerita Man,” kata Khairi sambil bibirnya mengapit batang straw lalu menghirup kopi tongkat ali ais yang dipesannya tadi. Sebelum ini Khairi memang tidak minat minum kopi tongkat ali ais. Entah bagaimana pada suatu hari Man Glamour membelanjanya minum kopi tongkat ali ais, terus dia terpikat dengan kelemakan dan kemanisan kopi tongkat ali ais. Kalau ke kedai Che Pa sahaja, kopi tongkat ali aislah pilihannya.

“Kan Cau Pandan dapat curi busur Sidi Arab tu? Sampai kat Siam, dia persembahkan lah kat Raja Bubunya. Raja Bubunya pun apa lagi... menge’test’ lah. Dia panah dua tiga orang musuh dia daghi jauh.”

“Habih tu, apa jadi?”

“Hmph, apa pun tarak! Mana nak jadi... kan anak panah dia tak budak? Orang Siam tak tau kata anak panah yang boleh pukoi daghi jauh tu ada sebatang saja.”

“Lepaih tu?”

“Lepaih tu dia peghintahkan busur panah tu dibakaq. Depa takut kalau-kalau dapat kat oghang lain. Nanti oghang lain cuba, boleh menjadi pulak, naya lah Siam.”

“Ya lah. Kalau oghang lain dapat dan tau pulak cagha nak mengaktifkan dia, habih lah.”

“Aaa.... Akob! Akob! Teh tarik satu lagi!” Leman membuat pesanan sambil tangan kanannya mengangkat tangan separas kepala.

@@@@@@@@@@

Selang tiga bulan kemudian, cerita yang disampaikan Sidi Arab di Melaka tentang hal ehwal busur dan anak panah itu tersebar sampai ke Siam. Raja Bubunya sangat menyesal kerana terlalu cepat memusnahkan busur Sidi Arab. Tapi sekurang-kurangnya dia berasa lega memandangkan tidak ada sesiapa lagi yang dapat menggunakan panah sakti itu, terutamanya terhadap dirinya sendiri. Hebohlah di seluruh selatan Siam tentang sejarah dan asal-usul panah sakti Sidi Arab itu.

Imbas kembali... pembakaran busur sakti dibuat di pekarangan istana Raja Bubunya dengan disaksikan oleh raja dan beberapa orang pembesarnya. Dua hari kemudian salah seorang pembesarnya bernama Awi Taucu tergerak hati untuk pergi melihat kesan-kesan pembakaran. Setibanya dia di situ, dia sangat terperanjat apabila mendapati busur itu langsung tidak terjejas. Keadaannya langsung tidak terusik. Ternyatalah busur sakti itu tidak lut api. Senyap-senyap Awi Taucu menyorokkan busur itu lalu membawanya keluar dari kawasan istana.

Dengan senjata sakti di tangannya, Awi Taucu mula merancang sesuatu ke atas kerajaan Siam. Dia yang sudah lama mendendami Raja Bubunya merancang untuk merampas kuasa. Dia yakin raja pasti akan menurut segala kemahuannya jika busur dan anak panah sakti itu berada di tangannya, kerana dia boleh membunuh raja pada bila-bila masa dari jarak jauh. Masalahnya sekarang... bagaimana hendak mendapatkan anak panah sakti itu di India?

Awi Taucu mengerahkan sepuluh orang pilihannya menyamar sebagai sami dan pergi ke India. Selepas melalui pelbagai cabaran yang hebat-hebat lagi ganjil-ganjil, empat bulan selepas itu mereka berjaya tiba di lembah yang dikatakan tempat anak panah sakti. Selepas sesat selama lima hari di lembah itu dan hampir-hampir kehabisan air dan makanan, bertemulah mereka dengan anak panah itu lalu bersegera pulang ke Siam.

Gembiranya hati Awi Taucu bukan kepalang. Dia mula mencongak-congak langkah yang bakal diambilnya dalam usaha untuk menduduki takhta Raja Bubunya. Dia bercadang menempatkan tenteranya di sebuah kuil di atas sebuah bukit, yang sesuai dijadikan kubu pertahanan. Kemudian dia akan mengutus surat kepada Raja Bubunya menuntut agar Raja Bubunya menyerahkan takhta kerajaan kepadanya. Jika tidak, dia akan melepaskan anak panah sakti dari jauh untuk membunuh Raja Bubunya.

Sedang Awi Taucu berangan-angan, sepasukan pengawal peribadi Raja Bubunya yang diketuai oleh Cau Santan memecah masuk ke istananya, membunuh tiga orang pengawal peribadi dan menangkap Awi Taucu. Semuanya berlaku begitu pantas sehinggakan Awi Taucu yang dalam kebingungan dapat diberkas dengan mudah. Busur dan anak panah saktinya dirampas.

Sebenarnya ada utusan dari sebuah kerajaan di India yang masuk menghadap Raja Bubunya. Para utusan itu memberitahu tentang kehadiran sepuluh orang sami dari Siam ke sana. Raja Bubunya berasa pelik kerana setahunya tidak ada sebarang rombongan penting dari Siam diutus ke India. Dia pun membuat siasatan. Dengan bantuan para utusan dari India, salah seorang perajurit yang menyamar sebagai sami ke India sebelum itu berjaya ditangkap dan dihadapkan kepada Raja Bubunya. Perajurit itu dipaksa menceritakan segala-galanya. Ganjaran emas yang sangat tinggi, lapan kali lebih tinggi daripada bayaran Awi Taucu membuatkan dia bercerita dari alif hingga ya.

Awi Taucu diseret ke hadapan Raja Bubunya. Dia tidak dapat berhelah lagi lalu dihukum bunuh dengan cara dikelar dari atas tubuh hingga ke bawah. Raja Bubunya juga hendak membunuh anak lelaki Awi Taucu iaitu Awi Cokia yang sedang bertugas sebagai panglima di perbatasan Siam-Burma. Inilah masanya untuk Raja Bubunya mencuba kesaktian panah Sidi Arab. Dia pun melepaskan anak panahnya ke arah sempadan dengan meniatkan Awi Cokia sebagai sasarannya. Matikah Awi Cokia?

Ternyata anak panah itu jatuh tidak jauh dari istana, tidak ghaib sebagaimana yang diceritakan orang. Cau Santan pun memeriksa anak panah itu. Setelah ditelitinya, ternyata anak panah itu ialah anak panah biasa yang matanya daripada besi murahan dan batangnya pula daripada kayu yang tidak kukuh. Di manakah anak panah sebenar?

Raja Siam mengutus satu rombongan yang agak besar ke India untuk mencari anak panah sakti kalau-kalau ia muncul di lembah asalnya. Hasilnya... hampa. Tidak ada sebarang anak panah di sana.

Oleh kerana busur itu tidak dapat dimusnahkan, Raja Bubunya pun menyimpannya dalam sebuah peti besi bersalut emas tulen dan diletakkan di tempat rahsia di istananya. Bersemadilah busur itu di sana dalam tempoh yang sangat lama.

@@@@@@@@@@

“Macam tu pulak? Habih tu, mana pergi anak panah yang betul?”

“Woi Khairi, hang dengaq lah temberang Seman tu! sekejap lagi hang pun jadi berong sekampung!” usik Haq Blues.

“Niiih Haq... kami nak buat filem ni. Hang tok sah dok dengaq, sekejap lagi habih modai kami hang cughi,” jawab Seman sambil tersengih.

“Piiira mabook! Kencing deghaaiihh!” balas Haq lalu tertawa. Haq ini kurus tinggi orangnya. Biasanya berambut panjang keriting. Selalu mengenakan ‘key’ berwarna merah di kepalanya.

“Anak panah yang asli... ada pada seseoghang.”

“Sapa dia?”

“Nanti dulu... tak ‘suspen’ lah habaq awai-awai! Yang penting sekaghang... busur dan anak panah tu ada dekat-dekat dengan kawasan kita ni!” ucap Seman semakin berbisik.

“Hah, betul ka? Hang buat lawak antarabenua ka ni?”

“Daaak, betul! Dan yang paling penting sekaghang... aku... nak ajak hang dengan Piyan... pergi caghi panah sakti tu,” ujar Seman bersungguh-sungguh.

“Hah?” mulut Khairi semakin ternganga. Hampir terfana dibuatnya mendengar cita-cita Seman. Lagu “Ice Ice Baby” yang memekak dari peti muzik kedai Che Pa itu sudah tidak terdengar pada telinganya lagi, kerana terlalu terkejut.

@@@@@@@@@@

http://myalexanderwathern.blogspot.com/2011/11/2-asal-usul-panah-sakti.html


-----------------
http://alexanderwathern.blogspot.com/
http://myalexanderwathern.blogspot.com/


Bookmark and Share

    


  Member Information For abuzulfiqarProfil   Hantar PM kepada abuzulfiqar   Pergi ke abuzulfiqar's Website   Quote dan BalasQuote

abuzulfiqar
Warga 3 Bintang
Menyertai: 31.01.2007
Ahli No: 28489
Posting: 97
Dari: Malaysia

Perak   avatar


posticon Posting pada: 07-12-11 01:11


BAB TIGA – Kisah Lima dan Tujuh Samurai

Hujan lebat petang semalam membuatkan air sungai Batu Hampar berhampiran kaki Bukit Larut ini naik tinggi. Air dalam begini memang sedap untuk bermandi-manda, terjun junam 90 darjah pun tangan tidak mencecah dasar sungai. Tambahan pula keruhnya sudah hilang, menjadikannya jernih kehitam-hitaman. Sejuknya tidak terkatakan lagilah. San Mak payah yang baru tiga kali terjun pun sudah ‘surrender’ buat sementara waktu. Dia duduk bertinggung memeluk kedua-dua belah kakinya di atas batu besar yang terhampar itu. Tangan dan belakangnya terketar-ketar menahan kesejukan.


Jambatan masuk ke kawasan perkelahan Batu Hampar, atau lebih dikenali sebagai Burmese Pool.


Seman buat terjun tiruk. Lurus cantik badannya masuk ke dalam air. Diikuti dengan Mi Kelantan. Lama juga Mi Kelantan ghaib di dalam air, barulah dia timbul semula di sebelah sana. Piyan juga melangkah ke lokasi terjun popular itu tetapi berdiri dengan membelakangi air. Dengan sepenuh tenaga Piyan melonjak ke belakang, membuat pusingan 180 darjah di udara sebelum berdebur masuk ke dalam air. Lipatannya kali ini kurang cantik kerana sebelum habis pusingan 180 darjah, tubuhnya sudah menyentuh air. Mungkin tenaganya sudah berkurangan kerana sudah tujuh kali dia buat ‘lipat belakang’ sebegitu.


Pemandangan dari atas jambatan. Kawasannya luas dan panjang, sampailah ke hujung sana.


Khairi masih belum terjun. Bajunya pun belum ditukar. Dia asyik memerhati sahaja gelagat para pengunjung Batu Hampar dari batu tertinggi di tepi sungai itu. Tingginya lebih kurang dua belas kaki dari gigi air. Kadang-kadang ada budak-budak yang berani buat terjunan dari batu itu, malah ada yang terjun junam. Bahaya memang bahaya. Selain tinggi, ruang terjunan agak terhad dan jauh dari kaki batu itu.


Inilah kawasan kolamnya. Dalam dan luas. Dari sinilah asalnya nama Burmese Pool.


Di sebelah Khairi ialah Hakim. Dia sedang menikmati nasi lemak ikan masin yang mereka beli di pasar pagi pekan Pokok Asam dalam perjalanan tadi. Aroma nasi lemak, sambal tumis dan ikan masin membuatkan Hakim tidak ‘tahan daulat’. Kalau dibalut pula dengan daun pisang... fuhhh! Selepas terjun sekali ke dalam air, dia terus mendapatkan nasi lemak dan menikmatinya.


Gambar kawasan 'kolam' dari atas. Di sinilah Khairi dan teman-temannya berkubang. Di sebalik rimbunan pokok di sebarang sungai ini, dapat dilihat bahagian bawah batu besar tinggi tempat Khairi duduk.


“Piyan!” jerit Seman sambil berenang ke arah Piyan Tok Uban. “sekejap lagi balik kita sembahyang Zohor kat Masjid Hanafi nak?”

“Aku ok saja. Elok jugak tu. kat situ boleh hang sambung ceghita semalam, pasai panah Sidi Arab tu,” balas Piyan.

“Ok. Aku nak bagi tau Khairi sekali.”


"Kolam' ini dicurahi oleh air terjun yang agak landai melalui di atas sebuah hamparan batu yang besar. Sebab itulah ia dikenali juga sebagai Batu Hampar. Kita boleh menggelongsor di atas batu besar itu mengikut aliran air lalu masuk terus ke dalam kolam.


Selepas puas berkubang selama lebih sejam setengah, mereka pun berbasikal pulang. Di simpang empat tasik teratai Taman Tasik Taiping, mereka berpecah dengan Mi Kelantan, Hakim dan San Mak payah yang mahu terus pulang ke kampung melalui Kampung Tupai.

Tiba di Masjid Hanafi yang menjadi markas jemaah Tabligh bagi Taiping dan sekitarnya, mereka terserempak dengan Pak Said dan anak-anaknya. Dari jauh lagi dia sudah mempamerkan senyuman. Mereka bersalaman dan berbual-bual ringkas.

Sebelum masuk ke tempat mengambil wudhuk, Khairi sempat melemparkan pandangannya ke sebelah kanan masjid. Ada taman permainan kecil dan satu lot lagi ke sana berdiri sebuah gereja berwarna putih. Amannya hidup di bumi Malaysia ini fikir Khairi. Masjid dan gereja boleh duduk bersebelahan. Memanglah, biasanya jika orang Islam yang memerintah, nasib penganut agama lain lebih terbela. Khairi terkenangkan nasib umat Islam di Burma, Xinjiang, Kashmir....... ditindas semahu-mahunya...

@@@@@@@@@@

Awal tahun-tahun 1940-an, Jepun mula menurunkan perisik dan tenteranya ke Asia Tenggara. Negara Thai terselamat daripada menjadi ganyangan Jepun setelah mereka bersetuju mematuhi beberapa syarat yang diajukan oleh tentera Jepun. Salah satu hal yang dipersetujui ialah... penyerahan busur panah Sidi Arab!

Bagaimana orang Jepun boleh tahu tentang panah Sidi Arab?

Hang Tuah, Hang Jebat dan Hang Kasturi pernah diutuskan ke Siam untuk membeli gajah bagi pihak Kesultanan Melaka. Serentak dengan kehadiran mereka, satu rombongan dari Jepun masuk menghadap Maharaja Siam. Hang Kasturi dan Hang Jebat tertawa sesama mereka melihat lagak lima samurai Jepun yang masuk menghadap. Orangnya katik-katik, memakai seakan kain kembang dan senjata mereka ialah dua bilah pedang setiap seorang. Yang paling menggelikan hati mereka ialah pedang panjang yang meleret sampai ke bumi.

Tingkah-laku Kasturi dan Jebat diperasan oleh para samurai itu. Salah seorang samurai itu tahu berbahasa Melayu. Dia mengapi-apikan rakan-rakannya dengan menambah-nambah cerita kononnya pahlawan Melayu berdua itu memperlekehkan mereka dengan dahsyatnya. Ketua samurai naik angin lalu meminta kebenaran Maharaja Siam untuk beradu dengan pahlawan-pahlawan Melayu dari Melaka.

Hang Tuah yang tahu berbahasa Siam dan Jepun cuba menjernihkan keadaan tetapi gagal. Para samurai itu betul-betul sudah ‘naik syeikh’ dan menghina Melaka dan bangsa Melayu. Hang Jebat sudah mengisar kerisnya tetapi Tuah tetap bertahan. Namun selepas ketua samurai menghina agama Islam, Hang Tuah tidak tertahan lagi. Dia bersetuju untuk bertarung.

Belum sempat apa-apa, Jebat sudah menyerbu ke arah salah seorang samurai. Kasturi terpaksa masuk campur kerana khuatir akan keselamatan Jebat. Mereka sudah dapat lawan seorang satu, tinggal tiga orang untuk Hang Tuah.

Jebat dan Kasturi bertarung bersungguh-sungguh. Sekejap sahaja kedua-dua orang lawan mereka berlumuran darah lalu menghembuskan nafas terakhir. Hang Tuah lain caranya. Dia membalas penghinaan mereka dengan cara menghadapi mereka secara main-main sahaja. Ditorehnya hidung, dipotongnya telinga, ditikamnya ibu jari kaki dan sebagainya. Selang tidak berapa lama, ketiga-tiga samurai tidak dapat bertahan lagi lalu rebah-rempah melarikan diri.

Katanya salah seorang samurai yang melarikan diri itu berpatah balik kemudiannya. Dia memohon maaf kepada Hang Tuah lalu menyatakan hasratnya untuk berguru ilmu kependekaran Melayu. Hang Tuah setuju mengambilnya sebagai murid dengan syarat dia mahu memeluk agama Islam. Samurai itu menyatakan kesanggupannya. Di kemudian hari si samurai menggabungkan ilmu beladiri Jepun dengan ilmu beladiri Melayu dan membentuk perguruan silatnya sendiri.

Beberapa puluh tahun kemudian, anak kepada salah seorang samurai itu yang bernama Jube Yanaiki bersama-sama enam orang pendekar lagi belayar dari Jepun menuju Melaka. Hajat mereka tidak lain untuk berhadapan dengan Hang Tuah dan rakan-rakannya bagi membalas dendam dan menebus maruah.

Sebelum pergi ke Melaka, mereka singgah di Siam. Kecewanya mereka kerana pihak Siam memberitahu yang Hang Tuah, Hang Jebat dan Hang Kasturi sudah lama meninggal dunia. Hang Tuah dan Hang Jebat meninggal kerana sakit tua, Hang Kasturi pula dibunuh oleh Hang Tuah sebelum itu kerana didakwa menderhaka terhadap sultan Melaka. Negeri Melaka sendiri baru jatuh ke tangan Benggali Putih di bawah pimpinan Alfonso ada Albuquerque. Hasrat mereka untuk bergeruh di Melaka dibatalkan.

Tujuh samurai Jepun menjadi tamu kehormat Maharaja Siam selama lebih kurang dua minggu. Secara kebetulan ketika berada di sana mereka terdengar orang bercerita tentang panah Sidi Arab. Cerita itu sangat menarik hati mereka. Secara diam-diam, mereka membuat penyelidikan dan siasatan dengan sepenuh hati. Ternyata mereka sangat mahir mencari dan mentafsir sebarang maklumat.

Akhirnya, mereka berazam hendak pergi mencari anak panah Sidi Arab. Mereka akan ke lembah di India. Dari sana mereka akan mencari petunjuk untuk menjejaki anak panah itu. Mengikut rancangannya, selepas berjaya mendapatkan anak panah sakti itu, mereka akan berusaha pula untuk mencuri busur sakti daripada Maharaja Siam. Mencuri busur itu bukanlah kerja yang sukar buat mereka kerana masing-masing punya ilmu ninja yang tinggi.

Mereka pun belayar ke India.

@@@@@@@@@@

Kota Ganggayu sesudah kota,

Sang Kelembai melihat dari awanan,

Di bawahnya naga bertapa,

Bagai pungguk merindukan bulan.

“Apa bendanya ni Seman?” Khairi memecahkan kesunyian malam di tangga rumah Tok Uban yang terletak bersebelahan Surau Asy-Syakirin. Kertas yang dihulurkan Leman sebentar tadi masih direnungnya dalam-dalam.

“Maih aku tengok pulak,” pinta Piyan. Buku “Hazad Diin” karya Sayyid Qutb di tangannya diletakkan betul-betul di bendul pintu.

“Ni lah dia petunjuk untuk kita caghi anak panah Sidi Arab,” tegas Seman.

Terdengar bunyi basikal dari rumah sebelah. Mereka bertiga melayangkan pandangan ke arah yang sama. Kelihatan Shah Badrul menyorong basikalnya. Dia terperasan tiga pemuda di tangga rumah Tok Uban.

“Wou, Abang Piyan! Buat apa tu?” sapanya.

‘besar lah... lepak-lepak makan angin malam,” balas Piyan. “Nak pergi mana Shah?” sambung Piyan.

“pergi Pokok Asam sat, nak caghi burger lah. Aaa... Abang Piyan ada nampak Brahim lalu budak?”

“Tak budak pun.”

“ok, takpa takpa! Jalan dulu!”

“Baik!”

Shah mengayuh ke arah rumah Brahim. Keriut basikalnya kedengaran sayup-sayup.

“Hah, Seman! Apa tunggu lagi? Sambung lah hikayat hang!” kata Khairi.

@@@@@@@@@@

Tujuh samurai diketuai Jube Yanaiki yang cekap lagi pintar itu berjaya tiba ke lembah asal panah sakti selepas tujuh bulan mereka mengembara ke serata India mencari maklumat. Mereka terlibat dengan beberapa pertarungan, tidak dapat dielakkan. Salah seorang dari mereka terbunuh dalam pertempuran dengan satu puak orang asli India. Seorang lagi samurai yang beragama Buddha jatuh cinta pula dengan seorang gadis tempatan. Dia menyatakan hasratnya untuk berkahwin dan menetap di India. Permintaanya diberkenankan oleh Jube. Tinggallah samurai berlima.

Tiba di lembah itu, mereka bermukim selama tiga bulan lagi untuk mentafsir segala maklumat yang mereka ada. Selepas sepuluh bulan di India, hasil siasatan mereka menunjukkan panah yang asal memang sudah diambil orang. Orang itu telah meletakkan pula anak panah lain sebagai ganti di lembah itu. Anak panah sakti dibawa pergi oleh orang itu. Orang itu tidak lain ialah.......

@@@@@@@@@@

“Di lembah tu... ada banyak tulisan yang terpahat pada batu-batu. Yang Jube dengan oghang-oghang dia pelik, Kenapa ada satu tulisan dalam bahasa Melayu. Tulisan tu ala-ala pantun lah pulak.”

“Yang kita baca sat tadi tu ka?” Khairi mencelah.

“Hang memang gred A punya otak Khairi,” sahut Seman. Katanya lagi, “Oghang-oghang Jepun ni yakin... kalimah-kalimah tu mesti ada kaitan dengan anak panah sakti.”

“.... dan berkait dengan oghang yang ambik anak panah yang asai tu,” Khairi mencelah lagi.

“Otak hang Khairi memang gred A ‘plus’,” sambung Piyan. Mereka sama-sama tertawa.

“Lima orang samurai yang tinggai lagi tu, depa ‘round’ satu Alam Melayu caghi anak panah sakti, dengan berbekaikan rangkaian kata-kata tadi tu lah. Lima taon pusing, hapah pun tarak. Satu samurai lagi k.o. kena taun di Jawa, tinggai lagi empat. Jube Yanaiki ‘and the gang’ pun angkat bungkoih balik Jepun,” cerita Seman.

“Sia-sia lah perjalanan depa,” tingkah Piyan.

“budak agaknya! Paling-paling kughang pun depa tetap bawa balik rangkaian kata tu,” balas Khairi.

“Aku kena bagi ‘A darab’ lah kat hang Khairi. Tajam betul otak hang,” kata Seman sambil menepuk paha Khairi. “Hang pa nak tau budak sapa yang ambik anak panah sakti tu?”

“Ghasa-ghasanya aku tau,” sahut Piyan.

“Sapa dia?” tanya Khairi.

@@@@@@@@@@

http://myalexanderwathern.blogspot.com/2011/11/3-kisah-lima-dan-tujuh-samurai_19.html


-----------------
http://alexanderwathern.blogspot.com/
http://myalexanderwathern.blogspot.com/


Bookmark and Share

    


  Member Information For abuzulfiqarProfil   Hantar PM kepada abuzulfiqar   Pergi ke abuzulfiqar's Website   Quote dan BalasQuote

abuzulfiqar
Warga 3 Bintang
Menyertai: 31.01.2007
Ahli No: 28489
Posting: 97
Dari: Malaysia

Perak   avatar


posticon Posting pada: 07-12-11 01:12


BAB EMPAT – Ibrahim Yaakob dan Pendita Megat

Khairi Fatwa tersenyum melihat kuah laksa dalam pinggan Piyan. Hampir hitam coklat warnanya dek penangan otak udang ataupun disebut sebahagian orang sebagai petis, sampaikan warna hijau dan merah cabai melaka pun tenggelam. Suka betul Piyan ni dengan otak udang. Nasib baiklah otaknya pun tidak ‘otak udang’.

Khairi ingat lagi, dulu kalau diajak makan laksa, si Piyan ni tak mahu mengikut pun, memang tak minat langsung. Suatu hari, Seman membelanja mereka makan laksa di warung Pak Mat yang terletak di jalan masuk Taman Assamara. Piyan pun cuba-cuba makan sekali. Tengah-tengah makan, dilihatnya orang lain pakat masukkan sesudu dua cecair pekat kehitaman dalam botol di meja masing-masing. Pada hari itulah buat pertama kalinya dia mengenal otak udang. Piyan memasukkan sesudu otak udang ke dalam kuah laksanya. Sedap. Ditambahnya lagi. Lagi sedap. Ditambahnya lagi. Sampailah ke hari ini Piyan memang hantu laksa tapi dengan satu syarat, mesti ada otak udangnya.

“Tambah satu lagi Haq,” pesan Piyan. Pak Lat Laksa ni bapa kepada Haq Blues. Setiap petang Haq menolong bapanya berniaga. Maju juga laksa Pak Lat ni.

“Aku pun sama Haq,” kata Seman pula.

Sedang mereka makan, melintas Hira. Baru pulang dari sekolah. Lewat pulangnya hari itu, sudah hampir pukul enam petang. Biasanya ada aktiviti sukan.

“Hira, makan laksa Hira,” tegur Khairi. Hira tersenyum sambil melambai tangan tanda menolak. Dia terus melewati mereka lalu masuk ke simpang menghala ke rumahnya. Rumahnya terletak di sekitar tempat Pak Lat berniaga itu juga.

“Fuiyoo, beghani hang tegoq awek no!” kata Seman kehairanan. “Aku dengan Piyan sekali pun tak peghenah cakap dengan Hira tu.”

“Alah, kan dia sekampung dengan kita? Kita tegoq setakat bertegoq sapa saja, apalah salahnya. Kita cakap satu ayat, dia balaih satu ayat, cukup lah. Bukan kita nak mengorat nak menyenyeh nak melawak dengan dia. Kalau nak bersembang berpanjang-panjang memang tak boleh lah. Kita bukan ada apa-apa hubungan dengan dia,” ujar Khairi.

“Possible, possible,” jawab Seman terangguk-angguk. “Satu ayat balaih satu ayat... ok juga tu kan? Kalau dah berbalaih tiga empat ayat...”

“Tu melampau dah tu! Lain lah kalau ada urusan penting. Saja-saja nak menyembang, nanti setan masuk daun woo,” balas Khairi.

“betul, betul dan betul,” sampuk Piyan.

“Eeleh... hang ya lah, penakut dengan perempuan. Nampak perempuan pun laghi,” kritik Seman. Piyan tertawa sahaja menerima lekehan Leman.

Selesai makan, mereka berbasikal ke pinggir Taman Sri Pinang. Taman Sri Pinang ini sudah bertahun terbengkalai walaupun rumah-rumahnya kelihatan hampir siap. Di pinggir Taman Sri Pinang ada tempat yang sesuai untuk melepak pada waktu petang. Dari situ boleh melihat dengan jelas ke arah jalan raya Taiping-Air Kuning. Kadang-kadang pemuda Kampung Potong Pinang datang bermain sepak raga bulat di situ. Ada juga yang membawa gitar tong.

Pada petang itu hanya ada Khairi, Piyan dan Seman.

@@@@@@@@@@

Ulang tayang...

Awal tahun-tahun 1940-an, Jepun mula menurunkan perisik dan tenteranya ke Asia Tenggara. Negara Thai terselamat daripada menjadi ganyangan Jepun setelah mereka bersetuju mematuhi beberapa syarat yang diajukan oleh tentera Jepun. Salah satu hal yang dipersetujui ialah... penyerahan busur panah Sidi Arab!

Bagaimana orang Jepun boleh tahu tentang panah Sidi Arab? Tentunya daripada maklumat yang dibawa pulang oleh Jube Yanaiki beberapa abad sebelum itu. Dalam usaha untuk menakluki Asia Tenggara, semua maklumat sejarah Asia Tenggar dikaji oleh perisikan Jepun. Dari situ mereka terjumpa maklumat lama tentang panah Sidi Arab. Pemerintah tentera Jepun sangat berminat untuk mendapatkan panah sakti itu. Pastinya ada manfaat besar untuk ketenteraan. Busur itu pun dibawa ke Tanah Melayu dan ditempatkan di sebuah kem sebelum dipindahkan ke Jepun.

Sebelum dan ketika kedatangan tentera Jepun ke Tanah Melayu, sebahagian orang Melayu menyokong dan bekerjasama dengan mereka. Hal ini kerana orang Melayu sudah muak dijajah beratus tahun oleh kuasa-kuasa Barat iaitu Portugis, Belanda dan British. Orang Melayu mahu mencuba nasib dengan kuasa dari Timur pula. Mana tahu, untung-untung nasib mereka lebih baik daripada sebelumnya.

Salah satu organisasi yang gigih membantu tentera Jepun ialah Kesatuan Melayu Muda (KMM) di bawah pimpinan Ibrahim Haji Yaakob. Pada peringkat awal penguasaan tentera Jepun ke atas Tanah Melayu, Ibrahim Yaakob bebas keluar masuk kem tentera Jepun. Kemudiannya apabila Jepun mula bersikap zalim, KMM dan Ibrahim Yaakob mula mengkritik tentera Jepun. Akhirnya dia dan tokoh-tokoh lain ditangkap dan dipenjarakan.

Pada satu kesempatan ketika Ibrahim masih bebas keluar masuk kem tentera Jepun, dia pernah melihat busur panah sakti itu beberapa kali. Dia yang memang mahir akan sejarah Nusantara dengan segera dapat mengecam busur itu sebagai busur Sidi Arab. Dia boleh membayangkan bagaimana bahayanya senjata sakti itu jika terlepas ke tangan orang yang tidak beriman.

Atas dasar itu, Ibrahim Haji Yaakob mencari seorang pendekar Melayu yang dipercayainya dan mengamanahkan kepada pendekar itu untuk mendapatkan busur sakti. Pendekar yang dikenali sebagai Pendita Megat berjaya menyelinap masuk ke dalam kem dan mencuri busur sakti Sidi Arab itu. Malangnya busur itu gagal diserahkan kepada Ibrahim Haji Yaakob kerana Ibrahim baru ditangkap oleh tentera Jepun.

Pendita Megat terpaksa menyorokkan busur itu di satu tempat rahsia. Petunjuk untuk mendapatkan busur itu diwariskannya dengan satu cara yang tidak terfikirkan oleh orang lain, iaitu melalui salah satu bunga silatnya.

@@@@@@@@@@

“Memang canggih lah cagha Pendita Megat simpan petunjuk tentang busur tu,” ujar Piyan sambil mengurut dagunya yang berjanggut nipis. “Tapi... kat mana kita nak caghi bunga silat tu? Silat apa...?”

“Haaaa...... Piyan, hang ada pergi belajaq silat dengan Abang Chik kan?” tanya Seman.

“Ada lah sat haghi tu. Tak habih pun.”

“Yang hang pergi belajaq sekali dengan Long ka?” tanya Khairi.

“Hm,” Piyan mengiayakan.

“Kalau hang nak tau, Abang Chik tu cucu kepada Pendita Megat. Dan Abang Chik tu lah pewaris silat Tok Megat tu,” serlah Seman.

“Oih, betul lah...! Hang sebut ‘Tok Megat’ tu baghu aku peghasan. Memang dia dok habaq gughu dia tu tok dia senighi, nama dia Tok Megat,” balas Piyan. Antara kisah yang masih segar dalam ingatan Piyan ialah cerita Abang Chik tentang kekuatan tangan Tok Megat. Jika didepangkan tangannya ke tepi, orang dewasa boleh bergayut pada tangannya tanpa tangannya melentur sedikit pun. Entah betul entah tidak.

“Dalam banyak-banyak bunga yang Abang Chik ajaq, ada budak yang ghasa-ghasa berkait dengan busur panah Sidi Arab?” tanya Khairi. Matanya bersinat-sinar galak kerana teruja.

“Aduh, ni yang aku pening ni! Macam mana aku nak ‘detect’ bunga yang mana satu?” keluah Piyan seraya mengurut rambut panjangnya dengan kedua belah tangannya ke arah belakang.

Mereka semua terdiam buat seketika. Masing-masing melayan perasaan sendiri. Sunyi sepi. Bak kata Nan Che Arah, semut terkentut pun boleh terdengar.

“Piyan, dalam silat Abang Chik tu ada berapa jenih bunga sembah?” cetus Khairi.

“Ada tiga.”

“Hang ingat budak nama-nama bunga tu?”

“Ingat. Sembah Puteri Gantih, Sembah Rimau Sumatera, Sembah Merak Bersanding.”

“Cuba hang tunjuk kat kami tiga-tiga bunga.”

Piyan turun tanpa berkasut ke halaman rumahnya yang berpasir. Halaman depan rumahnya antara yang terluas di kampung itu. Dia pun membacakan Al-Fatihah lalu terus menggayakan bunga-bunga sembahnya. Gaya Rimau Sumatera lasak bukan main. Berhambur debu dan pasir menjadi alas gulingan Piyan. Tari Puteri Gantih pula lemah lembut dan penuh muslihat. Sementara Merak Bersanding cantik menawan lagaknya.

Piyan duduk kembali di sebelah Khairi dan Seman. Mereka terdiam semula. Semut berdehem pun boleh didengar. Mereka cuba mencari perkaitan antara nama-nama tari silat itu dengan kisah panah sakti Sidi Arab, begitu juga dengan gaya-gayanya.

“Dah dekat pukoi sebelaih malam dah ni. Apa kata kita pergi sembahyang sunat kat surau... kita doa minta Allah bagi petunjuk?” suara Khairi memecah kesunyian.

“Aku ‘on’ saja,” balas Seman.

“Kalau macam tu, jom!” sambung Piyan. Mereka bertiga pun bangun dan berjalan masuk ke surau melalui pintu kecil berhadapan dengan dewan orang ramai.

12 minit kemudian mereka berkumpul kembali di rumah Piyan, tapi kali ini duduk sebaris di pangkin bawah pokok kelapa. Pangkin itu sekadar sekeping papan besar yang dilapik bata. Agak bernyamuk tetapi budak-budak bertiga itu sudah biasa. Nyamuk-nyamuk pun sudah kenal mereka.

“Awat hang senyum soghang-soghang Khairi?” sapa Seman, pelik melihat gelagat temannya.

“Sembah Merak Bersanding!” tegas Khairi.

“Apa dia?”

“Sembah Merak Bersandinglah yang mengandungi petunjuk kepada panah Sidi Ali.”

“Sidi Arab lah!”

“Eh, Sidi Arab! Mana pulak mai Sidi Ali!”

“Macam mana hang tau?” tanya Piyan.

“Burung merak kan cantik? Ia bermaksud sesuatu yang bernilai tinggi. ‘Time’ bughung merak kembangkan ekornya, kan nampak macam busur panah, macam huruf ‘D’? Lepaih tu, perkataan ‘bersanding’ membawak maksud dua benda. Mana boleh dikata bersanding kalau soghang-soghang, mesti lah kena dua oghang. Yang tu pulak maksudnya ada dua benda lah, iaitu busur dan anak panah,” terang Khairi satu-persatu.

“Subhanallah... ligat betul otak hang. Aku tak terpikiaq langsung,” balas Seman sambil tangan kanannya menggaru-garu kepala. Tangan kirinya menggaru-garu bahagian punggung.

“Ok Piyan, cepat! Hang ulang tayang ulang goyang bunga sembah Merak Bersanding tadi,” perintah Khairi. Piyan pun dengan pantasnya terus bersilat. Pecah peluh lagi nampaknya Piyan.

“Sekali lagi Piyan. Kali ni untuk satu-satu geghak, hang beghenti,” arah Khairi lagi.

“Dah tiga kali aku buat persembahan khas untuk hampa ni. Masuk kali ke empat... hampa kena bayaq dua puluh ghinggit soghang. macam mana? Setuju?” usik Piyan.

“Seettt!” kata Khairi dan Seman serentak. Kemudian mereka sama-sama tertawa.

@@@@@@@@@@

http://myalexanderwathern.blogspot.com/2011/11/4-ibrahim-yaakob-dan-pendita-megat.html


-----------------
http://alexanderwathern.blogspot.com/
http://myalexanderwathern.blogspot.com/


Bookmark and Share

    


  Member Information For abuzulfiqarProfil   Hantar PM kepada abuzulfiqar   Pergi ke abuzulfiqar's Website   Quote dan BalasQuote

abuzulfiqar
Warga 3 Bintang
Menyertai: 31.01.2007
Ahli No: 28489
Posting: 97
Dari: Malaysia

Perak   avatar


posticon Posting pada: 07-12-11 01:13


BAB LIMA – Mencari Busur Panah Sakti

Jam menunjukkan hampir pukul lapan. Kabus tebal yang menyelimuti Bukit Larut sampai ke Taman Tasik Taiping sudah menghilang. Jernih mata melihat pemandangan pagi bersulam cahaya mentari berlapik kehijaun alam. Air di tasik pun begitu tenang tanpa riak-riak buaian angin, seolah-olah masih nyenyak tidur. Hanya sesekali tercipta buak air kecil di permukaan tasik apabila ikan-ikan mencium ruang udara di atasnya.

Di padang rumput kelihatan sekumpulan lelaki dan wanita bangsa Cina mempraktikkan tai chi. Di gelanggang simen pula dua orang remaja kejar mengejar bermain kasut roda. Di tepi-tepi jalan raya ramai orang tidak kira tua muda ber’jogging’. Macam-macam ada.

Pagi itu mereka ada misi. Seakan-akan misi Indiana Jones, Alan Quatermain ataupun hero National Treasure, mungkin. Sudah agak lama mereka menunggu hari cerah dan kabus beredar. Sejak pukul tujuh pagi lagi Khairi Fatwa, Piyan dan Seman terpacak di tepi tasik teratai. Terasa lambat benar masa berlalu. Al-Ma’thurat Khairi sudah habis dibaca. Aurad ruqyah Piyan sudah selesai. Manzil si Seman pun sudah lama tamat. Mereka bersedia untuk bergerak sekarang.


Tasik Teratai di Taman Tasik Taiping.


Terbayang di fikiran Seman peristiwa malam semalam. Khairi menunjukkan kebolehannya mentafsir tari bunga silat Merak Bersanding.......

“Kenapa tari awal Sembah Merak Bersanding ni macam kuntau Cina? Macam kung fu ...? Ni bukan gaya silat ni...,” Khairi bercakap sendirian, lambat-lambat. Seman hanya memerhati.

“Boleh jadi ada kaitan dengan Cina,” sambungnya.

“Gerak seterusnya bertukar-tukar antara kelek kiri kelek kanan... seolah-olah ada dua pihak... dua orang sedang berbalas-balas pukulan...”

“Cina... dua orang... bertentang....... pergaduhan kongsi gelap Cina! Ghee Hin dan Hai San! Maksudnya di Perak, di Larut.”

“Lepaih tu gaya silat Melayu... sesuatu yang luas, rendah, beralun....... tasik. Hmmm...”

“Kemudian gaya kembang ke atas... bunga... ya, bunga... bunga teratai. Tasik teratai! Tasik teratai di Taman Tasik Taiping, salah satu lokasi Perang Larut yang melibatkan puak Ghee Hin dan Hai San.”

“Wajah diangkat... tangan melepasi kepala... pandang atas bawah berulang kali... gaya gemawan....... maksudnya berdiri di tasik teratai, menghadap sesuatu yang tinggi.. Bukit Larut! Berdiri di tasik teratai menghadap ke Bukit Larut!”

“Kelek ke kiri... jemari mengipas... maksudnya berjalan... maksudnya melangkah ke kiri...”

“Sesuatu yang ditutup rapat... terkunci... ke sebelah kiri dari tasik teratai...”

“Apa yang tertutup rapat, terkunci, dan terletak di sebelah kiri tasik teratai? Penjara... ya, penjara Taiping!”

“Kelek kanan... berjalan laju... maksudnya berjalan agak jauh mungkin...”

“Tari tangan di kawasan kepala... ke depan... maksudnya kena fokus, kena lihat, kena tumpu...”

Selepas itu gaya-gaya seterusnya gagal ditangkap oleh minda Khairi. Bingung dia dibuatnya. Jadi keputusannya, esok pagi mereka akan ke tasik teratai di Taman Tasik Taiping......

Itulah yang berlaku setakat malam tadi. Dan pada pagi ini ketiga-tiga orang pemuda sudah berada di tepi tasik teratai.

Khairi, Piyan dan Seman berdiri sebaris menghadap ke arah Bukit Larut. Teruja rasanya mereka hendak berhadapan dengan pengalaman yang bakal ditempuhi hari itu. Apalah agaknya yang menanti mereka?

Mereka bergerak bersama-sama ke kiri dari tasik teratai, iaitu menghala ke penjara Taiping. Padang rumput di kanan dan kiri mereka dulunya merupakan padang golf tapi kini tidak lagi. Padang golf yang lebih selesa di buka di Kampung Bukit Jana. Di Taman Tasik Taiping tidak dibenarkan lagi untuk sukan golf.


Satu sudut di Taman Tasik Taiping.


Mereka tiba di simpang empat penjara. Dari situ mereka mengambil simpang ke kanan, bersesuaian dengan maksud gerak tari silat Merak Bersanding dalam silat Pendita Megat. Sambil berjalan, mata masing-masing liar memandang ke sana ke mari, kalau-kalau ternampak sesuatu yang istimewa.

Beberapa lama mereka berjalan, ternampaklah sesuatu yang putih besar nun di kejauhan, di kaki Bukit Larut. Ia memang akan menarik mata sesiapa sahaja untuk melihatnya.

“Tu dia!” kata mereka hampir serentak.

@@@@@@@@@@

Selepas meninggalkan Melaka, Sidi Arab sebenarnya menuju ke lembah asal panah sakti. Walaupun dia tidak tahu pihak mana yang mencuri busurnya, dia mesti mendapatkan anak panah di lembah itu terlebih dahulu. Sangat mudarat sekiranya busur dan anak panah itu berada dalam tangan orang-orang yang tidak sepatutnya. Dia yakin, kisah kembalinya anak panah itu ke lembah asalnya selepas ia dilepaskan, pasti akan tersebar juga.

Sidi Arab berasa gembira melihat anak panah itu masih ada. Dengan segera dia menukarkannya dengan sebatang anak panah biasa. Anak panah palsu itulah yang dibawa pulang oleh orang-orang Siam kepada Raja Bubunya. Sebab itulah panahan Raja Bubunya tidak mendatangkan kesan.

Di sekeliling lembah itu terdapat beberapa tulisan purba yang dipahat pada batu.Sebelum pergi, Sidi Arab meninggalkan petunjuk kepada anak panah itu berupa pahatan rangkaian kata dalam bahasa Melayu di salah satu batu tersebut. Harapannya, suatu hari nanti jika diperlukan, orang yang baik-baik akan dapat mencarinya. Pahatannya dalam tulisan jawi lama itu berbunyi :

Kota Ganggayu sesudah kota,

Sang Kelembai melihat dari awanan,

Di bawahnya naga bertapa,

Bagai pungguk merindukan bulan.

Sidi Arab pun membawa anak panah itu bersama-samanya lalu disembunyikan di suatu tempat di Nusantara. Di mana ya? .......

Kita berbalik kepada Khairi, Piyan dan Seman yang sedang berusaha mencari busur panah sakti.

@@@@@@@@@@

“Subhanallah... cantik betul ayaq teghejun ni!” jerit Seman. Suaranya hampir-hampir tenggelam dalam bunyi deruan air terjun di kaki Bukit Larut itu. Gumpalan-gumpalan air berbuih putih galak menghempaskan diri ke baru-batu besar dan kecil. Percikannya berhamburan ke udara dan bertempias ke serata arah.


Ketika air bukit banyak, dari jauh air terjun di belakang MRSM di kaki Bukit Larut ini kelihatan berkemutih seakan-akan salju lembut. Gambar ini diambil ketika air bukit berkurangan.


“Aaaa aaaaa aaaa!” Piyan melaung ala-ala Tarzan. Khairi tersengih melihat gelagat teman baiknya itu.

“Woi Piyan! Hang bang ka apa? Waktu Lohoq lambat lagi nak masuk!” usik Seman dari jauh.

“Apa diaaa? Tak dengaq! Lain kali cakap tu pakai lah ‘microphone’ ka... ‘saxophone’ ka! Baghu lah ‘clear’!” Piyan membalas usikan Seman. Padahal memang dia dapat mendengar dengan jelas kata-kata Seman tadi.

Khairi melontarkan pandangannya ke arah Taman Tasik Taiping di bawah sana. Oleh kerana air terjun besar ini terletak agak tinggi, jelas kelihatan sebahagian kawasan Taman Tasik Taiping. Dilihatnya dua ekor helang berlegar-legar di udara. Salah seekornya menjunam laju ke bumi... hilang di sebalik pokok-pokok besar... muncul semula di udara... dengan tangan kosong.

“Seman! Khairi! Jom kita sembang kat sana! kat sini bising lah!” ajak Piyan sambil bergerak ke satu arah. Mereka berdua bergerak mengikutnya.

Piyan mengambil posisi duduk di atas sebatang pohon tumbang. Seman mencangkung di atas batang kayu itu manakala Khairi berdiri sambil tangan kanannya bertongkatkan sebatang pohon besar. Bunyi reriang rimba kedengaran di sekitar mereka tetapi tidaklah sebising bunyi air terjun tadi. Tanah hutan itu masih lembab dan agak licin.

“Patut lah kan... bunga silat tu bertali arus ke bawah, dan gemalaiii saja tughun dia. Ghupanya nak ceghita pasai ayaq teghejun,” Seman membuka bicara. Dia berganjak ke kanan sedikit apabila terlihat seekor gonggok yang luar biasa besarnya, sepanjang hampir dua kaki menyusur di tepi batang kayu tempat mereka duduk. Gonggok jenis ini memang sesekali ditemui para pengunjung Bukit Larut. Di kawasan ini juga ada satu spesis semut besar, sebesar dan sepanjang ibu jari orang dewasa. Kodoknya pun ada yang besar-besar. Silap-silap terserempak, lari orang dibuatnya kerana terkejut. Bayangkan, kodok setinggi betis orang dewasa tiba-tiba melompat di depan kita, terlompat kita dibuatnya. Kalau sedang buang air tiba-tiba kodok jenis ini melompat masuk ke dalam tandas, terlompat ke silinglah kita.

“Baik, seterusnya ke mana kita?” tanya Piyan. Dia pun menggayakan sambungan bunga Sembah Merak Bersanding.

“Hmmm... gaya tu seolah-olah menyusur ke atas. Kita kena berjalan menyusur sungai ni ka? Jenoh lah! Ataupun...” Khairi mendongak memandang pohon-pohon besar rendang. “Ataupun kita kena memanjat kah?”

“Pendita Megat boh kat ataih pokok ka?” agak Seman.

“Boleh jadi,” tingkah Khairi. Bola matanya liar mencari sesuatu yang istimewa.

“Kalau pokok tu dah ditebang oghang?” kata Seman lagi.

“Isy, budak agaknya! Sebab kawasan ni memang macam ni lah daghi dulu lagi,” nafi Piyan.

“Dalam banyak-banyak pokok, pokok besaq sebatang tu saja yang lain macam sikit. Dahan-dahan dia meghentang sungai,” kata Khairi. “Aku nak ‘try’ panjat tengok.”

“Woih, hang beghani ka nak panjat? Tinggi ni. Kalau Hakim tu aku yakin lah, pokok petai pun dia ghugaih semacam saja,” kata Piyan.

Khairi menghampiri pokok besar. Dia melihat-lihat sekitar pangkal pokok. Kemudian dengan tangkas dia berpegang dengan lurah-lurah pada batang pokok lalu mula merangkak ke atas. Dia mengambil masa tidak sampai dua minit untuk berada di dahan di tengah-tengah sungai. Dia memerhati sekeliling, agak lama. Lebih kurang lima minit di atas pokok itu, nampaknya Khairi mula mengalah.

“macam mana Khairi?” tanya Seman. Khairi memutar-mutarkan tangannya tanda tidak ada apa-apa. Seman melepaskan nafas berbau kehampaan.

“Ok. Aku nak tughun ni!” jerit Khairi. Dia memusingkan badannya ke belakang, mencari arah turun. Sempat dia mengerling air sungai di bawahnya. Tiba-tiba dia berhenti. Diperhatikannya betul-betul ke bawah.

“Awat oi?” pekik Piyan.

“Awaatt awatt! Ambik senapang pergi kawat, tak budak seluaq pakai cawat,” Seman pekena Piyan. Piyan tidak menjawab kerana memberi tumpuan kepada Khairi.

Tiba-tiba Khairi terjun ke dalam sungai. Melayang jatuhnya ke arah satu kawasan yang berlubuk lagi hitam airnya, menunjukkan dalamnya air di situ. Bersembur air dan Khairi hilang dari pandangan.

“Ya Allah, Khairi!” pekik Piyan. Dia dan Seman meluru ke arah lubuk.

“Pasai pa dia teghejun? Dia jatuh ka?”

“budak. Aku nampak dia memang sengaja teghejun! Bukan dia pening ka, pitam ka.”

“Dia teghasuk agaknya?”

“Aku ghasa budak.”

“Khairi!”

“Khairiii!”

Dua puluh saat kemudian... Khairi muncul di permukaan air. Tercungap-cungap dia. Dia berenang ke tepi dan di tangannya ada... sebatang busur panah.

@@@@@@@@@@

http://myalexanderwathern.blogspot.com/2011/11/5-mencari-anak-panah-sakti.html


-----------------
http://alexanderwathern.blogspot.com/
http://myalexanderwathern.blogspot.com/


Bookmark and Share

    


  Member Information For abuzulfiqarProfil   Hantar PM kepada abuzulfiqar   Pergi ke abuzulfiqar's Website   Quote dan BalasQuote

abuzulfiqar
Warga 3 Bintang
Menyertai: 31.01.2007
Ahli No: 28489
Posting: 97
Dari: Malaysia

Perak   avatar


posticon Posting pada: 07-12-11 01:17


BAB ENAM – Menemui Ustaz Abu

“Bila masanya untuk kita berkorban dan di mana? Jawapannya ialah sekarang... iaitu di dunia ini. Mengapa? Kerana nikmat berkorban dan berjuang pada jalan Allah itu... hanya boleh dinikmati di dunia ini... ketika kita masih hidup ini. Di syurga umumnya ada nikmat berpasang-pasangan, istana, taman-taman, kerehatan, kelazatan makan minum, buah-buahan, sungai-sungai, perhiasan dan sebagainya... yang umumnya terdapat juga di dunia ini... walaupun sangat jauhlah berbeza antara nikmat akhirat dengan nikmat dunia itu. Tapi kita mesti ingat... bahawa kenikmatan berkorban, berjuang dan bersusah-payah pada jalan Allah hanya ada di dunia ini, bukan di syurga. Oleh itu... janganlah kita kesampingkan kenikmatan yang menjadi makanan harian para rasul dan nabi ini,” syarah Ustaz Abu kepada para pendengar yang tidak sampai dua puluh orang itu. Memanglah, jika hujan turun sebelum Maghrib, alamatnya berkuranglah orang yang datang mendengar kuliah. Kalau cuaca baik, boleh dapat lebih daripada empat puluh orang.

Kampung Sungai Nyior ini kecil sahaja, penduduknya tidak ramai.Hal itu menjadi salah satu penyebab kurangnya kehadiran pendengar kuliah. Suraunya pun agak dhaif. Surau papan dua tingkat itu terletak di tepi sungai, bersebelahan dengan sebuah sekolah menengah. Pada malam-malam yang ada kuliah Maghrib, meriah juga suasananya. Ustaz Rejab Ali mengajarkan kitab Hidayatus Subyan dua minggu sekali. Ustaz Abu pula mengajarkan kitab Ihya’ ‘Ulumiddin, juga dua minggu sekali.

“Apakah yang sepatutnya kita korbankan pada jalan Allah? Antaranya ialah masa, tenaga, wang, harta-benda, kerehatan, keselesaan dan sebagainya, bahkan nyawa sekalipun jika kena pada tempatnya. Dunia ialah tempat untuk berkorban dan berjuang, segala kenikmatan dunia hanyalah sebagai penawar atau pelega sementara kepada kelesuan berjuang. Pengecapan nikmat yang sebenar ialah di syurga nanti. Berehatlah, makanlah, berhiburlah sepuas-puasnya di sana nanti. Bagi orang-orang yang yakin, mereka akan bersabar untuk mengecap kerehatan selama-lamanya di sana,” kata Ustaz Abu lagi.

Sesekali Seman mengangguk-anggukkan kepalanya tanda mengiyakan kata-kata Ustaz Abu. Khairi tidak banyak bergerak, dia lebih senang menatap wajah Ustaz Abu, berkat katanya. Piyan pula lebih banyak tunduk. Sesekali dia memicit-micit paha dan kakinya kerana kelenguhan.

Ustaz Abu menutup kuliahnya pada malam itu dengan mendendangkan tiga rangkap lagu tentang berkorban pada jalan Allah.


Berjuang penuh ranjau duri.

Engkau kan tersisih dicaci.

Seringkali engkau bersedih hati,

Namun itu baja penguat diri.


Perjuangkan sunnah bukannya mudah.

Engkau kan disanggah difitnah.

Akhirnya engkau berseorang diri.

Namun berjuanganmu jangan mati.


Walaupun engkau hilang segalanya,

Perjuangan tetap teruskan.

Membela Allah dan Rasul-Nya.

Sehingga kauhilang nyawa.


Sehingga kauhilang nyawa.


Walaupun surau itu jauhnya lebih kurang tiga puluh tiga kilometer dari Kampung Potong Pinang, ketiga-tiga orang sahabat baik itu tidak pernah melepaskan peluang mengikuti pengajian Syarah Ihya’ ‘Ulumiddin oleh Ustaz Abu. Kupasannya mudah difaham, dapat ditangkap baik oleh orang yang ‘atas-atas’ mahupun yang ‘bawah-bawah’. Pengajarannya banyak membentuk hati, bersesuaian dengan ajaran-ajaran Hujjatul Islam Imam Al-Ghazali. Pengetahuannya tentang dakwah pun luas. Sebab itulah ketiga-tiga orang sahabat itu tidak ada masalah untuk mengikuti usrah atau pengajian Ustaz Abu, sekalipun mereka bertiga bekerja untuk jemaah Islam yang berbeza. Khairi dengan hizbul Islamnya, Piyan dengan Ikhwannya dan Seman dengan jemaah Tablighnya. Namun mereka dapat bersama-sama di bawah bimbingan Ustaz Abu.

Ustaz Abu ini asalnya orang Kampung Potong Pinang juga. Dia berhijrah ke mukim Trong kerana ada masalah keluarga. Biasalah, para nabi terdahulu pun biasanya mendapat tentangan paling awal dan paling hebat daripada sebahagian kaum keluarga dan jiran-jiran sendiri. Pelbagai fitnah dibuat sedangkan Ustaz Abu tidak berpeluang membela diri. Kebanyakan orang yang mendapat maklumat daripada sebelah pihak, terus ambil tindakan, buat keputusan dan meletakkan hukuman ke atasnya tanpa bertanya kepadanya terlebih dahulu. Habis rosak sebahagian besar usaha-usaha dakwah yang dilakukannya. Hendak dibina semula, mungkin berbelas tahun baru dapat semula apa yang sudah terlepas. Itu pun kalau dapat.

Akhirnya Ustaz Abu mengambil keputusan untuk berhijrah buat sementara waktu. InsyaAllah suatu hari nanti dia akan pulang, tapi kali ini dengan kemuliaan sebagaimana pulangnya Nabi Muhammad ke kota Makkah dari Madinah. Sebenarnya tiga rangkap lagu dendangan Ustaz Abu tadi banyak yang berkaitan dengan dirinya sendiri.

Khairi masih memerhati Ustaz Abu. Ustaz Abu ini sedikit gempal dan agak rendah orangnya. Janggutnya tebal panjang. Ke mana-mana pun membiasakan berserban. Dari jauh nampak serius, pabila dekat mesra orangnya. Berusia sekitar empat puluh lapan tahun. Walaupun ada kereta dan motosikal, sesekali Ustaz Abu suka menaiki bas awam untuk bergerak ke mana-mana. Perlakuan pelik ini dijawab oleh Ustaz Abu sebagai salah satu usahanya untuk merasai sebahagian dunia orang-orang yang kurang berkemampuan.

Rumah Ustaz Abu terletak di Kampung Sungai Baru, bersebelahan dengan Kampung Sungai Nyior, berseberangan jalan dengan Klinik Sungai Kerang. Rumah papan berwarna putih itulah rumahnya. Rumahnya tidaklah mewah tetapi selalu menerima kunjungan orang yang baik-baik. Di situ kelebihannya pula.

Selepas solat fardhu Isya’ berjemaah, ada sedikit jamuan. Juadah pada malam ini ialah roti jala dengan tiga pilihan kuah. Ada kuah durian, kari ayam dan madu lebah. Kopi dan teh bujang sebagai minuman. Salah seorang jemaah melambakkan pula tiga talam buah rambutan. Mewah mereka pada malam itu.

@@@@@@@@@@

Sudah lebih satu jam sejak pulang dari Surau Sungai Nyior tadi mereka berempat duduk minum-minum di Restoran Sharif di pekan Sungai Kerang. Ustaz Abu lebih banyak mendengar dan sesekali bertanyakan soalan-soalan yang berkaitan. Khairi, Piyan dan Seman silih berganti menceritakan perihal panah sakti Sidi Arab dan pengalaman yang mereka lalui.

“Dari atas pokok tu ustaz, saya terpandang ke bawah. Dari atas tu barulah saya terperasan yang di bawah tu ada satu lubuk, hitam gelap airnya. Dari bawah memang tak perasan. Masa itulah saya teringat semula sambungan bunga silat Pendita Megat tu. Mengapa tiba-tiba geraknya jatuh duduk bersila dan membuat lakaran bulatan di sekeliling di atas tanah? Kemudian, mengapa tari tangannya mencapai suatu arah dan terus bergaya mencium keris?” Khairi berbahasa agak formal, sesuai dengan kebiasaan Ustaz Abu. Walaupun Ustaz Abu berasal dari Kampung Potong Pinang, tapi percakapannya tidak bergaya orang Taiping yang rata-ratanya dipengaruhi sedikit loghat Melayu Kedah dan Pulau Pinang. Mungkin kerana pada zaman mudanya dia selalu merantau belajar dan berdakwah ke serata tempat.

“Maksudnya... Pendita Megat dulu terjun dari atas pokok itu ke dalam lubuk. Apabila sampai di dasarnya dia duduk bersila dan meletakkankan busur panah itu pada satu tempat,” sambung Khairi.

“Saya pun buat perkara yang samalah. Saya terjun dengan kaki dulu, buangkan sedikit udara supaya cepat sampai ke bawah, tolak-tolak air dengan tangan ... Cecah saja tanah terus saya cuba duduk bersila sambil tangan menerawang meraba di dasar sungai dan batu-batu di sekelilingnya. Nasib baik saya jenis yang nafas panjang, boleh tahan agak lama dalam air. Cari punya cari, saya teraba satu lekukan batu. Di situlah terselitnya busur panah sakti,” sambungnya lagi, lebih bersungguh-sungguh.

“Ya Allah... memang menarik cerita kamu bertiga ni,” akui Ustaz Abu sambil tersenyum. Panjang nafas yang ditarik dan dilepaskannya, tanda puas. Bertuah rasanya mempunyai anak-anak buah dalam dakwah seperti mereka bertiga, bijak-bijak orangnya. “Jadi... sekarang di mana kamu letakkan anak panah tu?”

Mereka berpandangan sesama sendiri, kemudiannya saling tertawa. “Kami letak di satu tempat rahsia. Kami saja yang tahu lokasinya,” jawab Khairi. Ustaz Abu turut tertawa mendengar penjelasan Khairi.

“Baiklah, memang betullah... Allah kurniakan kebijaksanaan kepada kamu bertiga. Gunakanlah ia sebaik-baiknya pada jalan Allah.”

“InsyaAllah ustaz,” jawab mereka serentak.

“Seterusnya?” tanya Ustaz Abu.

“Seterusnya kami hendak mencari anak panah sakti lah pulak,” balas Khairi.

“Inilah sebabnya kami datang jumpa ustaz. Nak minta tolong ustaz,” sambung Piyan.

“Eh, macam mana pulak tu? Saya tak tahu langsung pasal panah panah ni!”

Seman mengeluarkan sekeping kertas dari poketnya. Kertas itu disuakan kepada Ustaz Abu. Ustaz Abu menyambutnya dan terus membaca tulisan yang tertera di atasnya.

Kota Ganggayu sesudah kota,

Sang Kelembai melihat dari awanan,

Di bawahnya naga bertapa,

Bagai pungguk merindukan bulan.

“Apa bendanya ni Seman?”

“Inilah dia petunjuk kepada kedudukan anak panah tu.”

“Kami dah jenoh memerah otak mencari maksudnya, tapi... masih tak ketahuan punca,” kata Khairi.

Ustaz Abu membacakan Surah Asy-Syarh. Kemudian dia menumpukan pandangannya terhadap kalimat-kalimat pada kertas itu. Lebih kurang dua minit Ustaz Abu menghayati rangkaian kata-kata itu, dia pun bersuara, “Saya tahu di mana letaknya.”

“Apa? Betul ke ustaz?” terperanjat betul mereka bertiga.

“Pernah ke saya menipu kamu?” tanya Ustaz Abu sambil tersenyum lebar.

“Eh, mana pernah!” jawab Khairi. Kedua-dua orang rakannya mengiyakan.

“kat mana anak panah tu ustaz?” tanya Seman bersungguh-sungguh.

Sebelum saya beritahu lokasinya, saya nak tahu... apa tujuan kamu mencari panah sakti Sidi Arab ni?” duga Ustaz Abu.

Mereka bertiga saling berbalas pandangan. Piyan mengangguk, sebagai isyarat kepada mereka berdua tanda setuju. Selepas itu perlahan-lahan Khairi mendekatkan mulutnya ke telinga Ustaz Abu. Dia membisikkan, “......................”

Ustaz Abu mendengarnya dengan teliti. Lama kemudian dia pun bersuara, “Alangkah besarnya maksud dan pekerjaan kamu bertiga ini. Semoga dimudahkan Allah segala urusan kita semua.”

“Amin,” jawab Khairi penuh kelegaan. Dia melihat sekeliling restoran, kemudian ke luar restoran. Nun di seberang jalan, terletak sebuah kereta Toyota lama berwarna cerah. Di dalamnya ada seseorang yang berkepala botak. Sinaran di mata orang itu menunjukkan dia memakai cermin mata. Ketika Khairi melihatnya, orang itu pun kelihatan sedang tekun memandang ke arah Khairi.

Serta-merta enjin kereta itu dihidupkan. Kemudian perlahan-lahan ia merangkak naik ke atas jalan raya lalu meluncur laju menghala ke arah pekan Pantai Remis. Sempat lagi si pemandu menoleh ke arah Khairi.

“Awat Khairi?” tanya Seman apabila melihat raut wajahnya temannya itu berlainan.

“Entah...,” jawab Khairi, bernada kebingungan.

“Kegheta tadi tu ka?” tanya Piyan pula.

“Ha ‘ah. Aku rasa lain macam pulak dengan oghang kat dalam kegheta tu tadi. Tapi... tak budak apa-apa agaknya. Perasaan aku saja tadi. Errr... bagaimana ustaz? Di mana tempat anak panah tu?”

Ustaz Abu tersenyum lebar, menarik nafas panjang, melepaskannya... dan mula berbicara...

@@@@@@@@@@

http://myalexanderwathern.blogspot.com/2011/11/6-menemui-ustaz-abu.html


-----------------
http://alexanderwathern.blogspot.com/
http://myalexanderwathern.blogspot.com/


Bookmark and Share

    


  Member Information For abuzulfiqarProfil   Hantar PM kepada abuzulfiqar   Pergi ke abuzulfiqar's Website   Quote dan BalasQuote

abuzulfiqar
Warga 3 Bintang
Menyertai: 31.01.2007
Ahli No: 28489
Posting: 97
Dari: Malaysia

Perak   avatar


posticon Posting pada: 07-12-11 01:18


BAB TUJUH - Petunjuk Dihuraikan


Kota Ganggayu sesudah kota,

Sang Kelembai melihat dari awanan,

Di bawahnya naga bertapa,

Bagai pungguk merindukan bulan.


“Di mana kita boleh dengar cerita tentang Kota Ganggayu ni?” tanya Ustaz Abu.

“Dalam Sejarah Melayu susunan Tun Sri Lanang,” sahut Piyan yang memang minat hal-hal sejarah. Di rumahnya bersusun buku pelbagai bidang. Yang paling banyak adalah yang berkaitan dengan agama dan sejarah. Pantang masuk kedai buku, ada sahaja buku baharu di tangannya.

“Kamu cerita semua yang kamu tahu Piyan,” pinta ustaz.

“Kota Ganggayu ni dikenali juga sebagai Klang Kio dalam bahasa Siam lama. Ada juga orang sebut sebagai Kota Gelanggi. Ia salah sebuah negeri di bawah kekuasaan kerajaan Siam dahulukala. Dipercayai terletak di sempadan negeri Johor dan Pahang hari ini. Kota ini disebut dalam Sejarah Melayu kerana ia dikatakan diserang oleh Raja Suran dari India. Orang-orang asli di sekitar kawasan sempadan Johor-Pahang menceritakan memang dahulu ada sebuah binaan kota hitam di dalam hutan, tetapi kini ia sudah hilang. Dipercayai tertimbus ataupun berada di dalam tasik. Kata orang juga, kota ini pernah digunakan oleh para pejuang Pahang pada zaman penjajahan Inggeris dulu sebagai tempat persembunyian.”

“Betul. Baris pertama dalam rangkap tu mengatakan ‘Kota Ganggayu selepas kota’. Maksudnya... Kota Ganggayu diserang selepas sebuah kota lagi diserang terlebih dahulu.”

“Gangga Negara!” pintas Piyan.

“Ya, sebelum menyerang Ganggayu, tentera Raja Suran mengalahkan kota Gangga Negara. Jadi sekarang kita sudah ada petunjuk pertama iaitu Gangga Negara. Kerajaan Gangga Negara ini sudah lama hilang, tak diketahui di mana kedudukan sebenarnya. Tapi yang pasti, ia berada di sekitar Beruas dan Dinding.”

“Baris kedua ustaz?” celah Seman.

“Isy hang ni, sabaq lah. Aku penampaq sekejap lagi demam agaknya empat belaih haghi setengah! Bagi lah ustaz habih cakap dulu!” tegas Khairi.

“Sabaaaq sabaq! Pinggang ghamping , pungkoq lebaq!” balas Seman. Ustaz Abu tersengih menyaksikan telatah mereka berdua. Boleh tahan melawak mereka ni.

“Baik. Baris kedua mengatakan ‘Sang Kelembai melihat dari awanan’. Kisah Sang Kelembai ni selalu diperkatakan orang dulu-dulu. Kononnya ia satu makhluk luar biasa. Sesiapa yang disumpahnya akan menjadi batu,” kata Ustaz Abu.

Sambungnya lagi, “Kamu semua tahu tak Gunung Bubu?”

“Tau!” jawab mereka serentak. Gunung Bubu merupakan kemuncak tertinggi yang menjadi penengah kepada kawasan Trong, Bukit Gantang, Padang Rengas, Kuala Kangsar, Manjong dan sekitarnya. Dari mukim Trong ini, ia terletak di sebelah timur laut. Ada dua puncak, yang lebih kecil itu rendah sedikit. Namanya Puntung Berasap.

“Dikatakan Gunung Bubu itu mendapat namanya daripada sebuah bubu yang diletakkan di kemuncaknya. Yang meletakkan bubu itu tidak lain ialah Sang Kelembai, atau disebut orang juga Sang Gedembai” jelas Ustaz Abu.

“Ooo... jadi ‘Sang Kelembai melihat dari awanan’ tu maksudnya... Sang Kelembai melihat dari tempat yang tinggi, iaitu Gunung Bubu,” kata Khairi. Matanya bersinar-sinar keterujaan. Sememangnya ke selatan dari Gunung Bubu itu ialah pekan Beruas.

“Di bawahnya naga bertapa...” Ustaz Abu terdiam seketika sebelum menyambung kata, “Di sekitar Beruas dan Gunung Bubu, satu lokasi yang popular dengan lagenda naga bertapa ialah di kawasan inilah, tempat kita berada sekarang.”

“Bukit Naga?” teka Khairi. Fikirannya membayangkan Bukit Naga yang beralun kemuncak-kemuncaknya. Dilihat dari jauh, memang kelihatan seperti belakang naga yang sedang bergerak. Dari Kampung Sungai Kerang, melalui Kampung Sungai Baru, melalui Kampung Sungai Nyior, melalui Kampung Jawa, masuk ke dalam melalui jalan lori kelapa sawit. Lebih satu kilometer ke dalam, sampailah ke kaki Bukit Naga. Dari situ ada jalan terus naik ke atas kerana di salah satu kemuncaknya ada pencawang.

“Ya. Mengikut cerita turun-temurun orang-orang di sini, pada zaman dahulu kononnya ada seekor ular yang sangat besar bertapa di Bukit Naga. Kerana besarnya itu maka ia disebut ‘naga’. Pertapaannya sangat lama, mungkin puluhan tahun. Suatu hari, entah macam mana ular ini menyusur turun menuju ke laut. Kata orang, dia pergi ke laut untuk bertarung dengan seekor lagi naga. Laluan tempat turunnya itu menghasilkan sebatang sungai, iaitu Sungai Baru. Sampai sekarang kampung di tepi sungai itu dikenali sebagai Kampung Sungai Baru,” jelas Ustaz Abu lambat-lambat.

“Ooo, ya ka? Baghu ni lah kami tau ni,” kata Piyan.

“Sungai Nyok tu pulak, macam mana boleh dapat nama Sungai Nyior?” tanya Seman.

“Ish hang ni, hang melalut ke mana? Oghang nak selesai ‘puzzle’ panah sakti ni!” rungut Khairi.

“Alamak, Sorry Sorry! Pasai asai-usui nama Sungai Nyok, sekejap lagi ustat ceghita. Ok ustat, kasi habih ‘puzzle’ kita,” kata Seman sambil menyeringai.

“Baris terakhir berbunyi ‘Bagai pungguk merindukan bulan’ tak kan tak boleh tangkap maksudnya?” duga Ustaz Abu.

“Maksudnya ada dua pihak lah tu ustaz, macam pungguk dengan bulan. Jadi, anak panah dengan busurnya lah,” balas Khairi.

“Alhamdulillah, syukur! Dah dapat pun!” sambung Ustaz Abu sambil membetulkan sedikit serbannya.

Piyan membuat sifir dalam fikirannya...

“Kota Ganggayu sesudah kota” ... Gangga Negara.

“Sang Kelembai melihat dari awanan” ... Gunung Bubu.

“Di bawahnya naga bertapa” ... Bukit Naga.

“Bagai pungguk merindukan bulan” ... anak panah dan busurnya.

Betapa bergolaknya perasaan ketiga-tiga orang remaja itu ketika itu hanya Tuhan sahaja yang tahu. Kalau diikutkan hati, ketika itu juga rasanya hendak bergegas ke Bukit Naga. Malam pun malamlah.

@@@@@@@@@@

Bas awam yang lebih dikenali penduduk setempat sebagai ‘bas blue’ berhenti di hadapan sedikit dari simpang Kampung Sungai Nyior. Turun seorang wanita dengan anak kecilnya. Diikuti oleh Seman, Khairi dan Piyan. Wanita dan anak kecil itu berjalan ke sebelah kanan manakala remaja bertiga bergerak ke sebelah kiri.

Biasanya Khairi dan kawan-kawannya bermotosikal ke mukim Trong ini, tapi kali ini sengaja mereka menaiki kenderaan awam, untuk ‘rasa’ apa yang dirasa oleh Ustaz Abu. Kebetulan pula mereka ada misi khas kali ini, iaitu untuk menawan ‘Dragon Hill’. Dari simpang itu mereka perlu berjalan sejauh lebih kurang tiga kilometer untuk tiba di kaki Bukit Naga.


Kampung Sungai Nyior yang sesekali berkabus pada waktu pagi.


Dalam perjalanan, mereka tidak banyak berbual. Masing-masing melayan fikiran sendiri di samping menyimpan ‘angin’ untuk mendaki dan merapak nanti.

Seman mengimbas kembali cerita Ustaz Abu tentang asal nama Kampung Sungai Nyior... Pada zaman dahulu, sekumpulan penghijrah dari pinggir Sungai Perak tiba di kawasan ini. Ketika mandi di sebatang sungai, badan mereka gatal-gatal. Dalam bahasa orang Sungai Perak, gatal-gatal badan disebut ‘melenyor’. Sungai itu pun dinamakan Sungai Melenyor. Lama-kelamaan sebutannya dipermudahkan menjadi ‘nyor’ sahaja. Orang tempatan yang lebih berloghat Kedah pula menyebutnya ‘Sungai Nyok’. Apabila digunakan dalam urusan rasmi, terus jadi ‘Sungai Nyior’. Orang ramai yang tidak tahu cerita ini tentu menyangkakan Kampung Sungai Nyior ini mendapat namanya daripada sebatang sungai yang banyak buah atau pokok kelapa.

“Kita ambik jalan dalam,” kata Khairi, selaku ketua kumpulan. Bukanlah dia yang mengangkat dirinya sendiri sebagai ketua, tetapi hasil perbincangan mereka bertiga juga, menurut sunnah Rasulullah. Memang kebiasaannya Piyan dan Seman lebih senang Khairi memimpin, walaupun sesekali Khairi memberikan juga mereka peluang memimpin.

Memilih ‘jalan dalam’ bermaksud mereka akan lebih cepat masuk ke dalam ladang kelapa sawit. Di situ ada beberapa buah rumah yang didirikan di atas tanah rizab kerajaan. Sekiranya menggunakan jalan utama, mereka akan tiba di simpang surau Kampung Jawa sebelum membelok ke jalan menuju Bukit Naga.

Di sepanjang perjalanan, terdapat beberapa dusun buah-buahan milik orang Melayu dan Cina. Piyan terpandang sebatang pokok durian yang menyayup tinggi. Buahnya tidak banyak.

“Eka, dwi, tri, catur, panca, sas, sapta...,” tutur Piyan seorang diri. Sambil berjalan itu, kepalanya mendongak ke atas.

“Hang baca mentera apa tu Piyan?” tanya Seman kehairanan.

“... asta, nava, dasa...”

“Oi Piyan!” jerkah Seman.

“Haa? Bahasa Sanskrit daa! Ekadasa, dwadasa. Trayodasa, caturdasa, pancadasa ...” sambung Piyan.

“Dia tengah khusyuk bilang buah dughiyan tu Man,” sampuk Khairi.

“Sejak bila pulak oghang tua ni tau bahasa Sanskrit?”

“Alaa... aku tau sampai dua puluh saja,” jawab Piyan, tersenyum.

“Hang dengaq lah tu Seman. Entah betul entah tidak,” sampuk Khairi lagi. Kemudian dia tertawa kecil.

Perjalanan pendek itu sebenarnya punya banyak pengajaran yang boleh diambil, bagi orang-orang yang mahu mengambil manfaat.. Mereka melihat tupai meniti dan melompat di hujung-hujung ranting, ular tedung selar menyeberangi jalan, bangkai ayam tersangkut di sungai kecil, bunyi tekukur dari hutan-hutan kecil di sebelah kanan, dan yang pasti tidak boleh dilupakan adalah ketika mereka dikejar oleh dua ekor anjing kepunyaan salah seorang tauke lading. Nasib baiklah anjing-anjing itu mengejar separuh jalan.


Pelangi berkembar menaungi mukim Trong.


“Allah... aduhh.. belum panjat bukit lagi dah mengah dah ni. Apahai?” keluh Piyan sebaik-baik sahaja terselamat daripada kejaran anjing. Bunyi nafasnya jelas kedengaran.

“Tu lah hang. Aku ajak jogging petang-petang tak mahu. Asyik dengan bukuuu saja,” balas Seman. Seman seorang pelari jarak jauh yang baik, cuma dia tidak berminat untuk menyertai pertandingan.

Mereka membelok masuk ke sebuah dusun. Dari situ mereka berjalan dalam dua ratus meter lagi lalu tiba di sebuah anak sungai. Mengapa mereka tidak menggunakan jalan bertar ke puncak Bukit Naga? Kerana mereka yakin tidak akan menemui anak panah sakti di situ. Anak panah itu tentunya berada di satu tempat yang istimewa. Jadi semalam mereka sudah mengambil keputusan untuk mengikut laluan turun sang naga yang membentuk Sungai Baru itu. Mereka berharap dapat menemui sesuatu di permulaan anak sungai itu.

@@@@@@@@@@

http://myalexanderwathern.blogspot.com/2011/11/7-petunjuk-dihuraikan.html


-----------------
http://alexanderwathern.blogspot.com/
http://myalexanderwathern.blogspot.com/


Bookmark and Share

    


  Member Information For abuzulfiqarProfil   Hantar PM kepada abuzulfiqar   Pergi ke abuzulfiqar's Website   Quote dan BalasQuote

abuzulfiqar
Warga 3 Bintang
Menyertai: 31.01.2007
Ahli No: 28489
Posting: 97
Dari: Malaysia

Perak   avatar


posticon Posting pada: 08-12-11 15:36


BAB 8 – Musuh Sudah Muncul

Ketika British menjajah India, mereka menghantar pelbagai ekspedisi ke seluruh India dengan pelbagai tujuan. Sebahagian daripada rombongan yang dihantar itu bertujuan mencari dan mendapatkan barang-barang pelik, terutamanya yang berkaitan dengan akhir zaman. Salah satu rombongan itu berjaya tiba di lembah asal panah sakti Sidi Arab. Mereka mula menyelongkar sejarah lembah itu daripada penduduk tempatan. Maklumat-maklumat itu digabungkan dengan maklumat-maklumat dari Semenanjung Tanah Melayu yang turut berada di bawah kekuasaan mereka. Dari situlah sedikit demi sedikit maklumat tentang panah sakti dapat mereka kumpulkan. Akhirnya mereka sangat berminat untuk mendapatkan panah sakti itu kerana menyedari potensinya.

Tedapat banyak tulisan purba di lembah itu. Piha


-----------------
http://alexanderwathern.blogspot.com/
http://myalexanderwathern.blogspot.com/


Bookmark and Share

    


  Member Information For abuzulfiqarProfil   Hantar PM kepada abuzulfiqar   Pergi ke abuzulfiqar's Website   Quote dan BalasQuote

abuzulfiqar
Warga 3 Bintang
Menyertai: 31.01.2007
Ahli No: 28489
Posting: 97
Dari: Malaysia

Perak   avatar


posticon Posting pada: 08-12-11 16:45


BAB 8 – Musuh Sudah Muncul

Ketika British menjajah India, mereka menghantar pelbagai ekspedisi ke seluruh India dengan pelbagai tujuan. Sebahagian daripada rombongan yang dihantar itu bertujuan mencari dan mendapatkan barang-barang pelik, terutamanya yang berkaitan dengan akhir zaman. Salah satu rombongan itu berjaya tiba di lembah asal panah sakti Sidi Arab. Mereka mula menyelongkar sejarah lembah itu daripada penduduk tempatan. Maklumat-maklumat itu digabungkan dengan maklumat-maklumat dari Semenanjung Tanah Melayu yang turut berada di bawah kekuasaan mereka. Dari situlah sedikit demi sedikit maklumat tentang panah sakti dapat mereka kumpulkan. Akhirnya mereka sangat berminat untuk mendapatkan panah sakti itu kerana menyedari potensinya.

Tedapat banyak tulisan purba di lembah itu. Pihak British menyalin kesemuanya lalu dikaji. Hasilnya, semua maklumat itu berjaya diterjemahkan. Setelah berpuluh tahun membuat kajian, mereka mendapati tulisan dalam bahasa Melayu itulah yang sesuai untuk menunjukkan kedudukan anak panah tersebut.

Dalam pada itu, pihak British terus membuat pertemuan demi pertemuan dengan pemerintah Siam dalam usaha mereka untuk mendapatkan busur panah itu tetapi gagal. Akhirnya busur itu jatuh ke tangan tentera Jepun ketika Jepun emnakluk Asia Tenggara. Namun pihak British kecewa juga akhirnya kerana busur itu hilang dari kem tentera Jepun.

Berbalik kepada cerita anak panah sakti. Setelah meyakini tulisan berbahasa Melayu itulah petunjuk kepada anak panah sakti, pihak British mula mencari lokasinya. ‘Kota Ganggayu sesudah kota’ berjaya mereka tafsirkan. ‘Sang Kelembai melihat dari awanan’ pun mereka berjaya tafsirkan. ‘Di bawahnya naga bertapa’ ... mereka tersilap tafsir.

Pihak British menyangkakan ‘naga bertapa’ itu ialah Bukit Larut. Hal ini kerana Bukti Larut juga kelihatan bergelombang seperti gerakan badan seekor naga. Sebab itulah pihak British membuat jalan ke puncak Bukit Larut dan membuka petempatan di sana. Alasan dibuat kononnya Residen British tidak tahan cuaca panas, maka dibukalah petempatan di atas Bukti Larut yang suhunya dingin, iaitu antara 15 hingga 25 darjah Celsius. Kelentongan ini pun dipercayai orang. Padahal pihak British membina markas mereka di sana dalam usaha untuk menggeledah seluruh Bukit Larut dan sekitarnya, untuk mencari anak panah sakti. Francis Light kan boleh hidup selesa di Pulau Pinang yang hawanya panas? Raffles kan boleh bekerja dengan selesa di Singapura?

Akhirnya bukit yang menjadi latar belakang bandar Taiping itu pun diwartakan namanya sebagai Maxwell Hill atau Bukit Maxwell. Nama itu bersempena nama Residen British ketika itu iaitu William George Maxwell. Sebahagian orang tempatan mengejek para penjajah itu dengan menyebutnya ‘Bukit Mat Sewel’.

Bertahun-tahun menggeledah Bukit Larut, usaha pihak British masih gagal. Padahal ketika itu mereka sudah begitu hampir dengan busur panah sakti yang tersorok di dalam lubuk di air terjun Bukit Larut. Anak panah yang dicari, busurnya yang terhampiri. Nasib baik tidak mereka temui.

Akhirnya setelah puluhan tahun, usaha secara besar-besaran mencari anak panah sakti dihentikan oleh pihak British. Namun begitu beberapa orang pengganas Yahudi yang pernah bekerja di bawah British tidak mengalah. Dari semasa ke semasa mereka menghantarkan utusan-utusan rahsia mereka ke seluruh Nusantara atas maksud yang sama.

@@@@@@@@@@

“Baik betul lah mat saleh tu. Sapa ke nama dia?” tanya Shahrul kepada isterinya, Hartini yang sedang menggoreng cucur kodok.

“Entah, oghang dok panggey Kaidiaq, Kaidiaq. Khaidir agaknya,” balas Hartini. “Awatnya?”

“betul lah.... Khaidir! budak lah... terkenangkan yang dia tu asainya bukan oghang Islam. Lepaih tu masuk Islam. Tapi budi bahasa bukan main baik, mengalahkan oghang Islam hati lain-lain pulak.” Shahrul mengangkat sedikit badannya, menurunkan kecondongan kerusi malas berwarna merah, putih dan biru itu, lalu bersandar semula. “Dia kegheja apa ha?”

“Entah, katanya dok buat kajian. Apa yang dia kaji tak tau lah. Kata oghang, dia tu peropeser kat luaq negagha nun, mai sini buat kajian.”

“Macam mana lah boleh bekawin dengan si Minah tu? Cakap bahasa Melayu pun fasih pulak tu.”

“Entah, tapi si Minah tu masa muda-muda dulu ni memang cantik oghang dia. Kata oghang lah. Sebab tu lah agaknya si mat saleh tu bekenan.”

“Banyak betul hang punya ‘entah’ Ti oi,” Shahrul mengusik isterinya.

“Hah sudah, tok sah dok cakap banyak! Sumbat dengan cucoq kodok ni sekejap lagi agaknya!” balas Hartini.

Kehadiran Khaidir ke Kampung Potong Pinang ini bukanlah sesuatu yang menghairankan. Sepanjang dua puluh tahun ini, dia sering berulang alik dari Jordan ke Malaysia. Kebetulan dia berkahwin dengan seorang wanita tempatan, orang Simpang. Khabarnya dia seorang professor sejarah di Jordan. Ibu bapanya berpindah dari Amerika Syarikat ke Jordan pada tahun-tahun 50-an.

Jika berada di Malaysia, Khaidir sering melakukan kajian sejarah. Dia banyak menghabiskan masa di sekitar Taiping, Kuala Kangsar, Trong, Beruas dan Manjong. Orang Potong Pinang memang mesra dengannya kerana kaum kerabat isterinya ramai di Pokok Asam. Jadi selalu sangatlah Khaidhir bergaul dengan penduduk sekitar pekan Pokok Asam seperti Kampung Potong Pinang, Kampung Aman, Taman Raja Idris, Rumah Hijau, Air Kuning, Larut Tin, Taman Assamara dan Kampung Sungai Lidin.

Khaidir yang kurus tinggi dan berkepala botak itu seorang yang bersopan santun, suka bercakap soal-soal agama dan sesekali mengenakan kopiah sama ada putih mahupun hitam. Dia juga selalu memberikan bantuan kepada orang-orang susah. Tangannya mudah mengeluarkan wang. Sikap sebegini menjadikan dia disenangi oleh orang ramai.

“Bapaak, oooo bapak!” suara Ana anak dara sunti Shahrul berteriak dari laman. Dia muncul tercegat di pintu dapur.

“lah... awat hang ni Ana? Belemoih teghuk sangat aih! Maih mak lap muka tu sikit,” kata Hartini.

“Bapaak, maak. Bapak dengan mak tau budak, Pakcik Mat Kepong dah mati.”

“Hah, dah mati? Innalillaah..... Eh, tak lah tua sangat Mat Kepong tu. Nak kata sakit, tak budak pulak penyakit,” kata Shahrul.

“Ha bapak, mak. Dia mati kena bunuh!”

“Hah, mati kena bunuh?”

@@@@@@@@@@


-----------------
http://alexanderwathern.blogspot.com/
http://myalexanderwathern.blogspot.com/


Bookmark and Share

    


  Member Information For abuzulfiqarProfil   Hantar PM kepada abuzulfiqar   Pergi ke abuzulfiqar's Website   Quote dan BalasQuote

Member Messages

Forum Search & Navigation

 

Log in to check your private messages

Silakan Login atau Mendaftar





  


 

[ Carian Advance ]

Jum ke Forum 




Datacenter Solution oleh Fivio.com Backbone oleh JARING Bukan Status MSCMyPHPNuke Portal System

Disclaimer: Posting dan komen di dalam Portal Komuniti Ukhwah.com ini adalah menjadi hak milik ahli
yang menghantar. Ia tidak menggambarkan keseluruhan Portal Komuniti Ukhwah.com.
Pihak pengurusan tidak bertanggung jawab atas segala perkara berbangkit
dari sebarang posting, interaksi dan komunikasi dari Portal Komuniti Ukhwah.com.


Disclaimer: Portal Komuniti Ukhwah.com tidak menyebelahi atau mewakili mana-mana parti politik
atau sebarang pertubuhan lain. Posting berkaitan politik dan sebarang pertubuhan di dalam laman web ini adalah menjadi
hak milik individu yang menghantar posting. Ia sama-sekali tidak ada
kena-mengena, pembabitan dan gambaran sebenar pihak pengurusan Portal Komuniti Ukhwah.com

Portal Ukhwah
© Hakcipta 2003 oleh Ukhwah.com
Tarikh Mula: 14 Mei 2003, 12 Rabi'ul Awal 1424H (Maulidur Rasul)
Made in: Pencala Height, Bandar Sunway dan Damansara Height
Dibina oleh Team Walasri




Loading: 0.105877 saat. Lajunya....