Duhai sahabatku
Telah kudengar rintihanmu
Luahan rasa yang ingin kau sampaikan
Bahawa kini kau menempuhi saat-saat getir
Semangat yang bagaikan mahu padam
Kekuatan yang sepertinya mahu hilang
Hingga kau tertanya pada diri
Kemana lagi mahu dibawa resah sang hati
Menelan pahitnya ujian
Membajai redha sepenuh pengertian
Duhai sahabatku
Ingatkah pada kalam bicara
Kita ingin terus memberi
Menabur benih-benih hidup
Yang dicampak ke laut menjadi pulau
Kita ingin menjadi panah terbaik
Yang sentiasa tepat mengena sasarannya
Namun itu semua sahabatku
Bukan semudah yang kita sangkakan
Benih hanya mampu hidup
Setelah sekian susah payahnya
Panah yang ingin dituju
Bukan sekali akan tepat
Inilah rencahnya
Pahit manis menyampaikan seruan
Ingatlah ujian demi ujian itu
Umpama sulaman-sulaman
Yang akan menjadi satu hamparan
Sebenarnya menjadi satu anugerah
Dalam mempersiapkan diri
Menyempurnakan seluruh potensi diri
Sebagai khalifah yang menyampaikan risalah kebenaran
Teruslah memujuk diri
Biar terkorban dalam pengorbanan
Biar terbakar dalam nyala yang marak
Biar ditinggalkan dalam keramaian
Biar itu semua kita yang rasa
Buat penyaksian sang Pencipta
Hentikan persoalan dibenak
Sampai bilapun harus ditelan
Sampai bilapun perlu ditanggung
Nafas yang berhembus akan terus menjunjung
Biar langkah akan terus bertapak tanpa henti
Setulus hati buat Ilahi
“Pada akhir zaman, orang-orang yang memegang tali perjuangan itu bagaikan menggemggam bara api, andai terus digengam hancur luluh jiwanya. Namun andai dilepaskan hancurlah dunia. Jangan takut untuk berjuang kerana orang yang berjuang memang dirintangi ujian. Sesungguhnya Allah sentiasa bersama orang-orang yang bersabar. Kita hidup untuk perjuangan dan mati untuk kehidupan..Syurga impian.”
Bingkisan diri : Khair Hibballillah (aierah_me)