Sumber:
Mufti BruneiSoalan :
Ada semacam perlawanan bola sepak yang ditaja oleh sebuah jenama minuman keras. Melalui perlawanan tersebut syarikat berkenaan akan mendapat beberapa keuntungan. Jika tidak, sekurang-kurangnya syarikat tersebut akan berpeluang mempromosi dan memperkenalkan jenama mereka terutama kepada negara-negara yang menyertainya. Bagaimana pandangan dan fatwa Pehin mengenai perkara tersebut jika negara kita menyertainya ?
Jawapan:
Adapun hukum arak adalah jelas di dalam al-Qur'an, hadis dan ijma' ulama, sehingga pengharamannya itu telah menjadi sesuatu yang telah diketahui umum (ma'belum min ad-din bi adh-dharurah).
Pengharaman arak itu bukan sahaja kepada orang yang meminumnya, bahkan ia meliputi kepada apa jua bentuk pertolongan yang boleh membawa kepada peminuman arak, kerana dosa menolong kepada berlakunya peminuman arak, walaupun dia tidak meminumnya, samalah juga dosanya seperti orang yang meminum arak.
Sabda Nabi Muhammad Sallallahu 'Alaihi Wasallam daripada Anas bin Malik Radhialllahu 'Anhu dia berkata :
"Rasulullah Sallallahu 'Alaihi Wassalam melaknat berkenaan dengan arak sepuluh golongan : Orang yang memerah arak, orang yang minta diperahkan arak, orang yang meminum arak, orang yang membawa arak, orang yang minta dihantari arak, orang yang menuangkan arak, orang yang menjual arak, orang yang makan harga arak, orang yang membeli arak dan orang yang minta dibelikan arak." (hari Ibnu Majah dan Tirmizi)
Maka dengan ini adalah jelas bahawa jika perlawanan tersebut di atas adalah atas nama Tiger Beer, bahkan apa sahaja jenis minuman yang diharamkan oleh syara', haram hukumnya menyertai perlawanan tersebut kerana menyertai perlawanan tersebut, dengan secara tidak langsung ia menandakan bahawa kita redha, menyokong, memberi pertolongan kepada penyebaran (mempromosi) minuman tersebut, walaupun kita tidak berniat sedemikian.
Malah adalah wajib bagi orang Islam tidak ikut serta perlawanan tersebut berdasarkan kepada *mafhum hadis yang diriwayatkan daripada Sa'id bin al-Khudri*, kerana tidak ikut serta adalah di antara tanda-tanda kebencian (mengingkari) dengan hati.
Hukum ini samalah juga memakai baju yang memaparkan lambang jenama minuman keras, kerana ada unsur redha dan mengajak kepada peminuman minuman itu .
*mafhum hadis yang diriwayatkan daripada Sa'id bin al-Khudri*
"Aku mendengar Rasulullah Sallallahu 'Alaihi Wasallam bersabda :"Sesiapa di antara kamu yang melihat kemungkaran, maka hendaklah dia mengubahnya dengan tangannya, jika sekiranya dia tiada berkuasa, maka hendaklah dia mengubahnya dengan lidahnya, jika sekiranya dia tiada juga berkuasa, maka hendaklah dia mengubahnya dengan hatinya, dan yang demikian itu (iaitu mengubah dengan hatinya ) adalah selemah-lemah iman." (hari Muslim)
-----------------
dan hanya kepada Tuhanmulah hendaknya kamu berharap alam nasyrah: 8