Pilih pertanian meskipun ada tiga ijazah sarjana
KETIKA penulis tiba di kediamannya di Kampung Hayat, Simpang Pelangai, terletak kira-kira 46 km dari Bentong, beliau sedang bertukang di kandang kambingnya.
"Beginilah kalau kerja sendirian, semua kena buat sendiri," kata Azizuzanadi Zainuddin, 39,
Beliau bersekolah agama dari peringkat sekolah rendah hingga menengah. Tamat tingkatan lima, beliau memilih menyambung pelajaran di sekolah pondok, Sekolah Agama Rakyat Al-Nadhah, Kota Sarang Semut, Kedah selama dua tahun.
Meskipun mendapat peluang untuk ke Universiti Al Azhar, Hadi memilih untuk ke sekolah Pondok Sungai Jagung, Pendang, Kedah dan belajar selama tiga tahun lagi.
Tamat belajar di sekolah pondok, beliau pulang ke kampung halamannya dan membuat kerja kampung selama dua tahun termasuk menoreh getah di kebun datuk dan neneknya serta menanam pisang.
Meskipun bersekolah agama dan pondok, anak muda ini berjaya melanjutkan pelajaran ke Universiti Teknologi Mara (UiTM), Arau, Perlis pada 1992 dalam bidang pengajian perniagaan.
Tamat belajar di UiTM, beliau melanjutkan pelajaran ke Amerika Syarikat untuk pengajian Ijazah Sarjana Muda Perbankan dan Kewangan di Northwood University, Midland, Michigan atas tajaan Majlis Amanah Rakyat (Mara).
Tamat pengajian peringkat ijazah, beliau tidak terus kembali ke tanah air. Anak perantau ini tidak mahu melepaskan peluang menggali pengalaman bekerja di negara asing.
Beliau bukan setakat melakukan dua kerja tetapi juga menyambung pengajian di peringkat sarjana, dengan belanja sendiri, bukan satu tetapi tiga, iaitu Masters in Information System, Masters in International Business dan Masters in Risk Management.
Beliau mengikuti pengajian ketigatiga ijazah sarjana itu di Universiti Concordia, Mequon, Wisconsin.
Tamat pengajian ijazah sarjana, Hadi tinggal beberapa tahun lagi di Amerika dan memulakan perniagaan pengedaran kebanyakannya produk Industri Kecil dan Sederhana (IKs) Malaysia serta produk etnik Asia da Mexico.
"Saya menyewa sebuah gudang di Greendale, Wisconsin untuk perniagaan saya ini. Sambutan untuk produk Malaysia dan Asia memang bagus tetapi yang mengecewakan saya ialah bila saya dapat tawaran membekal sos masam manis dalam kuantiti yang besar untuk Walmart, rangkaian pasaran yang hebat di Amerika, tak ada pihak di tanah air yang sanggup membekalkan saya produk berkenaan," keluh Among.
-----------------