Welcome To Portal Komuniti :: Ukhwah.com

  Create An Account Home  ·  Topik  ·  Statistik  ·  Your Account  ·  Hantar Artikel  ·  Top 10 02-07-2020  

  Login
Nickname

Password

>> Mendaftar <<

  Mutiara Kata
Naikkan layar anda sekaki, anda akan mendapat angin sepuluh kaki
-- Kata Bijaksana

  Menu Utama

  Keahlian Ukhwah.com
Terkini: wyd1014
Hari Ini: 0
Semalam: 0
Jumlah Ahli: 43135

  Sedang Online
Sedang Online:
Tetamu: 47
Ahli: 0
Jumlah: 47




  Yang Masuk Ke Sini
kasih_kekasih: 16 jam, 19 minit yang lalu
wyd1014: 8 hari yang lalu
haykal77: 17 hari yang lalu
Kakngah: 17 hari yang lalu
lidah-penghunus: 18 hari yang lalu


Sirah dan Tokoh Islam
Topik: Kiai Muhammad Hairawi ulama penerus institusi pondok


Carian Forum

Moderator: Administrator
Portal Komuniti :: Ukhwah.com Indeks Forum
  »» Sirah dan Tokoh Islam
    »» Kiai Muhammad Hairawi ulama penerus institusi pondok

Please Mendaftar To Post


Oleh Kiai Muhammad Hairawi ulama penerus institusi pondok

broshahir
-WARGA AMAT SETIA-
Menyertai: 16.02.2006
Ahli No: 22775
Posting: 3376
Dari: Nibong Tebal

PulauPinang   avatar


posticon Posting pada: 22-12-08 22:27


Susunan AHLI PENGKAJI
RUANGAN pada kali ini masih diteruskan dengan perbicaraan mengenai tokoh-tokoh ulama Selangor. Kesinambungan dari Seminar Tokoh Ulama Selangor 2008 yang diadakan pada 22 November lalu, maka didapati terdapat ramai lagi tokoh-tokoh ulama Selangor tersebut perlu ditonjolkan, antaranya ulama yang dibicarakan ini, iaitu Kiai Muhammad Hairawi Bin Haji Dahlan.

Ulama yang diperkenalkan ini merupakan anak kepada seorang ulama Jawa yang sangat dikenali di Selangor iaitu Kiai Muhammad Dahlan bin Kiai Hassan al-Minhaj Perumpung. Mengenai Kiai Dahlan tersebut pernah dibicarakan dalam ruangan ini pada 4 April 2005 dengan judul Imam Muhammad Dahlan: Ulama Jawa Termasyhur Di Selangor.

Penulisan mengenai tokoh ulama ini pula adalah berdasarkan kertas kerja yang berjudul Peranan dan sumbangan Kiai Muhammad Hairawi daripada hasil kajian pensyarah-pensyarah Fakulti Pengajian Islam dari Universiti Kebangsaan Malaysia iaitu Ahmad Yunus Mohd. Noor dan Ahmad Dahlan Salleh.

Tidak semua maklumat-maklumat dalam penulisan kertas kerja tersebut dibicarakan. Ruangan ini hanya memetik beberapa perkara sahaja mengenai ulama tersebut yang begitu dikenali dengan kegigihan beliau untuk membina kemajuan pengajian pondok kepada masyarakat pada zamannya.

Antara yang dibicarakan berdasarkan kertas kerja tersebut adalah sejarah hidup beliau, penubuhan pondok yang asalnya ditubuhkan oleh ayahnya serta peringkat penubuhan pondok tersebut. Mengenai perkara-perkara lain yang tidak dibicarakan adalah berkaitan perkembangan pondok Kiai Hairawi, yang meliputi perkembangan dari segi sistem pelajaran, jenis-jenis kitab yang dibaca, sumber kewangan pondok dan sebagainya. Maklumat-maklumat yang berkaitan kertas kerja tersebut dapat dirujuk melalui buku terbitan Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (KUIS) yang berjudul Prosiding Seminar Tokoh Ulama Selangor 2008.

Sejarah Hidup

Nama penuh beliau ialah Kiai Muhammad Hairawi bin Haji Dahlan, dan dilahirkan di Jalan Pulai Kampung Kanchong Darat pada 1935. Sejak kecil, beliau mempelajari ilmu-ilmu agama melalui ayahnya sendiri. Disebabkan minat yang mendalam dan juga galakan dari ayahnya sendiri, maka beliau keluar mengaji di beberapa pondok-pondok lain untuk menjadi seorang yang alim dalam kitab-kitab agama.

Pondok awal yang beliau mengaji ialah Pondok Asrama Haji Hussin Batu 1, Sijangkang, Klang dari tahun 1951 hingga 1954. Di pondok tersebut beliau mempelajari ilmu linguistik Arab dan ilmu-ilmu agama meliputi fiqh, tauhid, akhlak hadits, tafsir, tasawuf dan sebagainya.

Antara faktor yang menyebabkan beliau memilih pondok yang diasaskan oleh Kiai Hussin tersebut sebagai guru pondok yang awal adalah kerana Kiai Hussin merupakan seorang yang warak dan mendapat pendidikan pondok di Jawa serta hafiz al-Quran. Tambahan pula Kiai Hussin adalah abang ipar beliau.

Seterusnya pada 1957 beliau meneruskan pengajian ke Pondok Timoh, Perak untuk beberapa tahun, kemudian diteruskan ke Pondok Rungkup, Bagan Datok, Perak dan berguru dengan Kiai Munir, seorang yang terkenal di Perak sehingga diakui sendiri oleh Duli Yang Maha Mulia Sultan Perak.

Beberapa tahun di Pondok Rungkup tersebut, beliau berpindah pula ke Pondok Sungai Tiang, Perak dan berguru pula dengan Kiai Anuar. Terakhirnya beliau mengaji di Pondok Kiai Khalil Batu 6 Bukit Naga, Klang sehingga awal 1961.

Setelah itu, pada 1961 beliau kembali ke kampung asalnya di Jalan Pulai Kampung Kanchong Darat. Pada tahun tersebut juga, beliau mendirikan rumah tangga dengan Siti Zaharah binti Surur, dan dikurniakan lima cahaya mata iaitu tiga lelaki dan dua perempuan.

Sekembali ke kampung halaman, beliau telah mengambil tugas ayahnya bagi mengembangkan ilmu-ilmu agama yang terhenti sejak 1947 disebabkan kewafatan Kiai Muhammad Dahlan. Di awalnya, beliau hanya mengajar di rumah, setelah semakin ramai pelajarnya, beliau berunding dengan orang-orang kampung untuk mendirikan pondok. Setelah pondok tersebut dibina, maka beliau mengajar di pondok mengikut sistem pondok yang pernah beliau lalui.

Sebagai salah seorang anggota masyarakat kampung, beliau tidak hanya menghabiskan masanya dengan kitab-kitab sahaja, sebaliknya beliau juga bekerja di kebunnya sendiri seperti menoreh getah pada waktu pagi, mengambil upah menjaga kedai orang, membersihkan kebun dan sebagainya.

Beliau bukan sahaja mengajar pelajar-pelajar pondok sahaja tetapi juga kepada masyarakat setempat, umpamanya pada hari Jumaat petang selepas Asar dan hari Rabu selepas Zuhur, Kiai Hairawi akan mengajar orang kampungnya pelajaran tafsir dan kewajipan berumah tangga. Pada malam Rabu, Kiai Hairawi juga mengajar di surau Kampung Kanchong Tengah, manakala pada malam Khamis pula mengajar masyarakat kampung di Masjid Jamek Kanchong Darat.

Penubuhan Pondok Kiai Muhammad Hairawi

Pondok Kiai Hairawi dianggap sebagai satu warisan institusi pendidikan agama yang telah diasaskan oleh ayahnya pada 1925 di Kampung Kanchong Tengah. Pengajian yang diajarkan oleh Kiai Dahlan berakhir dengan kewafatan beliau pada 1947.

Setelah itu pada 1955, tempatnya diganti oleh seorang Kiai dari Jawa, Indonesia yang bernama Kiai Abdul Salam yang mengajar ilmu-ilmu agama dalam sistem yang sama sehingga 1956. Pada tahun tersebut pula, pengajian terhenti lagi disebabkan kewafatan Kiai Abdul Salam.

Pengajian pondok dalam erti kata yang telah sempurna dan tersusun serta setara dengan pengajian di pondok-pondok di negeri Selangor hanya berlaku pada 1961, apabila Kiai Hairawi pulang ke kampungnya daripada mempelajari ilmu-ilmu agama secara pondok. Pada ketika itulah pondok mula berkembang penuntutnya, juga bukan hanya terdiri dari golongan tua, malah para belia yang tinggal menetap di pondok yang dibina. Malah kelahiran pondok tersebut tetap utuh hingga ke hari ini walaupun sambutan tidak berapa menggalakkan.

Penutup

Kiai Hairawi dianggap sebagai seorang ulama yang gigih berusaha dalam mendidik dan membimbing generasi muda. Keikhlasan beliau tersebut adalah untuk membentuk peribadi Muslim sejati ke arah penghayatan Islam yang sebenar.

Beliau berjaya memberi sumbangan yang besar dan tidak ternilai kepada masyarakat zamannya. Tidak keterlaluan dikatakan bahawa beliau adalah tokoh ulama dan pendidik yang begitu ikhlas dalam perjuangan Islam hingga akhir hayatnya.


-----------------
Anehnya perjalanan masa. Tetapi lebih aneh manusia yang melalaikannya.


Bookmark and Share

    


  Member Information For broshahirProfil   Hantar PM kepada broshahir   Quote dan BalasQuote

Member Messages

Forum Search & Navigation

 

Log in to check your private messages

Silakan Login atau Mendaftar





  


 

[ Carian Advance ]

Jum ke Forum 




Datacenter Solution oleh Fivio.com Backbone oleh JARING Bukan Status MSCMyPHPNuke Portal System

Disclaimer: Posting dan komen di dalam Portal Komuniti Ukhwah.com ini adalah menjadi hak milik ahli
yang menghantar. Ia tidak menggambarkan keseluruhan Portal Komuniti Ukhwah.com.
Pihak pengurusan tidak bertanggung jawab atas segala perkara berbangkit
dari sebarang posting, interaksi dan komunikasi dari Portal Komuniti Ukhwah.com.


Disclaimer: Portal Komuniti Ukhwah.com tidak menyebelahi atau mewakili mana-mana parti politik
atau sebarang pertubuhan lain. Posting berkaitan politik dan sebarang pertubuhan di dalam laman web ini adalah menjadi
hak milik individu yang menghantar posting. Ia sama-sekali tidak ada
kena-mengena, pembabitan dan gambaran sebenar pihak pengurusan Portal Komuniti Ukhwah.com

Portal Ukhwah
Hakcipta 2003 oleh Ukhwah.com
Tarikh Mula: 14 Mei 2003, 12 Rabi'ul Awal 1424H (Maulidur Rasul)
Made in: Pencala Height, Bandar Sunway dan Damansara Height
Dibina oleh Team Walasri




Loading: 0.082713 saat. Lajunya....