Array
Welcome To Portal Komuniti :: Ukhwah.com

  Create An Account Home  ·  Topik  ·  Statistik  ·  Your Account  ·  Hantar Artikel  ·  Top 10 12-12-2024  

  Login
Nickname

Password

>> Mendaftar <<

  Mutiara Kata
Jika anda berhasrat untuk berjaya, jangan hanya memandang ke tangga tetapi belajarlah untuk menaiki tangga tersebut.
-- ummimq (Kaunselor)

  Menu Utama

  Keahlian Ukhwah.com
Terkini: navratan
Hari Ini: 0
Semalam: 0
Jumlah Ahli: 43152

  Sedang Online
Sedang Online:
Tetamu: 91
Ahli: 0
Jumlah: 91




  Yang Masuk Ke Sini
kasih_kekasih: 24 hari yang lalu
nur_takwa88: 30 hari yang lalu
kismis: 30 hari yang lalu
qaulah_atrah: 42 hari yang lalu
muaz9768: 45 hari yang lalu
Rashdin: 51 hari yang lalu


Cerpen
Topik: Masihkah Ada Sinar


Carian Forum

Moderator: Administrator, NaZa_FirmaN
Portal Komuniti :: Ukhwah.com Indeks Forum
  »» Cerpen
    »» Masihkah Ada Sinar

Please Mendaftar To Post


Oleh Masihkah Ada Sinar

trouver_99
WARGA SETIA
Menyertai: 01.02.2004
Ahli No: 6933
Posting: 1603
Dari: Penang

PulauPinang   avatar


posticon Posting pada: 01-11-08 19:20


Sebuah Karya Akhi Masrawi

Masihkah Ada Sinar

( Tajuk asal cerpen ini ialah Dia Seorang Teman (Maafkan Aku Aisyah). Pernah tersiar di Karangkraf.com, Melayu.com. Melaluinya aku menerima banyak emel terutama mereka menyisipkan kalimah kagum... dan aku terasa kerdil.)


Rambutnya mengerbang diterbangkan bayu petang. Angin pantai bertiup sepoi. Mentari hampir terbenam di ufuk barat. Menghasilkan langit berwarna jingga. Sebuah buku catatan tercampak ke pasir pantai lalu terbiar. Di sebelahku duduk seorang wanita. Dia menanangis hiba. Esakannya semakin menjadi-jadi menyebabkan aku serba-salah. Aku semakin gelisah dengan pertemuan petang itu.

"Sejak kau ke Jordan aku cuba untuk melupakan kau. Tapi aku gagal." Dia mula berbicara setelah lama membisu sambil menyeka air mata yang membasahi pipi gebunya. Matanya berkaca. Rambutnya mengurai hingga melebihi paras bahu. Kejelitaan terserlah.

"Kenapa kau nak lupakan aku?" Tanyaku ingin kepastian.

"Bagiku dunia aku dan kau telah tamat selepas kita mengatur haluan sendiri." Suaranya hiba.

Dia banyak berubah. rambutnya kini tidak berhijab lagi. Auratnya terbuka sewenangnya terhadap lelaki ajnabi.

"Kau berubah Aisyah. Kau yang kukenali dulu bukan seperti yang berada di depan mataku kini." Tuturku bernada kesal. Lima tahun aku meninggalkan kampung untuk menyambung pengajian di Jordan. Masa telah merubah segalanya. Seperti pantai juga, saban waktu berubah.

"Suasana yang mengubah aku. Aku terjun ke dunia sosial yang bebas dari kongkongan. Rentak kehidupan kami di kolej tidak terbatas dengan hukum-hakam Islam. Aku bisa berbuat apa yang kuingini. Lagipun rumah sewa bukanlah institusi yang baik untuk mendidik diri" Suaranya menahan getar.

Selepas SPM Aisyah dan aku memohon ke Intutusi Pengajian Tinggi Awam. Kami menerima tawaran Matrikulasi di UIAM. Namun dalam masa yang sama aku menerima tawaran untuk menyambung pengajian di Jorden. Ayah ingin benar aku ke luar negara. Aku terpaksa akur. Berita itu kusampaikan kepada Aisyah dengan hati hiba. Tidak kusangka Aisyah tidak dapat menerimanya. Aisyah menghilang sebulan sebelum aku bertolak ke Jordan. Di hari keberangkatan keluargaku gembira bukan kepalang. Namun kelibat Aisyah tidak kelihatan. Aku sayu tanpa kehadiran seorang teman.

Aku mengenali Aisyah ketika aku dan dia sama-sama bersekolah di sekolah menengah. Meskipun dia tinggal di kampung yang sama denganku namun aku tidak mengenalinya sewaktu berada di sekolah rendah lantaran dia mendapat pendidikan rendahnya di sekolah yang berlainan denganku. Keluarganya berpindah ke kampungku. Waktu itu umurku baru sepuluh tahun. Aku masih ingat. Menurut ibuku keluarganya memang bukan orang luar. Neneknya dulu anak jati di kampung itu juga. Tetapi setelah ayahnya berkahwin dengan ibunya mereka tinggal di daerah lain. Sekarang bapanya seorang pesara tentera. Berpindah-randah dan menetap di kem-kem tentera yang berlainan saban musim adalah perkara biasa bagi keluarga tentera. Setelah ayahnya bersara mereka sekeluarga pulang menetap di kampung neneknya.Waktu itu dia tidak bersama keluarganya. Dia masih tinggal bersama ibu saudaranya. Barangkali untuk menghabiskan sekolah rendah.

Keputusan peperiksaan UPSR aku cuma terbaik di peringkat sekolah luar bandar. Namun sudah melayakkan untuk aku mendapat biasiswa di sekolah menengah daerahku nanti. Sebab aku masih ingat itulah kata-kata guru kelasku. Buktinya aku mendapat surat tawaran untuk belajar di kelas khas dengan beberapa tawaran lain. Waktu itu ayahku mahu aku melanjutkan pengajian di peringkat menengah di sekolah aliran agama. Sekolah yang ayah maksudkan itu bagiku terlalu asing. Sepatutnya aku menerima saja tawaran dari kementerian pendidikan itu awal-awal lagi. Aku cukup kenal keluargaku. Kami bukan golongan berada. Malah untuk membeli baju raya saban tahun buat kami adik beradik ayah terpaksa memakai baju lusuhnya untuk beberapa kali menyambut hari raya. Kata ayah dia sudah gembira kalau anak-anaknya gembira dengan baju baru. Itulah ayah yang aku kenali.

Sewaktu menolak tawaran pengajian di kelas khas sekolah menengah di daerahku. Aku diherdik beberapa orang rakan sekelasku. Kata mereka keputusan yang aku ambil tidak relevan. Tapi aku cukup bangga bila guru besar sekolahku mengakui pilihanku untuk menyambung pengajian di sekolah menengah aliran agama adalah pilihan paling tepat. Sekolah itu berasrama penuh. Ini bermakna aku akan terpisah dengan keluargaku. Perkara yang aku tidak pernah impikan sebelumnya. Aku juga akan berpisah dengan rakan-rakan sepermainanku. Aku akan mengharungi hidup baru di sebuah dunia asing. Hanya ayah sahaja yang menghantarku ke sekolah itu untuk mendaftarkan diri. Sekolah baruku itu unik sebenarnya. Para pelajar kebanyakkan adalah yang terpilih dinilai dari keputusan UPSR mereka. Di sekolah inilah segalanya bermula.

Takdir mengatasi segalanya apabila Aisyah juga ditakdirkan belajar di sekolah yang sama denganku. Aku memang tidak pernah menyangka ada rakan sekampungku yang akan belajar bersamaku di kelas yang sama. Sewaktu sesi taaruf pun aku memang yakin tiada pelajar lain yang menyebut nama kampungku. malah dari sekolah rendahku tentu saja jauh sekali. Hari demi hari dilalui dengan tabah. Aku mula belajar hidup berdikari di sekolah itu. Aku sudah terbiasa sebenarnya dengan kerja-kerja seperti membasuh baju sendiri, mengemas pakaian, menggosok baju dan sebagainya. Oleh itu aku tidak merasa kekok untuk hidup seperti itu. Apa lagi semua pelajar di asrama sememangnya terdidik begitu. Sehinggalah tiba cuti penggal kami akan pulang bercuti di kampung masing-masing.

Seorang gadis merayau-rayau di tepi pantai. Berbaju kurung, bertudung merah jambu dan membimbit selipar sambil jalannya berkaki ayam merentas pantai. Aku mencuri pandang ke arahnya. Aku yakin dia adalah Aisyah, teman sekelasku. Aku berlari ke arahnya. Sambil mengucap salam dan tersenyum mesra.

"Aisyah...?" Tegurku.

"Ya... Ooo Syam. Terkejut Aisyah."

"Buat apa di sini? Bercuti?" Soalku.

"Saja. Bersiar-siar. Lagipun ni kan kampung Aisyah juga. Salahkah seorang anak desa bersiar-siar di pantai desanya? Untuk sekadar mencari ketenangan. Kau pula?"

"Aku juga mencari ketenangan. Macam kau. Lagipun tak lama lagi kita nak periksa PMR. Aku belum benar-benar bersedia." Aku menjawab petah. Mengingatkannya tentang peperiksaan.

"Kalau kau nak nota... cakaplah." Pelawa Aisyah sambil berlalu pergi. Detik itu kali pertama aku berjaya berbual dengannya. Sememangnya Aisyah pelajar pintar. Di kelas dia sasaran pujian guru-guru. Aku cemburu dengan kelebihannya. Kini tidak kusangka pelajar yang kusangka sombong sebelum ini mudah mesra sebenarnya. Dugaanku meleset. Dia gadis kampungku. Tiada bezanya. Di Seberang Tanjung, rutin hidup adalah sama. Sebuah kampung nelayan yang jauh dari kebisingan dan kekalutan kota. Kami menghirup angin laut saban waktu. Berkongsi kesejukan tika dinihari. Dan berlabuh di pantai sambil berkongsi cerita dengan camar-camar.

Sewaktu keputuan PMR diumumkan akulah manusia paling bertuah. Aku berjaya cemerlang. Aisyah juga begitu. Namun dia jatuh ke tangga kedua. Kami menerima anugerah di hari penyampaian anugerah sekolah. Sejak itu aku dan dia semakin rapat. Keluarga kami tidak melarang hubungan itu. Barangkali kerana aku dan dia adalah kawan satu sekolah.

Sewaktu SPM kami belajar bersama-sama. Hasilnya keputusan amat membanggakan. Kami mohon Matrikulasi UIAM. Tapi aku sisihkan diri menurut kehendak keluarga. Aku merantau santak ke bumi Jordan. Berita tentang Aisyah tidak lagi kudengari. Sehingga di tahun akhir pengajian aku menerima surat dari Kak Long. Warkahnya bercerita tentang Aisyah. Aku terkasima. Aisyah menolak tawaran ke UIAM. Keluarganya tidak mampu menyekat kehendaknya. Dia menyambung pengajian di sebuah kolej swasta. Hidup di rumah sewa bersama rakan-rakan. Dan khabarnya Aisyah sudah banyak berubah. Isi surat Kak Long itu tercoret seribu tanda tanya.

"Kau lupa pada agamamu Aisyah! Kau tak layak menyalahkan suasana. Kita sepatutnya membentuk suasana. Bukan kita terhanyut dengan arus suasana." Aku bersuara memprotes.

"Kau yang mengajar supaya aku lupa Syam!" Bentak Aisyah. Kali ini nadanya kesal.

"Aku?"

"Ya... Kau yang ajar aku supaya mementingkan diri. Kau hanya tahu untuk mengejar cita-cita kau. Kau tinggalkan aku. Kau pergi sampai Jordan. Aku di sini tidak kau hiraukan. Tentu kau sekarang bahagia kan sambil melihat orang lain merana?" Aisyah tersenyum sinis dan akhirnya ketawa. Aku buntu.

Angin tetap bertiup mesra. Camar berterbangan di awan tinggi. Kekadang menjunam hampir ke perahu nelayan sambil memungut sisa-sisa ikan. Sesekali camar mencuri ikan-ikan segar dari dalam perahu. Nelayan merungut resah.

Aku rasa cukup bersalah dengan kata-kata Aisyah semasa pertemuan dengannya petang tadi. Aisyah berlari meninggalkan aku keseorangan. Buku catatan Aisyah kuambil. Pasir-pasir pantai yang melekat kusapu. Barangkali Aisyah sengaja meninggalkannya untukku. Ku selak helaian demi helaian. Aku tergegau metah. Rupanya ada catatan Aisyah. Aku membacanya tabah.

Syam...

Kepergianmu meninggalkan aku di Seberang Tanjung memilukan. Aku sedar kau perlu memenuhi impian keluargamu. Aku tolak tawaran matrikulasi ke UIAM. Bagiku tiada bermakna aku terima tanpa kau di sisi. Aku ingin mencuba dunia baru. Dunia yang lebih bebas. Aku cuba untuk melupakanmu. Tapi tak berdaya. Aku amat gembira dengan dunia baruku. Tinggal di rumah sewa bersama rakan-rakan yang sekepala. Tidak kusangka aku terhanyut dengan kehidupan bodoh. Aku mula meninggalkan perintah agama. Solat aku abaikan. Sehingga anak-anak metropolitan mengajarku untuk berpakaian mendedahkan aurat. Aku barangkali sudah hina di sisimu. Benar kata-kata kau aku banyak berubah. Tapi aku paling takut untuk memberitahumu. Aku takut. Aku risau kau akan terkejut dengan apa yang aku alami. Aku tak sanggup untuk mengecewakan seorang teman sepertimu.

Rakan keparatku mengheret aku ke dunia sial. Aku dirasuk ifrit setelah disuntik dadah dan menelan pil khayal. Duniaku hilang. Maruahku tergadai. Aku tidak diperkosa lelaki. Tapi terjerumus ke dalam dunia keji lesbian. Meminati kaum sejenis. abnormal bukan?

Aku mahu pulang ke pangkal jalan. Tolonglah aku Syam... Aku merayu. Walaupun kau bakal memandang keji terhadapku selepas ini. Aku pasrah. Aku tidak mahu menipu kau. Aku sedar meskipun ayahku berdarah satria dan ibu pendidik yang unggul; iman tidak mengalir melalui keturunan. Iman juga bukan bahan jualan. Lantaran itu aku terpana dengan ujian dunia. Aku mahu bersegera bertaubat. Meskipun kau tidak bisa menerimaku kembali setelah mengetahui rahsia peribadiku ini. Janganlah kau buang aku dari menjadi seorang teman. Aku pasrah.


Salam tulus daripada seorang teman,

Aisyah


Aku terkasima. Catatan yang diluar dugaan. Aisyah terperangkap dengan lesbianisme. Gadis sebaik itu turut teruji. Sebak. Sepeninggalanku ke bumi Jordan aku tidak pernah memikirkan hal seumpama itu bakal terjadi. Mereka yang terjebak seks abnormal biasanya sukar mendapat jalan pulang. Homoseks adalah serpihan jenayah Kaum Nabi Allah Luth a.s. Manusia menyukai kaum sejenis. Malah teori libido yang diasas Sigmund Frend aku kira mendasari aliran yang sama.

Sejarah Kaum Nabi Luth a.s dimusnahkan Allah dengan membalikkan perkampungan mereka lantas Laut Mati itulah menjadi bukti sehingga kini. Namun sejarah Laut Mati telah dilupakan khalayak. Manusia berkunjung ke Laut Mati untuk melancong, bukan mencari keinsafan. Mereka kembali ke zaman gelap. Malah Lesbianisme memerangkap kaum hawa. Barangkali kerana kebencian yang meruap terhadap kaum lelaki atau sekadar untuk melampias nafsu berahi. Aku berfikir sejenak. Berteleku. Air mata bertakung di kelopak mata. Rupanya Aisyah menaruh hati kepadaku. Aku manusia tanpa perasaan. Menyalahkan diri sendiri.

Semalam selepas makan malam ibu bertanyaku tentang hubunganku dengan Aisyah. Aku terdiam. Ibu mencuka. Aku rasa bersalah. Ibu menyatakan kekesalannya terhadap perubahan Aisyah. Dulu dia selalu bertamu di teratak kami. Tetapi semenjak aku ke Jordan hubungan kian renggang. Ibu Aisyah ada juga bertandang sesekali bertanya khabar. Ibu mahu aku ada ikatan dengan Aisyah. Berkawan tidak salah tetapi syariat mesti dijaga. Ibu tahu aku bertemu Aisyah di pantai. Kata ibu. Aku perlu berfikir matang. Sekurang-kurangnya bertunang. Aku bingung. Kalaulah ibu tahu...

Aku memerhatikan telefon dengan seribu pengharapan. Sudah sebulan kepulanganku dari luar negara berlalu dengan pantas. Ibu, ayah dan Kak Long pula tiada di rumah. Mereka ke rumah bakal besan. Kak Long akan berkahwin bulan depan. Adik-adik semua ke sekolah. Aku sendirian di rumah. Kuhampiri telefon dan mendail membuat panggilan ke rumah Aisyah. Tetapi tiada jawapan. Aku hampa.'Kemana agaknya Aisyah?' Bisik lubuk hatiku.

Aisyah menghampiriku dengan wajah berseri-seri. Aku melihat kelibatnya samar-samar. Kabus amat tebal menyelubungi ruang maya. Dia memakai serba putih. wajahnya cukup bersih.

"Syam... maafkan aku. Aku keji di sisimu. Lupakan aku."

Hanya kalimah itu yang dilafazkan. Aku membuka mulut. Percakapanku tidak didengari. Aku kaget. Aku cuba untuk mengejar Aisyah. Tetapi langkahku kaku. Tiba-tiba bahuku ditepuk dari arah belakang.

"Asstaghfirullah..." Aku bermimpi rupanya. Ibu menggeleng kepala.

"Hari dah senja. Tak baik tidur." Tutur ibu sambil berlalu pergi. Rupanya selepas asar tadi aku tertidur di kerusi malas.

Selesai solat Maghrib berjemaah di masjid aku sempat menyampaikan tazkirah. Masyarakat sebenarnya dahagakan ilmu akhirat. Aku mengisi sekadar terdaya. Selesai solat Isyak aku sengaja berlengah. Malam itu aku beristikharah. Aku mohon diberikan petunjuk Ilahi untuk kebaikan.

Aku mengunjungi pantai untuk mencari ketenangan. Di atas batu besar... duduk seorang wanita. Aku dapat mengagak itulah Aisyah. Rambutnya berselindung di sebalik selendang tipis. Aku menghampirinya. Dia sedang menangis. Kehadiranku disedari. Aku melabuhkan punggung tidak jauh darinya di atas sebatang kayu Rhu tumbang yang sudah hampir reput.

"Aisyah... Maaf buku catatanmu telah aku baca." Aku memulakan perbualan. Aisyah masih diam.

"Aku dah buat keputusan. Cinta yang murni memerlukan pengorbanan. Maafkan aku Aisyah. Aku tidak dapat menerima kau... kecuali selepas kau berubah menjadi Aisyah yang dulu." Tuturku perlahan.

Aisyah memandang aku sayu. "Kau masih mahu menerima aku sekalipun..."

"Cukuplah Aisyah. Aku akan melamar kau. Ingatlah Aisyah antara kita sebenarnya telah lama terukir cinta. Sayangnya masing-masing ego untuk meluahkan. Peristiwa lepas usahlah diungkit lagi. Tidak penting siapa yang bersalah kerana cinta antara kita lahir dari kesetiaan. Aku mengumpul kekuatan. Moga pilihanku tepat. Aku tidak mahu akan terus berasa bersalah. Aku perlu selamatkan Aisyah, temanku.

Aisyah kembali mengukir senyum. Keayuannnya terserlah.

"Maafkan aku Aisyah...Aku terlewat meluahkan perasaan ini. Sekarang aku bersedia menerima tanggung jawab besar itu. Perkahwinan adalah wasilah cinta hakiki suami isteri."

"Syam... pimpinlah aku. Bimbinglah aku menjadi isteri solehah."


TAMAT




Oleh,

Akhi Masrawi
Tanta, Egypt.

Feb 2002
© AKHI MASRAWI


-----------------

= think Islam , think Globally , think Reality =


Bookmark and Share

    


  Member Information For trouver_99Profil   Hantar PM kepada trouver_99   Quote dan BalasQuote

putri_iman
Warga 3 Bintang
Menyertai: 01.11.2008
Ahli No: 35705
Posting: 116
Dari: Kelantan

Kelantan   avatar


posticon Posting pada: 02-11-08 08:47


Kerana cinta, manusia berubah...
Kerana cinta, manusia tewas...

Bookmark and Share

    


  Member Information For putri_imanProfil   Hantar PM kepada putri_iman   Quote dan BalasQuote

trouver_99
WARGA SETIA
Menyertai: 01.02.2004
Ahli No: 6933
Posting: 1603
Dari: Penang

PulauPinang   avatar


posticon Posting pada: 02-11-08 15:15


Kerikil Cinta Humaira


"KAU lelaki tak punya perasaan." Sergah suatu suara mematikan lamunanku suatu petang.
"Kau lelaki pasif. Angkuh dan ego dengan kekacakanmu. Tidak pernah memikirkan hati manusia lain yang bernama wanita." Suatu suara lain lebih merdu persis suara wanita.

"Aku?" Aku bertanya suara-suara yang aku dengar tadi.
"Ya..." Mereka menjawab serentak. Aku terkasima.

"Siapa kamu berdua. Apa tujuan kamu mengganggu aku?"
"Kau tak kenal kami Akhi?" Soal suara si wanita yang merdu itu. Aku cuma menggeleng. Tubuhku mula menggeletar. Aku bukan bermimpi lagi. Suara itu semakin jelas didengari. Ia bukan ilusi.
"Aku tak kenal kamu berdua!" Jelasku bernada getar.

"Kau yang mencipta kami. Kau lupa?"
"Cipta??? Cipta... aku cipta kamu berdua?" Aku semakin bingung. "Bila pula aku cipta kamu berdua?" Aku kembali melontar persoalan.

"Kau memang cepat lupa... Akhi. Aku tahu kau seorang penulis karya seni tapi hari ini kau melupakan watak-watak karyamu yang pernah kau cipta itu." Suara si lelaki mendatar. Aku dapat membaca kekecewaan yang terzahir.

"Kau kagum bila karyamu dipuji-puja. Tapi kau sepatutnya merasa bersalah menciptakan watak-watak seperti kami! Apa motif kau berkarya Akhi?" Soalan merdu wanita tadi kembali menghantui.

"Kenapa pula kamu berdua kata begitu?" Aku memberanikan diri bertanya suara-suara tadi. Aku bangun dari katil bujangku mengahampiri jendela bilik di sebelah barat. Suara tadi seolah-olah terpacul dari situ. Aku yakin aku perlu mendapatkan penjelasan selanjutnya dari mereka.

"Habis???" Soal suara si lelaki kembali.
"Aku tidak gemar berbicara dengan orang yang tidak aku kenali!"
"Kau memang pandai mencipta provokasi dan falsafah yang menyusahkan orang."
"Aku tidak bermaksud begitu."
"Itu bukan urusan aku."
"Siapa kamu berdua. Aku lebih suka mengenali..." Tuturku lembut.

"Baiklah... Aku jelaskan padamu yang aku ini watak yang pernah kau cipta dalam karyamu. Aku muncul untuk menuntut hak aku."
"Hak kau??? Siapa kau wahai suara?"
"Aku Syam. Kau tentu kenal bukan?"

Syam! Akalku ligat berfikir. Mencari insan bernama Syam. Tetapi gagal untuk bertemu. Aku jadi serba salah.

"Aku Aisyah." Sambung suara merdu yang kian lama terdiam.
"Syam... Aisyah?" Aku masih mencari.
"Kami berdua watak yang kau cipta dalam karyamu yang berjudul Dia Seorang Teman (Maafkan Aku Aisyah). Apa kau dah lupa. Ahhh..sesingkat itu kau melupakan kami."

"Aku masih ingat..." Jawabku sepontan.

"Ha..Ha..ha..ha...Hi..hi..hi.." Suara Syam dan Aisyah ketawa mengilai. Aku berundur sedikit ke belakang. Tubuhku seram sejuk. Aku rasa mahu saja aku terus lari meninggalkan suara-suara tadi. Suara-suara yang aneh dan menakutkan. Bulu romaku kembali terpacak.



Tiba-tiba pintu bilikku terkuak. Aku terkejut lagi untuk kesekian kalinya. Jantungku berdegup semakin kencang. Kak Long masuk ke dalam bilikku sambil menatang sedulang juadah. Aku mengawal diri supaya tidak timbul syak di hati Kak Long. Peristiwa tadi biarlah menjadi igauanku seorang. Kak Long tersenyum ke arahku. Aku membalas dengan senyuman yang hambar. Suara-suara tadi sudah menghilang entah ke mana.

"Hai Syam lain macam saja akak tengok. Kenapa?"
"Syam tak apa-apa." Ujarku manja.
"Ada masalah ke adik akak ni?"
"Tak adalah Kak Long!"
"Betul ni?" Aku mengangguk terharu. Kak Long meletakkan dulang berisi juadah minum petang di atas meja. Aku cuma memerhatikan.
"Ishk...sayang betul Kak Long kat Syam. Buat susah susah saja." Aku berbasa-basi. Senyuman Kak Long semakin manis. Kak Long mencapai sebuah Novel dari rak bukuku seraya menunjukkan reaksi meminjam sambil berlalu keluar. Pintu kembali tertutup. Kak Long minat membaca. Malah dia pernah menulis Cerpen dan puisi. Tetapi Kak Long sudah usai semenjak bersuami.

Aku merapati meja bacaanku. Kemudian menekan punat power supaya Komputer peribadiku yang semakin dimamah usia itu kembali bertugas. Akalku ligat mencari-cari watak-watak yang pernah aku ciptakan. Seolah ianya seperti tugasan dari suara-suara tadi yang kian mengahantui benak. Aku mula menceroboh fail-fail yang tercipta dari folder-folder yang berlambak-lambak itu. Kuselak satu demi satu karya-karya yang pernah aku hasilkan. Bermula dengan puisi-puisi, esei dan cerpen. Aku lebih tertarik menyelongkar cerpen, kerana biasanya aku gemar mencipta watak menerusi cerpen atau novel. Jarang aku mencipta watak-watak lain dalam genre penulisanku yang lain.

Akhirnya aku menemui cerpen berjudul Dia Seorang Teman. Seperti yang dinyatakan suara-suara tadi. Aku terus menekan mouse komputerku. Malangnya fail itu sudah kosong. Ini bermakna aku harus menyelongkar disket pula. Usaha tidak berpenghujung di situ walaupun disket yang aku maksudkan itu telah dipinjam oleh adikku Syahrul. Mindaku kembali ligat memikirkan alternatif menemukan kembali kisah Dia Seorang Teman (Maafkan Aku Aisyah).

Akhirnya aku mampu membuat konklusi dari sinopsis yang aku cantumkan dari ingatan yang menerpa membantu. Sebenarnya 'Dia seorang teman' adalah sebuah cerpen yang mengisahkan tentang kehidupan dua orang teman. Watak hero bernama Syam; seperti namaku dan heroinnya bernama Aisyah. Berlatarkan kehidupan sebagai anak desa Tambak Budi sebuah kampung nelayan Syam dibesarkan dalam keluarga sederhana dan belajar hidup berdikari sejak kecil lagi. Manakala Aisyah membawa watak gadis pintar yang juga anak jati Seberang Tanjung tetapi membesar dan menghabiskan usia kanak-kanaknya bersama Ibu saudaranya di daerah lain. Bapanya seorang pesara tentera sedang ibunya pula seorang pendidik.

Syam bertemu Aisyah di Pantai desanya sewaktu berhibur mendengar kicauan camar dan memerhati alam. Kebetulan mereka satu sekolah malah sekelas. Semenjak sapaan pertamanya dibalas, Syam dan Aisyah membina keakraban sebagai kawan sekelas. Berpendidikan di Sekolan Agama dan tinggal di asrama. Mereka membawa watak bijak sehingga berjaya cemerlang dalam peperiksaan PMR dan SPM hasil kecekalan usaha bersama.

Setelah SPM diumumkan Syam dan Aisyah memohon ke Matrikulasi UIAM. Permohonan mereka berjaya. Namun Keluarga Syam menginginkan dia melanjutkan pelajarannya ke Jordan. Kemahuan keluarga diturutkan dan Aisyah terasa diabaikan. Aisyah hilang pertimbangan. Dia menghilangkan diri. Sewaktu permusafiran Syam ke Jordan, Aisyah menukar haluan. Dia tidak mendaftar di Matrikulasi UIAM sebaliknya memilih untuk belajar di Kolej Swasta. Tinggal bersama rakan-rakan liar di rumah sewa. Aisyah mula berubah. Dia meninggalkan kelazimannya menutup aurat. Akhirnya Aisyah terjebak alias diseret ke dunia jengkel Lesbianisme. Mencintai kaum sejenis dan hubungan Seks di luar tabie. Syam terpana sewaktu mengetahui berita itu melalui buku kecil milik Aisyah yang sengaja ditinggalkan terlempar di pantai sewaktu bertemu dengan Syam yang baru pulang dari Jordan.

Dari apa yang tertulis dalam buku itu, barulah Syam mengerti Aisyah menaruh harapan yang tinggi dalam hubungan mereka. Diruntun desakan ibunya (syam) supaya perhubungan antaranya dengan Aisyah ada pertalian dan ikatan. Akhirnya Aku (penulis) menemukan jodoh mereka. Syam bertemu Aisyah di pantai setelah memohon petunjuk melalui solat istikharahnya. Syam melamar Aisyah. Cinta yang terbina dari kekuatan kesetiaan. Percintaan perlu ada pertautan iaitu perkahwinan. Namun sayang sekali.... adakah Syam yang terlambat atau Aisyah yang bersalah!!!

AaaaaahhhhHHHHHH…..!!!!! Pening! Mindaku ligat berfikir tentang kisah yang pernah aku nukilkan. Di mana salahku? Sehingga aku diserang suara-suara ganjil yang mengaku sebagai Syam dan Aisyah. Aku pernah mencipta watak-watak lain. Misalnya watak Alif sebagai hero dalam cerpen berjudul 'Lagenda Gadis Kedai Bunga', watak Wirda heroinnya, Watak Fatimatul Zahra dalam cerpen 'Warkah Buat Puteriku', watak Taufiq, Fuad, Azmi dan Fikri dalam 'Air Mata Karbala Menitis di Kota Kaherah', Alif, Siti, Fakrul dan Saiful dalam Nostalgia 797 malah banyak lagi; kesemuanya tidak pernah mengganggu aku. Tapi watak Syam dan Aisyah dalam cerpen Dia seorang Teman tiba-tiba menggangguku pula. Mengapa? aHHH... Aku kepeningan memikirkan hal itu. Apa salah aku sehingga Syam dan Aisyah seolah tidak berpuas hati denganku. Aku Buntu!

Aku menemukan mereka sebagai pasangan kawan yang ideal pada awalnya. Aku tautkan kasih sayang yang lahir dari jiwa seorang teman, sehingga saat perpisahan mereka dirasakan amat berat kala remaja. Aku wujudkan perasaan cinta yang terbina dalam runtunan jiwa remaja mereka berdua sewaktu dipisahkan. Dan aku temukan mereka di desa asal mereka sehingga Syam akhirnya menyatakan kecintaan yang lahir dalam jiwa mereka yang sudah lama terbina. Akhirnya aku tautkan percintaan murni mereka itu dengan perkahwinan sebagai ikatan yang sah. Di mana lagi silapku? Ah! Barangkali benarlah seperti yang pernah dituturkan; 'Sesuatu kelebihan yang ada pada diri seseorang, kadang-kala dinilai sebagai kelemahan oleh mereka yang berada di pojok yang lain.'

Plot-plot cerpen Dia Seorang Teman ligat bermain di mindaku. Aku mencicip milo yang masih berasap yang dihidang Kak Long. Kujamah cucur udang cicah kuah kacang pekat. Aku tersenyum sendiri. Jika suara-suara tadi datang lagi, sekurang-kurangnya aku sudah bersedia dengan jawapan untuk memastikan aku tidak bersalah.


Kak Long pernah manjadi penulis karya kreatif suatu masa dahulu. Dia Digilai peminat. Malah dari kalangan peminatnya seorang jejaka yang kini menjadi suaminya. Namun kini Kak Long sudah tidak aktif menulis lagi. Mengapa agaknya? 'Adakah dia juga diganggu watak-watak yang pernah dia cipta seperti apa yang aku alami? Kalau diganggu; adakah itu yang menyebabkan dia berhenti menulis?' Watak Syam dan Aisyah menuduhku lelaki tanpa perasaan, pasif, angkuh dan ego dengan kekacakan. Malah tidak pernah memikirkan perasaan orang lain terutama wanita. Aku bermonolog sendiri.

"Apa motif kau berkarya Akhi!" Soalan itu kembali menghantui. Maafkan aku Aisyah. Motifku, ingin meminta maaf daripadamu. Aku tidak pernah menafikan kau seorang teman yang baik. Kau hadir tika lara hati. Kaulah yang memujuk duka hati ini, melepaskan lara, memberikan semangat, mendorong kekuatan dan meresahkan jiwa sesekala warkahmu hadir mengusik.

Aku mengenali Aisyah sewaktu jiwa kekosongan sejurus gagal dalam cinta monyet. Cindrelela pertamaku terpaut hati pada lelaki lain. Belum sempat cinta itu mekar kami dipisahkan. Selepas SPM aku melanjutkan pelajaran ke Jordan dalam bidang Bahasa dan Kesusasteraan Arab. Dia masih di peringkat pengajian menengah waktu itu. Perpisahan mengundang kecekalan, kejujuran dan kesetiaan. Namun itu semua sifar. Bibit-bibit cinta kami berakhir dengan kehadiran jejaka lain dalam hidupnya. Sewaktu menjelajah belantara ilmu di Bumi Laut Mati itu, Aisyah hadir mengisi kekosongan.

Aku minta maaf darimu... Aisyah. Aku tidak tahu seawal perkenalan itu cintamu berputik padaku. Sedangkan aku masih belum bersedia menerima cinta itu lagi setelah gagal dengan cinta pertama. Aku terkasima memikirkan perjalanan hidup di usia remajaku. Aku mula sedar kala perhubungan kita semakin akrab cemburuku mendahului segalanya. Mungkin hatiku mula membina istana cinta terhadapmu. Aku mendapat tahu kau menjalin hubungan dengan lelaki lain. Aku tidak betah menerimamu secara realiti lagi setelah itu, meskipun cintamu terhadapku semakin berkembang. Aku terseret mengungguli cara As-Syahid Syed Qutub yang pernah meninggalkan cintanya terhadap seorang gadis gara-gara gadis itu ada menjalinkan hubungan dengan lelaki lain. As-Syahid kemudiannya menumpukan cintanya pada perjuangan Islam. Beliau akhirnya syahid di tali gantung sebagai hadiah cintanya terhadap janji Ilahi. Aku?

Hubungan kita akhirnya hambar. Lantas sengaja aku gunakan namamu, Aisyah sebagai watak penyeri untuk cerpen Dia Seorang Teman. Aku tidak bermotif menyakitkan hatimu, malah bukan untuk menambah sengsara jiwamu. Niatku sekurang-kurangnya watakmu bersatu dengan cinta Protagonis bernama Syam seperti namaku jua. Itu cara terbaik untukku meminta maaf. Aku kirimkan manuskrip cerpen itu padamu supaya dapat kau membacanya. Itulah motifku yang hakiki.


Selama seminggu selepas aku dihantui suara-suara misteri yang mengakui dirinya sebagai watak-watak cerpen Dia Seorang Teman kuhabiskan untuk mengumpul kekuatan, mencari idea dan menajamkan hujah. Penulisanku tergendala. Beberapa cerpen yang sedang kutulis terbengkalai. Esei ibarat karangan merapu. Malah penghasilan puisi-puisiku hambar dan tidak bernafas lagi. Aku kesesatan dalam belantara dunia penulisan. Dunia yang aku tempah sendiri. Berkenalan dengan penulis-penulis gergasi dan menceduk ilmu daripada mereka sehingga mampu menghasilkan cerpen-cerpen bermutu. Menggulung falsafah dan menaladeni disiplin penulisan yang mapan.

Sentuhan penulisan kreatifku semakin pudar warnanya. Lakaran puisi-puisiku setelah peristiwa itu hanya layak dibakulsampahkan. Kalau dihantar ke meja editor penerbitan hanya untuk menyemakkan cuma. Aku hilang semangat menulis. Rupanya apa yang aku alami disedari beberapa teman karyawan. Sukar aku menjelaskan situasi konflik yang kualami. Mereka pasti tidak memahaminya atau aku bakal ditertawakan nanti.


"Kenapa ni Abang? Termenung saja Su tengok dari tadi." Suraya isteriku mampir menegur. Igauanku serta-merta sirna. Nostalgia sewaktu menjadi Cerpenis alias pengarang kreatif suatu masa dulu hilang. Plot-plot cerpen Dia Seorang Teman yang berlegar di minda hilang tiba-tiba. Aku kini sudah berumah tangga dan keaktifan menulis semakin kurang. Barangkali akibat kesibukan dengan kerjaya sebagai pensyarah di UITM.

"Petang-petang begini memang seronok termenung." Jawabku selamba.
"Ye lah... seronok. Lagi seronok kalau terkenangkan sesuatu yang istimewa." Ujar Suraya sinis memintas sambil perlahan-lahan duduk di kerusi batu sebelahku.
"Istimewa? Tak adalah... Mana ada. Nak kenangkan apa pula?"
"Mana lah Su tahu. Entah-entah...." Aku menoleh ke arah isteriku sambil tersenyum. Kalimah Suraya mati di situ.
"Entah-entah apa?"
"Entah-entah masih teringatkan Si 'dia' agaknya?"
"Siapa?"
"Sapa tu, Ai... Aisyah agaknya." Teka isteriku mengingatkan.
"Mana Su tahu ni?"
"Alah... Su dengar abang sebut nama tu tadi seorang-seorang."
"Betul ke?" Soalku menduga. Suraya menangguk.
"Su... dalam jiwa abang kasih dan sayang abang hanya buat isteri abang. Cinta abang hanya untuk Su! Sebab cinta abang hanya tumpah kepada insan yang menyintai abang. Janganlah salah sangka."


"Akhi. Aku ibarat bayanganmu. Kau ciptakan aku sesedap rasa. Ibarat menterjemah kehidupanmu. Keluarga yang memartabatkan ilmu, Justeru ayahmu menghantar kau belajar di Jordan. Itulah yang kau lakarkan dalam Cerpen Dia seorang Teman. Unik dan cantik sekali lakaranmu terhadap watakku yang juga watakmu." Tutur Suara misteri berwatak Syam memotong perbualanku dengan Suraya.

"Jadi? Kenapa mesti kau tak puas hati dengan ciptaanku terhadapmu?"
"Aku tak puas hati kerana kau ciptakan Aisyah seorang yang terjebak lesbianime." Aku tersenyum mendengar tutur itu.
"Salah?" Soalku sambil mengangkat kening.
"Tentunya."
"Ia hanya sekadar cerpen. Kau harus faham. Cerpen adalah cereka yang belum tentu sahih. Namun tidak dinafikan ada cerpen yang bertitik tolak kisah benar. Dia Seorang Teman; bermotif untuk menonjolkan nilai pengorbanan yang tinggi dari seorang lelaki terhadap seorang wanita bernama Aisyah selain nilai-nilai lain. Aku menyeret khalayak pembaca menilai lesbianisme dan homoseksual adalah kepincangan yang wajib dibuang jauh dari dunia umat Islam." Jawabku yakin.

"Aisyah gadis baik. Berpendidikan agama di peringakat menengah. Dibesarkan dalam keluarga yang bertatasusila. Mengapa kau jebakkan dia dalam lesbianisme?"
"Itu bukan hal pelik. Kau lihat sahaja, ada gadis yang terjebak dalam kancah cinta dengan lelaki berlainan agama sanggup menukar agamanya alias murtad. Itukan lebih teruk?"

"Bukankah lebih baik kau temukan cinta antara aku dan Aisyah awal-awal? Barangkali boleh menghalang Aisyah daripada terjebak lesbianisme."
"Hei... cinta sejati cinta yang perlukan pengorbanan, kesetiaan, kejujuran dan..." Aku mengumpul kekuatan berhujah.
"Cinta sejati jarang tiada halangan. Kau lihat sahaja Kisah Nabi Yusuf dan Zulaikha. Betapa benih cinta di hati Zulaikha tumbuh menyebabkan Yusuf terpenjara. Namun setelah Yusuf dibebaskan dan terpilih menjadi wazir cinta Zulaikha terhadap Yusuf bersatu. Zulaikha ditemui Yusuf di pasar dalam keadaan yang comot menyebut-nyebut nama Yusuf, sedangkan Zulaikha asalnya seorang jelitawan. Itu kisah cinta sejati yang bersatu. Ada juga cinta sejati yang tidak bersatu, terpisah dengan kematian dan sebagainya. Kau masih beruntung. Watakmu kucipta bersatu dengan Aisyah." Jelasku panjang lebar.

"Bukan itu maksudku!"

"Habis maksud kau... aku tidak boleh memisahkan kau dan Aisyah? Kau tidak boleh ke Jordan? Kalian perlu mendaftar di Matrikulasi UIAM bersama-sama. Begitu?" Soalku mendesak. Tiada jawapan terpacul.

"Kau yakin cinta Aisyah padamu? Atau sedalam mana cintamu pada Aisyah? Atau kau nak kepastian ada bibit-bibit cinta Aisyah terhadapku dalam dunia relitinya. Aku baru nak menanam keyakinan. Tapi istana keyakinanku roboh ketika aku dikhabarkan Aisyah menjalin persahabatan dengan lelaki lain. Cemburuku begitu. Akukah yang bersalah tidak mampu menerima cinta Aisyah?"

Soalan terakhirku melenyapkan suara-suara misteri yang menggangguku. Aku lega setelah itu.

Dalam Cerpen Dia Seorang Teman aku menemukan Aisyah dan Syam. Itu cuma watak-watak yang barangkali tidak terjadi antara Syamsul Bukhari dan Aisyah sebenar dalam dunia realiti. Cukuplah sekadar aku menggunungkan falsafah pengorbanan seorang lelaki terhadap seorang temannya dalam cerpen. Dalam dunia nyata hidup bukan ibarat plot-plot cerpen yang bebas dilakarkan. Pengorbananku barangkali sesuai untuk insan lain. Aku menilai cinta sejatiku untuk insan bergelar isteri.

Kali terakhir aku membaca kalimah-kalimah Aisyah sewaktu masih berada di Jordan. Aisyah melafazkan dia sukar melupakan insan bernama Syamsul Bukhari. Sayang. Semuanya sudah terlewat. Aku diikat pertunangan dengan Suraya, gadis pilihan keluarga yang kukenali semenjak kecil lagi. Cinta Suraya terhadapku cinta sejati. Mungkin cinta itu berputik sewaktu ayahnya pernah bergurau untuk berbesan dengan ayahku semasa kami masih kecil.

Sewaktu aku berhempas pulas menamatkan pengajian di Jordan Suraya menamatkan pengajian dalam bidang Usuluddin di Universiti Al-Azhar, Kaherah. Cinta kami bertaut kembali di tanahair dan diikat dengan perkahwinan. Sepertimana aku pernah ciptakan untuk Syam dan Aisyah dalam Dia Seorang Teman.

Semalam aku terima emel dari Aisyah. Dia menjemputku ke majlis perkahwinannya dengan seorang jejaka yang mengembalikan cintanya bernama Hisyam. Masih bernama Syam. Tahniah buatmu Aisyah.

"Abang khayal lagi?"
"Tak... abang tengah fikirkan sesuatu."
"Pasal apa?"
"Anak abang macam mana?" Soalku menukar topik sambil tanganku menjamah perut isteri tercinta seraya mengurut-ngurut cermat. Suraya tersenyum mesra. Perut isteriku semakin membesar hamil anak sulung hasil perkahwinanku dengannya sejak hampir setahun yang lalu.
"Anak abang saja?" Pintas Suraya bernada rajuk.
"Anak abang kan anak Su juga!" Wajah keruh Suraya kembali ayu.
"Bang... apa kita nak namakan anak kita ni?" Soal Suraya manja.
"Kalau perempuan kita namakan Humaira. Mesti comel macam ibunya."
"Emmm... sedap nama tu. Kalau lelaki?
"Kalau lelaki kita namakan Muhammad Al-Amin. macam mana?"

Bukankah Aisyah Ummul Mukminin isteri Nabi Muhammad SAW dipanggil Humaira?

---------



Nukilan,

Akhi Masrawi
Mei 2002


© AKHI MASRAWI


-----------------

= think Islam , think Globally , think Reality =


Bookmark and Share

    


  Member Information For trouver_99Profil   Hantar PM kepada trouver_99   Quote dan BalasQuote

Member Messages

Forum Search & Navigation

 

Log in to check your private messages

Silakan Login atau Mendaftar





  


 

[ Carian Advance ]

Jum ke Forum 




Datacenter Solution oleh Fivio.com Backbone oleh JARING Bukan Status MSCMyPHPNuke Portal System

Disclaimer: Posting dan komen di dalam Portal Komuniti Ukhwah.com ini adalah menjadi hak milik ahli
yang menghantar. Ia tidak menggambarkan keseluruhan Portal Komuniti Ukhwah.com.
Pihak pengurusan tidak bertanggung jawab atas segala perkara berbangkit
dari sebarang posting, interaksi dan komunikasi dari Portal Komuniti Ukhwah.com.


Disclaimer: Portal Komuniti Ukhwah.com tidak menyebelahi atau mewakili mana-mana parti politik
atau sebarang pertubuhan lain. Posting berkaitan politik dan sebarang pertubuhan di dalam laman web ini adalah menjadi
hak milik individu yang menghantar posting. Ia sama-sekali tidak ada
kena-mengena, pembabitan dan gambaran sebenar pihak pengurusan Portal Komuniti Ukhwah.com

Portal Ukhwah
© Hakcipta 2003 oleh Ukhwah.com
Tarikh Mula: 14 Mei 2003, 12 Rabi'ul Awal 1424H (Maulidur Rasul)
Made in: Pencala Height, Bandar Sunway dan Damansara Height
Dibina oleh Team Walasri




Loading: 0.087151 saat. Lajunya....