Array
Welcome To Portal Komuniti :: Ukhwah.com

  Create An Account Home  ·  Topik  ·  Statistik  ·  Your Account  ·  Hantar Artikel  ·  Top 10 29-03-2024  

  Login
Nickname

Password

>> Mendaftar <<

  Mutiara Kata
Laut yang tenang tidak menghasilkan nelayan berani

-- Kang

  Menu Utama

  Keahlian Ukhwah.com
Terkini: navratan
Hari Ini: 0
Semalam: 0
Jumlah Ahli: 43152

  Sedang Online
Sedang Online:
Tetamu: 302
Ahli: 0
Jumlah: 302




  Yang Masuk Ke Sini
muslimin23: 2 hari yang lalu
Rashdin: 27 hari yang lalu


Sirah dan Tokoh Islam
Topik: Haji Abdul Rahman Limbong, Ulama Yang Warak & Pejuang Bangsa Sejati


Carian Forum

Moderator: Administrator
Portal Komuniti :: Ukhwah.com Indeks Forum
  »» Sirah dan Tokoh Islam
    »» Haji Abdul Rahman Limbong, Ulama Yang Warak & Pejuang Bangsa Sejati

Please Mendaftar To Post


Oleh Haji Abdul Rahman Limbong, Ulama Yang Warak & Pejuang Bangsa Sejati

Uswah_teladan
Warga 4 Bintang
Menyertai: 18.06.2007
Ahli No: 30310
Posting: 168
Dari: Sandakan

Sabah   avatar


posticon Posting pada: 31-08-08 22:54


/

Haji Abdul Rahman Limbong merupakan seorang ulama memiliki peribadi yang sangat menarik dan warak. Beliau juga seorang ulama pejuang menentang penjajah di Terengganu yang sangat disegani. Nama sebenarnya ialah Haji Abdul Rahman bin Haji Abdul Hamid bin Abdul Qadir. Sumber sejarah menerangkan bahawa ayahanda beliau berasal dari keturunan Patani. Tarikh kelahiran Haji Abdul Rahman Limbong sebenarnya tidak dapat dipastikan. Tapi dari sekian banyak maklumat dan rujukan dapat dipastikan beliau dilahirkan sekitar tahun 1285H/1868M.

Semasa kecilnya, seperti kanak-kanak lain, beliau dihantar oleh ayahandanya untuk mendalami pengajian agama Dan sememangnya di zamannya, perkembangan Islam cukup pesat. Oleh kerana itu tidak hairanlah jika beliau sejak kecil lagi sudah menerima pendidikan agama. Ada sumber-sumber yang menjelaskan bahawa sejak kecil lagi beliau menghabiskan masa bersama-sama bapa saudara beliau iaitu Haji Tun Muhammad Zain di Makkah. Setelah dewasa, beliau dibawa semula kembali ke Terengganu. Kepesatan perkembangan pondok-pondok pengajian yang begitu banyak di zaman itu mendorong beliau untuk mendalami lagi pengajian agama. Di antara pondok-pondok yang terdapat di jajahan Terengganu, pondok Tokku Palohlah yang terkenal serta menjadi tumpuan para pelajar. Timbullah keinganan beliau untuk mengaji di pondok Tokku Paloh. Sebelum itu, sebagai persiapan ke pondok Tokku Paloh, beliau terlebih dahulu berguru kepada Tuan Guru Haji Yaakob Paya Bunga dalam pelajaran nahu saraf dan feqah. Dan beliau dikatakan hanya mengambil masa selama kira-kira dua bulan sahaja untuk menguasai pelajaran tersebut.

Dikatakan juga bahawa Haji Abdul Rahman Limbong sebagai seorang murid yang agak luar biasa kecerdasan akalnya. Sehingga dengan itu beliau mampu untuk mengajar murid-murid Haji Yaakob Paya Bunga yang lain. Dan sememangnya sejak kecil lagi telah terlihat pada diri beliau tanda-tanda yang beliau akan menjadi seorang tokoh yang terkenal dalam sejarah.

Setelah tamat mengaji kepada Haji Yaakob Paya Bunga, beliau mengaji pula kepada Haji Wan Musa. Dengan ilmu yang telah diperolehi dari Haji Yaakob Paya Bunga dan Haji Wan Musa, barulah beliau mula untuk merapatkan diri dengan pondok pengajian Tokku Paloh. Untuk pergi ke pondok pengajian Tokku Paloh dari tempat kediaman beliau, terpaksalah beliau berulang alik menaiki perahu. Semuanya ini dilakukan dengan penuh kesabaran dan ketabahan demi mendalami lagi pengetahuan agama. Hal yang semacam inilah yang dilalui oleh para ulama di zaman beliau sebelum mereka terkenal sebagai seorang ulama terkemuka.

Pada peringkat awal pengajian beliau dengan Tokku Paloh, beliau hanya menjadi khadam kepada Tokku Paloh. Beliau bertugas sebagai menyapu halaman rumah, membersihkan surau, menyediakan kayu api, mengisi air di kolah surau dan sebagainya. Dan sememangnya cara sedemikian dilalui oleh kebanyakan para ulama sufi demi peningkatan rohani. Melalui pendidikan seperti inilah akhirnya mereka menjadi tokoh-tokoh terkemuka di zaman mereka. Dan ini juga merupakan salah satu proses pendidikan tasauf demi untuk melahirkan manusia yang benar-benar bertaqwa.

Lama kelamaan, kelakuan beliau akhirnya diketahui oleh Tokku Paloh. Timbul rasa kasih Tokku Paloh terhadap beliau kerana kesungguhannya untuk belajar. Dan akhirnya beliau diterima menjadi murid kepada Tokku Paloh dan belajar bersama-sama pelajar-pelajar lain.

Haji Abdul Rahman Limbong mempunyai kecekapan yang agak luar biasa. Dalam masa yang singkat sahaja beliau dapat telah menguasai segala pelajaran yang diajarkan. Di samping itu beliau terkenal sebagai seorang yang sangat menghormati guru. Segala suruhan serta arahan guru-gurunya, dilaksanakan serta dipatuhi dengan segera. Apabila berhadapan dengan tuan gurunya, Tokku Paloh, beliau tidak pernah untuk mengangkat muka, betapalah pula untuk bertentangan mata. Kerana semuanya ini merupakan adab-adab dalam berguru sebagaimana yang telah diterangkan dengan panjang lebar oleh Imam al-Ghazali di dalam Ihya Ulumuddin.

Oleh kerana beliau boleh dikatakan di antara murid Tokku Paloh yang terpintar serta baik akhlaknya, maka tidak hairanlah mengapa Tokku Paloh begitu sayang dan kasih terhadap beliau. Tokku Paloh semacam mengharapkan Haji Abdul Rahman Limbong sebagai pengganti beliau selepas beliau meninggal dunia. Dan akhirnya ternyata bahawa Haji Abdul Rahman Limbong mewarisi kepimpinan serta perjuangan yang dilaksanakan oleh Tokku Paloh.

Oleh kerana beliau menjadi khadam kepada Tokku Paloh, membuat kerja yang berbagai-bagai, maka kuranglah masa beliau untuk dapat menghadiri majlis pengajian ilmu. Oleh kerana itu beliau hanya mendengar pengajian di tepi kolah sambil menatap kitab yang digunakan oleh Tokku Paloh. Hal ini dilakukan tanpa disedari oleh sesiapa pun. Dan apabila selesai sahaja pengajian, beliau menyembunyikan kitabnya di celah-celah atau surau. Ini menunjukkan yang yang beliau tidak mahu diketahui turut sama-sama belajar dengan murid-murid Tokku Paloh yang lain.

Oleh kerana Tokku Paloh memimpin tarekat Naqsyabandiyah, maka dengan tidak secara langsung Haji Abdul Rahman Limbong juga turut mengamalkan tarekat tersebut. Tarekat Naqsyabandiyah boleh juga dikatakan sebagai satu tarekat yang cukup terkenal serta banyak diamalkan dari dahulu sehinggalah ke hari ini. Di gugusan Kepulauan Melayu, tarekat Naqsyabandiyah boleh dikatakan memenuhi pondok-pondok pengajian di masa itu. Dan oleh kerana itu, peranan tarekat ini cukup besar sekali dalam pembentukan masyarakat Islam di sebelah sini.

Hasil dari pengajian tasauf serta amalan tarekat Naqsyabandiyah, lahirlah pada diri beliau sifat-sifat yang terpuji seperti zuhud, merendah diri, berakhlak tinggi dan sebagainya. Di antara sikap beliau ialah tidak suka menonjolkan diri walaupun beliau boleh dikatakan sebagai murid yang terpintar di antara murid-murid yang lain. Oleh kerana itu kita dapat difahamkan bahawa beliau lebih suka mengasingkan diri dari murid-murid Tokku Paloh yang lain. Beliau juga dikatakan mengulangkaji segala pelajaran secara bersendirian. Keadaan seumpama ini adalah melambangkan keperibadian seorang yang layak menjadi tokoh di tengah masyarakat. Sebab itu tidak hairan mengapa orang yang seumpama ini tetap menjadi ikutan serta tumpuan orang ramai.

Sifat Peribadi Yang Menarik

Sebenarnya, sejak kecil lagi telah terlihat sifat serta peribadi beliau yang terkenal warak, bersopan-santun, merendah diri, tenang hati dan sebagainya. Ini semuanya hasil didikan Tokku Paloh yang bertindak sebagai guru beliau. Demikianlah beliau menjalani alam pendidikan pondok sehingga akhirnya menjadi seorang ulama serta pemimpin yang berjuang ke tengah masyarakat. Kealiman beliau dalam bidang agama serta kesungguhan beliau mengamalkan tarekat Naqsyabandiyah, sehingga menyebabkan beliau mempunyai keperibadian yang cukup baik.

Haji Abdul Rahman Limbong memanglah diakui sebagai seorang yang sangat mengasihi kanak-kanak serta memuliakan orang-orang miskin serta anak-anak yatim. Lebih dari itu, beliau sanggup merendahkan diri dengan mencuci air kencing kanak-kanak yang sering datang ke surau beliau. Inilah satu sikap yang perlu ada kepada seorang pemimpin, iaitu perlu menunjukkan contoh serta teladan kepada mereka yang berada di bawah pimpinan mereka. Keadaan seumpama ini bukan menurunkan darjat mereka, bahkan akan menyebakan bertambahnya kepercayaan orang ramai terhadap mereka.

Di antara sikap Haji Abdul Rahman Limbong ialah suka sekali menolong orang yang sedang berada dalam kesusahan. Di samping itu beliau juga terkenal kuat beribadah kepada Allah SWT. Sementara pada siang harinya digunakan untuk mengajar murid-murid yang datang kepada beliau. Atas dasar inilah maka sebahagian orang menganggap beliau sebagai salah seorang Wali Allah serta mempunyai pengaruh yang cukup besar dalam masyarakat. Kebaikan serta kesolehan beliau terkenal oleh seluruh rakyat Terengganu.

Oleh kerana kebaikan serta kesolehan beliau terkenal di seluruh Terengganu, ramailah orang yang datang ke rumah beliau untuk berziarah serta meminta nasihat atau minta untuk diselesaikan masalah yang timbul. Segala masalah yang didatangkan kepada beliau tidaklah pernah beliau hampakan, malah sedaya upaya beliau cuba menyelesaikannya. Ini dengan sendirinya menambahkan lagi kepercayaan serta keyakinan orang ramai terhadap beliau.

Suatu hal yang istimewa mengenai peribadi beliau ialah sikap warak beliau. Beliau amat menghalusi tiap-tiap perkara yang haram dan subahat, terutama dalam soal makan dan minum. Ini mungkin beliau berpegang kepada hadis Rasulullah s.a.w. yang di antara lain menyebut bahawa hati manusia itu ditempah oleh makan dan minum. Apabila makanan dan minuman itu mengandungi perkara subahat, sudah tentu ianya akan dengan sendirinya merubah sikap serta peribadi seseorang. Dan atas dasar inilah maka beliau amat menjaga makan dan minum beliau serta hal-hal yang lainnya.

Mereka yang mengenali serta pernah bersama-sama beliau menyebutkan bahawa beliau tidak pernah singgah atau makan dan minum di kedai. Kerana lazimnya makan dan minum di kedai dengan sendirinya menjatuhkan kewibawaan seseorang pemimpin masyarakat. Umumnya diketahui bahawa di kedai-kedai selalu belaku perkara-perkara yang mungkar. Oleh kerana itu tidak hairanlah mengapa beliau tidak mahu singgah apatah lagi makan minum di kedai.

Seorang ulama serta pejuang di tengah masyarakat, sudah tentu merupakan orang yang sanggup mengorbankan kepentingannya demi perjuangan yang didukungnya. Lebih dari itu kebendaan bukanlah menjadi tujuan serta harapan dalam perjuangan. Apa yang menjadi harapan bagi mereka ialah untuk semata-mata membangunkan syariat Allah bertapak kukuh di atas muka bumi. Oleh kerana itu tidaklah hairan mengapa Haji Abdul Rahman Limbong tidak pernah sekali-kali meletakkan kebendaan sebagai suatu perkara yang penting.

Ini dapat diteliti berdasarkan kepada kehidupan rumahtangga beliau yang memang agak sederhana sekali. Tidak terdapat apa-apa perhiasan yang berharga di dalam rumah beliau kecuali barang-barang yang dianggap perlu dalam kehidupan. Seorang ahli tarekat apatah lagi seorang syeikh tarekat, sudah tentu tidak mahu keadaan rumahnya itu bersarang dengan bentuk-bentuk keduniaan. Kerana kehidupan yang agak mewah dengan sendirinya akanmenyebabkan penghuninya lalai serta berat dalam mengerjakan amal ibadah. Ini dapat diperhatikan jika kita mengikuti pengajian-pengajian tasauf yang amat menitikberatkan persoalan ini. Al-Quran dan hadis Rasulullah s.a.w. sendiri pun berulangkali menerangkan bahawa kehidupan dunia ini serta segala macam perhiasan dunia ini merupakan penipuan kepada manusia yang hidup di atas muka bumi.

Haji Abdul Rahman Limbong memang sentiasa mengenakan pakaian yang melambangkan ciri-ciri keIslaman. Oleh kerana itu beliau sentiasa memakai baju Melayu atau jubah putih serta memakai serban. Ke mana-mana pun beliau sentiasa memakai terompah yang diperbuat sendiri atau pun dibeli dari orang lain. Kewarakkan beliau nampak jelas dengan sikap beliau yang tidak suka sama sekali memakai kasut yang diperbuat di kedai apatah lagi yang diperbuat oleh orang kafir. Lebih hebat lagi, apabila beliau berjalan melalui perkampungan orang-orang kafir, beliau akan menyamak kaki beliau.

Sebagai seorang ulama yang warak lagi taat kepada Allah SWT dan di samping sebagai seorang masyaikh tarekat Naqsyabandiyah, beliau amat kuat menjaga syariat. Ketelitian beliau dalam menjaga syariat dapat dilihat berdasarkan kepada kehidupan beliau sendiri. Tidak pernah sama sekali beliau bertentangan mata dengan kaum wanita walaupun dengan murid-murid beliau sendiri. Beliau juga akan menundukkan pandangan serta menyisihkan diri apabila bertembung dengan kaum wanita.

Sebagaimana guru-guru serta ulama pondok yang lain, beliau juga mempunyai dua khadam yang secara sukarela menolong beliau menyelesaikan tugas-tugas di rumah. Kedua-dua mereka ialah Haji Hussin bin Muhammad dan Haji Ali Yaakob. Mereka mendakwa bahawa mereka sama sekali tidak pernah melihat isteri Haji Abdul Rahman Limbong. Mereka berdua hanya dibenarkan mengangkat air untu kegunaan beliau setakat di hadapan pintu sahaja. Setelah mereka berdua pergi, isteri beliau akan membawa air itu masuk ke dalam rumah.

Demikian keterangan bagaimana kuatnya beliau menjaga syariat. Isteri beliau akan sentiasa mengenakan pakaian jilbab apabila keluar rumah bersama beliau kerana sesuatu urusan. Di kampung beliau sendiri, diadakan sekatan tempat permandian di antara kaum lelaki dan kaum wanita. Peraturan ini sengaja beliau adakan bertujuan tidak berlaku fitnah apabila lelaki dan wanita bercampur-gaul.

Keramat dan Kewaliannya

Sebenarnya, bakat kepimpinan serta keistimewaan yang ada pada beliau itu sudah pun kelihatan sejak beliau masih lagi berguru kepada Tokku Paloh. Beliau suka beruzlah (mengasingkan diri) daripada murid-murid Tokku Paloh yang lain. Seringkali beliau berulang-alik dari rumahnya ke pondok dengan bersendirian, walaupun jarak di antara rumahnya dengan pondok pengajian Tokku Paloh agak jauh. Keadaan beliau yang begini menimbulkan kehairanan di kalangan orang-orang yang sering memerhatikan segala kelakuan beliau.

Diceritakan bahawa ada tiga orang lelaki telah mengintai kelakuan Haji Abdul Rahman Limbong yang boleh menhilangkan diri dari pandangan manusia. Ketiga-tiga lelaki tersebut memanjat pokok kelapa di tepi sungai tempat beliau menyeberang sungai. Timbul kehairanan di hati mereka kerana di tepi sungai tersebut tidak pun terdapat perahu, rakit atau sebagainya.

Haji Abdul Rahman Limbong kelihatan duduk berselimut di atas batu yang agak besar di tepi sungai. Tiba-tiba sahaja beliau hilang dari pandangan dan sudah berada di tebing seberang sungai tersebut. Ini adalah beberapa keramat yang Allah SWT izinkan terjadi kepada beliau.

Mengikut cerita yang lain pula, Haji Abdul Rahman Limbong juga dipercayai tidak basah apabila ditimpa hujan walaupun cuma berterendak. Keadaan yang sama dikatakan pernah dialami oleh seorang mudridnya yang berteduh di dalam jubah beliau semasa mereka bersama di dalam perahu menghilir sungai, manakala orang lain yang menjadi pengayuh basah ditimpa hujan.

Suka Mengembara

Selain mengajar, Haji Abdul Rahman Limbong adalah seorang ulama yang suka mengembara atau merantau ke beberapa buah negeri. Soal kewangan untuk mengembara tidak sukar baginya kerana di mana tempat beliau berpijak, ada saja penduduk yang mahu menjadi muridnya. Pengembaraan yang dekat dengan Terengganu di antaranya ialah Beserah, Kuantan, kedua-duanya dalam Pahang. Selanjutnya Kelantan, Patani, Kedah dan lain-lain.

Negeri-negeri seberang laut yang pernah beliau merantau ialah Sambas, Jambi, Riau dan Brunei. Di negeri-negeri seberang laut itu juga terdapat murid-murid Haji Abdul Rahman Limbong.

Pengembaraan beliau ke negeri-negeri tersebut mempunyai kisah yang panjang, tetapi yang dapat diungkapkan di sini ialah tentang di Sambas dan Kepulauan Riau saja. Dalam pelayaran di laut, Haji Abdul Rahman Limbong menggunakan perahu buatan orang Terengganu sendiri. Beliau berlayar bersama-sama dengan murid-muridnya dari Terengganu dan juga ahli pelayaran pada zaman itu, bahawa mereka telah menggunakan perahu-perahu yang berukuran besar yang boleh dimuat barang-barang antara 100 hingga 350 tan.

Penjajahan & Campur Tangan Inggeris

Haji Abdul Rahman Limbong juga dikatakan sebagai seorang tuan guru yang sama masyhurnya dengan Tokku Paloh di masa itu. Oleh kerana itu, tidaklah begitu menghairankan jika Haji Abdul Rahman Limbong mendapat sambutan yang baik dari orang ramai yang mengenali beliau. Syed Sagof merpakan murid kesayaangan Haji Abdul Rahman Limbong. Bahkan lebih dari itu, beliau sentiasa mengharapkan bahawa suatu masa kelak Syed Sagof akan menggantikan beliau untuk meneruskan perjuangan yang beliau dukung selama ini.

Untuk itu, mereka merasakan perlu ada penentangan terhadap pihak penjajah Inggeris yang mana tujuan utama mereka turut campur tangan dalam pemerintahan ialah untuk menghancur serta meleburkan syariat Islam. Pihak penjajah telah sedikit demi sedikit menanamkan perasaan bencikan agama kepada golongan atasan serta rakyat sekeliannya. Ini dilakukan oleh mereka dengan membawakan bentuk kehidupan mewah serta pendidikan yang secara terang-terangan bertentangan dengan cara hidup beragama.

Para ulama serta tuan guru-tuan guru yang mempunyai jiwa cintakan agama telah bangkit menyeru rakyat untuk melakukan penentangan terhadap pihak penjajah Inggeris. Sungguh pun begitu, pada peringkat awal penentangan itu dilakukan bukan dengan bentuk senjata. Tetapi akhirnya terpaksalah mereka bengkit menentang menggunakan senjata setelah penentangan secara perlahan tidak berjaya memadamkan pengaruh penjajah yang semakin hari semakin meningkat.

Sebenarnya, kemasukan pihak penjajah dalam pentadbiran negeri-negeri Tanah Melayu bertujuan untuk menyerapkan unsur-unsur kehidupan dan kebudayaan mereka ke dalam kehidupan orang-orang Melayu yang pada ketika itu kuat berpegang dengan agama. Kita tidak hairan mengapa kehadiran mereka tidak disukai oleh rakyat. Tambahan pula kehadiran mereka ke negeri-negeri sebelah timur adalah sebagai lanjutan dari Peperangan Salib yang berlaku selama beberpa abad.

Dalam tahun 1920-an, Inggeris campur tangan untuk mentadbir tanah di lokasi Kuala Telemong hingga ke Ulu Telemong. Setiap ekar tanah yang dibuka oleh rakyat dikenakan cukai oleh penjajah Inggeris.

Oleh sebab itulah, Haji Abdur Rahman Limbong dalam hujah-hujahnya di mahkamah bahawa tanah yang dibuka oleh rakyat itu adalah hak Allah bukannya hak negeri. Mungkin maksud negeri itu adalah yang ada campur tangan penjajah Inggeris.

Haji Abdur Rahman Limbong menegaskan bahawa tanah yang mereka miliki adalah tanah pusaka peninggalan orang-orang tua mereka yang datang dari Johor bersama-sama dengan Sultan Zainal Abidin I, Sultan Terengganu yang pertama. Dari riwayat ini dapat kita membuat kesimpulan bahawa orang-orang Melayu Islam di Hulu Terengganu dalam tahun 1920 lagi, di bawah bimbingan Haji Abdur Rahman Limbong, sudah kenal jati diri, kenal terhadap haknya, kenal terhadap tanah air, dan kenal terhadap bangsa sendiri.

Setelah menggunakan berbagai tipu helah maka pihak Inggeris telah berjaya turut campur tangan dalam pemerintahan kerajaan Terengganu yang pada asalnya berasaskan perundangan Islam. Pihak penjajah sengaja mengenepikan perundangan Islam, sebaliknya menampilkan undang-undang ciptaaan mereka sendrri. Di samping itu mereka juga telah membawa unsur-unsur kehidupan serta kebudayaan mereka yang akhirnya berjaya mengubah akhlak serta kehidupan umat Islam sehingga ke hari ini.

Para ulama yang mempunyai jiwa cintakan agama memberi kesedaran kepada umat agar kembali semula kepada ajaran Islam. Tetapi seruan mereka hanya mendapat perhatian di kalangan rakyat berbanding dengan golongan atasan. Sementara itu, peraturan-peratauran yang dikenakan oeleh pihak penjajah Inggeris cuba mnekan kehidupan masyaraat yang kebanyakkannya terdiri dari kaum tani yang miskin.

Lama kelamaan pihak penjajah mula meragui Haji Abdul Rahman Limbong serta menganggap beliau sebagai merbahaya kerana dikatakan menghasut rakyat untuk menentang kerajaan. Sungguhpun demikian, pihak Inggeris tidak berani mengambil apa-apa tindakan terhadap beliau. Ini mungkin disebabkan bahawa apa yang beliau lakukan tidak menampakkan apa-apa kesalahan.

Di samping itu terdapat seorang tokoh ulama yang turut menyeru rakyat menentang pihak penjajah. Beliau ialah Haji Musa bin Abdul Ghani Minangkabau. Beliau telah menebut kepaa rakyat bahawa barangsiapa yang membayar pas menebas pas menebas (cukai) dan hasil-hasil tanah akan termasuk golongan kafir. Beliau juga berkata, ā€¯Barangsiapa yang tidak mahu mengikut hukum syarak, Nabi tidak mengaku umatnya.ā€¯

Penentangan 21 Mei 1928

Akhirnya berlakulah peristiwa penentangan rakyat Terengganu terhadap pihak penjajah. Puncak kebangkitan rakyat menentang kerajaan ini ialah pada 21 Mei 1928. Kebangkitan 1928 melibatkan konflik berdarah, apabila perkumpulan dan kemaraan petani telah ditentang oleh pihak kerajaan di Ulu Telemong.

Dalam perkara ini Haji Abdul Rahman Limbong disalahkan sebagai orang yang bertanggungjawab menimbulkan pemberontakan dan penentangan ini. Oleh kerana itu, pihak penjajah meneluarkan ancaman untuk menangkap beliau. Untuk meredakan suasana yang berlaku, maka Haji Abdul Rahman Lombong menyerah diri di Istana Maziah. Tidak ada seprang pun yang berani mendekati beliau semasa berada di istna tersebut. Beliau menafikan tuduhan yang mengatakan bahawa beliaulah yang menjadi punca berlkunya penetangan rakyat terhadap pihak penjajah.

Atas tuduhan tersebut, Haji Abdul Rahman Limbong dihadapkan ke perbicaraan mahkamah. Perbicaraan tersebut dibuat di padang dan disaksikan oleh pegawai Inggeris serta orang ramai. Kebetulan pula kerusi yang beliau duduki itu menghadap ke arah kiblat, maka beliau terus menerus bersolat sepanjang majlis perbicaraan tersebut berjalan.

Akhirnya keputusan diambil oleh pihak Inggeris yang mana Haji Abdul Rahman Limbong dibuang negeri ke Makkah. Sebelum itu terdapat pihak-pihak yang mensyorkan supaya beliau dibuang negeri ke China. Tetapi akhirnya keputusan diambil bahawa beliau dibuang negeri ke Makkah. Dan sememangnya haji Abdul Rahman Limbong sendiri bercadang untuk menghabiskan sisa-sisa umurnya ke Makkah.

Pembuangan Di Makkah & Wafatnya

Sungguhpun beliau telah dibuang ke Makkah, namun pengajaran dan perjuangan yang beliau bangunkan masih tetap utuh. Beliau masih tetap mengajar walaupun berada di Makkah. Ramai murid-murid beliau yang menyambung semula pengajian kepada beliau di Makkah ataupun menemui beliau sewaktu menunaikan ibadah haji.

Sewaktu beliau di Makkah, pernah beliau meminta kebenaran untuk pulang sebentar ke Terengganu. Tetapi malangnya permintaan beliau ditolak dengan alasan bahawa beliau nanti akan menimbulkan semangat kepada rakyat Terengganu. Akhirnya, setelah sekian lama beliau berkhidmat mengajar berbagai pengetahuan tentang agama di Makkah, maka beliau pun dijemput oleh Allah SWT untuk mangadapNya. Beliau meninggal dunia pada 14 Jamadilakhir 1348 (1929) kerana menghidap penyakit di dalam perut. Dengan itu berakhirlah perjuangan seorang ulama yang berpengaruh serta pengajarannya cukup ketara di dalam kehidupan masyarakat Islam Terengganu sehinggalah ke hari ini.

Demikianlah beliau yang dengan ketokohannya menjadi seorang ulama, dapat menjadi contoh serta teladan kepada generasi para ulama selepas beliau. Dan tidak sepatutnya para ulama hanya mendiamkan diri tanpa membuar sesuatu untuk kepentingan agama. Sepatutnya hendaklah diketahui, bahawa perjuangan yang dilaksanakan oleh Haji Abdul Rahman Limbong ialah untuk menegakkan kesucian agama dari pengaruh-pengaruh Barat yang menjejaskan keimanan umat Islam di waktu itu.

Susunan:
M.A.Uswah,
Sandakan,
31 Ogos 2008.

Rujukan:
- Ringkasan Riwayat 11 Tokoh-Tokoh Sufi susunan Hamizan Hussin, terbitan Bismi Publishers, 1993.
- Ulama Terengganu, Suatu Sorotan suntingan Muhammad Abu Bakar, terbitan Utusan Publications & Distributors Sdn Bhd, 1991.
- Haji Abdur Rahman Limbong, Ulama dan Pahlawan Melayu tulisan Wan Mohd Shaghir Abdullah, Utusan Malaysia, 2007.

http://tamanulama.blogspot.com


-----------------
http://tamanulama.co.cc
http://potretulama.multiply.com


Bookmark and Share

    


  Member Information For Uswah_teladanProfil   Hantar PM kepada Uswah_teladan   Pergi ke Uswah_teladan's Website   Quote dan BalasQuote

Member Messages

Forum Search & Navigation

 

Log in to check your private messages

Silakan Login atau Mendaftar





  


 

[ Carian Advance ]

Jum ke Forum 




Datacenter Solution oleh Fivio.com Backbone oleh JARING Bukan Status MSCMyPHPNuke Portal System

Disclaimer: Posting dan komen di dalam Portal Komuniti Ukhwah.com ini adalah menjadi hak milik ahli
yang menghantar. Ia tidak menggambarkan keseluruhan Portal Komuniti Ukhwah.com.
Pihak pengurusan tidak bertanggung jawab atas segala perkara berbangkit
dari sebarang posting, interaksi dan komunikasi dari Portal Komuniti Ukhwah.com.


Disclaimer: Portal Komuniti Ukhwah.com tidak menyebelahi atau mewakili mana-mana parti politik
atau sebarang pertubuhan lain. Posting berkaitan politik dan sebarang pertubuhan di dalam laman web ini adalah menjadi
hak milik individu yang menghantar posting. Ia sama-sekali tidak ada
kena-mengena, pembabitan dan gambaran sebenar pihak pengurusan Portal Komuniti Ukhwah.com

Portal Ukhwah
© Hakcipta 2003 oleh Ukhwah.com
Tarikh Mula: 14 Mei 2003, 12 Rabi'ul Awal 1424H (Maulidur Rasul)
Made in: Pencala Height, Bandar Sunway dan Damansara Height
Dibina oleh Team Walasri




Loading: 0.084821 saat. Lajunya....