BARU-baru ini Kementerian Pelajaran mengumumkan kenaikan pangkat 23,471 pegawai di sektor pendidikan membabitkan pensyarah Institut Aminuddin Baki (IAB), pensyarah Institut Pendidikan Guru (IPG), pensyarah Kolej Matrikulasi, guru tingkatan enam dan guru sekolah menengah yang mempunyai lebih 1,750 murid, dinaikkan berkuatkuasa 1 Januari lalu.
Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia (KPPM), Datuk Alimuddin Mohd. Dom berkata, kenaikan gred pensyarah di IAB itu membabitkan sejumlah 757 jawatan iaitu satu untuk kategori DG54, 77 (DG52), 250 (DG48) dan 429 (DG44).
Kenaikan gred pensyarah di IPG pula melibatkan 4,772 jawatan iaitu 28 untuk DG54, 584 (DG52), 1,933 (DG48) dan 2,227 (DG44); serta 3,160 jawatan di Kolej Matrikulasi, iaitu 256 untuk DG52, 1,085 (DG48) selain 1,719 (DG44).
“Kelulusan terbesar permohonan menerusi Anggaran Belanja Mengurus (Perjawatan) 2008 itu membuka peluang kenaikan pangkat kepada Pegawai Perkhidmatan Pendidikan Siswazah (PPRS) di seluruh negara, termasuk Sabah dan Sarawak. Urusan pengisian jawatan adalah secara berterusan dan bukan secara sekali saja,” katanya.
Sementara itu, Setiausaha Agung Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP), Lok Yim Pheng berkata, pengumuman KPPM itu tepat pada masanya selaras usaha meningkatkan profesionalisme perguruan.
Bagi para pensyarah terutamanya di institut perguruan seluruh negara, pengumuman seperti ini sudah beberapa tahun dinantikan. Ibarat menunggu buah yang tak gugur, begitulah mungkin perumpamaan yang sesuai diungkapkan kepada para pendidik di IPG setiap kali menunggu janji yang ditabur pihak terlibat.
Walau bagaimanapun, berkat kesabaran dan keikhlasan para pensyarah menunaikan tugas, akhirnya yang dinanti kini tiba. Setelah menerima kenaikan pangkat yang bersesuaian dengan kelayakan yang ditetapkan, tibalah masanya pula untuk meningkatkan produktiviti.
Dalam konteks IPG, pensyarah mereka memang amat berkualiti. Ini kerana terlalu banyak saringan diadakan untuk memilih pensyarah yang benar-benar layak memikul amanah membimbing bakal-bakal guru yang akan mendidik anak bangsa menjadi insan berguna.
Antara syarat pensyarah baru di IPG ialah; sekurang-kurangnya memiliki ijazah sarjana dalam bidang yang berkaitan dan diploma pendidikan. Mereka mestilah pegawai perkhidmatan pendidikan siswazah yang telah disahkan jawatan dan perlu memiliki pengalaman mengajar di sekolah, sekurang-kurangnya lima tahun.
Oleh kerana saingan yang terlalu sengit, maka hanya calon pensyarah yang melebihi tahap kelayakan asas sahaja yang dipertimbangkan. Sehubungan itu tidak hairanlah jika ramai pemohon adalah di kalangan guru sekolah yang telah memiliki ijazah kedoktoran dalam bidang pendidikan. Selain itu, kebanyakan mereka juga berpengalaman mengajar lebih 15 tahun.
Calon pensyarah ini terlebih dahulu melalui berbagai saringan sebelum dilantik. Antaranya ialah ujian bertulis dan sesi temuduga. Dalam sesi temuduga, antara kriteria yang diberi perhatian ialah sahsiah calon, kemahiran berkomunikasi dan markah prestasi melebihi 90 peratus selama tiga tahun berturut-turut.
Setelah dilantik, para pensyarah perlu mengikuti kursus sebanyak tiga fasa. Fasa pertama diadakan di institut-institut perguruan masing-masing selama empat hari pada Mac lalu. Fasa kedua diadakan mengikut zon sama ada utara, tengah, timur, selatan dan zon Sabah dan Sarawak selama empat hari pada minggu lepas. Fasa ketiga pula dijangka diadakan minggu hadapan mengikut zon masing-masing.
Dengan kata lain, pensyarah baru yang mendidik bakal guru di IPGM merupakan pensyarah yang berkualiti. Mereka bukan sekadar memiliki ‘pen’ dan kemudian ber‘syarah’ di hadapan pelajar. Sebaliknya, para pensyarah baru ini amat diharapkan dapat membina insan guru yang bertaraf dunia.
Semoga dengan kenaikan pangkat ini, para pensyarah lebih bersemangat menjalankan tugas dengan penuh dedikasi. Pengumuman kenaikan ini bolehlah dijadikan pemangkin untuk menjayakan misi negara.
Dalam bahasa Arab, pensyarah dipanggil al-Mu-ha-dhir. Ia berasal daripada gabungan ha-dhat-ra yang bermakna hadir. Ia boleh diertikan sebagai seorang yang hadir dan menghadirkan sesuatu yang baru iaitu ilmu kepada para pelajar.
Manakala perkataan pensyarah berasal daripada perkataan syin-ra-ha iatu syarah. Untuk lebih terperinci, rajah di atas menjelaskan beberapa perkataan yang berkaitan dengan gabungan syin-ra-ha.
-----------------