APABILA kita menyebutkan bulan Ramadan, ia sentiasa dikaitkan dengan peristiwa besar yang berlaku dalam sejarah Islam iaitu peristiwa nuzul al-Quran. Peristiwa nuzul al-Quran berlaku pada malam Jumaat, 17 Ramadan, tahun ke-41 daripada keputeraan Nabi Muhammad s.a.w.
Melalui sejarah penurunannya yang berlaku ribuan tahun yang lalu kepada Nabi besar Muhammad s.a.w. telah mencatatkan bahawa ia diturunkan pada malam 17 Ramadan yang menampilkan ayat Iqra’ sebagai pembuka wahyu. Penurunannya telah mula membuka satu lembaran baru dalam era kehidupan dan ketamadunan manusia di alam ini khususnya di tanah kelahiran Nabi Muhammad s.a.w.
Bermula dari kehidupan yang serba mencabar emosi, penindasan, penghambaan dan kepercayaan animisme yang mewarnai sosio-budaya dan siasah tanah Arab pada waktu itu.
Mereka tidak melepaskan peluang yang ada sebaliknya terus menerima al-Quran sebagai arah panduan hidup mereka dan berusaha membuat sesuatu dengan baik dan lebih baik dari yang sebelumnya.
Banyak contoh yang boleh kita baca daripada tulisan tangan para ulama dan pengkaji sejarah Islam seperti kejayaan Abdul Rahman bin Auf .a. yang akhirnya bergelar jutawan hasil kegigihannya mengikut petunjuk al-Quran iaitu berusaha dengan tekun, rajin, jujur dan ikhlas.
Penurunan al-Quran sebenarnya telah memberi nilai tambah dan membina kualiti hidup yang tidak pernah dirasai oleh umat manusia sebelum ini. Nilai-nilai akhlak al-Quran yang dipelopori oleh Baginda Nabi s.a.w. menjadikan kualiti manusia lebih bernilai dan berharga.
Kehebatan yang dikurniakan ini telah membangkitkan semangat ingin berusaha untuk merealisasikan ajaran al-Quran.
Semua ini dilakukan kerana roh al-Quran berada di dalam jiwa menjadikan hidup mereka sentiasa berkembang dan pemikiran mereka merentasi zaman.
Mereka telah mencuba dan mengkaji pelbagai ilmu alam dan kehidupan seperti mencipta ilmu hisab atau al-jibra, ilmu falak, ilmu perubatan, ilmu psikologi, mengkaji tumbuhan, mengkaji alam binatang, mengkaji bahasa pertuturan dan pelbagai cabang ilmu yang lain.
Ibnu Rusyd, Ibnu Sina, Ibnu Khaldun, al-Khuwarizmi, al-Khindi dan lain-lain adalah nama-nama besar dalam sejarah kecemerlangan umat Islam.
Hari ini, sebagai umat Islam yang mendukung Wawasan al-Quran, kita bukan hanya setakat merayakan Nuzul al-Quran dengan cuti umum sahaja. Kita seharusnya menyedari bahawa penurunan al-Quran sebenarnya telah membawa dimensi baru dalam melahirkan umat yang cemerlang seperti di masa lalu.