Sampai bila Thailand mahu berbunuhan?
Subky Abdul Latif
itu | Jun 12, 07 | 03:50:07 PM
Sudah sekitar dua tahun atau lebih wilayah di selatan Thailand sentiasa bermandi darah. Kalau tidak setiap hari, setiap minggu, ada saja jiwa melayang baik penganut Islam mahu pun menganut Buddha.
Sebelum rampasan kuasa tentera ke atas Perdana Menteri Thaksin, rata-rata meletakkan angkara itu kepada dasar keras dan kejam Thaksin. Tetapi kerajaan separuh tentera yang berkuasa sekarang tidak juga berupaya menghentikan pertumpahan darah itu, malah keadaan bertambah buruk.
Baik rejim Thaksin mahu pun kerajaan yang ada sekarang meletakkan sengketa sekarang adalah gara-gara dalangan puak pemisah. Di samping itu disetujui juga oleh masyarakat Thailand betapa ia juga angkara penindasan dan diskriminasi Bangkok terhadap wilayah dan penduduk di situ.
Kerajaan Malaysia sejak merdeka 50 tahun lalu meneruskan dasar tidak campur tangan dalam urusan negara jiran itu dan memejamkan mata atas semua kejadian dan dasar serta sikap Bangkok terhadap wilayah itu.
Sekalipun berlaku kekejaman paling ngeri yang tiada taranya pada alaf baru ini apabila penduduk Islam di wilayah itu diperlakukan lebih teruk dari binatang. Beratus-ratus penunjuk perasaan dan mereka kebetulan berada di kawasan tunjuk perasaan di Narathiwat dihumbankan ke dalam trak tentera bertindih-tindih sesama sendiri dengan tangan tergari ke belakang. Ratusan mati kerana lemas dan terseksa.
Kerajaan Malaysia sekadar menyatakan rasa kesal atas kejadian itu, kira-kira sama saja dengan reaksi kerajaan Thailand yang juga menyatakan bantahan atas kejadian itu.
Kerajaan Malaysia dan majoriti penduduknya adalah pihak yang paling dekat dengan masyarakat di wilayah yang bergolak itu jika dibandingkan dengan kerajaan Bangkok dan masyarakat Thai seluruhnya dalam serba serbi.
Melayu Patani dan Melayu Malaysia seagama dan sebudaya
Penduduk di wilayah itu dan masyarakat Malaysia adalah kaum yang satu, bersaudara, seagama, sebahasa dan sebudaya. Masyarakat di wilayah itu tidak sekaum, tidak seagama, tidak sebahasa dan tidak sebudaya dengan masyarakat Thai di luar wilayah itu.
Mereka terpisah dengan masyarakat Melayu Malaysia kerana perjanjian awal kurun lalu antara British dan Bangkok membahagikan wilayah itu kepunyaan Bangkok dan Tanah Melayu kepunyaan British. Mereka menjadi bangsa Thai kerana perjanjian itu membahagikan wilayah itu kepada Thailand.
Tidak dinafikan sejarah orang Siam dan orang Melayu sering berperang. Dalam banyak kejadian tentera Siamlah menang. Hingga pernah tentera Siam menceroboh hingga ke Melaka.
Negeri-negeri di Tanah Melayu sering membayar ufti tahunan kepada Raja Thailand kerana ditakluki tentera Siam. Tetapi dari semasa ke semasa negeri-negeri Melayu itu berperang dengan Siam bagi membebaskan wilayahnya.
pencerobohan Siam.
Ketika perjanjian itu dibuat kesultanan yang diserahkan oleh British kepada Thailand itu masih berjuang bagi membebaskan dari pencerobohan Thailand itu dan demikian juga empat negeri Tanah Melayu yang dikuasainya iaitu Kelantan, Terengganu, Kedah dan Perlis.
Status wilayah di Selatan Thailand itu pada ketika itu adalah sama dengan Kedah, Kelantan, Terengganu dan Perlis.
Oleh sebab British telah memeteraikan begitu, maka masyarakat di Tanah Melayu terpaksa berpuas hati, dan polisi yang dibuat British itu dipakai hingga hari ini. Dan memupuk keamanan serantau Malaysia yang merdeka itu meneruskan dasar tidak menghiraukan wilayah itu.
Tetapi masyarakat setempat di wilayah itu dari mula tidak menerima perjanjian itu dan mereka meneruskan perjuangan enggan menjadi sebahagian dari wilayah Thailand. Justeru itu Bangkok meneruskan langkah penindasannya, melucutkan kesultanan Patani, membunuh pejuang-pejuang dan membiarkan wilayah itu tidak membangunan. Penduduk Islam tidak diberi layanan seperti rakyat Thailand kelas pertama. Mereka adalah seperti rakyat yang terjajah.
Antara Patani, Timor Timur dan Darfur
Dengan tindakan keras Bangkok, suara menentang tidak pernah kuat. Ia seperti hidup segan mati tak mahu. Ia tidak mendapat perhatian dunia. Dunia Islam sekadar simpati, tetapi tidak ada yang cergas seperti yang ditunjukkan kuasa asing terhadap Timor Timur dulu, Darfur dan lain-lain.
Dalam banyak masa penduduk dan wilayah Selatan Thailand itu seperti telah menerima hakikat bahawa ia adalah sebahagian dari Thailand. Ia terpaksa belajar menjadi sebahagian dari masyarakat Thailand yang kekal dengan agamanya iaitu Islam.
Tetapi Thailand tetap tidak mempercayai mereka dan mereka dibiarkan tertindas, tidak dibangunkan. Dari semasa ke semasa menjadi sasaran kerajaan dan tentera.
Ini yang memanaskan keadaan. Setia atau tidak setia kepada Bangkok dilihat sama saja. Setiap orang Islam dan Melayu dilihat oleh Bangkok sebagai anggota pemisah, dan nyawa masing-masing seperti telur di hujung tanduk.
Suasana yang dilihat reda lebih 30 tahun lalu sangat kondusif mewujudkan kerukunan. Umat Islam mula melihat keselesaan. Tetapi ia tidak digunakan oleh Bangkok untuk merapatkan perbezaan, maka Thaksin pula memanaskan semula keadaan. Islam dan Melayu disangka pemisah.
Bangkok tidak dipercayai
Tiada jalan keluar bagi penduduk Islam melainkan tidak mempercayai kerajaan Bangkok. Perdana Menteri Surayud mungkin baik tetapi boleh yang lain dan yang selepasnya dipercayai. Raja Thailand boleh dipercayai tetapi orang lain bolehkah dipercayai.
Terdapat saling tidak percaya mempercayai. Apakah kerajaan Bangkok akan terus bergelumang dengan mandi darah.
Orang Islam tidak menerima pembunuhan terhadap orang awam Islam adalah gara-gara serangan pemisah. Kejadian membakar sekolah agama dan serangan terhadap masjid adalah angkara pemisah. Islam tidak percaya Islam menyerang Islam.
Penindasan tidak pernah berhenti, maka ia dikira sebahagian dari agenda penindasan itu.
Sampai bila Bangkok mahu melihat wilayah itu bermandi darah? Adakah meneruskan penindasan termasuk bermandi darah saja cara menanganinya? Atau menghapuskan semua etnik itu? Dan sampai bila jiran-jirannya mengambil sikap tidak hirau?
-----------------
http://prepaid4u.net/?id=are_peace
Sekadar duit tambahan.