Oleh : Ustaz Hasrizal Abd Jamil
MANUSIA DA’IE MAKHLUK SINERGI
Pendakwah di akhir zaman, adalah insan yang bertuah kerana dapat melihat bahawa beliau adalah satu-satunya makhluk Allah yang diberi pilihan sama ada mahu selfish dan hidup untuk diri sendiri semata-mata, atau menyertai sekalian alam yang fitrahnya diciptakan Allah sinergi di antara satu sama lain. Dan pendakwah memilih untuk menyertai fitrah alam ini.
Manusia dan pokok saling menerima dan memberi karbon dioksida dan oksigen.
Sistem eko, hubungan bulan, matahari dan bumi, malah hubungkait di antara jantung, hati, buah pinggang dan proton serta neutron yang berinteraksi di alam karbon, kesemua isi alam ini saling menerima dan memberi, berperanan dan berinteraksi di antara satu sama lain.

Kerbau dan burung gembala kerbau, saling sinergi dalam mendapatkan hasil terbaik dari hubungan alam sesama mereka. Burung gembala kerbau kenyang menjamah kutu air di badan kerbau, dan si kerbau pula berasa selesa dan bersih dari kegatalan kutu tersebut. Kerbau dan burung pun faham, bahawa mereka adalah makhluk sosial (social being) yang saling memerlukan.
Jika ada manusia yang merasakan bahawa dirinya tidak memerlukan orang lain, lantas di bahunya tiada langsung terpikul tanggungjawab sosial untuk berpatisipasi secara aktif sebagai ahli sebuah masyarakat, maka manusia ini lebih dungu dari kerbau dan burung.
Jika alasannya kubur nanti masing-masing, beritahu sahaja kepadanya supaya apabila mati esok, pergi sendiri ke kubur dan tanam sendiri jasad yang mati itu! Jangan susahkan orang lain. Semasa hidup enggan ke masjid, selepas mati mahu duduk depan mengatasi imam pula!
Dia lupa hakikat manusia yang datang ke dunia ini bersambut, dan perginya ke alam berikut adalah berhantar.
Alangkan sepinggan nasi berlauk ikan pun, hasil sinergi puluhan malah ratusan insan, jelik sungguh manusia yang hidup di alam ini tanpa merasakan bahawa dirinya sebahagian dari alam. Tersendiri dan bukan sebahagian alam itu adalah Tuhan! Tuhankah dia?!
Kita saling memerlukan lantas saling ada tanggungjawab di antara satu sama lain.
Kemuncak dari rasa bertanggungjawab dan berperanan setiap insan terhadap insan yang lain, adalah peranan memastikan manusia hidup dalam makruf, dan tercegah dari mungkar, yang bukan hanya menjamin kesejahteraan duniawi, malah membawa kepada soal hidup selepas mati… alam Akhirat.
Umat Islam di hari ini, umumnya akur bahawa urusan solat yang diperkatakan oleh al-Quran berkaitan dengan dirinya (soal mahu buat atau tidak, soal kedua).
Apabila al-Quran menyebut tentang perkahwinan, semua tahu bahawa dirinya terbabit sama.
Tetapi apabila al-Quran yang sama memperkatakan tentang dakwah, amar makruf dan nahi mungkar, tiba-tiba ramai pula umat Islam yang terkejut kehairanan, lantas segera mengaitkan subjek itu dengan golongan yang dihadkan identitinya seperti golongan makan bertalam, golongan berketayap, golongan berjanggut, golongan bertudung labuh, golongan ‘agama’ dan sebagainya.
Menjadi pendakwah di hari ini, adalah sebahagian daripada keganjilan hidup di akhir zaman.
بدأ الإسلام غريبا وسيعود كما بدأ غريبا فطوبى للغرباء
“Islam bermula dalam keadaan yang ganjil. Ia akan kembali menjadi ganjil sebagaimana ia bermula, maka beruntunglah orang-orang yang ganjil (kerana Islamnya)†(Riwayat Muslim)
Beruntunglah orang-orang yang ganjil di akhir zaman, ganjil kerana Islamnya mereka.
Sedangkan mereka tidaklah ganjil. Mereka bergerak searah dengan gerakan sekalian alam, pada acuan Allah yang telah ditetapkan-Nya.
Manusia yang mementingkan dirinya sendiri itulah makhluk asing di alam ini. Asing dari Sunnatullah!
ABU SAIF @ www.saifulislam.com
56000 Kuala Lumpur.