‘Rasul wanita’ hina ulamaOleh Manan Samad
PUTRAJAYA: Meriam Ahmad Shaharudin, wanita yang mengaku dirinya rasul, makin berani menyebarkan dakyah sesatnya termasuk menghina beberapa ulama terkenal di negara ini.
Dia juga mencabar seorang setiausaha sulit kanan pembesar negara supaya mendedahkan identitinya yang sebenar.
Tindakan itu menggambarkan wanita yang menggunakan alamat di Ipoh, Perak, itu seolah-olah tidak gentar dengan pihak berkuasa, terutama Jabatan Agama Islam Perak (Jaip).
Ini mungkin disebabkan Jaip belum bertindak biarpun Meriam sentiasa menunjukkan dakyahnya kepada pelbagai pihak, termasuk tokoh agama dan beberapa media.
Meriam cukup berani menghantar faksimili kepada pejabat Harian Metro di Kuala Lumpur, semalam, dengan menghina ulama selain mencabar setiausaha sulit kanan seorang pembesar negara supaya mendedahkan dirinya yang sebenar.
Dalam dakyahnya yang terdahulu, Meriam mendakwa kononnya dia, setiausaha kanan itu, Neale Donald Walcsh dan Nabi Isa sebagai rasul selepas Nabi Muhammad S.A.W.
“Saya diarahkan tuhan untuk bagi surat ini kepada saudara. Menurut kata tuhan, sudah sampailah masanya saudara (setiausaha sulit kanan) mengumumkan siapa diri saudara yang sebenar.
“Masa ini bukanlah masa untuk kebenaran ini disorokkan lagi sebab tuhan sudah mahukan kebenaran daripada tuhan yang saya bawa ini didedahkan kepada orang ramai.
“Telah sekian lama saya tercari-cari siapakah seorang lagi rasul Allah yang ada tuhan nyatakan dalam buku yang saya turunkan daripada tuhan itu. Saya tahu hanya bukti saja yang saya perlukan, iaitu berkaitan dengan saudara saja lagi,” katanya dalam kenyataan menerusi faksimili itu.
Dalam kenyataan sama, bekas guru itu turut menghina seorang ulama dengan menganggapnya sebagai pesuruh dajal.
“Macam mana sekarang, nak terus jadi pesuruh dajal atau kembali kepada Islam dan tuhan yang sebenar?,” katanya.
Harian Metro semalam melaporkan Mufti Perak, Datuk Seri Harussani Zakaria, menasihatkan Jabatan Agama Islam Perak (Jaip) bertindak segera ke atas Meriam kerana dakyahnya jelas boleh menyesatkan umat Islam.
Menurut Harussani, Jaip tidak perlu berbincang dengan beliau kerana kesalahan itu jelas bertentangan dengan Undang-Undang Jenayah Syariah negeri itu.
“Tak perlu bincang dengan saya, kesalahan tu dah jelas bertentangan dengan undang-undang. Bahagian Penguatkuasaan Jaip boleh bertindak ke atas wanita itu kerana menyebarkan dakyah sesat,” katanya.
Ia susulan muka depan akhbar ini Sabtu lalu yang melaporkan seorang wanita yang pernah menggemparkan negara kerana mendakwa dirinya Imam Mahdi pada 1993, kini muncul semula dengan kejutan lebih hebat apabila mengisytiharkan kononnya dia antara empat rasul tuhan.
Pada 1993, akhbar melaporkan polis mengeluarkan dua waran tangkap ke atas Meriam kerana gagal hadir di Mahkamah Syariah bagi menghadapi tuduhan menyebar ajaran sesat.
-----------------
BERSAMA-SAMA MENGEMBALIKAN SEMULA KEHIDUPAN ISLAM MELALUI PENEGAKAN DAULAH KHILAFAH 'ALA MINHAJ NUBUWWAH