DENGAN berakhirnya bulan Ramadan, muncul pula bulan Syawal. Setelah berpuasa sebulan Ramadan, kini umat Islam bebas untuk menikmati juadah di siang hari tanpa sekatan.
Namun ada lagi sebenarnya anjuran dalam Islam agar umat Islam meneruskan ibadah khususnya ibadah puasa. Antaranya puasa enam hari Syawal.
Fadilatnya sabit dengan hadis Nabi s.a.w. yang bermaksud, Sesiapa yang berpuasa Ramadan kemudian mengikutinya dengan enam hari pada bulan Syawal, maka (ganjarannya) seolah-olah dia berpuasa sepanjang tahun. (Riwayat Tirmizi).
Menurut Pensyarah di Jabatan Syariah, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Petaling Jaya, Selangor, Mohammad Nidzam Abd. Kadir, bagi menilai semula amalan puasa enam ini, ada beberapa fahaman yang kurang tepat dalam memahaminya. Antaranya ialah:
Pertama - Puasa enam mesti dimulakan pada 2 Syawal. Sebenarnya, fahaman ini kurang tepat kerana tidak sabit dengan sunah Nabi Muhammad s.a.w. bahawa ada penentuan bahawa puasa enam mesti dimulakan pada hari kedua Syawal.
Anjuran Islam ialah agar melakukan puasa enam hari sahaja tanpa mewajibkan permulaannya pada hari kedua.
āKadang-kadang, pada hari raya kedua, tetamu datang berziarah dan anak cucu balik kampung untuk bermesra dengan keluarga di kampung. Oleh itu, tidaklah salah jika puasa enam dilewatkan.
āMalah saya bersetuju segelintir memahami bahawa kalau dilambatkan puasa enam akan menyusahkan kita untuk memulakan puasa enam, maka ia adalah alasan yang munasabah,ā katanya.
Kedua - Puasa enam tidak boleh dilaksanakan secara berselang-seli. Fahaman ini kurang tepat kerana tidak ada penetapan demikian dalam Islam. Hadis Baginda s.a.w. hanya menganjurkan agar berpuasa enam hari dalam bulan Syawal sahaja. Hakikatnya ialah harus diselang-selikan puasa enam.
Puasa boleh dimulakan pada 5 Syawal diikuti pula pada 10 Syawal. Begitulah seterusnya mengikut kesesuaian masa dan tempat.
Ketiga - Puasa enam Syawal itu hukumnya sunat sahaja. Fahaman ini juga kurang tepat. Memanglah diakui bahawa puasa enam sunat hukumnya tetapi orang yang membuat kenyataan begini biasanya adalah manusia yang memandang ringan kepada amalan sunat termasuk puasa enam, sedangkan ganjarannya amat besar.
āAmalan memandang ringan kepada amalan sunat akan membawa kepada meninggalkannya, sedangkan ia mempunyai kepentingan yang besar dalam diari kehidupan seorang muslim.
āDisebut di dalam hadis bahawa amalan sunat ini sebenarnya sebagai pelengkap kepada ibadat fardu. Adakah kita yakin bahawa puasa fardu kita 100 peratus lengkap tanpa ada sebarang kecacatan?ā ujarnya lagi.
Mitos
Keempat - Seperkara lagi berkaitan mitos tentang puasa enam ini ialah ia tidak boleh berpuasa pada hari Isnin dan Khamis. Jelasnya, menerusi fahaman ini, hari Isnin dan Khamis sudah mempunyai waktu ibadat puasa yang lain iaitu puasa sunat. Oleh itu, tidak harus jika kedua-dua hari tersebut diisi dengan ibadat puasa enam. Jika hari Isnin, maka puasa sunat Isnin sahaja dibenarkan. Jika hari Khamis, maka puasa sunat Khamis sahaja dibolehkan.
Kelima - Mengutamakan puasa enam berbanding hubungan silaturahim. Terdapat umat Islam yang begitu keras dalam amalan puasa enam. Mereka enggan menghadiri mana-mana kenduri walaupun kenduri perkahwinan sedangkan menghadiri kenduri amat digalakkan dalam Islam. Suasana itu sedikit sebanyak boleh merenggangkan hubungan silaturahim.
āSeorang isteri boleh berpuasa enam Syawal walaupun tanpa izin suami. Inilah adalah fahaman yang bercanggah dengan dasar Islam. Seorang isteri wajib mengutamakan suami berbanding amalan sunat. Oleh kerana puasa enam Syawal hukumya sunat, maka keizinan suami amat penting.
āJika suami melarang, ketaatan kepada suami adalah wajib. Inilah yang disabdakan oleh junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w. bermaksud: Tidak halal bagi seorang wanita berpuasa sedangkan suaminya ada bersamanya melainkan dengan izinnya (suami). (Riwayat Bukhari).
Mohammad Nidzam berkata, amalan yang seelok-eloknya ialah masing-masing berpakat untuk sama-sama berpuasa. Dengan ini, motivasi diri akan lebih kuat untuk berpuasa.
Keenam - Satu kesilapan ketara ialah berfahaman puasa sunat enam Syawal tanpa mengqadakan terlebih dahulu puasa Ramadan. Ini kerana sewajarnya perkara yang wajib lebih diutamakan. Amalan sunat tanpa ada asasnya iaitu amalan fardu tidak memberikan hasil yang baik.