KUALA LUMPUR 22 Sept. – Seramai 448,324 orang calon akan menduduki Peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR) bermula serentak di seluruh negara mulai 2 Oktober hingga 6 Oktober ini.
Lembaga Peperiksaan Malaysia (LPM) dalam kenyataannya di sini, hari ini menyebut daripada jumlah itu, 93.75 peratus (420,177 orang) adalah calon sekolah bantuan kerajaan.
Menurut kenyataan itu, 0.7 peratus (2,894) calon lagi adalah dari Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) dan Sekolah Perantis Tentera, 2.4 peratus (10,766) sekolah agama tadbiran kerajaan negeri, 2.6 peratus (11,774) sekolah swasta, 0.2 peratus (1,110) persendirian dan 0.4 peratus (1,603) sekolah agama rakyat.
‘‘Sebanyak 3,171 pusat peperiksaan disediakan untuk calon-calon daripada 3,333 buah sekolah di seluruh negara,’’ kata kenyataan itu.
Menurut kenyataan itu, semua calon diingatkan membawa kad pengenalan atau borang pengenalan diri serta Kenyataan Kemasukan Peperiksaan masing-masing sepanjang peperiksaan berlangsung.
Calon-calon juga diingatkan agar mematuhi semua syarat dan peraturan semasa peperiksaan dijalankan, tambah kenyataan itu.