Array
Welcome To Portal Komuniti :: Ukhwah.com

  Create An Account Home  ·  Topik  ·  Statistik  ·  Your Account  ·  Hantar Artikel  ·  Top 10 28-03-2024  

  Login
Nickname

Password

>> Mendaftar <<

  Mutiara Kata
Jika kita berasa diri kita tinggi, pandanglah ke atas; jika kita berasa diri kita rendah, pandanglah ke bawah
-- Kang

  Menu Utama

  Keahlian Ukhwah.com
Terkini: navratan
Hari Ini: 0
Semalam: 0
Jumlah Ahli: 43152

  Sedang Online
Sedang Online:
Tetamu: 237
Ahli: 0
Jumlah: 237




  Yang Masuk Ke Sini
muslimin23: 1 hari, 6 jam, 57 minit yang lalu
Rashdin: 26 hari yang lalu


Al-Quran dan Hadis
Topik: faktor hadis palsu


Carian Forum

Moderator: Administrator
Portal Komuniti :: Ukhwah.com Indeks Forum
  »» Al-Quran dan Hadis
    »» faktor hadis palsu

Please Mendaftar To Post


Oleh faktor hadis palsu

ainaa
Warga 4 Bintang
Menyertai: 06.06.2003
Ahli No: 1106
Posting: 152
Dari: depan pc

Terengganu  


posticon Posting pada: 03-09-06 16:40


salam..

nak minta tolong...
entah apa kenalaa dengan saya ini...
dah lama surf internet,tetap jugak tak jumpa faktor2 yang membawa kepada hadis palsu...
nak buat esaimen niee....
sahabat2...tolonglaa...kalau ada info tentang hadis palsu ini,
@ website tentang hadis palsu, tolong balas ya....
terima kasih sangat-sangat...:)


-----------------
a friend in need is a friend indeed....
ukhwah fillah never dies as long as u remember me...!


Bookmark and Share

    


  Member Information For ainaaProfil   Hantar PM kepada ainaa   Pergi ke ainaa's Website   Quote dan BalasQuote

masri2
WARGA SETIA
Menyertai: 21.02.2005
Ahli No: 14588
Posting: 921
Dari: Tampin

NegeriSembilan   avatar


posticon Posting pada: 29-12-06 15:44


assalamualaikum wbt

semoga link ini dapat membantu
http://darulkautsar.com/penghadis/lanjutan/hdthmaudu.htm

Sebab-Sebab Wujudnya Hadith Maudhu’



Terdapat pelbagai sebab mengapa hadith-hadith maudhu’ dicipta oleh pereka-pereka hadith. Walaubagaimanapun sebab-sebab ini bolehlah disimpulkan kepada empat sebab yang utama iaitu :

i-                    Dendam musuh-musuh Islam terhadap agama Islam

ii-                 Sikap fanatik terhadap kumpulan, bangsa atau tempat sendiri

iii-                 Mempunyai kepentingan peribadi

iv-                Kejahilan tentang kehendak ajaran Islam yang sebenar



i- Dendam musuh-musuh Islam terhadap agama Islam



Golongan ini adalah terdiri daripada golongan Zindiq, Yahudi, Majusi dan Nasrani yang sentiasa menyimpan dendam terhadap agama Islam. Mereka tidak mampu untuk berhadapan dengan Islam secara terbuka menyebabkan mereka mengambil jalan yang buruk ini. Lalu mereka mencipta sebilangan besar hadith-hadith maudhu’ dengan tujuan untuk merosakkan ajaran Islam.



Penulis berpendapat faktor ini adalah antara sebab yang paling awal kepada kewujudan hadith-hadith maudhu’. Ini berdasarkan kepada peristiwa Abdullah bin Sabak yang cuba untuk memecahbelahkan umat Islam dengan bertopengkan kecintaan kepada ahli Bait. Sejarah mencatatkan bahawa beliau adalah seorang Yahudi yang berpura-pura memeluk agama Islam. Oleh sebab itulah beliau telah berani mencipta hadith maudhu’ di zaman yang masih ramai lagi sahabat-sahabat utama masih hidup.



Antara hadith maudhu’ yang dicipta oleh beliau ialah sebagaimana yang disebutkan sebelum ini iaitu hadith “setiap Nabi itu mempunyai penerima wasiat dan penerima wasiatku ialah Ali”. Hadith ini disebutkan oleh ulama sebagai maudhu’.



Di zaman ini kekuatan Islam adalah sangat hebat hingga musuh-musuh Islam tidak sanggup untuk berdepan dengan kekuatan senjata bahkan mereka mengambil keputusan untuk menyerang dari sebelah dalam. Oleh sebab itulah mereka berusaha mencipta hadith-hadith maudhu’ yang pada anggapan mereka akan dapat menodai kesucian pemikiran umat Islam dalam perkara yang berkaitan dengan aqidah, ibadah, akhlak, kejadian langit dan bumi, makanan dan minuman, haiwan dan lain-lain lagi. Mereka muncul dengan memakai pelbagai nama kumpulan bagi menghadapi kekuatan Islam dan menandingi kegigihan ulama-ulama Islam dalam menjaga hadith-hadith Nabi s.a.w daripada dicerobohi.



Antara hadith-hadith maudhu’ yang direka oleh golongan ini ialah sebagaimana yang dicatatkan bahawa kononnya satu kumpulan daripada golongan Yahudi telah datang menemui Nabi s.a.w. Mereka bertanya : “Siapakah yang menanggung arasy? Lalu Nabi s.a.w menjawab : “Arasy itu ditanggung oleh serangga-serangga dengan tanduknya dan sejenis bintang di langit daripada peluh mereka.” Kumpulan Yahudi itu lalu berkata : “Kami bersaksi bahawa sesungguhnya engkau adalah Rasul Allah s.a.w.” Abu al-Qasim al-Balkhi berkata : “Demi Allah, ini adalah satu pembohongan. Sesungguhnya umat Islam telah ijmak bahawa golongan yang menanggung arasy ialah malaikat.”



Selain daripada itu, terdapat juga pengakuan daripada golongan ini bahawa mereka telah mencipta sekian banyak hadith-hadith maudhu’. Antaranya apa yang berlaku di zaman al-Mahdi. Al-Uqaili (W322H) meriwayatkan dengan sanadnya daripada Hammad bin Zaid (W197H) : “Golongan al-Zanadiqah telah berbohong di atas nama Nabi s.a.w dengan mencipta sebanyak empatbelas ribu hadith maudhu’. Salah seorang daripada mereka ialah Abdul Karim bin Abi al-Auja’ yang telah dibunuh dan disalib di zaman al-Mahdi. Ibnu Adi (W365H) mengatakan : Tatkala hendak dijalankan hukuman pancung, Abdul Karim berkata : Aku telah menciptakan di kalangan kamu sebanyak empat ribu hadith di mana aku telah mengharamkan perkara-perkara yang halal dan aku halalkan perkara-perkara yang haram.”



Kata Asy-Syaikh Al-Muhaddith Majduddin al-Fairuz Abadi di dalam penutup kitabnya “Sifru al-Sa’adah” : “Bab berkenaan dengan kelebihan kacang adas, kacang pol, keju, terung, delima dan anggur, tidak sahih sesuatu pun berhubung dengan pekara-perkara yang disebut ini. Sesungguhnya golongan Zanadiqahlah yang telah mencipta di dalam bab ini beberapa hadith dan mereka memasukkan ke dalam kitab-kitab ulama hadith, dengan tujuan menghina Islam. Semoga Allah menghina mereka pula.”



Selain daripada itu mereka juga mencipta hadith-hadith maudhu’ yang berkaitan dengan zat Allah, antaranya yang berbunyi “Tuhan kita adalah daripada air yang berlari, bukan daripada bumi dan juga bukan daripada langit. Allah telah mencipta seekor kuda lalu Dia membuatkan kuda itu berlari lalu kuda itu berpeluh dan daripada peluh itu Allah telah menjadikan dirinya sendiri.”



Begitu juga dengan hadith maudhu’ yang berbunyi : “Aku melihat Tuhan aku di Mina pada hari Haya Haji di atas unta kertas. Dia berada di depan orangramai dalam keadaan memakai jubah daripada bulu”, “Sesungguhnya Allah, tatkala selepas mencipta huruf-huruf, sujudlah huruf ba dan berhenti huruf alif”, “Tetaplah kamu dengan kacang adas. Sesungguhnya ia sangat diberkati dan dapat melembutkan hati dan membanyakkan airmata. Ia disucikan oleh lidah tujuhpuluh orang nabi”, “Terung itu mengikut niat orang yang memakannya”, “Jangan kamu mencela ayam jantan kerana ia adalah sahabat aku. Sekiranya anak Adam mengetahui apa yang terdapat pada suaranya, pasti mereka akan membeli bulunya dan dagingnya dengan emas.” Ini adalah antara ribuan contoh-contoh hadith maudhu’ yang direka untuk menyesatkan dan menyakiti orang-orang Islam dan merendah-rendahkan akal pemikiran mereka.



Seorang lagi yang disebut oleh ulama sebagai seorang zindiq yang turut memainkan peranan ini ialah Muhammad bin Sa`id al-Syami yang telah disalib kerana berfahaman zindiq. Dia pernah mencipta satu hadith yang kononnya diriwayatkan daripada Humaid daripada Anas (W93H) secara marfu’ kata Nabi s.a.w : “Aku adalah penutup segala Nabi, tidak ada Nabi lagi selepas aku kecuali jika Allah mengkehendaki.”



Al-Hafiz al-Zahabi menyebutkan di dalam kitabnya Tazkirah al-Huffaz dan demikian juga dengan ulama-ulama lain, daripada Ibnu Ulayyah dan Ishaq bin Ibrahim, kata mereka berdua : Khalifah Harun al-Rasyid telah menangkap seorang Zindiq lalu baginda menyuruh supaya dipenggal leher lelaki tersebut. Lalu lelaki zindiq itu berkata kepada baginda : “Mengapa kamu mahu memenggal leher aku? Kata Harun al-Rasyid : Supaya orang ramai terselamat daripada tipudaya kamu.” Lalu lelaki itu berkata : “Wahai Amirul Mukminin ! Di mana kamu daripada beribu-ribu hadith yang telah aku ciptakan. Aku haramkan perkara-perkara yang halal dan aku halalkan perkara-perkara yang haram, sedangkan Nabi s.a.w tidak pernah menyebutnya walau satu huruf pun.”

Lalu Khalifah Harun al-Rasyid berkata kepadanya : “Di mana kamu wahai musuh Allah daripada Abu Ishaq al-Fazari dan Abdullah bin al-Mubarak? Mereka berdua akan mengasingkan (hadith-hadith maudhu’ daripada hadith-hadith yang sahih) dan mengeluarkannya satu huruf demi satu huruf.”



Begitulah Allah akan mengadakan bagi agamanya itu penjaga pada setiap zaman. Mereka akan menafikan bagi pihak agama terhadap pegangan golongan-golongan yang batil dan penyelewengan golongan yang menyeleweng. Ibnu Abi Hatim (W327H) meriwayatkan di dalam kitabnya al-Jarh wa al-Ta’dil daripada Abdah bin Sulaiman katanya : Dikatakan kepada Abdullah bin al-Mubarak : Bagaimana hendak dilakukan dengan hadith-hadith yang direka? Kata Abdullah bin al-Mubarak : Akan hidup untuk menhadapi perkara ini golongan cerdik pandai dalam agama Islam sebagaimana yang dijanjikan oleh Allah melalui firmannya : Sesungguhnya kamilah yang menurunkan al-Quran dan kamilah yang memelihara dan menjaganya.”



Begitu juga diriwayatkan oleh Ibnu Abi Hatim di dalam kitab yang sama daripada Yahya bin Yaman katanya : Sesungguhnya bagi hadith-hadith maudhu’ ini ada tokoh-tokoh (yang akan menghadapinya) yang telah dijadikan oleh Allah semenjak Dia menjadikan langit dan bumi. Dan sesungguhnya Waki’ adalah seorang daripada mereka.”







ii-            Sikap fanatik terhadap kumpulan, bangsa atau tempat sendiri



Sikap ini timbul hasil dari perpecahan umat Islam kepada kumpulan-kumpulan tertentu dalam politik, aqidah, feqah dan sebagainya. Selepas pembunuhan Sayyidina Uthman, fitnah di kalangan umat Islam semakin memuncak. Umat Islam pada masa itu mula berpecah kepada beberapa kumpulan seperti kumpulan yang ingin menuntut bela diatas kematian Uthman dan kumpulan yang menyokong Sayyidina Ali (Syiah). Selepas peperangan Siffin, muncul pula beberapa kumpulan yang lain seperti kumpulan Khawarij dan kumpulan yang menyokong Sayyidina Muawiyah (W60H).



Selepas itu perpecahan umat Islam semakin merebak pula kepada perpecahan dalam perkara-perkara yang berkaitan dengan aqidah. Hasil daripada itulah, munculnya kumpulan-kumpulan yang lain lagi seperti Murjiah, Qadariyah, Jahmiyyah dan lain-lain lagi. Seterusnya pula umat Islam berpecah kepada pelbagai mazhab feqah yang secara tidak langsung telah mencetuskan wujudnya hadith-hadith maudhu’.



Perpecahan ini telah memberi kesan yang besar ke arah penciptaan hadith-hadith maudhu’. Hal ini telah menyebabkan golongan-golongan yang cetek iman merasakan perlu dicipta kata-kata yang dapat menunjukkan kelebihan dan kekuatan kumpulan masing-masing dan pemimpin-pemimpin mereka. Hasil daripada inilah munculnya hadith-hadith maudhu’ yang menyebutkan kelebihan tentang kumpulan masing-masing dan juga pemimpin-pemimpin mereka.



Golongan Syiah dikatakan sebagai golongan yang mula-mula mempelopori dalam penciptaan hadith-hadith maudhu’ yang berkaitan dengan kelebihan-kelabihan Sayyidina Ali. Tujuan mereka adalah untuk menyatakan bahawa pengganti Nabi s.a.w sebagai khalifah adalah Sayyidina Ali bukannya Abu Bakar. Ibnu al-Jauzi (W587H) mengatakan “Kelebihan Sayyidina Ali yang sahih adalah banyak tetapi golongan Syiah Rafidhah merasa tidak mencukupi lalu mereka mencipta apa sahaja yang mereka mahu, tidak ada satu pun yang mereka angkatkan kepada Nabi s.a.w”. Amir al-Sya’bi (W103H) mengatakan “Tidak ada suatu pembohongan yang dilakukan ke atas mana-mana individu di kalangan umat ini, seperti mana banyaknya pembohongan yang dilakukan ke atas Sayyidina Ali radhiallahu anhu.” Al-Hafiz Abu Ya’lah al-Khalili menyebutkan di dalam kitabnya Al-Irsyad : “Syiah Rafidhah telah mencipta tentang kelebihan Ali dan Ahli Bait sekitar tiga ratus ribu hadith”.



Antara hadith-hadith maudhu’ yang dikaitkan dengan kumpulan mereka adalah seperti “Ali adalah sebaik-baik manusia, sesiapa yang menentangnya maka sesungguhnya dia telah kufur.”



Begitu juga dengan hadith “Ali adalah orang yang pertama beriman dengan aku. Dia adalah faruq (pembeza di antara kebenaran dan kesalahan) kepada umat ini dan dia adalah pengganti (sebagai khalifah) selepas aku”, “Penerima wasiat aku, tempat simpanan rahsiaku, pengganti aku dalam keluargaku dan sebaik-baik orang yang menggantikan aku adalah Ali”, “Wahai Ali, sesungguhnya Allah telah mengampunkan engkau, zuriat keturunan engkau, kedua-dua ibubapa engkau, ahli keluarga engkau, pengikut-pengikut engkau dan orang-orang yang kasih kepada pengikut engkau”, “Aku adalah penghulu segala anak Adam dan Ali adalah penghulu bagi kaum Arab”, “Aku adalah penyudah sekalian Nabi-Nabi dan engkau wahai Ali, adalah penyudah sekalian wali-wali”, “Tanda lembaran orang-orang mukmin ialah kasihkan Ali bin Abu Talib” dan banyak lagi.



Selain daripada hadith-hadith yang disebut di atas, banyak lagi hadith-hadith maudhu’ yang lain yang berkaitan dengan kelebihan Ali yang tidak terkira banyaknya. Di dalam kitab al-Wasaya al-Nabawiyyah terhimpun begitu banyak hadith yang tersebut, di mana ulama mengatakan setiap hadith yang dimulai dengan “Wahai Ali !....”, “Wahai Ali !........”, “Wahai Ali ! .........” adalah semuanya maudhu’ melainkan satu hadith sahaja iaitu “Wahai Ali ! Kedudukan kamu daripada aku adalah seperti kedudukan Harun daripada Musa”.



Keadaan ini meyebabkan sebahagian daripada pengikut-pengikut kumpulan yang lain yang jahil seperti golongan yang ingin membela Sayyidina Abu Bakar, Umar, Uthman dan Muawiyah, turut mencipta hadith-hadith maudhu’ bagi menonjolkan kelebihan pemimpin-pemimpin mereka dan seterusnya menandingi kelebihan-kelebihan yang telah dicipta oleh kumpulan yang lain.



Antara hadith-hadith maudhu’ yang dicipta seperti “Sesungguhnya Allah akan mendedahkan dirinya pada hari kiamat kepada manusia secara umum tetapi kepada Abu Bakar secara khusus”. Begitu juga dengan hadith-hadith “Tidak ada sesuatu pun yang dicurahkan dalam dadaku kecuali turut dicurahkan ke dalam dada Abu Bakar”, “Rasulullah apabila baginda rindu kepada syurga, baginda mencium uban Abu Bakar”, “Aku dan Abu Bakar adalah seperti dua ekor kuda yang dipertaruhkan untuk perlumbaan”, “Tatkala Allah mahu memilih roh-roh, Allah telah memilih roh Abu Bakar”, “Umar berkata : Rasulullah apabila berbicara dengan Abu Bakar. Aku seperti orang asing di antara mereka berdua”, “ Abu Bakar adalah sebaik-baik manusia, melainkan dia bukannya seorang Nabi”.



Antaranya juga adalah seperti mana yang dicipta di atas nama Abdullah bin Abi Aufa di mana kononnya dia berkata “Aku melihat Rasulullah s.a.w bertelekan di atas Ali. Apabila Abu Bakar dan Umar al-Khattab datang, Rasulullah bersabda : “Wahai Abu al-Hasan ! Kasihkanlah kepada kedua-dua lelaki ini kerana dengan mengasihi kedua-dua lelaki ini akan menyebabkan kamu masuk ke dalam syurga”, “Sekiranya aku menceritakan tentang kelebihan Umar selama umur Nabi Nuh bersama kaumnya, pasti tidak akan habis kelebihan tersebut. Sesungguhnya Umar itu satu kebaikan daripada kebaikan-kebaikan Abu Bakar”, “Bukanlah Abu Bakar itu melebihi daripada kamu dengan kerana banyak puasa dan sembahyang, tetapi dia melebihi kamu dengan sesuatu yang ada di dalam dadanya”, “Kedudukan Abu Bakar dan Umar daripada aku seperti kedudukan Harun daripada Musa”.

Di samping itu kelebihan Uthman juga dicipta seperti “Tidak ada sebuah pokok pun di dalam syurga melainkan ditulis pada setiap daunnya kalimah tiada Tuhan melainkan Allah, Muhammad itu pesuruh Allah, Abu Bakr al-Siddiq, Umar al-Faruq dan Uthman Zu al-Nurain”, “diceritakan bahawa Nabi s.a.w diajak untuk sembahyang ke atas jenazah lalu Rasulullah tidak menyembahyangkan jenazah tersebut. Lalu sahabat-sahabat bertanya : Wahai Rasulullah ! Tidak pernah kami lihat kamu meninggalkan sembahyang ke atas seseorang melainkan ke atas lelaki ini. Lalu Rasulullah menyebut : Lelaki ini telah menyebabkan kemarahan Uthman lalu Allah telah murka kepadanya”.



Lebih mendukacitakan lagi wujud pula satu kumpulan yang kononnya cuba untuk menyatukan kumpulan-kumpulan tadi dengan mencipta hadith-hadith maudhu’ yang menyebutkan kelebihan semua sahabat-sahabat tadi dalam satu hadith, antaranya “Abu Bakar adalah pembantuku, penegak kebenaran di kalangan umat aku selepas kematian ku, Umar adalah kekasihku yang berkata-kata mengikut lidahku. Aku sebahagian daripada Uthman dan Uthman adalah sebahagian daripada aku dan Ali adalah saudaraku dan pembawa panji-panjiku”.



Berkaitan dengan kelebihan Muawiyah pula juga dicipta hadith-hadith maudhu’. Ishaq bin Rahawaih (W237H) menyatakan bahawa tidak betul sedikitpun hadith-hadith yang menunjukkan kelebihan Muawiyah bin Abi Sufyan. seperti “Orang-orang yang amanah di sisi Allah ada tiga : Aku, Jibril dan Muawiyah”.

Begitu juga dengan kemunculan kumpulan-kumpulan yang berkaitan dengan ilmu kalam daripada kalangan Ahli Sunnah, Muktazilah, Murjiah, Jabariyah, Jahmiyyah, Karamiyah dan sebagainya. Kesan daripada ini, golongan-golongan yang mementingkan hawa nafsu di dalam kumpulan masing-masing cuba untuk menguatkan pegangan mereka dengan mencipta hadith-hadith maudhu’ dan sekaligus menolak pegangan kumpulan yang lain.



Antara hadith-hadith yang dicipta dalam hal ini seperti “Iman itu adalah ucapan dan amalan, akan bertambah dan berkurangan”. Walaubagaimanapun maksud ucapan ini adalah benar sebagaimana yang diijmakkan oleh salaf tetapi lafaznya adalah rekaan di atas nama Nabi s.a.w. Golongan yang berpendapat sebaliknya pula mencipta hadith yang lain seperti “Iman itu adalah ucapan dan amalan itu adalah syariatnya, tidak akan bertambah dan berkurangan”, “Nabi s.a.w ditanya tentang iman : Adakah akan bertambah dan berkurangan? Lalu Nabi s.a.w menjawab : Tidak, pertambahannya bererti kufur, pengurangannya bererti syirik”. Kata Ibnu al-Qayyim (W751H) : Setiap hadith yang berkenaan dengan iman tidak bertambah dan tidak berkurangan adalah bohong dan rekaan semata-mata.



Golongan yang lain pula turut mencipta hadith yang bercanggah dengan hadith-hadith di atas antaranya “Sebagaimana tidak memberi mudharat sesuatu pun kepada syirik, begitu juga tidak memberi mudharat sesuatu pun kepada iman”.



Bagi menguatkan golongan mereka mereka melaknat golongan-golongan yang lain melalui hadith ciptaan mereka “Sesungguhnya Allah melaknat empat kumpulan di atas lidah tujuh puluh orang Nabi : Qadariyah, Jahmiyah, Murjiah dan Rafidhah”, “Qadariyah, Murjiah, Rafidhah dan Khawarij akan disambar daripada satu perempat tauhid. Mereka akan bertemu Allah dalam keadaan kufur, kekal di dalam neraka jahanam”, “Setiap umat ada kaum Yahudinya dan kaum Yahudi bagi umat aku adalah Murjiah”.



Imam-imam mazhab empat juga tidak terlepas daripada sikap fanatik sebahagian daripada pengamal mazhab mereka. Ada sebahagian daripada mereka yang mencipta hadith maudhu’ bagi menunjukkan mazhab mereka adalah mazhab yang diakui oleh Rasulullah sendiri. Ibnu Qayyim mengatakan antara hadith yang dicipta oleh pereka-pereka hadith ialah hadith berkenaan dengan kelebihan Imam Abu Hanifah (W150H) dan Imam Syafie (W204H) dengan disebut secara jelas nama mereka berdua.Antara hadith tersebut ialah sebagaimana yang dicipta oleh sebahagian pengamal mazhab hanafi “Akan datang di kalangan umat aku seorang lelaki yang bernama Muhammad bin Idris. Dia lebih membahaya kepada umat aku daripada iblis. Dan akan datang juga di kalangan umat aku seorang lelaki yang digelar Abu Hanifah. Dialah pelita kepada umat aku”.



Begitu juga dicipta hadith-hadith yang dapat menguatkan pendapat mazhab masing-masing seperti hadith “berkumur-kumur, memasukkan air ke dalam hidung bagi orang yang berjunub sebanyak tiga kali itu adalah wajib”, “Jibril menjadi imam kepada aku dekat kaabah lalu dia menguatkan bacaan bismillahir rahmanir rahim”, “sesiapa yang mengangkat tangannya ketika mahu rukuk dan ketika selepas mengangkat kepala daripada rukuk, maka tidak ada sembahyang baginya”.



Ada juga hadith-hadith maudhu’ yang dicipta bagi menghina sesuatu bangsa yang lain seperti mana yang dilakukan oleh golongan yang membenci bangsa Arab, antaranya “ Allah s.w.t apabila Dia marah, Dia akan menurunkan wahyu di dalam bahasa Arab dan apabila Dia suka Dia akan menurunkan wahyu di dalam bahasa Parsi”. Lalu golongan Arab yang jahil membalas balik hadith tersebut dengan hadith yang maudhu’ juga “Sesungguhnya Allah apabila Dia marah, Dia akan menurunkan wahyu di dalam bahasa Parsi dan apabila Dia suka Dia akan menurunkan wahyu di dalam bahasa Arab”.



Ada juga hadith yang dicipta untuk menunjukkan kelebihan negeri masing-masing seperti “Empat pintu daripada pintu-pintu syurga, kuncinya berada di dunia iaitu Iskandariyyah, Asqalan, Qazwin dan kelebihan Jeddah ke atas sekalian tempat adalah seperi kelebihan Baitullahil Haram ke atas sekalian tempat”, “Empat bandar di dunia ini adalah daripada bandar-bandar syurga iaitu Mekah, Madinah, Baitul Maqdis dan Damsyik dan empat bandar di dunia ini adalah daripada bandar-bandar neraka iaitu Qastantiniyyah, Tabraniyyah, Antaqiyyah dan Sun’ak. Dan sesungguhnya punca segala air yang lazat, baik, segar dan subur adalah daripada bawah batu Baitul Maqdis”.



Begitu juga dicipta hadith-hadith yang menyebutkan kelebihan sebahagian daripada Khalifah Abbasiyyah, hadith-hadith yang mencela bangsa Turk, Habsyah, Sudan, hadith-hadith yang memuji kota Baghdad, Basrah, Kufah, Marw, Asqalan, Nasibin dan sebahagian daripada kota Maghribi seperti Munastir.





iii- Mempunyai kepentingan peribadi atau faedah duniawi



Ada juga golongan yang mencipta hadith-hadith maudhu’ ini hanyalah kerana mempunyai kepentingan peribadi seperti ingin mendapatkan kedudukan yang tinggi di sisi pemerintah, mendapat kemasyhuran di sisi orang ramai dan sebagainya.



Untuk mendapatkan kedudukan yang tinggi di sisi pemerintah mereka mencipta hadith-hadith yang menunjukkan kelebihan seseorang pemerintah itu, memuji perbuatan yang yang dilakukannya dan sebagainya. Antara hadith-hadith tersebut seperti apa yang berlaku di zaman Abbasiyyah sebagaimana yang diriwayatkan oleh Abu Abdillah al-Hakim (W405H) daripada Harun bin Abu Ubaid daripada ayahnya, katanya : (Al-Mahdi berkata kepadaku : “Tidakkah kamu lihat apa yang dikatakan kepadaku oleh Muqatil ? Katanya (Muqatil) : Sekiranya tuanku mahu aku boleh ciptakan untuk tuanku beberapa hadith berkenaan dengan keluarga al-Abbas”. Aku lalu berkata : “Aku tidak berhajat kepadanya”.



Selain peristiwa ini, terdapat satu lagi peristiwa yang lain yang berlaku kepada Khalifah al-Mahdi. Seorang lelaki yang bernama Ghiyath bin Ibrahim bin Talq bin Muawiyah al-Nakha’i dipercayai telah mencipta satu hadith maudhu’ untuk mengambil hati khalifah al-Mahdi. Pada suatu hari Ghiyath telah masuk menemui Khalifah al-Mahdi dan dilihatnya Khalifah sedang bermain-main dengan seekor burung merpati. Lalu ada seseorang berkata kepada Ghiyath, ceritakanlah hadith kepada Amirul Mukminin. Lalu Ghiyath menyebutkan satu hadith yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah (W59H): “Tidak ada pertandingan melainkan pada unta atau panah atau kuda”. Lalu beliau menambah “atau burung”. Lalu Khalifah menyuruh supaya diberikan kepadanya sepuluh ribu dirham. Apabila beliau bangun untuk meninggalkan tempat itu Khalifah al-Mahdi lalu berkata kepada beliau : “Aku bersaksi bahawa belakang tengkuk engkau adalah belakang tengkuk seorang pendusta kepada Rasulullah s.a.w. Sesungguhnya aku sendiri yang minta supaya didatangkan yang demikian itu”. Lalu Khalifah menyuruh supaya disembelih burung merpati itu, lalu burung itu disembelih.



Ada juga golongan yang mencipta hadith-hadith maudhu’ dengan tujuan untuk mendapat kemasyhuran di sisi masyarakat. Lalu mereka mencipta hadith-hadith tertentu supaya mereka dilihat mempunyai hadith yang berbeza yang tidak dipunyai oleh ulama-ulama yang lain. Ini disebutkan oleh ulama berlaku kepada beberapa individu iaitu Ibnu Abi Habibah, Hammad al-Nasibi, Buhlul bin Ubaid, Asram bin Hausyab dan Ibnu Abi Dihyah. Ada juga golongan yang mencipta hadith maudhu’ dengan tujuan untuk menambahkan rezeki pendapatan mereka seperti apa yang dilakukan oleh Abu Sa’id al-Mada`ini.



Golongan-golongan ini sebahagian mereka adalah terdiri daripada pencerita-pencerita yang cetek ilmu pengetahuan, kekurangan akal dan agama sedangkan ketiga-tiga perkara ini menjadi asas kepada seseorang yang ingin menyampaikan ajaran yang berkaitan dengan agama Islam. Mereka tidak memikirkan tujuan lain melainkan mahukan orang ramai berhimpun dalam majlis-majlis mereka. Di situlah mereka mula mencipta apa sahaja yang meraka suka hadith-hadith yang boleh meninggalkan kesan kepada orang ramai. Mereka tidak menganggap apa yang mereka lakukan adalah suatu pembohongan dan dosa yang besar terhadap Nabi s.a.w. Apa yang menghairankan ialah orang ramai pula sanggup menadahkan telinga mereka bahkan lebih dari itu membenarkan apa yang dikatakan oleh pencerita-pencerita tersebut.



Antara peristiwa yang berkaitan dengan perkara ini ialah apa yang diriwayatkan oleh Abu Jaafar Muhammad al-Tayalisi, katanya : “Ahmad bin Hanbal dan Yahya bin Ma’in (W233H) telah bersembahyang di masjid al-Rasafah, lalu berdiri di hadapan mereka seorang pencerita seraya berkata : telah menceritakan kepada kami oleh Ahmad bin Hanbal dan Yahya bin Ma’in, kata mereka berdua : telah menceritakan kepada kami oleh Abdur Razak daripada Ma’mar daripada Qatadah daripada Anas katanya : Nabi s.a.w telah bersabda : Sesiapa yang berkata lah Ilah Illallah, Allah akan menciptakan daripada setiap kalimah seekor burung paruhnya diperbuat daripada emas dan bulunya daripada permata .......”. Ceritanya ini dengan lengkapnya memakan lebih kurang duapuluh helai kertas. Lalu Ahmad bin Hanbal dan Yahya bin Ma’in saling berpandangan di antara satu sama lain. Lalu Yahya berkata kepada Ahmad bin Hanbal : Adakah engkau menceritakan kepadanya cerita begini. Ahmad bin Hanbal berkata : Demi Allah aku tidak pernah mendengar cerita begini melainkan ketika ini. Manakala lelaki itu selesai menceritakan ceritanya dan mula mengambil upah kemudian lalu duduk menantikan sebahagian lagi baki upahnya, Yahya bin Ma’in mengisyaratkan dengan tangannya : Mari ke sini. Lalu lelaki itu datang dengan harapan akan mendapat habuannya. Yahya bin Ma’in lalu bertanya kepadanya : Siapa yang menceritakan kepada engkau hadith tadi? Lelaki itu menjawab : Ahmad bin Hanbal dan Yahya bin Ma’in. Lalu Yahya bin Ma’in memperkenalkan dirinya : Saya Yahya bin Ma’in dan ini Ahmad bin Hanbal. Kami tidak pernah mendengar sama sekali hadith ini daripada Rasulullah s.a.w. Lelaki itu lalu menjawab : Aku sentiasa mendengar bahawa Yahya bin Ma’in seorang yang bodoh, tetapi aku tidak betul-betul pasti melainkan saat ini. Seolah-olah tidak ada orang lain yang bernama Yahya bin Ma’in dan Ahmad bin Hanbal selain kamu berdua. Sesungguhnya aku telah menulis daripada tujuh belas orang yang bernama Ahmad bin Hanbal dan Yahya bin Ma’in”. Lalu Ahmad bin Hanbal meletakkan lengan bajunya di atas mukanya lalu berkata : Biarkanlah dia pergi. Lalu lelaki itu pergi dalam keadaan seperti mengejek mereka berdua.



Selain daripada peristiwa ini, terdapat banyak lagi hadith maudhu’ yang dicipta oleh golongan ini seperti “sesungguhnya di dalam syurga itu ada sepohon pokok. Keluar daripada bahagian atasnya satu pasang pakaian lengkap, daripada bahagian bawahnya keluar seekor kuda belang daripada emas, pelananya diperbuat daripada batu permata. Kuda itu tidak buang air besar dan tidak buang air kecil, mempunyai beberapa pasang sayap. Wali-wali Allah akan duduk di atasnya lalu burung itu akan terbang bersama-sama mereka ke mana sahaja mereka mahu.....”, “sesungguhnya Allah mempunyai malaikat yang bernama Umarah yang berada di atas seekor kuda yang berasal daripada batu-batu permata. Panjangnya sejauh mata memandang dan akan berlegar-legar di perkampungan-perkampungan. Ia akan berhenti di pasar-pasar seraya menyeru : mengapa tidak dimahalkan yang demikian itu, mengapa tidak dimurahkan yang demikian itu!!”. Begitu juga dengan hadith “Sesiapa yang mengambil seteguk daripada tempat berlari air besar atau air kecil, lalu membasuh dengannya kemudian memakannya, akan diampunkan baginya”. Dan banyak lagi hadith-hadith yang lain yang telah direka oleh golongan-golongan seperti ini.



iv- Kejahilan tentang ajaran Islam yang sebenar



Apa yang penulis maksudkan dengan kejahilan ini ialah kejahilan tentang besarnya dosa berbohong di atas nama Rasulullah s.a.w walaupun untuk jalan kebaikan. Hal ini berlaku kerana didorong oleh suatu sikap yang terlalu inginkan kebaikan dilakukan oleh orang ramai. Lalu mereka mengambil jalan dengan cara mencipta hadith-hadith maudhu’ yang menyebutkan tentang kelebihan amalan tertentu dan memberi ancaman terhadap perbuatan tertentu (targhib dan tarhib), sekaligus pada sangkaan mereka dapat menggalakkan orang ramai berbuat kebaikan dan menjauhi perbuatan maksiat. Mereka tidak mengetahui bahawa mereka telah melakukan suatu kesalahan yang besar di sisi agama dengan melakukan pembohongan di atas nama Rasulullah s.a.w.



Ibnu Hajar mengatakan antara sebab kepada wujudnya hadith-hadith maudhu’ ialah terlalu jahil dengan ajaran agama Islam seperti yang dilakukan oleh sebahagian daripada golongan mutaabbidin (golongan yang menumpukan kepada ibadat). Dalam istilah yang lain mereka juga dikenali sebagai golongan zuhud dan ahli kebaikan (ahlu al-solaah). Golongan inilah yang telah mencipta hadith-hadith maudhu’ berkenaan dengan kelebihan surah-surah tertentu. Sebagai contohnya, apa yang diriwayatkan oleh al-Hakim dengan sanadnya daripada Abu Ammar al-Marwazi bahawa sesungguhnya dikatakan kepada Abu Ismah : Bagaimana mungkin engkau meriwayatkan daripada Ikrimah daripada Ibnu Abbas tentang kelebihan surah-surah tertentu sedangkan tidak terdapat di sisi anak-anak murid Ikrimah yang lain seperti mana yang kamu riwayatkan. Lalu Ismah menjawab : Sesungguhnya aku telah melihat orang ramai telah berpaling daripada al-Quran dan sibuk pula dengan fiqh Abu Hanifah dan Maghazi Ibnu Ishak (W151H), maka aku cipta hadith-hadith sebagai mengharapkan pahala.



Selain Abu Ismah, ulama ada menyebutkan bahawa Maisarah bin Abdu Rabbih juga telah mencipta hadith-hadith maudhu’ berkenaan dengan kelebihan surah-surah tertentu. Ibnu Hibban (W354H) telah meriwayatkan di dalam kitabnya al-Dhuaafa` daripada Ibnu Mahdi (W198H) katanya : Aku berkata kepada Maisarah bin Abdu Rabbih : “Daripada mana engkau datangkan hadith-hadith ini, sesiapa yang membaca surah-surah sekian-sekian, dia akan mendapat pahala sekian-sekian? Kata Maisarah : Aku ciptakan untuk menggalakkan orang ramai”.



Imam al-Zahabi ada menyebutkan di dalam kitabnya Mizan al-I’tidal berkenaan dengan peribadi Maisarah, katanya : Abu Zur’ah (W264H) berkata : “Maisarah telah mencipta hadith berkenaan dengan kelebihan Qazwin sebanyak empatpuluh hadith dan dia selalu berkata : aku mengharapkan pahala dengan berbuat demikian”.



Antara nama-nama lain yang disebut oleh ulama hadith sebagai golongan yang telah mencipta hadith-hadith maudhu’ untuk tujuan ini ialah Abu Daud al-Nakha’i atau nama penuhnya Sulaiman bin Amru al-Baghdadi, Abu Bisyr Ahmad bin Muhammad al-Faqih al-Marwazi, Ghulam Khalil Ahmad bin Muhammad bin Ghalib al-Bahili, Abbad bin Kathir dan Abdullah bin Muharrar al-Jazari al-Raqqi, Qadhi al-Raqqah.



Golongan ini apabila disebutkan peringatan daripada Nabi s.a.w tentang besarnya dosa orang berdusta di atas nama Nabi s.a.w, mereka mengatakan bahawa mereka tidak berdusta di atas nama Nabi s.a.w tetapi mereka berdusta untuk Nabi s.a.w. Apa yang menyedihkan ialah orang ramai menerima hadith-hadith mereka kerana melihatkan kewarakan dah kesalihan golongan ini dan seterusnya membenarkan apa sahaja yang diucapkan oleh golongan ini. Inilah yang menyebabkan ulama mengatakan bahawa golongan ini adalah golongan yang paling merbahaya kepada aqidah umat Islam bahkan ada juga ulama yang mengatakan mereka lebih merbahaya daripada golongan-golongan yang lain kerana mereka sudah terkenal dengan zuhud dan salih yang tidak tergambar di dalam fikiran orang ramai bahawa mereka akan melakukan pendustaan lebih-lebih lagi pendustaan di atas nama Nabi s.a.w.



Oleh sebab itulah Yahya bin Sa’id al-Qattan (W198H) mengatakan : “Tidak pernah aku melihat pembohongan pada seseorang yang lebih banyak daripada apa yang dilakukan oleh golongan yang menisbahkan diri mereka dengan kebaikan dan zuhud”. Al-Baihaqi (W458H) dalam menjelaskan kata-kata Yahya bin Sa’id al-Qattan ini mengatakan hal ini berlaku kerana golongan ini terlalu menumpukan kepada ibadat sekaligus mengabaikan tentang pencatitan hadith. Lalu sebahagian daripada golongan pendusta mengambil peluang dengan memasukkan hadith-hadith yang bukan daripada golongan ini. Sebahagian daripada mereka pula ada yang menyangka bahawa mereka akan mendapat ganjaran pahala dengan mencipta hadith-hadith berkenaan dengan targhib dan tarhib dan mereka jahil tentang besarnya dosa pembohongan yang dilakukan di atas nama Rasulullah s.a.w.

Bookmark and Share

    


  Member Information For masri2Profil   Hantar PM kepada masri2   Pergi ke masri2's Website   Quote dan BalasQuote

masri2
WARGA SETIA
Menyertai: 21.02.2005
Ahli No: 14588
Posting: 921
Dari: Tampin

NegeriSembilan   avatar


posticon Posting pada: 29-12-06 15:44


1.2 Sejarah Kemunculan Hadis Maudhu’



Kemasukan secara ramai penganut agama-agama lain ke dalam Islam, hasil daripada penyebaran dakwah ke pelosok dunia, secara tidak langsung menjadi faktor kepada bermulanya penciptaan hadith-hadith maudhu’. Tidak dapat dinafikan terdapat sebahagian daripada mereka memeluk Islam kerana benar-benar ikhlas dan tertarik dengan kebenaran ajaran Islam. Namun begitu terdapat juga segolongan daripada mereka yang menganut agama Islam hanya kerana terpaksa mengalah kepada kekuatan Islam pada masa itu.



Golongan ini sentiasa menyimpan dendam dan dengki terhadap Islam dan penganutnya dan sentiasa menunggu peluang yang ada bagi merosakkan dan menimbulkan keraguan di dalam hati orang ramai terhadap Islam. Antara peluang yang terbaik ialah semasa pemerintahan Sayyidina Uthman bin Affan (W35H), hasil daripada sikap tolak ansur dan lemah-lembut akhlaknya terhadap orang ramai, golongan ini mula menaburkan benih-benih fitnah yang pertama.



Antara individu yang memainkan peranan ini ialah Abdullah bin Sabak, seorang Yahudi yang mendakwa telah memeluk Islam. Dengan bertopengkan pembelaan dan kasih kepada Sayyidina Ali dan ahli Bait, beliau menjelajah ke segenap pelosok untuk menabur fitnah kepada orang ramai. Beliau mendakwa Ali (W40H) yang lebih layak menjadi khalifah daripada Uthman bahkan daripada Abu Bakar (W13H) dan Umar (W23H), kerana ianya telah diwasiatkan oleh Nabi s.a.w. Lalu, beliau dipercayai telah mencipta satu hadith maudhu’ yang bermaksud : “Setiap Nabi itu ada penerima wasiatnya dan penerima wasiatku adalah Ali.” Kemunculan Ibnu Sabak ini dikatakan berlaku di akhir pemerintahan Uthman.



Walaubagaimanapun, penyebaran hadith maudhu’ pada masa ini belum lagi meluas disebabkan kewujudan ramai para sahabat-sahabat utama yang mengetahui dengan penuh yakin akan kepalsuan sesuatu hadith. Sayyidina Uthman sebagai contohnya, apabila mengetahui hadith maudhu’ yang dicipta oleh Ibnu Sabak, telah mengambil tindakan dengan menghalau Ibnu Sabak dari bumi Madinah. Begitu juga dilakukan oleh Sayyinia Ali selepas daripada itu.



Mereka menyedari bahaya hadith maudhu’ kerana amaran keras telah dikeluarkan oleh Nabi s.a.w terhadap orang yang mencipta hadith seperti mana sabda Nabi s.a.w “Sesiapa yang berdusta di atas namaku dengan sengaja, maka dia telah menempah tempatnya di dalam neraka.”



Walaupun begitu, kumpulan ini terus mengambil peluang yang ada, terutama selepas pembunuhan Uthman. Munculnya kumpulan-kumpulan tertentu seperti kumpulan yang kononnya ingin menuntut bela di atas kematian Uthman, kumpulan yang menyokong Ali mahupun kumpulan yang tidak memihak kepada mana-mana dua kumpulan ini, menyebabkan hadith-hadith yang menunjukkan kelebihan kumpulan masing-masing dicipta untuk mempengaruhi orang ramai.



Diriwayatkan oleh Imam Muslim (W261H) daripada Tawus (W106H) bahawa pernah suatu ketika dibawakan kepada Ibnu Abbas (W68H) suatu buku yang di dalamnya mengandungi keputusan-keputusan Ali radhiallahu anhu. Lalu Ibnu Abbas menyapunya kecuali sebahagian daripadanya (yang tidak disapu). Sufyan bin Uyainah (W198H) mentafsirkan bahagian yang tidak disapu itu sekadar sehasta.



Imam al-Zahabi (W748H) pula meriwayatkan daripada Khuzaimah bin Nasr katanya : Aku mendengar Ali berkata di Siffin : Moga-moga Allah melaknati mereka (iaitu golongan yang putih yang telah menghitamkan) kerana telah merosakkan hadith-hadith Rasulullah.



Menyedari hal ini, para sahabat mula memberi perhatian terhadap hadith yang disebarkan oleh seseorang. Mereka tidak akan mudah menerimanya sekiranya mereka meragui kesahihan sesuatu hadith itu. Imam Muslim dengan sanadnya meriwayatkan daripada Mujahid (W104H) satu kisah yang berlaku kepada Ibnu Abbas : “Busyair bin Kaab telah datang menemui Ibnu Abbas lalu beliau (Busyair) mula menyebutkan satu hadith dengan katanya “Rasulullah telah bersabda”, “Rasullulah telah bersabda ”. Walaubagaimanapun, Ibnu Abbas tidak mendengar hadithnya itu dan tidak memandang pun kepadanya. Lalu Busyair berkata kepada Ibnu Abbas “Wahai Ibnu Abbas ! Aku hairan mengapa engkau tidak mahu mendengar hadith yang aku sebut. Aku menceritakan perkara yang datang daripada Rasulullah tetapi engkau tidak mahu mendengarnya. Ibnu Abbas lalu menjawab : “Kami satu ketika dulu apabila mendengar seseorang berkata “Rasulullah bersabda”, pandangan kami segera kepadanya dan telinga-telinga kami memberi tumpuan untuk mendengarnya. Tetapi apabila orang ramai mula melakukan yang baik dan yang buruk, kita tidak menerima hadith daripada seseorang melainkan kami mengetahuinya.”

Selepas zaman sahabat, berlaku kelemahan dalam penelitian dan mempastikan hadith-hadith, tidak seperti di zaman sahabat. Ini menyebabkan berlaku banyaknya periwayatan-periwayatan dan penyebaran hadith yang secara tidak langsung telah turut menyebabkan berlakunya pendustaan terhadap Rasulullah dan sebahagian daripada sahabat. Ditambah lagi dengan konflik politik di antara umat Islam yang semakin hebat, telah membuka peluang kepada golongan tertentu yang cuba mendekatkan diri dengan pemerintah untuk mencipta hadith.



Sebagai contoh, pernah berlaku di zaman Khalifah Abbasiyyah, hadith-hadith maudhu’ dicipta bagi mengambil hati para khalifah. Antaranya seperti mana yang berlaku kepada Harun al-Rasyid (Wdi mana seorang lelaki yang bernama Abu al-Bakhtari (seorang qadhi) masuk menemui beliau ketika beliau sedang menerbangkan burung merpati. Lalu beliau berkata kepada Abu al-Bakhtari : “Adakah engkau ada menghafal sesuatu hadith berkenaan dengan burung ini? Lalu dia meriwayatkan satu hadith, katanya : “Bahawa Nabi s.a.w selalu menerbangkan burung merpati.” Walaubagaimanapun, Harun al-Rasyid menyedari kepalsuan hadith tersebut lalu mengherdiknya dan berkata : “Kalaulah bukan kerana engkau daripada keturunan Quraisy, pasti aku akan mengusir engkau.”



Peristiwa seperti ini juga berlaku di zaman khalifah al-Mahdi (W169H) di mana seorang lelaki yang bernama Ghiyath bin Ibrahim masuk menemui beliau yang sedang bermain dengan burung merpati. Lalu Ghiyath meriwayatkan satu hadith kepada khalifah : “Tidak ada pertandingan melainkan pada anak panah atau kuda atau burung.” Dia sebenarnya telah menambah ‘atau burung’ untuk mengambil hati khalifah al-Mahdi. Diriwayatkan bahawa khalifah al-Mahdi telah berkata kepada Ibrahim ketika dia melangkah keluar : “aku bersaksi bahawa belakang tengkuk engkau adalah belakang tengkuk seorang pendusta.” Selepas itu khalifah telah memerintahkan supaya disembelih burung itu. Pendustaan dalam hadith ini hanya berlaku pada lafaz yang akhir sahaja (atau burung). Manakala lafaz-lafaz hadith yang lain ianya adalah thabit kerana diriwayatkan oleh Imam Ahmad (W241H) dan ashab sunan-sunan yang lain.



Walaubagaimanapun, tahap penyebaran hadith-hadith maudhu’ diperingkat ini masih lagi kecil berbanding dengan zaman-zaman berikutnya. Ini kerana masih ramai lagi tabiin yang menjaga hadith-hadith dan menjelaskan di antara yang lemah dan yang sahih. Begitu juga kerana zaman mereka ini masih lagi dianggap hampir dengan zaman Nabi s.a.w dan disebut oleh Nabi sebagai di antara sebaik-baik zaman. Pengajaran-pengajaran serta wasiat daripada Nabi masih lagi segar dikalangan mereka yang menyebabkan mereka dapat mengesan kepalsuan-kepalsuan sesuatu hadith.

Bookmark and Share

    


  Member Information For masri2Profil   Hantar PM kepada masri2   Pergi ke masri2's Website   Quote dan BalasQuote

saifuddin_92
Warga 4 Bintang
Menyertai: 03.08.2006
Ahli No: 25600
Posting: 271
Dari: batu pahat

turkey  


posticon Posting pada: 29-12-06 15:52


hebatla masri2

Bookmark and Share

    


  Member Information For saifuddin_92Profil   Hantar PM kepada saifuddin_92   Pergi ke saifuddin_92's Website   Quote dan BalasQuote

akil78
Warga 4 Bintang
Menyertai: 28.01.2009
Ahli No: 36927
Posting: 209
Dari: selangor, malaysia

Terengganu   avatar


posticon Posting pada: 12-02-09 14:57


macam mana kita nak tau hadith ni s/ada hadith palsu, hadith maudu' dan juga hadith sahih
boleh jelaskan..

Bookmark and Share

    


  Member Information For akil78Profil   Hantar PM kepada akil78   Pergi ke akil78's Website   Quote dan BalasQuote

Member Messages

Forum Search & Navigation

 

Log in to check your private messages

Silakan Login atau Mendaftar





  


 

[ Carian Advance ]

Jum ke Forum 




Datacenter Solution oleh Fivio.com Backbone oleh JARING Bukan Status MSCMyPHPNuke Portal System

Disclaimer: Posting dan komen di dalam Portal Komuniti Ukhwah.com ini adalah menjadi hak milik ahli
yang menghantar. Ia tidak menggambarkan keseluruhan Portal Komuniti Ukhwah.com.
Pihak pengurusan tidak bertanggung jawab atas segala perkara berbangkit
dari sebarang posting, interaksi dan komunikasi dari Portal Komuniti Ukhwah.com.


Disclaimer: Portal Komuniti Ukhwah.com tidak menyebelahi atau mewakili mana-mana parti politik
atau sebarang pertubuhan lain. Posting berkaitan politik dan sebarang pertubuhan di dalam laman web ini adalah menjadi
hak milik individu yang menghantar posting. Ia sama-sekali tidak ada
kena-mengena, pembabitan dan gambaran sebenar pihak pengurusan Portal Komuniti Ukhwah.com

Portal Ukhwah
© Hakcipta 2003 oleh Ukhwah.com
Tarikh Mula: 14 Mei 2003, 12 Rabi'ul Awal 1424H (Maulidur Rasul)
Made in: Pencala Height, Bandar Sunway dan Damansara Height
Dibina oleh Team Walasri




Loading: 0.090519 saat. Lajunya....