KUALA LUMPUR 22 Ogos – Tun Dr. Mahathir Mohamad mencadangkan supaya sistem pendidikan Jerman dan Jepun yang lebih menekankan penguasaan ilmu dan latihan, diterapkan ke dalam sistem pendidikan bagi memacu kemajuan negara.
Bekas Perdana Menteri itu juga mencadangkan agar bahasa Inggeris terus kekal menjadi bahasa pengantar penguasaan ilmu.
Kata beliau, langkah itu penting kerana sistem pendidikan negara yang dicedok dari sistem pendidikan British, tidak lagi berupaya membawa negara terus melangkah jauh dalam era kemajuan sains dan ledakan teknologi.
‘‘Bagi memastikan Malaysia terus maju, sudah sampai masanya sistem pendidikan negara yang dicedok dari sistem pendidikan British, yang hanya menekankan penguasaan ilmu ditukar kepada sistem pendidikan yang diamalkan Jerman dan Jepun.’’
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucaptama pada Persidangan Dunia Ke-35 Persekutuan Antarabangsa Bagi Pertubuhan-pertubuhan Latihan dan Pembangunan (IFTDO) dan Pameran IFTDO 2006, di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) di sini hari ini.
Dr. Mahathir berkata, sistem pendidikan yang menggabungkan penguasaan ilmu dan latihan seperti yang diamalkan Jerman dan Jepun terbukti mampu memacu kedua-dua negara berkenaan ke arah kemajuan.
Kata beliau, langkah itu juga boleh dilaksanakan oleh negara-negara Islam lain bagi mengembalikan kegemilangan tamadun Islam.
Beliau menarik perhatian bahawa umat Islam pernah muncul sebagai bangsa yang berilmu kerana mereka mengamalkan ajaran Islam yang menggalakkan umatnya mempelajari semua bidang ilmu.
‘‘Pada abad ke-15, umat Islam menjadi bangsa yang mundur dan ketinggalan dalam bidang ilmu, kerana ulama-ulama pada waktu itu hanya menekankan pembelajaran ilmu agama semata-mata.
‘‘Pada masa sama, masyarakat Barat bangkit sebagai bangsa yang maju kerana mereka mempelajari semua ilmu yang ditinggalkan oleh umat Islam dan menterjemahkannya ke dalam bahasa mereka,’’ katanya.
Katanya, keruntuhan tamadun Islam dan kemunduran umat Islam pada masa ini akibat kesilapan mereka mentafsirkan ajaran Islam tentang penguasaan ilmu yang berkisar ilmu agama semata-mata.