ULANG tahun peristiwa Israk Mikraj diperingati hari ini oleh umat Islam di seluruh dunia. Di Malaysia, ia merupakan cuti umum negeri bagi Kedah, Perlis dan Negeri Sembilan.
Peristiwa ini merupakan khazanah bagi umat Islam yang menampilkan iktibarnya dalam pelbagai dimensi meliputi bukan saja ilmu agama seperti teologi tetapi juga sejarah, antropologi, sosiologi, mitologi, sains, politik, pendidikan dan lain-lain bentuk kajian pengetahuan.
Dalam peristiwa Israk Mikraj terdapat kisah-kisah tertentu yang tidak berpunca daripada hadis sahih. Jika diambil kitab tradisi yang dibaca secara turun-temurun oleh orang Melayu umpamanya, dapat dikenal pasti kisah-kisah yang tidak berpunca daripada hadis-hadis sahih.
Namun begitu, kisah-kisah ini terus diperdengarkan secara turun-temurun dalam majlis-majlis memperingati peristiwa Israk Mikraj di surau, masjid dan ceramah-ceramah di seluruh dunia.
Mengapakah kisah-kisah tertentu yang tidak dapat disahkan ini popular dan terus diceritakan? Jawapannya ialah kisah-kisah yang terkandung sekitar peristiwa Israk Mikraj adalah menarik dan mengesankan kepada umat Islam.
Tambahan pula kisah-kisah ini penuh dengan pengajaran dan pendidikan agama khususnya akhlak. Ia menggalakkan supaya umat Islam bersembahyang dan melakukan perbuatan baik serta menghindarkan diri daripada kejahatan.
Dalam tradisi Islam, walaupun sesuatu hadis itu tidak mencapai tahap sahih tetapi kalau ia bermanfaat dari segi pendidikan, maka ia disebarkan dengan tujuan baik bagi menyemai akhlak mulia.
Di antara hari-hari peringatan umat Islam seperti Awal Muharam dan Maulud Nabi, peristiwa Israk Mikraj inilah yang paling mengesankan bagi anak-anak kecil. Israk merujuk pada perjalanan Rasulullah s.a.w. dari Mekah ke Baitulmaqdis. Tetapi yang lebih menarik ialah Mikraj iaitu perjalanan baginda dari Masjidil Aqsa ke langit ketujuh, Sidratul Muntaha.
Pengalaman Rasulullah s.a.w. melihat bagaimana seseorang mendapat seksaan akibat perbuatan-perbuatan jahat menjadi kisah pendidikan yang mengesankan bagi anak-anak kecil.
Perlu juga diingat bahawa peristiwa Israk Mikraj ini berlaku semasa Rasulullah s.a.w. masih di Mekah, dan belum berhijrah ke Madinah.
Antara kepentingan peristiwa Israk Mikraj ialah bermulanya orang Islam diwajibkan solat lima waktu. Ketika itu kiblat bagi umat Islam ialah Masjidil Aqsa.
Sebelum itu, Rasulullah s.a.w. tidak pernah sampai ke Masjidil Aqsa di Baitulmaqdis.
Ketika itu pun ajaran yang dibawa Rasulullah s.a.w. belum lagi sampai ke Palestin. Masjidil Aqsa seperti yang ada hari ini juga belum wujud.
Hanya setelah Khalifah Umar lah.a. membebaskan Palestin dari Rom, tapak Masjidil Aqsa dicari dan dibina bangunan. Baginda juga membina masjid yang kini dikenali sebagai Masjid Omar atau Kubatul Sakra, dikenali juga Dome of the Rock. Kubah keemasannya kini menjadi simbol perjuangan pembebasan Baitulmaqdis dan Palestin.