MUKADIMAH
SAFARI Malam di Singapura merupakan taman hidupan liar yang pertama di dunia dengan menampilkan kumpulan haiwan ganas dan boleh mengancam nyawa manusia, mempelawa pengunjung merasai pengalaman yang unik.
Dibangunkan atas keluasan 40 hektar tanah, safari malam menjanjikan kelainan pengalaman yang menarik ketika berpeluang menjejak hidupan liar dalam hutan tropika pada waktu malam.
Bersuluhkan lampu-lampu khas yang direka bentuk bagi mengekalkan suasana kelam malam, pengunjung selesa dan bebas menyaksikan gelagat haiwan dalam habitat asal.
Menyaksikan rusa, kanggaru dan kudang belang berkeliaran sambil meragut rumput di pinggir laluan pejalan kaki, tapir dan badak menghampiri tram yang bergerak merupakan pengalaman yang sukar dilupakan terutama di kalangan kanak-kanak.
MENJELANG senja dalam remang mentari petang yang merah dan berwarna jingga kehadiran pelawat ke Safari Malam Singapura semakin bertambah dan bertali arus.
Orang ramai berpusu-pusu dan suasana agak kalut di pintu masuk utama yang hanya dibuka tepat jam 7.30 malam dan berlangsung hingga tengah malam.
Apa istimewanya melihat haiwan pada waktu malam dalam suasana cahaya kelam dan suram. Tidak bimbangkah ada di antara haiwan liar jenis karnivor menerkam pelawat apatah lagi yang membawa anak-anak kecil bersama?
Seronok dan menghiburkan!kata-kata yang terhambur daripada pelawat tidak kira usia. Kegembiraan dan kepuasan jelas terpancar pada wajah mereka sambil mulut tidak henti-henti berdecit-decit atau bersiul panjang mengajuk bunyi binatang atau telatah haiwan yang ditemui ketika melewati pintu keluar.
Keghairahan menikmati suasana malam yang dramatik dalam jelmaan habitat asal haiwan bermula di restoran Bongo Burgers yang terletak betul-betul di pintu masuk ke safari.
Terkenal dengan Bongo Beef Burger dan Safari Lamb Burger, sambil menikmati makan malam mulakan pengalaman menyeronokkan ini dengan persembahan sekumpulan anak muda berpakaian renjer mempamerkan keakraban mereka dengan burung hantu, ular sawa dan anak harimau yang jinak melekap ke tubuh.
Tapi awas, jangan sesekali menggunakan kamera yang mempunyai flash kerana haiwan terkejut dan mungkin berbahaya.
Diiringi Timbalan Pengurus Komunikasi Korporat Zoo Singapura, Pauline Tan, yang sarat mengandung tetapi tetap cekal dan kuat bekerja menyumbang pengalaman unik dan menarik.
Seketika terdengar pekikan dan lolongan kumpulan yang menggelar diri mereka Thumbuakar yang melompat dan terkinja-kinja menari sambil memegang sumpit.
Dibawa khas dari Sarawak, kumpulan tampil hebat dengan pakaian tradisi Kadazan dan Iban mempamer kebolehan menari tarian api dengan iringan petikan muzik siapa yang mempesona.
Ditingkah bunyi gendang, sekali lagi kumpulan penari menogok minyak tanah dan tersembur api marak lalu kedengaran tepukan demi tepukan gemuruh. Pengunjung zoo malam semakin ghairah dan teruja.
Hampir setengah jam berlalu, telah hadir hampir 1,000 pengunjung dan menurut Pauline, saban malam 3,000 hingga 5,000 pengunjung pada hari biasa melawat safari.
Jumlah berganda pada hujung minggu dan berdasarkan rekod, pengunjung menjangkau sejuta orang dalam tempoh setahun.
Safari Malam terletak di Jalan Mandai berdekatan Jurong dibuka pada 26 Mei 1994 dengan keluasan seluas 40 hektar.
Menyediakan perkhidmatan tram atau laluan pejalan kaki, pemandangan malam di zoo malam mencipta kelainan ketika berada di dalam hutan.
Tram yang mengandungi lebih lima gerabak akan bergerak perlahan-lahan dan enjinnya hampir tidak kedengaran.
Ditemani pemandu tram dan pemandu pelancong yang bijak berkomunikasi, semua mata pelawat melingas ke sebelah kanan dan kiri yang kelam dan suram cahayanya.
Menurut Pauline, kejelasan lampu dalam cahaya gelap malam memainkan peranan penting bagi memastikan kelibat haiwan tidak terlepas pandang.
Di Safari Malam, keterangan lampu-lampu dibangun dan reka khas agar serasi dengan habitat haiwan tanpa pelawat rasa terganggu dengan silauan yang menyebabkan suasana berubah warna.
Melihat sekumpulan rusa yang tidak berganjak di pinggir pejalan kaki sambil leka meragut rumput antara yang menyeronokkan. Begitu juga bila dihampiri sekumpulan tapir dan rusa yang lali dengan kehadiran pelawat.
Lebih menarik lagi sesetengah haiwan aktif mencari makanan pada waktu malam terutama haiwan liar seperti harimau bintang.
Kelibat spesies ini boleh dilihat dengan rakus mencari mangsa di sebalik gelas kaca bagi mengelak mengancam pengunjung.
Kumpulan monyet pula lebih gemar mendiamkan diri pada waktu malam namun silauan mata jelas menandakan kewujudannya.
Tiba-tiba pemandu pelancong berbisik dan semua terkedu senyap. Begitu hampir dengan pengunjung di dalam tram (dipisahkan parit dalam) semua mendongak menyaksikan Chawang.
Gajah setinggi tiga meter dengan berat 3,480 kg itu merupakan antara tarikan terkini pelawat ke taman safari.
Istimewanya Chawang dilahirkan pada 1977 dan tiba di zoo Singapura pada 27 Disember 1983 dari Zoo Melaka bersama-sama Jamilah seekor gajah betina.
Chawang cukup popular di kalangan gajah betina merupakan bapa kepada tiga anak dan paling besar digelar Sang Wira kini berusia lima tahun juga ditempatkan di taman yang sama. Teman wanita yang paling digemarinya bergelar Jati, berasal dari Asia dan kini ditempatkan di Zoo Singapura.
Di sesetengah perhentian, pelawat digalakkan berjalan kaki untuk menghayati haiwan-haiwan liar dengan lebih dekat.
Dalam kelam malam, kelibat kelawar, haiwan yang jarang ditemui pada waktu siang juga turut jinak mempamer kehebatan terbang melayang rendah di atas kepala.
Sejak dibuka 12 tahun yang lalu, Safari Malam Singapura telah menerima lebih 10 anugerah pelbagai kategori di peringkat tempatan dan juga Asian.
Antaranya anugerah tarikan santai pada tahun 2000 dan 2001 daripada Lembaga Pelancongan Singapura dan anugerah Tarikan Baru Asean (Safari malam) daripada Persatuan Pelancongan Asean tahun 2005.
Sesuatu yang istimewa sepanjang berada di Safari Malam, kakitangan taman yang berhemah melayan pengunjung tanpa mengira batas usia, kaum dan bangsa. Mereka juga peka dengan latar belakang setiap haiwan yang ditempatkan di safari dan begitu ramah menceritakan keistimewaan yang terdapat di sana.
Creatures Of The Night
Di tengah-tengah keseronokan menyaksikan haiwan-haiwan liar di dalam habitat yang diubah suai seperti yang asal, pengunjung diingatkan tidak terlepas menyaksikan pertunjukan di dalam ampiteater.
Pentas bulat tanpa bumbung dan melengkung ke dalam penuh dengan ribuan pelawat yang ingin menyaksikan aksi-aksi menarik haiwan mempamer kebolehan.
Menurut Pengarah Eksekutif Safari Malam dan Zoo Singapura, Fanny Lai, pihaknya cuba mengelak haiwan-haiwan mempamer kehebatan seperti dalam sarkas.
Katanya, aksi-aksi yang dipaparkan adalah tingkah laku dan gelagat sebenar haiwan-haiwan di dalam habitat masing-masing.
Menariknya, haiwan yang dipilih merupakan haiwan liar yang sukar dijinakkan seperti burung hantu yang jinak di tangan, binturong, memerang yang bijak memisahkan barangan kitar semua dan lompatan harimau kumbang menerkam makanan.
Suasana lebih meriah dengan sistem bunyi dan lampu yang canggih dan mensasar ke arah haiwan yang terasa begitu dekat kepada pelawat.