.. (petikan dari utusan malaysia)
Apakah hukum makan katak?
Saudara Astora,
Apakah hukum makan katak? Saya pernah termakan
katak ketika menuntut di luar negara. Sebenarnya
bukan termakan seratus peratus. Pada mula termakan
kerana menyangka arnab goreng, tetapi sudah
diberitahu saya masih terus makan sehingga habis
kerana sedap.
Saya ada dengar dua pandangan mengenai hukum makan
katak, iaitu haram dan harus. Yang mana betul
antara dua pandangan itu? Saya harap saudara dapat
memberikan penjelasan.
- Azmi F.
JAWAPAN:
Hukum makan katak adalah harus kerana Allah tidak
pernah menyebut dalam al-Quran bahawa haiwan itu
haram dimakan. Bagaimanapun, hukum makan katak
sama juga dengan hukum makan kura-kura, tupai dan
sebagainya, iaitu ia terserah kepada pertimbangan
masing-masing serta adat kebiasaan yang diamal
dalam masyarakat. Jika ada yang berselera dan adat
kebiasaan masyarakat pula tidak menganggap menjadi
jelek dan keji, maka dianggap boleh makan. Jika
sebaliknya, maka dianggap tidak boleh makan.
Bagaimanapun, tiada barangkali orang Melayu yang
tergamak makan katak kerana adat kebiasaan yang
diamal turun-temurun tidak membenarkan mengamal
perkara itu.
Kenapa bela Islam liberal?
Saudara Astora,
Saya berasa sedih kerana saudara membela golongan
Islam liberal yang sesat. Mereka bukan orang Islam
kerana orang Islam mesti mengamal Islam secara
kaffah dan bukan mengamal Islam secara juzie
seperti mereka.
- Dia
JAWAPAN:
Mengamal Islam secara kaffah bermaksud mengamal
ajaran Islam secara menyeluruh dan sempurna.
Manakala mengamal Islam secara juzie pula
bermaksud mengamal ajaran Islam secara separuh dan
sekerat. Apakah itu yang dimaksudkan oleh saudara?
Jika itu yang saudara maksudkan, penulis jelaskan
bahawa segala-galanya di dunia ini tidak ada yang
menyeluruh dan sempurna secara mutlak. Dengan itu
tidak hairan jika Nabi Muhammad s.a.w. juga
melakukan kesilapan walaupun baginda maksum.
Kerana baginda hanya maksum dalam menerima wahyu
saja, tetapi dalam kehidupan baginda juga terdedah
kepada bermacam-macam kekurangan seperti semua
manusia.
Malah itu juga menyebabkan sesetengah ulama
menganggap Rasulullah sendiri tidak sempat
melaksanakan Islam secara lengkap dan sempurna.
Berhubung dakwaan saudara bahawa penulis membela
golongan Islam liberal, penulis ingin jelaskan
bahawa penulis membincang tentang mereka bukan
menyatakan pandangan bersetuju atau tidak setuju,
tapi penulis menjelaskan tentang kedudukan cerdik
pandai Islam yang dikenali sebagai atau memanggil
diri mereka sebagai Islam liberal. Pada penulis,
ada cerdik pandai Islam dan ulama yang dikenali
atau memanggil diri mereka sebagai Islam liberal
itu ada sangat terkenal dengan kewibawaan mereka
dalam ijtihad dan ada di kalangan mereka merupakan
pak turut dan pentaklid buta hati.
Selain itu perlu juga mengetahui bahawa apa jua
isu agama yang dibincangkan oleh golongan Islam
liberal adalah merupakan isu-isu agama berkaitan
perkara-perkara ijtihad yang dibenarkan dalam Islam.
Dengan itu apa jua pandangan mereka sekiranya
tidak bercanggah dengan asas Islam serta melampaui
batasnya, maka tidak dianggap salah walaupun
berlainan dengan fahaman Islam bermazhab yang
diguna pakai di negeri ini. Dalam pada itu penulis
juga mendapati mereka yang memerangi Islam liberal
adalah orang yang kurang teliti, lebih cenderung
untuk menghukum secara semberono dan paling suka
berusaha untuk memenjarakan Islam dalam mazhab dan
puak. Dengan itu jika kita mengkritik golongan
Islam liberal, kita juga perlu mengkritik golongan
yang suka memenjarakan Islam dalam mazhab dan puak
ini.
Wallahu A'lam...
-----------------
.::Ketenangan lahir dari hati yang bersih::.