Letak jawatan `cara' buat menteri beri penjelasan KUALA LUMPUR 15 Okt. - Kelab Penyokong Kerajaan (BBC) menyifatkan tindakan beberapa anggotanya mendesak Datuk Seri Samy Vellu meletak jawatan dalam Dewan Rakyat baru-baru ini sebagai `cara' untuk membuatkan menteri itu memberikan penjelasan sebenar bagi isu-isu berbangkit.
Pengerusinya, Datuk Shahrir Samad menjelaskan, sebelum ini ahli-ahli Parlimen BN tidak pernah meminta mana-mana menteri meletakkan jawatan dalam perbahasan di Dewan Rakyat kerana ia adalah sesuatu yang `tidak manis' dari segi etika.
Bagaimanapun, kata beliau, tindakan tersebut akhirnya dicetuskan oleh beberapa ahli Parlimen kerana mereka sudah tidak mempunyai cara lagi untuk membuatkan Menteri Kerja Raya itu menjawab beberapa isu penting yang membabitkan kepentingan awam.
Selama ini, katanya, menteri berkenaan gagal memberikan jawapan yang konkrit bagi sesuatu isu.
``Isu-isu yang diketengahkan sudah terlalu menonjol dengan kelemahan nampak begitu ketara dan sebagai ahli Parlimen mereka mendengar rintihan rakyat di peringkat akar umbi.
``Ramai yang bertanyakan apa jalan penyelesaian yang bijak mengenai isu seperti hospital di Johor yang menelan belanja berjuta-juta ringgit tetapi tidak boleh digunakan kerana jangkitan kulat.
``Bagaimanapun, sampai sekarang tiada apa-apa jawapan yang konkrit daripada menteri berkenaan,'' katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Beliau mengulas desakan beberapa ahli Parlimen yang meminta menteri berkenaan meletakkan jawatan dalam sesi Dewan Rakyat ketika membahaskan Rang Undang-Undang Perbekalan 2005 di bawah Kementerian Kerja Raya, Rabu lalu.
Antara isu yang dijadikan modal utama beberapa penyokong kerajaan itu ialah keretakan 31 daripada 33 tiang jejambat di Jalan Lingkaran Tengah 2 (MRR2) Kepong dan kejadian tanah runtuh di Kilometer 302 Lebuh Raya Utara Selatan berhampiran Gua Tempurung, Isnin lalu.
Ekoran itu, Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi mengeluarkan kenyataan bahawa tidak wajar bagi anggota Parlimen khususnya daripada BN untuk mendesak mana-mana menteri meletakkan jawatan semasa persidangan Dewan Rakyat.
Mengulas lanjut perkara itu, Shahrir berkata, beliau memahami situasi yang dihadapi oleh ahli Parlimen untuk mendapatkan penjelasan tersebut.
``Jika tiada cara untuk mendapatkan penjelasan sebenar itu, mungkin ini adalah cara untuk menarik perhatian menteri tersebut berbuat demikian,'' katanya.
Sebagai ahli Parlimen, Shahrir menjelaskan, sudah menjadi tugas mereka untuk mengetengahkan semua masalah berbangkit dalam persidangan Dewan Rakyat.
``Ahli Parlimen kita pun semuanya cerdik-cerdik belaka (berpendidikan tinggi). Mustahil mereka mahu dengan sewenang-wenangnya meminta menteri letak jawatan,'' katanya.
-----------------
Ke arah memantapkan 'Aqeedah Tauhid... mendidik JIWA HAMBA...