Bazar Ramadan menjadi pesta makanan melampau
Wednesday, October 20 @ 15:27:53 MYT
Oleh Roy Rasul
KUALA LUMPUR, 20 Okt (Hrkh) - Bazar Ramadan yang sedang berlangsung dengan meriahnya dalam bulan Ramadan sekarang dilihat lebih menjurus kepada pesta makanan yang melampau.
Menurut Senator Siti Zailah Yusof, kebanyakan masyarakat Islam yang berbelanja di situ seolah-olah dikuasai serta didorong oleh nafsu makan yang melampau.
Katanya yang dihubungi hari ini, tidak dinafikan wujudnya bazar Ramadan memberi kesenangan kepada mereka khasnya yang sibuk bekerja tetapi dalam masa yang sama pembelian makanan yang berlebihan adalah satu pembaziran.
"Timbulnya nafsu buruk seperti itu disebabkan masyarakat kita masih dibelenggu dengan pemikiran tradisional dan ia menguasai kehidupan mereka sehingga menjadi tuntutan dan kehendak semasa," katanya.
Faktor itu katanya, menyebabkan ibadat puasa lebih mendorong ke arah nafsu makan di tahap yang tinggi sedang katanya lagi, Rasulullah SAW mengamalkan berbuka puasa dengan memakan buah tamar, susu dan roti.
Sikap orang ramai yang beria-ia membeli makanan untuk berbuka sekaligus kesempatan tersebut direbut para peniaga menjadi bazar Ramadan sebagai medan pesta makanan.
Katanya, perkembangan ini membuatkan kejahilan masyarakat hari ini meletakkan budaya berbuka dengan penyediaan pelbagai makanan menguasai keperluan untuk beribadat.
"Kecuali bagi orang beriman yang memahami erti puasa sebenar iaitu menahan hawa nafsu untuk melaksanakan tuntutan ibadat semaksimum mungkin tetapi berapa ramai sangat yang berjaya berbuat demikian," katanya.
Sehubungan itu katanya, amatlah wajar kerajaan dan masyarakat Islam di negara ini membuat pemulihan menerusi penerangan yang sebaik mungkin untuk memahami erti puasa yang sebenar sebagaimana ditunjuk Rasulullah SAW dan para sahabat di zaman silam.
Malah katanya, di kesempatan yang ada sepatutnya masyarakat mempertingkatkan amal ibadat umpamanya dengan membaca al-Quran, bersedekah serta melakukan amal jariah.
"Lakukan ibadat yang serba sederhana termasuk makan dan minum malangnya pada masa ini jarang berlaku macam itu," katanya.
Dalam pada itu, beliau juga berkata sepatutnya dalam bulan Ramadan setiap umat Islam meningkat fadilat puasa dengan mendekati diri kepada Allah SWT.
"Bukannya membuat maksiat ataupun membuang masa di pusat-pusat membeli-belah dan sebagainya," katanya. - mks.
####################################

...Lama x berposting..Selamat menyambut ramdhan yg mulia buat semua adik2 dan sahabat2 semua di komuniti ukhwah..Apa pendapat anda semua dgn bazar ramadhan ni...berbelanja boleh tetapi jgn melampaui batas sehingga berlakunya pembaziran..Wallahua'lam