Mahasiswa UM berpiket bantah penyelewengan pilihan raya kampus
Wednesday, September 15 @ 16:31:04 MYT
KUALA LUMPUR,15 Sept (Hrkh) - "Mana perginya demokrasi kampus, mana ada pilihan raya lagi kalau kebebasan mahasiswa untuk mengundi dicabuli oleh pihak pentadbiran,"laungan bergema di hadapan Gazebo Kompleks Perdana Siswa, Universiti Malaya.
Tepat jam 2.00 petang tadi, kira-kira 100 orang mahasiswa berkumpul berpiket di hadapan Pejabat Hal Ehwal Pelajar (HEP) sambil melaungkan slogan 'Hidup Mahasiswa'.
Piket tersebut diadakan berikutan penafian hak bertanding dalam pilihan raya kampus bagi calon kumpulan gagasan yang dilakukan oleh pihak pentadbiran Universiti Malaya.
Bagaimanapun, piket tersebut dihalang oleh pihak anggota keselamatan Universiti Malaya yang diketuai oleh Profesor Alias Daud yang mengarahkan mahasiswa bersurai segera.
"Kami mahu berkumpul secara aman, kami mahu mengadakan pentomen khas,kami mahu baca sajak," ujar seorang mahasiswa yang menggerakkan piket tersebut.
"Mana kad matrik kamu, serahkan kepada kami.Kamu ini pelajar UM atau orang luar yang mahu membuat kacau,"tegas Alias yang bertindak menghalang piket itu.
Sementara itu seorang mahasiswa dengan suara yang lantang terus membaca sajak yang menyebut mengenai hak dan kebebasan mahasiswa untuk memilih perwakilan mereka yang telah dicabuli oleh pihak HEP.
Piket itu bagaimanapun hanya berjalan kira-kira lima minit sahaja dan kemudiannya kumpulan mahasiswa tersebut bersurai dengan melaungkan perkataan 'Gagasan Power".
Pengerusi Soladiriti Mahasiswa Malaysia, Mohd Khoirol Anwar Mat Zuki yang kemudiannya mengadakan sidang media mengenai piket tersebut berkata,pihaknya membantah keras tindakan pihak pentadbir yang menyekat calon Gagasan bertanding.
Kata beliau, mahasiswa membantah tindakan pihak HEP yang menyediakan peraturan pemilihan Majlis Perwakilan Mahasiswa (MPM) yang dilihat menyekat hak dan kebebasan mahasiswa.
Ujar beliau, pihak HEP dilihat memihak kepada calon tajaan mereka dengan berkempen untuk calon mereka.
"Kami turut diugut akan dibuang dari kolej kediaman jika membuang undi kepada calon yang menentang calon bukan tajaan HEP," ujar Mohd Khoirol Anwar lagi.
Selain itu ujar beliau, calon yang bernaung di bawah kumpulan Gagasan dinafikan untuk mendapat tandatangan Dekan, Pengetua kolej ataupun Pengarah pusat.
Katanya, tandatangan itu penting bagi melengkapkan borang pencalonan, bagaimanapun hak mendapatkan tandatangan itu diberi kepada calon pro-Aspirasi sahaja.
"Inikah yang dikatakan telus?" soal beliau yang juga Presiden Majlis Perhimpunan Mahasiswa Islam Malaysia (MPMI).
"Perjalanan penamaan calon berat sebelah sehingga menimbulkan beberapa insiden yang tidak diingini termasuklah pergaduhan di kalangan wakil calon dan penyokong kedua-dua pihak," katanya.
Beliau juga mendedahkan bahawa Jawatankuasa Pengelola Pilihan raya Kampus kali ini dilantik di kalangan kumpulan mahasiswa yang kalah pada pilihan raya tahun lalu.
"Tindakan ini melanggar hak kebebasan kerana di situ dilihat ada usaha menafikan hak mahasiswa kumpulan gagasan,"ujarnya.
Bagaimanapun ujar beliau, calon Gagasan tidak mampu berbuat apa-apa oleh kerana pihak pentadbiran universiti tidak memberi laluan kepada Gagasan untuk bersuara termasuklah halangan terhadap piket hari ini.
"Kami sekali lagi melahirkan kekesalan terhadap pihak pentadbir yang secara terang menyebelahi calon pro-Aspirasi," ujarnya.
Selain itu katanya,pemantauan yang dilakukan terhadap proses pilihan raya hari ini mendapati pihak pemilih menanda nombor siri pada kertas undi dan senarai daftar pemilih.
Ujarnya, pihak jawatankuasa berbuat demikian semata-mata untuk mengesan mana-mana pelajar yang menyokong kumpulan yang menentang calon tajaan HEP.
"Kami akan merekod semua bukti penipuan pilihan raya kampus ini dan kami akan serahkan kepada Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) Isnin ini," tegasnya.
Pilihan raya seluruh kampus berjalan serentak hari ini.Mahasiswa akan turun membuang undi di setiap tempat pembuangan undi yang diadakan di Fakluti dan pusat.
Antara universiti itu ialah, Universiti Malaya, Universiti Kebangsaan Malaysia, Universiti Putra Malaysia, Universiti Sains Malaysia, Universiti Utara Malaysia dan beberapa yang lain. - WAN/mks.