Amalan Rasuah Pemusnah Negara

A Portal Komuniti :: Ukhwah.com Pendapat/Ulasan

http://www.ukhwah.com/ukhwah/



Oleh: Proff ( [email protected] )
Ditambah: 24-11-2004
Markah: 10



Apabila kita membelek sahaja surat khabar, berita berkaitan rasuah sering terpampang di dalamnya. Mungkin masih ada yang tertanya-tanya, apakah yang dimaksudkan dengan rasuah? Sekiranya kita merujuk pada Kamus Dewan, perkataan rasuah membawa maksud pemberian untuk menumbuk rusuk, menyogok ataupun menyuap. Oleh yang demikian, untuk membendung gejala ini daripada terus menular, punca-punca berlakunya kemelut rasuah seyogia dikaji hingga ke akar umbi. Bak kata pepatah, "di mana cendawan tumbuh, di situlah pembilang terentak". Oleh sebab itu salah satu punca yang menyebabkan berlakunya gejala ini adalah kerana sikap manusia yang rakus. Disebabkan sesetengah individu terlalu mengejar kekayaan dan kemewahan dunia, mereka yang bermata duitan terjebak ke kancah rasuah. Sebenarnya terdapat banyak lagi kaedah bagi mereka mengimpikan kekayaan dan kemewahan. Tetapi sayangnya, yang mereka harapkan ialah "wang yang tidak berpeluh". Selain itu, amalan rasuah juaga berlaku akibat peningkatan kos sara hidup. Dalam era baru yang berteknologi tinggiini,tidak dapat dinafikan bahawa kos perubatan, pendidikan, makanan,dan minuman serta tempat kian meningkat. Lantaran itu muncullah bibit-bibit sikap kerakusan manusia yang berakar umbi ekoran daripada kegagalan mereka dalam usaha menahan godaan wang ringgit. Maka, jalan singkat akan diambil oleh mereka untuk menampung kos hidup iaitu amalan rasuah. Punca-punca amalan rasuah sudah diteliti dan tibalah masanya untuk semwa pihak sebulat suara melancarkan perang terhadap rasuah sebelum terlambat. Ingat, kekayaan dan kemewahan hanya sementara. Harta serta wang ringgit bukan segala-galanya. Rasuah perlu dibendung segera.