Array
Welcome To Portal Komuniti :: Ukhwah.com

  Create An Account Home  ·  Topik  ·  Statistik  ·  Your Account  ·  Hantar Artikel  ·  Top 10 28-03-2024  

  Login
Nickname

Password

>> Mendaftar <<

  Mutiara Kata
"Kebahagiaan yang sebenar lagi utama terletak pada kemenangan dalam memerangi hawa nafsu dan menahan kehendak-kehendak yang berlebih-lebihan."
-- Imam Al-Ghazali

  Menu Utama

  Keahlian Ukhwah.com
Terkini: navratan
Hari Ini: 0
Semalam: 0
Jumlah Ahli: 43152

  Sedang Online
Sedang Online:
Tetamu: 172
Ahli: 0
Jumlah: 172




  Yang Masuk Ke Sini
muslimin23: 1 hari, 10 jam, 29 minit yang lalu
Rashdin: 26 hari yang lalu

Ramadhan 'pamer' kemiskinan..
 Posted on Isnin, 24 November 2003 @ 1:10:54oleh Hanan
Semasa nazri menulis BERMACAM ragam boleh disaksikan pada bulan Ramadan di kota Jakarta. Selain kemeriahan hotel dan pusat membeli-belah yang dihias indah untuk menyambut ketibaan bulan puasa, di sisi lain ada pemandangan yang mengganggu perasaan.

Menjadi kelaziman setiap kali tiba bulan Ramadan, Jakarta akan dibanjiri oleh golongan peminta sedekah khususnya dari daerah Jawa Barat, Jawa Tengah dan Lampung.

Suasana ini menambah warna-warni ibu kota ini layaknya seperti sebuah pameran kemiskinan. Mereka memanfaatkan bulan penuh barakah ini untuk meneruskan nafas kehidupan.

Mengikut data pemerintah Daerah Khusus Ibu Kota (DKI), antara 5,000 hingga 10,000 pengemis bermusim kini membanjiri Jakarta. Mereka berkeliaran di tempat-tempat yang mempunyai potensi untuk meminta sedekah.

Di sejumlah tempat perkuburan awam contohnya di Jati Petamburan dan Karet Bivak, rombongan pengemis terdiri daripada anak-anak dan perempuan akan mengerumuni setiap penziarah yang datang.

Begitu juga di sekitar jalan masuk ke Masjid Istiqlal, anak-anak dan ibu-ibu berpakaian lusuh setiap masa sabar menghulurkan tangan mengharapkan simpati jemaah masjid.

Di persimpangan jalan pula, para ibu menggendong anak kecil mengetuk-ngetuk cermin pintu kereta sambil menadahkan tangan tanpa mempedulikan aspek keselamatan dan asap kenderaan.

Pusat membeli-belah, stesen kereta api dan pasar tidak terkecuali dari serbuan para pengemis. Wajah lesu mereka menyebabkan orang yang terpandang akan terasa begitu prihatin sehingga hampir setiap orang tidak keberatan untuk memberi sumbangan.

``Kalau di kampung musim menanam, kami boleh bekerja sebagai buruh tani dan ada penghasilan. Tapi sekarang tidak ada, sebab itu kami terpaksa buat begini,'' kata Marni, 35, dari Indramayu, Jawa Barat semasa ditemui di sekitar Masjid Istiqlal.

Katanya, dia bersama beberapa orang rakannya terpaksa mengemis kerana di kampung halamannya tidak ada pekerjaan sedangkan mereka memerlukan wang untuk memenuhi keperluan menjelang lebaran.

Begitu juga Dewi, 51, dari Bogor yang setiap bulan puasa akan ke Jakarta hanya semata-mata untuk mengemis. Kebetulan suaminya bekerja sebagai pemungut barang-barang buangan di kota ini.

Dia yang ditemui mengemis di kompleks membeli-belah Grande, Blok M berkata, mengemis pada bulan puasa dan menjelang lebaran lebih menguntungkan berbanding hari-hari biasa.

``Dalam sehari boleh dapat Rp20,000-Rp25,000. Hasilnya akan bertambah menjelang lebaran. Saya nanti akan mengemis di kawasan tanah perkuburan kerana ikut pengalaman di sana lebih bagus,'' katanya.

Pihak pemerintah DKI pada masa ini menyediakan kira-kira 5,000 anggota untuk menertibkan pengemis di lima wilayah di ibu kota ini tetapi ironisnya pemandangan yang sama boleh dilihat setiap kali bulan Ramadan.

``Setiap tahun DKI juga mengeluarkan peruntukan Rp300 juta (RM150,000) hanya untuk memulangkan pengemis bermusim ini. Pada masa ini terdapat sekurang-kurangnya 216 titik penyebaran pengemis di Jakarta.

``Kami akan terus memantau keberadaan mereka dan menyediakan latihan di setiap wilayah untuk memastikan mereka mendapat kemahiran setelah keluar dari tempat penampungan,'' jelas keterangan akhbar DKI mengenai perkara berkenaan.

Bagaimanapun penertiban pengemis bermusim ini merupakan tindakan reaktif yang tidak akan menyelesaikan masalah asas. Selagi tiada peluang rezeki di daerah sendiri selagi itulah pengemis akan berbondong-bondong ke daerah lain yang makmur.

Kejadian tragik di rumah dermawan Habib Ismet Al Habsy pada pagi minggu lalu contohnya, merupakan pentas kehidupan masyarakat miskin yang begitu mengharap bantuan orang lain untuk menyambung hidup dan menampung keperluan menjelang Hari Raya Aidilfitri.

Empat orang terbunuh, tiga daripadanya mati di tempat kejadian akibat dipijak oleh kerumunan orang ramai yang berebut-rebut untuk mendapatkan sumbangan lebaran daripada Habib Ismet berupa wang tunai RM10 dan sehelai kain sarung.

Mereka yang terbunuh ialah wanita yang tidak berdaya. Fatimah, 60, Halimah, 45, dan Sarmana, 45, dari Jakarta Selatan manakala Rodiyah, 50, dari Bogor pasti tidak pernah terfikir hidup mereka akan berakhir dengan cara begitu.

Ida, 30, berkata, dia bersama ibunya, Fatimah yang terbunuh dalam kejadian itu serta empat adik-beradik dan seorang iparnya sudah berbaris di halaman rumah Habib Ismet sejak pukul 5 pagi.

``Kami datang beramai-ramai agar dapat sumbangan lebih banyak dan dapat pula merayakan lebaran lebih meriah. Tetapi ternyata berubah menjadi petaka. Ibu kami meninggal,'' ujarnya.

Di beberapa bekas kawasan setinggan, pemandangan masyarakat miskin yang terlantar akibat dihalau daripada menduduki tanah yang bukan milik mereka juga begitu memprihatinkan.

Di pinggiran sungai Kali Adem, Muara Angke, Jakarta Utara umpamanya, pemandangan sebahagian daripada 1,500 rakyat kecil bersahur dan berbuka puasa di atas perahu begitu mengusik perasaan.

Di atas perahu, satu-satunya tempat berteduh yang tinggal, mereka bersahur dan berbuka puasa dengan aroma hanyir lumpur sungai. Mungkin kerana sudah biasa, mereka menyantap hidangan yang ala kadar dengan lahap.

Sebaik sahaja beduk di masjid berhampiran dibunyikan tanda waktu bersahur, ratusan perahu di pinggiran sungai Kali Adem mula bergerak-gerak. Sekumpulan anak muda membunyikan perkakas `muzik' sambil melaungkan perkataan `Sahur, Sahur' untuk membangunkan penghuni Kali Adem.

Fitri, 46, bersama anaknya, Lukman, 11, yang merupakan antara `penghuni' perahu turut tidak ketinggalan untuk bersahur. Muka dan tangan dibasuh dengan air sungai yang warnanya hijau kehitaman.

Di atas perahu, dua beranak ini bersama-sama memasak untuk sahur. Fitri membasuh beras dengan air dari bekas yang diambilnya dari masjid. Anaknya pula menggoreng telur dan menumbuk sambal.

``Isteri dan dua anak perempuan saya pulang ke kampung. Tidak sampai hati rasanya membiarkan mereka hidup di sini,'' kata Fitri yang menghantar isterinya pulang ke kampung di Jawa Barat.

Sebahagian penduduk setinggan Kali Adem masih tetap mempertahankan hidup di atas perahu kerana mereka tidak mempunyai pilihan selain mahu menunggu janji pemerintah untuk menyediakan rumah flat.

``Saya tidak berpuasa hari ini kerana kena giliran menyelam. Puasa pun tidak ada gunanya. Kalau menyelam selalu terminum air laut,'' kata Yassin yang tinggal di perahu itu bersama dua adiknya dan seorang kawan.

Keempat-empat mereka memungut kerang yang mereka ternak di tengah laut. Hampir setiap hari mereka terpaksa menyelam menggunakan peralatan ala kadar. Pendapatan purata sehari biasanya tidak lebih RM10 seorang.

``Saya tidak tahu sampai bila harus begini. Memang ada bantuan makanan dan pakaian tapi bukan itu yang kami perlu. Kami perlu rumah yang telah dirobohkan oleh pemerintah,'' katanya.

Selepas waktu subuh dapat dilihat, sebahagian perahu besar meninggalkan Kali Adem dan meninggalkan perahu-perahu kecil yang di dalamnya penuh dengan peralatan rumah seperti televisyen, almari dan perabot lainnya.

Gambaran kehidupan rakyat kecil di Jakarta sangat memprihatinkan dan jumlahnya semakin hari semakin bertambah. Begitupun sebahagian daripada mereka tetap sabar menjalankan ibadat puasa.

Dan dalam keberkatan bulan Ramadan ini, sebahagian mereka mendapat tambahan rezeki sumbangan orang-orang yang lebih berkemampuan.

Tetapi malangnya masih ramai yang kaya- raya seperti sudah mati rasa untuk membantu yang miskin. Malah ada yang sanggup menganiaya mereka


 

  Semasa


Komen


"Ramadhan 'pamer' kemiskinan.." | Login/Mendaftar | 0 Komens
Threshold
Komen di sini adalah hakmilik yang menghantar. Pihak Pengurusan Portal tidak ada kena mengena.






Datacenter Solution oleh Fivio.com Backbone oleh JARING Bukan Status MSCMyPHPNuke Portal System

Disclaimer: Posting dan komen di dalam Portal Komuniti Ukhwah.com ini adalah menjadi hak milik ahli
yang menghantar. Ia tidak menggambarkan keseluruhan Portal Komuniti Ukhwah.com.
Pihak pengurusan tidak bertanggung jawab atas segala perkara berbangkit
dari sebarang posting, interaksi dan komunikasi dari Portal Komuniti Ukhwah.com.


Disclaimer: Portal Komuniti Ukhwah.com tidak menyebelahi atau mewakili mana-mana parti politik
atau sebarang pertubuhan lain. Posting berkaitan politik dan sebarang pertubuhan di dalam laman web ini adalah menjadi
hak milik individu yang menghantar posting. Ia sama-sekali tidak ada
kena-mengena, pembabitan dan gambaran sebenar pihak pengurusan Portal Komuniti Ukhwah.com

Portal Ukhwah
© Hakcipta 2003 oleh Ukhwah.com
Tarikh Mula: 14 Mei 2003, 12 Rabi'ul Awal 1424H (Maulidur Rasul)
Made in: Pencala Height, Bandar Sunway dan Damansara Height
Dibina oleh Team Walasri




Loading: 0.161142 saat. Lajunya....