Array
Welcome To Portal Komuniti :: Ukhwah.com

  Create An Account Home  ·  Topik  ·  Statistik  ·  Your Account  ·  Hantar Artikel  ·  Top 10 28-03-2024  

  Login
Nickname

Password

>> Mendaftar <<

  Mutiara Kata
Bila kita terlalu sibuk memikirkan kedudukan diri; kita lupa tanggung jawab kita yang sebenar
-- Kang

  Menu Utama

  Keahlian Ukhwah.com
Terkini: navratan
Hari Ini: 0
Semalam: 0
Jumlah Ahli: 43152

  Sedang Online
Sedang Online:
Tetamu: 195
Ahli: 0
Jumlah: 195




  Yang Masuk Ke Sini
muslimin23: 1 hari, 13 jam, 16 minit yang lalu
Rashdin: 26 hari yang lalu

Neraka Wail bagi yang melambatkan sembahyang
 Posted on Khamis, 25 November 2004 @ 11:20:32oleh Hanan
Semasa riyas menulis Soal Jawab Oleh Dr. Amran Kasimin

SOALAN:

Saya berumur 53 tahun, dan terlalu jarang meninggalkan sembahyang. Masalah saya ialah terlalu liat hendak sembahyang di awal waktu. Kadang-kadang saya sembahyang isyak pukul 4 pagi, lepas itu terus sembahyang taubat, tahajud dan sebagainya, Kalau dapat ustaz beri saya petua untuk mengatasi masalah saya. - AMINAH AMIN, Kuala Lumpur.

Jawapan:

Apabila Allah telah sempurna menjadikan Adam, Allah memerintahkan semua malaikat sujud kepada Adam, sebagai menghormati kejadian Allah. Sujud ini diistilahkan sebagai ``sujud tahyat''. Semua malaikat sujud, kecuali iblis. Ketika ditanya sebab keengganannya, iblis menyatakan bahawa Adam itu dijadikan daripada tanah, pada hal dirinya dijadikan daripada api. Api lebih mulia daripada tanah.

Akibat keengganannya itu, Allah menjadi murka, melaknat iblis, dihukumkan kafir, dan akan dimasukkan dalam neraka. Menyedari kemurkaan Allah, iblis merasakan bahawa semuanya terjadi adalah akibat daripada Adam, kerana itu iblis (dan konco-konconya) bersumpah akan membinasakan Adam dan keturunannya. Iblis bersumpah akan menipu manusia, menyebabkan manusia tunduk kepada nafsu, merasakan apa yang diperintahkan Allah itu buruk, manakala apa yang diharamkan, yang ditegah itu baik, menyebabkan banyak manusia yang mengingkari perintah Allah.

Allah telah mewahyukan kepada Nabi Muhammad s.a.w. sembahyang lima waktu, yang terlalu banyak memberi pengaruh dalam pembentukan peribadi yang luhur. Sembahyang itu mencegah pelakunya daripada melakukan kejahatan dan kemungkaran. Bermaksud, bahawa sekiranya seseorang itu berupaya melakukan sembahyang dengan betul, sah sembahyangnya, dan diterima oleh Allah, maka orang yang berkenaan akan terhindar daripada perbuatan jahat dan kemungkaran.

Atas pemahaman inilah, maka tidak pelik Kenapa iblis dan syaitan itu berusaha supaya manusia itu tidak melakukan sembahyang. Leka dengan kerja harian, mesyuarat, berniaga, berforum, bertemu kawan, main bola di padang, berdebat di meja persidangan dan sebagainya tanpa mempedulikan masuk waktu sembahyang.

Iblis dan syaitan menguliti manusia supaya melupakan sembahyang. Sembahyang mengganggu kerja-kerja dan urusan harian, manakala orang yang hendak sembahyang, akan didatangi oleh iblis dan syaitan supaya melambat-lambatkan sembahyangnya seperti yang berlaku pada diri saudara. Bagi orang yang tidur, iblis datang menguliti agar terus terlena, dan langsung tidak sembahyang.

Dalam sebuah hadis dijelaskan bahawa Nabi s.a.w. ada bersabda menyatakan, apabila seseorang itu tidur, iblis akan mengikat di atas kepala orang yang berkenaan tiga ikatan. Iblis berkata, kau mempunyai masa tidur yang panjang. Tidurlah! Apabila orang yang berkenaan terjaga dari tidur, lalu menyebut nama Allah, maka terhurailah satu ikatan. Apabila ia berwuduk, maka terhurailah ikatan yang kedua, dan apabila orang yang berkenaan sembahyang, terhurailah ikatan yang ketiga. Dengannya orang yang berkenaan akan menghadapi waktu pagi dalam keadaan cergas, kalau tidak dia akan menghadapi waktu pagi dengan malas lagi monyok.

Apabila seseorang itu berwuduk, kumpulan iblis yang dinamakan ``Al-Wilhan'' akan datang mengganggu orang yang berkenaan, sehingga menyebabkan ada orang yang mengambil wuduk berjam-jam lamanya sehingga basah kuyup. Apabila seseorang itu mendirikan sembahyang, iblis dan syaitan akan mengganggu manusia ketika sembahyang; ketika sedang berniat, iaitu ketika membaca takbiratul ihram, menyebabkan niat itu dilakukan berulang kali. Ketika membaca Al-Fatihah, iblis dan syaitan mengganggu manusia, menyebabkan sesetengah orang mengulangi kalimah-kalimah Al-Fatihah berulang kali.

Terlalu banyak gangguan iblis dan syaitan ketika seseorang itu sedang sembahyang. Ada orang yang rasa terkentut ketika sembahyang, atau terasa terkeluar air kencing pada hal ketika di luar sembahyang, gangguan seumpama ini tidak berlaku. Begitu juga dengan gangguan lain, iaitu dengan mendatangkan pelbagai ingatan yang telah berlalu, ketika berada di pejabat, ketika mesyuarat, termasuk harga saham yang menjunam, harga kelapa sawit yang sedang menurun dan sebagainya. Semua ingatan ini datang menyelinap dalam ingatan orang yang sedang sembahyang, semata-mata supaya seseorang itu tidak ada rasa khusyuk ketika sembahyang.

Fenomena yang dijelaskan di atas ini membuktikan bahawa gangguan iblis dan syaitan ketika seseorang itu sedang sembahyang bukan satu rekaan, atau bidaah semata-mata, tetapi ia memang benar-benar berlaku. Rasulullah menyuruh setiap orang itu berwaspada daripada gangguan iblis dan syaitan. Petua untuk mengatasi masalah bagi orang yang suka melambat-lambatkan sembahyang adalah mudah, iaitu sembahyang sebaik-baik sahaja masuk waktu sembahyang. Apabila saudara dapat melakukannya, pada satu tahap tertentu, saudara akan merasa tidak senang, rasa gelisah selagi saudara tidak mendirikan sembahyang. Dan apabila saudara telah sembahyang, saudara akan merasa lega, nikmat dan tenang kerana telah menyempurnakan sesuatu yang difardukan ke atas saudara. Ketika itu saudara akan benar-benar berupaya menghayati ibadah sembahyang, dan tentunya tidak akan bermasalah untuk mendirikan sembahyang di awal waktu.

Allah menjelaskan seperti yang tersebut dalam surah Maryam: 58 tentang mereka yang diberi nikmat Allah, yang terdiri daripada para nabi dari keturunan Adam, iaitu Nabi Noh, Ibrahim, Nabi Musa (Maryam: 51), Harun
(Maryam: 53), Nabi Ismail, juga Nabi Idris (Maryam: 56). Apabila dibacakan ayat-ayat Allah yang maha pemurah kepada mereka, mereka menyungkurkan diri bersujud dan menangis (Maryam: 58).

Dalam Surah Maryam: 59-60 tersebut firman Allah: Maka datanglah sesudah mereka pengganti yang mensia-siakan sembahyang dan menurutkan hawa nafsunya, maka mereka kelak akan menemui kesesatan, kecuali orang yang bertaubat, beriman dan beramal soleh.

Menurut Ibn Abbas, yang dimaksudkan dengan ``mensia-siakan sembahyang'' itu bukan mereka yang meninggalkan semua sembahyang, tetapi mereka yang mengtakhirkan atau melambat-lambatkan sembahyang daripada waktunya.

Menurut Said bin Al-Musayyab, seorang ketua golongan tabiin, seorang daripada tujuh orang fuqaha yang terkenal di Madinah, yang dimaksudkan dengan ayat di atas ialah orang yang tidak sembahyang zuhur hinggalah tiba sembahyang asar, tidak sembahyang asar hinggalah tiba maghrib, dan tidak sembahyang maghrib hinggalah tiba waktu isyak, dan tidak sembahyang isyak hinggalah terbit fajar, dan tidak melakukan sembahyang subuh sehinggalah naik matahari. Barang siapa mati, apabila ia terus menerus dalam keadaan sedemikian rupa, dan tidak pula bertaubat, Allah memberi amaran balasan ``Al-Baqhy'' untuknya. Al-Baghy itu ialah satu lembah yang terdapat dalam Neraka Jahanam yang dalam lagi kotor makanan penghuninya.

Sa'd bin Abi Waqaas, seorang daripada 10 orang yang dijanjikan syurga, di antara orang yang awal memeluk Islam berkata, beliau telah bertanya kepada Rasulullah s.a.w. tentang mereka yang lalai terhadap sembahyang. Baginda menjawab menyatakan bahawa mereka itu adalah orang yang melambat-lambatkan sembahyang. Mereka sembahyang tetapi mengambil ringan menyebabkan sembahyang di akhir waktu. Allah menjanjikan mereka ``Neraka Wail'', iaitu satu neraka yang amat sakit azabnya. Sesetengah ulama menyatakan Neraka Wail adalah satu lembah yang terdapat dalam Neraka Jahanam. Seandainya dilalukan bukit-bukit yang terdapat di dunia ini di atasnya, nescaya cair semuanya kerana sangat panas. Neraka itu adalah tempat tinggal mereka yang lalai terhadap ibadah sembahyang kecuali mereka yang menyesal dan bertaubat.

Dalam Surah Al-Munafiqun: 9 dijelaskan bahawa orang yang dilalaikan oleh harta juga anak-anak adalah terdiri daripada golongan orang yang rugi: Wahai orang yang beriman, janganlah harta-harta dan anak-anak kamu melalaikan kamu daripada mengingati Allah. Barang siapa berbuat demikian, mereka adalah orang yang rugi.

Ahli-ahli tafsir menafsirkan bahawa yang dimaksudkan dengan perkataan, ``mengingati Allah'' itu adalah sembahyang lima waktu. Maka barang siapa yang sibuk dengan hartanya, dengan berjual beli, urusan harian, kehidupannya, kilang, untung rugi, juga urusan anak-anaknya, daripada mendirikan sembahyang pada waktunya, maka mereka adalah termasuk dalam golongan orang yang rugi.

Dijelaskan dalam sebuah hadis, riwayat oleh Al-Bayhaqiy, atau namanya yang sebenar Abu Bakar, Ahmad bin Al-Husain bin Ali, seorang imam hadis, yang dilahirkan pada tahun 384 Hijrah, bahawa Umar bin Al-Khattab, telah berkata, telah datang seorang lelaki menemui Rasulullah s.a.w. Be-liau bertanya: Ya Rasulullah, apakah amalan-amalan yang lebih digemari oleh Allah Taala dalam Islam? Baginda menjawab: Sembahyang dalam waktunya. Barang siapa meninggalkan sembah-yang, maka tidak ada agama baginya. Sembahyang itu tiang agama.

Ketika Sayyidina Umar ditikam oleh Abu Lu'luah Al-Majusi, telah diberitahu kepadanya: Sembahyang wahai Amirul Mukminin. Beliau menjawab: Ya. Sesungguhnya tidak ada tempat bagi seseorang dalam Islam yang meninggalkan sembahyang. Beliau telah menunaikan sembahyang pada hal darahnya mengalir dari liang luka.

Dalam sebuah hadis lain dijelaskan bahawa Baginda s.a.w. ada bersabda: Barang siapa mengumpulkan dua sembahyang tanpa uzur, maka dia sesungguhnya telah mendatangi satu pintu yang besar daripada pintu-pintu dosa besar. Memang benar orang yang melambat-lambatkan sembahyang itu telah menunaikan kewajipan yang tertanggung ke atasnya, tetapi berdasarkan kepada dalil-dalil al-Quran, juga hadis-hadis, mereka yang berbuat demikian diberi amaran oleh Allah dengan azab yang pedih. Ini memperlihatkan bahawa mereka tetap berdosa. Dalam masa yang sama ditakuti orang yang terlibat meninggal dunia sebelum sempat mendirikan sembahyang pada hal waktunya telah tiba. Sebenarnya, tidak ada formula atau petua bagi orang yang suka melambat-lambatkan sembahyang kecuali terus bangun sembahyang sebaik-baik sahaja masuk waktu. Selain daripada itu kesedaran tentang dosa dan amaran Allah ke atas mereka yang bertabiat sedemikian rupa boleh menginsafkan diri.

 

  Semasa


Komen


"Neraka Wail bagi yang melambatkan sembahyang" | Login/Mendaftar | 1 Komen
Threshold
Komen di sini adalah hakmilik yang menghantar. Pihak Pengurusan Portal tidak ada kena mengena.


Re: Neraka Wail bagi yang melambatkan sembahyang
oleh haiza pada Jumaat, 24 Disember 2004 @ 13:20:48
(Info AHLI)


ASSALAMUALAIKUM....

PADA ANA,

BUKANKAH SYAITAN ITU TELAH MENGIKAT UMAT ISLAM DGN 3 IKATAN.

APABILA TERDETIK DI HATI UTK MELAKSANAKAN SOLAT.........
MAKA TERBUKA LAH IKATAN PERTAMA.

APABILA KITA BANGUN DARI TEMPAT TIDUR MENUJU KE TEMPAT MENGAMBIL WUDUK.......
MAKA TERBUKA LAH IKATAN KEDUA.

APABILA KITA MENGERJAKAN SOLAT.......
MAKA TERBUKALAH IKATAN Y KETIGA.

MAKA KECEWALAH SYAITAN TERSEBUT KRN TAK DPT MEMPERDAYAKAN UMAT ISLAM TERSEBUT.
[ Tetamu tidak dibenarkan memberi komen. Sila mendaftar ]





Datacenter Solution oleh Fivio.com Backbone oleh JARING Bukan Status MSCMyPHPNuke Portal System

Disclaimer: Posting dan komen di dalam Portal Komuniti Ukhwah.com ini adalah menjadi hak milik ahli
yang menghantar. Ia tidak menggambarkan keseluruhan Portal Komuniti Ukhwah.com.
Pihak pengurusan tidak bertanggung jawab atas segala perkara berbangkit
dari sebarang posting, interaksi dan komunikasi dari Portal Komuniti Ukhwah.com.


Disclaimer: Portal Komuniti Ukhwah.com tidak menyebelahi atau mewakili mana-mana parti politik
atau sebarang pertubuhan lain. Posting berkaitan politik dan sebarang pertubuhan di dalam laman web ini adalah menjadi
hak milik individu yang menghantar posting. Ia sama-sekali tidak ada
kena-mengena, pembabitan dan gambaran sebenar pihak pengurusan Portal Komuniti Ukhwah.com

Portal Ukhwah
© Hakcipta 2003 oleh Ukhwah.com
Tarikh Mula: 14 Mei 2003, 12 Rabi'ul Awal 1424H (Maulidur Rasul)
Made in: Pencala Height, Bandar Sunway dan Damansara Height
Dibina oleh Team Walasri




Loading: 0.200322 saat. Lajunya....