Array
Welcome To Portal Komuniti :: Ukhwah.com

  Create An Account Home  ·  Topik  ·  Statistik  ·  Your Account  ·  Hantar Artikel  ·  Top 10 21-05-2022  

  Login
Nickname

Password

>> Mendaftar <<

  Mutiara Kata
5,000 tahun dulu Confusius berkata, "Belajar!"; 1,500 tahun dahulu ayat Quran pertama ialah, "Baca!"
-- Kang

  Menu Utama

  Keahlian Ukhwah.com
Terkini: navratan
Hari Ini: 0
Semalam: 0
Jumlah Ahli: 43152

  Sedang Online
Sedang Online:
Tetamu: 65
Ahli: 0
Jumlah: 65




  Yang Masuk Ke Sini
Kang: 1 hari, 9 jam 9 saat yang lalu
Abdullah: 25 hari yang lalu
muslimin23: 28 hari yang lalu

Pendidikan - Menjana umat berakhlak
 Posted on Selasa, 14 September 2004 @ 10:48:00oleh Engku_Salina
Umum PELBAGAI kepincangan serta kebobrokan sosial sedang membarah di dalam masyarakat Islam dewasa ini. Dalam masa yang sama, masyarakat Islam juga perlu berhadapan dengan pelbagai cabaran dalaman dan luaran dalam usaha mengekalkan jati diri dan sistem nilai kehidupan mereka. Antara cabaran tersebut ialah bagaimana membina kualiti akhlak ummah, sedangkan kita terpaksa pula bergelut dengan ancaman globalisasi, modenisasi serta pengaruh budaya negatif Barat, seperti materialisme, sekularisme, hedonisme dan sebagainya.

Ramai sarjana Islam berpendapat bahawa pendidikan Islam merupakan teras dalam pembinaan akhlak, akal budi dan rohani. Imam al-Ghazali (m. 505H) berpendapat bahawa pendidikan bagi seorang anak itu bermula sewaktu kita mencari pasangan hidup, iaitu bakal ibu untuk si anak. Manakala proses pendidikan itu berjalan semenjak anak itu di dalam kandungan ibu.

Imam al-Ghazali amat cenderung dengan gagasan bahawa pendidikan pada peringkat kanak-kanak amat penting kerana mereka sebersih fitrah semula jadi seperti digambarkan oleh baginda dalam sabdanya bermaksud, Setiap anak yang dilahirkan itu suci (fitrah), maka terserahlah kepada kedua-dua ibu bapanya mencoraknya menjadi Yahudi, Nasrani atau Majusi. (Riwayat Bukhari dan Muslim).

Pandangan Islam terhadap pendidikan amat komprehensif. Pendidikan dalam Islam tidak dihadkan untuk umur tertentu atau disyaratkan atas kedudukan sosio-ekonomi tertentu tetapi tersurat oleh kedalaman makna yang dimaksudkan oleh Rasulullah s.a.w.: Tuntutlah ilmu dari buaian hingga ke liang lahad. Justeru, sewajarnya tradisi pendidikan Islam diamalkan sepanjang hayat, dalam segala keadaan dan diceburi oleh semua anggota masyarakat.

Menurut Hassan Langgulung dalam bukunya berjudul Pendidikan Islam dan Peralihan Paradigma, bahawa pendidikan bukanlah sekadar pengajaran pengetahuan atau kemahiran-kemahiran pemikiran dan teknik seperti halnya pandangan ekonomi yang sempit. Memang pendidikan begitu, tetapi pada waktu yang sama ia juga adalah proses pengembangan spiritual, fizikal, pemikiran, intelektual, emosi dan akhlak yang berfungsi menyiapkan individu agar memberi sumbangan berkesan dalam kehidupan sosial.

Antara kepentingan pendidikan Islam terhadap ummah ialah melahirkan insan dan masyarakat yang terbaik. Melaluinya masyarakat akan dapat membina keperibadian serta akhlak yang unggul. Sikap saling menolong, kerjasama, ukhwah dan prihatin adalah asas perhubungan sosial yang terpancar daripada firman-Nya yang bermaksud, Sesungguhnya orang-orang mukmin itu bersaudara. (Al-Hujurat: 10).

Ummah yang terdidik dalam acuan pendidikan Islam akan dapat menyesuaikan diri dengan keperluan serta tuntutan kehidupan moden dengan memelihara identiti Muslim. Mereka dapat menerima sebarang pembaharuan selagi tidak menggadai maruah dan mencemar kesucian Islam.

Persidangan Sedunia Pendidikan Islam Pertama yang diadakan di Kota Mekah, Arab Saudi pada 1977 telah merumuskan bahawa Pendidikan sewajarnya bermatlamat membina perkembangan yang seimbang dalam seluruh peribadi insan melalui latihan rohaniahnya, intelek, rasional, perasaan dan indera. Latihan yang diberikan kepada setiap individu Muslim mestilah dalam bentuk yang mana akidah menyerap kukuh dalam keseluruhan peribadi insan dan membina perasaan terikat kepada Islam. Ini membolehkannya mengikuti al-Quran dan sunah serta dapat pula menghayati nilai-nilai sistem Islam secara rela dan senang hati supaya peranannya sebagai khalifah Allah ke atas alam ini terlaksana.

Menurut kajian yang dilakukan oleh Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS), antara punca permasalahan sosial dan jenayah yang berlaku di kalangan remaja Melayu, adalah akibat kurangnya perhatian dan kasih sayang para ibu bapa dalam mendidik anak-anak mereka. Selain itu, faktor pengaruh rakan sebaya, masalah ekonomi keluarga dan sikap masyarakat yang tidak peka serta prihatin terhadap remaja menyebabkan mereka mudah terlibat dengan gejala sosial dan jenayah (sumber: Utusan Malaysia, 23 Ogos 2004).

Manakala menurut perangkaan yang dikeluarkan oleh Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) pada tahun 2001, Malaysia mempunyai 53,309 anak zina atau anak tidak sah taraf. Jumlah tersebut adalah yang didaftarkan sepanjang tempoh tiga tahun, iaitu dari 1999 hingga 2001 (sumber: Mingguan Malaysia, 11 Mei 2003).

Kita percaya jumlah anak luar nikah sebenarnya lebih ramai daripada jumlah perangkaan JPN kerana pasti ramai lagi anak-anak zina yang tidak didaftarkan disebabkan rasa malu, menjaga maruah dan sebagainya. Begitu juga dengan jumlah anak zina yang ditinggalkan di tepi jalan, di tepi masjid atau dicampakkan ke dalam longkang, sungai, tong sampah dan lain-lain. Itu baru kes anak zina. Bagaimana pula dengan kes penagihan dadah, rogol, sumbang mahram, liwat, bunuh, rompakan dan jenayah-jenayah lain?

Inilah akibat peminggiran pendidikan Islam dalam proses pembangunan manusia. Implikasinya akan hanya mengundang pelbagai masalah sosial yang memalapkan nilai peradaban insan. Pendidikan Islam yang dimaksudkan di sini ialah cakupan antara tiga unsur utama iaitu akidah, ibadah dan akhlak. Jika unsur-unsur utama ini diabaikan, maka kita akan menyaksikan lahirnya manusia-manusia yang pincang akhlak, rendah moral, sesat pemikiran dan menyelewengkan kepercayaan.

Pandangan syumuli (universal) Islam melihat proses pendidikan bukanlah sekadar memenuhkan minda dengan segala ilmu pengetahuan, tetapi ia turut bermaksud mendidik akhlak dan jiwa, membiasakan dengan kesopanan yang tinggi dan mempersiapkan generasi untuk suatu kehidupan yang suci, ikhlas dan jujur. Prof. Dr. Muhammad Athiyyah al-Ibrasyi dalam bukunya Al-Tarbiyyah al-Islamiyyah wa Falasifah menyebut: Pendidikan budi pekerti (akhlak) adalah jiwa daripada pendidikan Islam. Islam telah menyimpulkan bahawa pendidikan budi pekerti adalah asas pendidikan Islam. Mencapai suatu akhlak yang sempurna adalah tujuan sebenar pendidikan. Sewajarnya pembangunan fizikal, pengukuhan rohani dan pembinaan akhlak harus disepadukan. Ia perlu bergerak serentak dan seiring. Pengabaian ke atas salah satu aspek tersebut akan menyebabkan kepincangan, penyimpangan dan kebobrokan yang berterusan dalam masyarakat.

Melalui pendidikan Islam, manusia akan mendapat pengertian dan bimbingan ilmu yang bercorak naqliah (ilmu yang bersumberkan al-Quran dan sunah), di samping ilmu-ilmu yang bercorak aqliah (ilmu yang berteraskan akal fikiran), dengan pelbagai kemahiran yang sejajar dengan potensi individu. Selanjutnya, pendidikan ilmu naqliah perlu digabungkan dengan ilmu aqliah secara lebih bijak dan kreatif bagi melahirkan pelajar yang seimbang dalam menunaikan tuntutan dunia dan akhirat. Ini penting supaya mereka dapat menghubungkan segala yang dipelajari dengan kebesaran, kekuasaan dan keagungan Allah Maha Pencipta.

Pendidikan Islam perlu dibudayakan dalam kehidupan seharian dan bukan hanya menjadi subjek pelajaran di sekolah menengah atau sekolah rendah semata-mata. Praktis kepada pendidikan Islam ini amat luas dan kita boleh memulakannya semenjak di rumah lagi, seperti menghidupkan budaya ilmu, ibu bapa menjadi model terbaik bagi anak-anak, melatih anak-anak dengan solat berjemaah, budaya hormat-menghormati sesama ahli keluarga, beradab sopan dengan tetamu, berakhlak dengan akhlak Islamiah sesama kawan-kawan, jiran-jiran dan masyarakat.

Seterusnya, proses pendidikan yang dimulai dari rumah oleh ibu bapa ini akan berkesinambungan ke alam persekolahan, dan akhirnya anak-anak ini akan menjadi sebahagian daripada anggota masyarakat yang berguna. Di sinilah pentingnya peranan dan pengaruh pendidikan Islam di mana ia akan menjadi pemandu dalam kehidupan seseorang Muslim, yang pastinya turut memberi kesan langsung terhadap kewibawaan dan kecemerlangan ummah.

Oleh HUSNA ABDUL WAHAB

Sumber: Utusan Online (14/09/04)

 

  Umum


Komen


"Pendidikan - Menjana umat berakhlak" | Login/Mendaftar | 0 Komens
Threshold
Komen di sini adalah hakmilik yang menghantar. Pihak Pengurusan Portal tidak ada kena mengena.






Datacenter Solution oleh Fivio.com Backbone oleh JARING Bukan Status MSCMyPHPNuke Portal System

Disclaimer: Posting dan komen di dalam Portal Komuniti Ukhwah.com ini adalah menjadi hak milik ahli
yang menghantar. Ia tidak menggambarkan keseluruhan Portal Komuniti Ukhwah.com.
Pihak pengurusan tidak bertanggung jawab atas segala perkara berbangkit
dari sebarang posting, interaksi dan komunikasi dari Portal Komuniti Ukhwah.com.


Disclaimer: Portal Komuniti Ukhwah.com tidak menyebelahi atau mewakili mana-mana parti politik
atau sebarang pertubuhan lain. Posting berkaitan politik dan sebarang pertubuhan di dalam laman web ini adalah menjadi
hak milik individu yang menghantar posting. Ia sama-sekali tidak ada
kena-mengena, pembabitan dan gambaran sebenar pihak pengurusan Portal Komuniti Ukhwah.com

Portal Ukhwah
Hakcipta 2003 oleh Ukhwah.com
Tarikh Mula: 14 Mei 2003, 12 Rabi'ul Awal 1424H (Maulidur Rasul)
Made in: Pencala Height, Bandar Sunway dan Damansara Height
Dibina oleh Team Walasri




Loading: 0.161699 saat. Lajunya....