Array
Welcome To Portal Komuniti :: Ukhwah.com

  Create An Account Home  ·  Topik  ·  Statistik  ·  Your Account  ·  Hantar Artikel  ·  Top 10 29-03-2024  

  Login
Nickname

Password

>> Mendaftar <<

  Mutiara Kata
Kayu yang bengkok tak dapat hasilkan bayang-bayang lurus
-- Kata Bijaksana

  Menu Utama

  Keahlian Ukhwah.com
Terkini: navratan
Hari Ini: 0
Semalam: 0
Jumlah Ahli: 43152

  Sedang Online
Sedang Online:
Tetamu: 146
Ahli: 0
Jumlah: 146




  Yang Masuk Ke Sini
muslimin23: 1 hari, 19 jam, 27 minit yang lalu
Rashdin: 27 hari yang lalu

Israk Mikraj - Uji keimanan seseorang
 Posted on Rabu, 08 September 2004 @ 9:56:59oleh Engku_Salina
Umum SERINGKALI membicarakan peristiwa Israk Mikraj, dua persoalan yang sering timbul ialah kepastian tentang tarikh kejadiannya dan adakah Israk Mikraj Nabi s.a.w. itu berlaku hanya roh sahaja iaitu kejadian seperti mimpi? ataupun kejadian sebenar dengan roh dan jasad baginda sekali?

Ahli sejarah menganggap peristiwa yang berlaku kepada Nabi s.a.w. itu sebagai `khilaf' dari segi tarikhnya. Manakala sebahagian ahli sejarah menyebut pada tahun kesepuluh selepas kenabian, namun ada juga yang mengatakan selepas dari tahun tersebut iaitu tahun kesebelas.

Pokok persoalannya, peristiwa Israk dan Mikraj itu sememangnya berlaku ke atas diri Nabi s.a.w. sebelum daripada Nabi berhijrah ke Madinah.

Bagaimanapun seorang ahli sejarah Islam bernama Ibnu Saad telah mencatatkan dalam kitabnya At-Tobaqatil Qubra, bahawa berlakunya Israk Mikraj terhadap Nabi s.a.w. ialah pada lapan belas bulan sebelum Nabi s.a.w. hijrah ke Madinah dalam satu peristiwa yang amat bersejarah itu.

Menyentuh persoalan kedua pula, hampir keseluruhan umat Islam dan para ulama mengatakan bahawa Nabi s.a.w. diisrak dan dimikrajkan oleh Allah s.w.t. dengan jasad dan rohnya sebagai suatu mukjizat dan kemuliaan dari-Nya.

Maksud Israk ialah perjalanan (rehlah) yang Allah s.w.t perlakukan kepada Nabi s.a.w. secara terhormat, bermula dari Masjid al-Haram di Mekah hingga ke Masjid al-Aqsa, Baitul Maqdis di Palestin. Sementara maksud Mikraj ialah kejadian yang berlaku ekoran dari peristiwa israk, iaitu naik dari al-Aqsa kepada beberapa lapis langit yang tinggi, sampai ke suatu peringkat yang tertinggi iaitu suatu tempat bernama `Sidratul Muntaha' di mana ilmu dan akal manusia atau jin tidak mampu sampai kepadanya.

Bukhari dan Muslim telah meriwayatkan peristiwa Israk Mikraj itu dengan panjang lebar. Di antara yang disebut oleh Bukhari ialah pada suatu ketika Nabi sedang duduk di tepi Kaabah, lalu didatangkan oleh malaikat Jibril, seekor ``Buraq''. Dari segi bahasa, buraq bererti ``kilat cahaya''. Ia sejenis makhluk menyerupai haiwan, besar sedikit daripada khimar dan kecil sedikit daripada baghal.

Bagaimanapun ia dijadikan oleh Allah s.w.t. bukan jenis berdarah, berdaging dan tulang belulang seperti haiwan, sebaliknya, ia diciptakan dari cahaya. Hikmah dijadikan buraq yang berfungsi sebagai kenderaan dan pesawat angkasa menyerupai seekor binatang, walaupun unsur kejadiannya daripada cahaya adalah bagi memudahkan Nabi s.a.w. memahami tujuan Jibril datang membawa makhluk menyerupai haiwan untuk dinaiki oleh Nabi s.a.w. dalam peristiwa Israk Mikraj. Ini kerana kenderaan yang lazim digunakan oleh manusia pada ketika itu ialah unta ataupun kuda.

Buraq mempunyai kelajuan yang luar biasa iaitu selangkah kakinya memacu, bergerak sejauh mata memandang. Sesuai dengan hakikat `zat'nya yang dijadikan oleh Allah s.w.t. daripada cahaya. Ahli sains juga mendapati bahawa pergerakan yang paling pantas di alam maya ini ialah cahaya. Dalam kelajuan seperti cahaya, membolehkan Nabi s.a.w. tiba di Masjid al-Aqsa, Baitul Maqdis, dalam waktu yang singkat.

Peristiwa yang amat luar biasa lagi bersejarah bagi umat Islam ini sehingga ke hari ini disambut setiap kali menjelang 27 Rejab.

Peristiwa Israk dan Mikraj membawa banyak pengajaran khusus untuk umat Nabi Muhammad s.a.w. Kesemua gambaran yang diperlihatkan kepada baginda ini mempunyai pengajaran dan perbandingan simbolik yang tersirat. Oleh kerana gambaran-gambaran sepanjang kejadian ini, seolah-olah begitu luar biasa, maka manusia yang lemah keimanannya, sukar mempercayainya. Sebaliknya, orang-orang yang beriman, mereka mempercayainya tanpa soal selidik kerana mereka sedar ke semua itu adalah atas kehendak dan kekuasaan Allah. Apa yang Allah kehendaki terus menjadi (kun fayakun); tiada siapa pun boleh menghalangnya.

Saidina Abu Bakar as-Siddik apabila diberitahu tentang keganjilan yang berlaku dalam peristiwa Israk dan Mikraj, serta merta berkata jika pengakuan itu datang dari Nabi Muhammad s.a.w., dia meyakini seratus peratus dan percaya bukan setakat peristiwa Israk & Mikraj, malah lebih dari itu jika ia datangnya daripada baginda.

Di samping itu, pelbagai keadaan atau kejadian diperlihatkan kepada baginda. Semuanya menggambarkan fenomena yang pasti akan berlaku ke atas umat baginda kelak. Segala gambaran ini hakikatnya, menjadi teladan kepada kita semua. Hadis riwayat Bukhari dan Muslim ada menceritakan hal ini, antaranya :

Nabi Muhammad s.a.w. menemui suatu kaum yang bercucuk tanam menuai hasilnya pada hari yang sama. Ini menggambarkan mereka yang berjihad pada jalan Allah s.w.t, digandakan suatu kebajikan hingga 700 kali ganda.

Rasulullah s.a.w. melihat suatu kaum lagi yang menghantukkan kepala mereka dengan batu besar sehingga kepala mereka pecah dan ia pulih seperti sediakala. Mereka melakukan tanpa rasa penat. Inilah gambaran orang di dunia malas dan berat kepalanya untuk menunaikan solat.

Ada juga kaum yang perutnya besar seperti rumah. Setiap kali mereka cuba bangun, mereka terjatuh. Ini adalah gambaran orang yang memakan riba. Ada kaum yang menggunting lidahnya, dan setiap kali lidahnya putus, kembali pulih semula. Ini gambaran ahli pidato yang membawa fitnah.

Banyak lagi kejadian yang diperlihatkan kepada baginda. Semuanya itu adalah pengajaran dan ingatan buat orang Muslim. Selain itu, sebelum dimikrajkan, baginda sempat bersembahyang sunat bersama Malaikat Jibrail dan roh anbiya yang Allah s.w.t. berkati sekelilingnya. Dari masjid ini, Nabi s.a.w. terus dimikrajkan iaitu dengan menjelajah tujuh lapis langit lalu sampai yang tertinggi iaitu Sidratul Muntaha.

Di sinilah baginda bermunajat dengan Allah s.w.t. dan Allah memberi hadiah yang sangat bernilai untuk dibawa pulang kepada umat nabi Muhammad s.a.w. iaitu perintah solat lima waktu sehari semalam. Umat Islam yang benar-benar mempercayai kedatangan hari kiamat dan setiap perbuatan itu akan dipertanggungjawabkan, sewajarnya mengambil iktibar daripada peristiwa Israk Mikraj yang menakjubkan itu.

Solat pula adalah satu ibadat yang istimewa dan terpenting. Rasulullah s.a.w. menerimanya secara langsung dari Allah s.w.t. sedangkan ibadat puasa, zakat dan haji diwahyukan melalui Malaikat Jibrail.

Semoga kita semua termasuk dalam kategori manusia yang beriman dengan Allah dan RasulNya.

Memperkatakan tentang peristiwa Israk dan Mikraj Nabi Muhammad s.a.w., bukan sahaja dari segi bagaimana Allah s.w.t. memperjalankan Rasul-Nya dalam peristiwa tersebut, tetapi juga diperkatakan tentang mukjizat yang berkaitan dengan peristiwa tersebut.

Mukjizat adalah sesuatu yang mencarik adat dan di luar kemampuan akal fikiran manusia untuk menilainya. Walaupun manusia adalah sebaik-baik ciptaan Allah s.w.t. di muka bumi ini, kerana manusia dikurniakan akal fikiran, namun keupayaan akal manusia itu sekadar mana yang Tuhan berikan.

Dalam perkara mukjizat, fikiran dan akal manusia tidak mampu menjangkaunya. Apa yang di luar kemampuan akal manusia menjadikan mereka hilang upaya dan akhirnya buntu. Itulah kedudukan mukjizat di sisi akal manusia yang terbatas.

Contoh, dalam kisah pembakaran Nabi Ibrahim a.s. oleh penentangnya dalam unggun api yang besar. Kaumnya terkejut besar apabila mendapati Nabi Ibrahim a.s. dalam keadaan selamat dan tidak terjejas sedikitpun. Dalam banyak perkara manusia tidak mampu mengerti sampai bila-bilapun, termasuklah peristiwa agung Israk Mikraj yang berlaku pada Nabi Muhammad s.a.w..

Bagaimana baginda s.a.w. sebagai manusia biasa boleh naik ke langit yang tertinggi dengan begitu pantas, tanpa sebarang persiapan dan peralatan, kecuali seekor `buraq' yang menjadi kenderaan dan pesawat angkasa. Menjelajahi alam angkasa raya, bahkan lebih tinggi. Kemudian Nabi s.a.w. turun semula ke bumi dan pulang ke Mekah, memberitahu orang ramai tentang peristiwa yang dilaluinya. Bingung akal manusia untuk mengerti tentang mukjizat Israk Mikraj itu.

Kesimpulannya, peristiwa Israk dan Mikraj mengandungi lautan hikmah yang harus dikaji dan diteliti terutama betapa pentingnya solat dalam kehidupan seseorang Muslim. Dengan solat, setiap Muslim dapat berhubung dengan penciptanya lima kali sehari dalam bentuk dialog langsung.

Sumber: Utusan Online (08/09/2004)

 

  Umum


Komen


"Israk Mikraj - Uji keimanan seseorang" | Login/Mendaftar | 0 Komens
Threshold
Komen di sini adalah hakmilik yang menghantar. Pihak Pengurusan Portal tidak ada kena mengena.






Datacenter Solution oleh Fivio.com Backbone oleh JARING Bukan Status MSCMyPHPNuke Portal System

Disclaimer: Posting dan komen di dalam Portal Komuniti Ukhwah.com ini adalah menjadi hak milik ahli
yang menghantar. Ia tidak menggambarkan keseluruhan Portal Komuniti Ukhwah.com.
Pihak pengurusan tidak bertanggung jawab atas segala perkara berbangkit
dari sebarang posting, interaksi dan komunikasi dari Portal Komuniti Ukhwah.com.


Disclaimer: Portal Komuniti Ukhwah.com tidak menyebelahi atau mewakili mana-mana parti politik
atau sebarang pertubuhan lain. Posting berkaitan politik dan sebarang pertubuhan di dalam laman web ini adalah menjadi
hak milik individu yang menghantar posting. Ia sama-sekali tidak ada
kena-mengena, pembabitan dan gambaran sebenar pihak pengurusan Portal Komuniti Ukhwah.com

Portal Ukhwah
© Hakcipta 2003 oleh Ukhwah.com
Tarikh Mula: 14 Mei 2003, 12 Rabi'ul Awal 1424H (Maulidur Rasul)
Made in: Pencala Height, Bandar Sunway dan Damansara Height
Dibina oleh Team Walasri




Loading: 0.210976 saat. Lajunya....